Saturday, July 14, 2012

Suami Isteri : Bercintalah Berkali-kali

                                                          baby

Melalui pengalaman, semakin meningkat usia perkahwinan perempuan jadi semakin becok tetapi lelaki sebaliknya jadi semakin pendiam. Watak wanita yang pemalu bertukar menjadi peleter kerana kerenah anak-anak dan urusan rumah tangga yang terus bertambah dan bertambah – perjuangan yang tidak selesai-selesai. Manakala lelaki yang dulunya, ceria dan banyak cakap, perlahan-lahan menjadi pendiam (ada kalanya muram) apabila beban penanggungan keluarga semakin bertambah.
Ya, jika tidak dikawal, ujian dan beban rumah tangga akan menyebabkan suami isteri menjadi semakin "bisu". Isteri mungkin sibuk bercakap itu dan ini dengan anak-anak tetapi kehilangan suara dan kata bila berdepan dengan suami. Suami apatah lagi, jika di luar rumah pun sudah semakin pendiam di dalam rumah lebih-lebih lagi. "Mati kutu" memanjang.
Pernahkah kita kehilangan kata-kata apabila bertemu dengan isteri atau suami? Bukan hendak menyebut kata-kata sayang, cinta dan kasih lagi, malah sekadar untuk bertanya khabar pun sudah terlalu berat. Lidah jadi bungkam. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang hendak diperkatakan lagi. Lalu rumah tangga menjadi sepi. Masing-masing leka dengan hal sendiri. Seolah-olah sudah tidak ada apa lagi yang boleh dikongsi.
Kekadang perasaan itu datang kerana kerap kali apabila suami bersuara hendak meluahkan masalah, isteri membalasnya dengan selamba. Ah, masalah aku lebih besar. Atau terdetik di hati, balik-balik yang itu juga. Bosan. Begitu juga bagi pihak suami, sudah lali mendengar "siaran ulangan" yang kerap diperdengarkan isteri. Masalah anak, masalah kesihatan, masalah wang... tidak ada cerita baru!
Ada kalanya duduknya rapat-rapat, tetapi sudah tidak bertemu lagi. Masing-masing menonton TV, dari awal rancangan hinggalah tamat siaran, tetapi tidak ada yang dibualkan. Tidak ada yang dapat dikongsikan. Boleh jadi dalam kereta, sisuami sibuk memandu, di sebelahnya isteri membisu. Muram tanpa reaksi atau respons. Mujur masih ada anak-anak yang menjadi "mediator" secara tidak rasmi, terhubung jugalah kata-kata atas apa yang ditimbulkannya. Bila anak tiada, keadaan pun menjadi sepi semula.
Oh, maaf... saya tidak bercakap tentang "orang baru" yang masih berbulan madu, ketika itu segala-galanya indah sahaja. Perkara yang kecilpun boleh menjadi topik perbualan yang berjela-jela. Sejak senja melabuh tirainya hingga terkuak mentari pagi, cerita tidak habis-habis lagi. Ini cerita orang lama. Apakah kehilangan kata-kata menunjukkan kehilangan cinta? Mana yang lebih tepat, cinta yang melahirkan kata-kata atau kata-kata yang melahirkan cinta?
Bagi saya, kedua-duanya betul dan patut dipraktikkan. Benar, sewaktu mula bercinta dahulu, cintalah yang melahirkan kata-kata, tetapi apabila cinta telah lama bermula dan ingin diperbaharui semula, kata-katalah yang perlu diluahkan untuk mengharumkan cinta. Ingat kita bercinta bukan hanya sekali tetapi kita perlu bercinta berkali-kali.
Apa maksudnya? Maksudnya, kita perlu bercinta berkali-kali dengan orang yang sama (isteri kita). Cinta itu perlu diperbaharui. Perbaharuilah cinta dengan luahan kata-kata yang baik. Jangan membisu, jangan menjadi tuli. Sentiasa jadi lidah yang menuturkan kata-kata yang baik dan telinga yang sentiasa terbuka mendengarnya.
Kata bijak pandai, the first duty of love is to hear – tugas cinta yang pertama ialah untuk mendengar. Itu betul, tetapi jika tidak ada apa yang hendak diperkatakan apa pula yang hendak kita dengarkan? Jadi untuk menjadi pendengar, mesti ada "penuturnya". Kata-kata yang baik umpama sedekah, kita mesti ringan mulut untuk memulakannya. Ada kalanya berdiam diri tidak terpuji, apatah lagi jika sudah ke tahap menimbulkan sangsi.
Ada orang yang petah dan becok bercakap dengan orang lain di tempat kerja, tetapi bertukar jadi pendiam di dalam keluarga sendiri. Sikap peramahnya boleh bertukar jadi pemarah bila di rumah. Marah yang tertahan itulah kekadang menimbulkan diam yang panjang. Lama-kelamaan, jika tidak diuruskan baik, marah terpendam akan menjadi dendam. Dendam itulah yang akan mewujudkan diam yang panjang!

Di dalam ilmu pengurusan komunikasi ada hukum yang dinamakan "hukum 24 jam". Hukum ini menyatakan jangan dibiarkan krisis yang berlaku antara rakan sekerja melepasi temph 24 jam. Mesti ada di antara mereka (seelok-eloknya kedua-duanya) bertindak memecahkan kebuntuan itu dengan mengambil inisiatif menegur, memandang atau memberikan sebarang reaksi atau petunjuk ingin berbaik-baik semula.
Jangan malu alah untuk memulakan. Justeru, jika tempoh 24 jam sudah berlalu, dan tidak ada sebarang inisiatif dilakukan, maka peluang untuk berbaik-baik semula akan menjadi lebih sukar. Maka begitulah dalam sebuah rumah tangga, teguran dan percakapan yang pertama untuk mengujudkan kemesraan semula setelah lama membisu adalah sangat mahal harganya. Percayalah inilah termasuk dalam tuntutan menghubung silaturahim yang sangat besar pahalanya di sisi Islam. Dalam Islam, siapa yang memulakan langkah untuk memberi satu kebaikan sesungguhnya mendapat ganjaran yang lebih besar daripada pihak yang menerimanya. Sebab itu, orang yang datang berziarah lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang diziarahi.
Maka begitulah dalam rumah tangga. Untuk bercinta lagi, luahkanlah kata-kata yang baik untuk mencairkan prasangka, meleburkan curiga dan memadamkan dendam. Cari-carilah topik yang menarik untuk diperbualkan. Antara kaedahnya ialah:
• Berdoa untuk Allah ilhamkan kata-kata yang baik dan menarik semasa memulakan perbualan.
• Menerima dan berkongsi hobi dengan pasangan.
• Ulas apa yang anda dengar, lihat atau baca dengan pasangan serta kaitkan dengan situasi terkini dalam rumah tangga.
• Sekali-sekala masak bersama resipi kesukaannya.
• Jangan prasangka dan curiga dengan selalu memaafkan selagi pasangan tidak melanggar syariat.
• Amalkan peraturan 24 jam. Jangan biarkan "gencatan suara" melebihi masa 24 jam. Mujahadahlah untuk meminta maaf secara resmi atau tidak resmi.
• Tempoh-tempoh yang dirasakan sukar dalam perhubungan hendaklah diisi dengan amalan habluminallah seperti solat, munajat dan taubat. Jangan selesaikan masalah dengan satu masalah lain.
Pernah satu ketika seorang Sahabat memberitahu Rasulullah s.a.w. akan rasa sayangnya kepada seorang sahabatnya yang lain. Rasulullah pun bertanya semula, apakah dia telah memberitahu sahabatnya itu tentang rasa kasihnya. Sahabat itu menjawab bahawa dia belum berbuat demikian. Lantas, Rasulullah pun berkata, "Pergilah kamu kepadanya dan nyatakanlah bahawa kamu mengasihinya."
Jika anda menyayangi seseorang, nyatakanlah. Dalam rumah tangga, seorang suami harus menyatakan kasih sayang kepada isterinya. Begitulah sebaliknya. Tetapi saya kurang setuju jika perkataan "sayang" itu diluahkan berulang-ulang. Pernah saya terdengar seorang suami memarahi isterinya dengan perkataan sayang. "Yang, dah berapa kali saya bagi tahu jangan buat macam ni. Kenapa awak degil lagi?" Begitulah herdik sisuami sambil menjegilkan mata dan meninggikan suara. Bagaimana? Apakah panggilan sayang sebegitu masih romantik lagi?
Kasih sayang ini boleh dinyatakan dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian keadaan dan masa. Pertama, secara tindakan, kedua secara lisan. Sayang yang dilahirkan dalam bentuk tindakan itu lebih besar impaknya berbanding secara lisan. Jangan menanam tebu di mulut tetapi menyembunyikan racun di hati. Buktikan sayang, dengan perbuatan kerana cinta itu perbuatan (love is a verb) bukan perkataan. Namun, alangkah indahnya jika perbuatan yang baik diiringi juga dengan perkataan yang baik.
Sayangnya, ramai suami atau isteri telah melakukan kesilapan. Kesilapan mereka bukannya tidak menyayangi pasangan, tetapi tidak ataupun semakin kurang meluahkan rasa sayang itu dalam bentuk perbuatan ataupun kata-kata. Kita tersilap kalau beranggapan sekali bercinta, tetap cinta selamanya. Yang sebenarnya, cinta yang kekal abadi ialah cinta yang dibuat berkali-kali. Berkali-kali bercinta, baru cinta itu abadi. Bukankah bijak pandai mengingatkan bahawa satu kebaikan (termasuk cinta) perlu dimulakan berkali-kali.
Benar, setelah usia perkahwinan meningkat, kalimat-kalimat cinta seperti "I love you" atau "Saya sayangkan awak" sudah semakin kurang kedengaran. Ramai beranggapan, mereka sudah terlalu tua untuk mengucapkan kalimat-kalimat yang lazimnya diucapkan sewaktu mula-mula berkahwin dahulu. Tetapi apakah kita sudah terlalu tua untuk menyatakan cinta dalam bentuk tindakan dan percakapan?

Sebenarnya, banyak perkataan yang boleh masih boleh dipilih untuk menggantikan kalimat-kalimat romantik yang susah dirasakan malu dan segan untuk diucapkan sewaktu usia tua. Mungkin perkataan itu biasa-biasa sahaja tetapi intonasi dan bahasa badan yang mengiringinya mampu mencipta kesan yang luar biasa.
Kata-kata baik wajar diiringi oleh belaian fizikal. Katakanlah isteri kita membuat sesuatu perkara yang baik, maka kita pun membelai rambutnya atau menepuk bahunya sebagai tanda sokongan dan penghargaan. Ini adalah salah satu bentuk sentuhan fizikal yang sering diabaikan terutamanya oleh pasangan suami isteri yang berusia 40 tahun ke atas. Sedangkan, semakin bertambah usia perkahwinan, sewajarnya semakin banyak belaian fizikal yang tidak dibauri oleh keinginan seks.
Selain daripada itu, kasih sayang juga mesti dibuktikan dalam bentuk tindakan pembelaan. Katakanlah isteri menghadapi krisis dengan keluarganya atau kawan-kawan di tempat kerja, maka kita sebagai suami perlu membelanya. Membela di sini bukan bermaksud membenarkan sahaja sikap isteri walaupun kita tahu dia bersalah. Tetapi membela dalam ertikata bersimpati dan empati terhadap krisis yang mereka alami.
Juga dengan memberi jalan penyelesaian ataupun panduan-panduan untuk mereka bertindak dalam menyelesaikan sebarang persengketaan peribadi tersebut. Jangan sekali-kali kita menempelak, menyindir atau membiarkan mereka keseorangan. Buktikan, kita sentiasa di sisi isteri ketika dia menghadapi "serangan" orang lain. Walaupun ada kalanya (menerusi penilaian kita) dia yang bersalah... jangan dipersalahkan, cuma perbetulkan sahaja!

Thursday, April 26, 2012

Belajar Daripada Musibah

                                                      kucing

Selaku umat Islam yang wajib meyakini kasih sayang Allah sentiasa melindungi kehidupan kita. Kalimah "Bismillahir Rahman nir Rahim" – dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang – sentiasa menjadi sebutan kita. Namun ketika musibah seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan dan kekalahan melanda diri, mungkin hati kecil kita tertanya-tanya, mengapa? Mengapa Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang itu mentakdirkan begitu? Sudah sirnakah kasih-sayangNya?
Jangan. Jangan begitu. Dalam apa jua keadaan pun kita wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Istilah buruk, hanya ada dalam rumus pemikiran manusia. Manakala di sisi Allah, segalanya punya maksud baik walaupun kekadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatannya sangat pahit, tetapi ia manis dan indah. Hanya apabila hikmahnya dapat dicungkil, insya-Allah.
Mengetahui dan merasai hikmah sesuatu musibah akan dapat meringankan beban perasaan dan menjawab banyak tanda tanya dalam jiwa terhadap perkara-perkara yang tidak selari dengan kehendak kita. Ia adalah syarat bahagia dan ketenangan jiwa. Apa pun, hanya mereka yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja yang dapat menjangkau hikmah yang tersirat di sebalik cubaan dan bala yang menimpa.
Justeru seorang ahli hikmah, Ibn Ataillah Askandari pernah berkata, "Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang." Tegasnya, apa jua takdir Allah pasti bermaksud baik walaupun kelihatannya pahit. Beliau berkata lagi, "Bila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal, agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek."

Untuk mencari hikmah sesuatu musibah kita mesti meyakini terlebih dahulu bahawa musibah adalah sebahagian ujian yang pasti menimpa manusia. Ujian adalah satu sunnatullah (peraturan Allah) yang tidak ada siapa pun dapat menghindarkannya kerana hidup ini hakikatnya adalah satu ujian. Bila sanggup hidup, mesti sanggup diuji. 
Firman Allah s.w.t.:"Dijadikan mati dan hidup kepada kamu untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya."(Surah al-Mulk: 3)
Apa itu musibah? Secara ringkasnya musibah ditakrifkan sebagai segala sesuatu yang tidak disukai oleh manusia berupa kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan dan lain-lain. Jadi, Allah pasti menguji kita dengan sesuatu yang tidak kita sukai (musibah). Kita tidak sukakan kematian, tetapi siapa yang boleh mengelak daripada mati? Kita benci kesakitan, tetapi itulah adalah lumrah hidup. Lalu hati kita bertanya lagi, mengapa Allah datangkan semua itu? Apa perlunya musibah?
Musibah ditakdirkan adalah untuk menyerlahkan nilai diri kita di sisi Allah. Terutamanya Allah hendak menilai (walaupun hakikatnya Allah maha Mengetahui) sejauh mana hati kita. Sesungguhnya, Allah menilai hati kita dan amalan kita.
Sabda rasulullah SAW:"Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu."
Dengan ujian sakit, barulah diketahui tahap kesabaran dalam hati kita. Bila diuji dengan peperangan, baru terserlah tahap keberanian kita. Khususnya bagi orang yang beriman, ujian didatangkan untuk menilai dan mengukur semula sejauh mana keimanan kita kepada Allah. Oleh itu iman dan ujian saling berkaitan. Lebih tinggi tahap keimanan seseorang semakin berat ujian yang diterimanya.
Apa¬bila diuji barulah diketahui apakah hati itu telah yakin (beriman) ataupun masih ragu-ragu.
Firman Allah s.w.t.: "Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?"(Surah al-Ankabut: 2)
Namun begitu, perlu diketahui bahawa Allah menguji orang Islam atas sebab-sebab yang berbeza yakni mengikut tahap hubungan mereka dengan ALLAH. Berdasarkan sebab-sebab itulah letaknya kemuliaan atau kehinaan seseorang manusia. Ujian yang berlaku kepada manusia sama ada memuliakannya atau menghinakannya.
Musibah menimpa semua manusia – tidak kira sama ada yang baik atau yang jahat. Cuma bagaimana keadaan seseorang semasa dia ditimpa musibah dan bagaimana dia menghadapi musibah itu menentukan darjatnya di sisi Allah. Benarlah seperti yang selalu diungkap"... it's not what happens to you, but it's what you do about it." Bukan kerana apa yang berlaku kepada kita yang penting, tetapi apa yang kita lakukan terhadapnya. Jadi amat berbeza sekali apa yang dilakukan oleh orang yang akrab dengan Allah berbanding dengan orang yang jauh daripada Allah walaupun musibah yang menimpa mereka sama. Ya, kita tidak boleh mengelakkan diri daripada musibah tetapi kita mampu mengubah musibah itu menjadi satu kebaikan sekiranya kita dapat merasai hikmahnya dan bertindak selaras dengan hikmah tersebut.
Sekurang-kurangnya ada tiga jenis musibah (walaupun pada hakikatnya musibah itu sama sahaja) tetapi yang berbeza adalah disebabkan keadaan diri orang yang menerimanya dan bagaimana mereka bertindak ketika menghadapi musibah tersebut.
1. Kifarah.
Yakni musibah ke atas orang yang baik tetapi ketika itu terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian dan tidak mampu melawan hawa nafsu. Maka musibah itu diturunkan sebagai "tebusan" untuk meng¬hapus¬kan dosa dan ketelanjuran itu. Ertinya, Allah membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya daripada dibalas di akhirat. Ini lebih baik kerana azab di dunia lebih ringan berbanding azab di akhirat.Ringkasnya, kifarah adalah ujian untuk "orang baik yang terbuat jahat". Dengan ujian itu, "orang baik" tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan ketelanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat kepada Allah.
Firman Allah s.w.t.:
"Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar." (Surah al-Zukhruf, 43: 48)
Firman Allah swt:
"Dan kami bagi mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan. Di antara mereka ada yang soleh dan di antara mereka ada yang tidak demikian. Dan Kami cuba mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran." Al A'raf 168
2. Bala.
Yakni ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Allah datangkan musibah itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan dan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu diazab di neraka. Orang yang begini akan diseksa dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat.
Ringkas¬nya, bala ialah bentuk ujian ke atas "orang jahat yang buat jahat". Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir, Fir'aun yang ditenggelamkan di Laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah antara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum merasai pula seksa di akhirat.
Firman Allah s.w.t.:"Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan meng¬azab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat."(Surah al-Tawbah, 9: 74)
Firman Allah lagi:"maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu krikil dan ada antara mereka yang ditimpa suara keras yang mengguntur, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan, dan Allah sekali-kali tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri." Al Ankabut: 40
3. Ibtila'
Yakni musibah ke atas orang baik ketika melakukan ke¬baikan. Ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila' hamba itu akan mendapat pahala berganda dan ditinggikan darjatnya di sisi Allah. Dengan musibah, orang yang soleh ini akan mendapat pahala syahid, pahala sabar, pahala redha, pahala qanaah, pahala pemaaf, sangka baik dan sebagainya.
Justeru jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Allah? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi (Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Ibrahim, Nabi Isa) – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung musibah.
Ringkasnya, ibtila' ialah ujian ke atas "orang baik yang buat baik". Golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solehin ialah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila' ini khususnya ketika mereka berjuang menegakkan kebenaran. Untuk mengambil ibrah dan hikmah daripada sikap mereka ini Allah s.w.t. telah mengingatkan kita menerusi firman-Nya:
"Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?"(Surah al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebalik ujian itu. Bila menerima musibah tidak sekalipun mereka tidak mengeluh atau mengadih, "kenapa aku yang kena?" sebaliknya mereka akan berkata, "aku telah terpilih."Maksudnya, terpilih untuk ditinggikan darjat di sisi Allah dan terpilih untuk mendapat pahala yang besar berganda.
Untuk orang yang sabar Allah menjanjikan bahawa orang yang sabar itu diganjari dengan pahala tanpa hisab.Bagi mereka yang syahid pula, Rasulullah saw telah bersabda:"Akan diampuni bagi orang yang mati syahid setiap dosanya kecuali hutang." (HR Muslim).
Atas dasar itulah sebahagian ulama salaf berkata:"Andaikan tidak ada musibah di dunia, tentu kita datang pada hari kiamat tanpa membawa pahala."Bagaimana pula nasib orang yang derhaka ketika mereka ditimpa musibah? Apakah Allah tidak sayangkan mereka? Jangan tersilap, malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan Allah adalah untuk kebaikan.
Jika orang baik mendapat peningkatan darjat bila menerima musibah, maka orang yang berdosa pula mendapat satu pengampunan dengan musibah (kafarah) yang diterimanya. Rasulullah saw bersabada:"Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah tertusuk duri atau lebih dari itu, kecuali dengannya Allah akan menghapuskan sebagaian dosanya." (HR Bukhari dan Muslim.)
Tanpa menuding jari kepada sesiapa maka kita harus bermuhasabah terhadap diri sendiri, ketika ditimpa musibah kita di golongan yang mana? Golongan yang diuji secara ibtila', kafarah atau bala? Paling tidak tidaknya, biarlah kita diuji secara kafarah, yang dengannya kita akan menyegerakan taubat kepada Allah. Tagihlah janji Allah ini:"Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, maka Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan-kesalahanmu." Syura: 30
Itulah antara hikmah terbesar di sebaliknya datangnya musibah. Yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh hamba Allah yang taat, tetapi juga hamba yang menderhakai-Nya. Maka daripada dimensi pemikiran inilah kita harus melihat apa di sebalik musibah demi musibah yang menimpa umat Islam kini.
Umat Islam telah dibunuh, dijajah, dirogol, ditimpa pelbagai bencana alam seperti tsunami, banjir besar dan lain-lain. Musibah ini dideritai oleh semua umat, tidak kira yang derhaka atau yang taat menepati apa yang telah ditegaskan Allah menerusi firman-Nya:
"Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketauilah Allah amat keras seksaan-Nya." Al Anfal 25
Semua musibah itu hakikatnya untuk mengingatkan umat Islam agar kembali kepada Allah – beriman dan menegakkan hukum-hakam-Nya dalam seluruh aspek kehidupan. Firman Allah:
"Dan sesungguhnya kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat yang sebelum kamu, kemudian Kami seksa mereka dengan menimpakan kesengsaraan dan kemelaratan supaya mereka memohon kepada Allah dengan tunduk merendah diri." Al An'am 42.
Malangnya, sebahagian besar umat Islam masih berdegil. Justeru, tidak mustahil Allah akan terus "membersihkan" bumi Afghanistan, Iraq, Khasmir dan Palestin daripada terus dihuni oleh insan-insan derhaka melalui musibah sama ada yang berbentuk iblita', kafarah atau bala. Kematian, kehancuran dan penjajahan akan terus berlaku. Insya-Allah setelah dunia Islam "dibedah" dan orang-orang jahat yang umpama "barah" yang menanah itu dikeluarkan, maka barulah muncul generasi yang lebih bersih, kuat dan beriman.
Dan hanya pada ketika itu dua golongan umat Islam – pertama mereka yang diuji secara ibtila' dan kedua, mereka yang kembali bertaubat bila diuji secara kafarah, akan mendapat bantuan Allah untuk menggerakkan satu kebangkitan baru Islam yang lebih kuat dan bertenaga.
Akhirnya, perlulah diketahui bahawa rahsia kejayaan para rasul dalam misi perjuangan mereka ialah kerana mereka sentiasa mendapat bantuan daripada Allah. Untuk itu mereka berusaha melalui dua dimensi. Pertama, dimensi lahiriah yakni dengan memerah tenaga, fikiran dan menyediakan kekuatan material dan fizikal. Kedua, dimensi rohaniah yakni dengan melakukan amalan taat dan meninggalkan maksiat. Hasilnya, mereka dapat mengalahkan musuh yang lebih ramai, kuat, dan kaya daripada mereka.
Firman Allah s.w.t.:
"Berapa banyakgolongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang ramai dengan izin Allah."
Musibah yang berlaku ke atas umat Islam di serata dunia sesungguhnya membawa hikmah yang besar apabila dilihat dengan mata hati. Pada zahirnya, negatif tetapi secara tersirat ia membawa seribu satu hikmah dan pengajaran. Dalam apa jua keadaan, susah mahupun senang, orang yang beriman akan mendapat kebaikan.
Rasulullah s.a.w. bersabda:"Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!"
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:"Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan." – Al Hadis.
Ya, yang penting dalam musibah yang menimpa umat Islam kini ialah bagaimana kita bangun kembali setelah diuji. Kata bijak pandai: "It is not how low you fall but how high you bounce back!" Tegasnya, musibah-musibah yang datang bertubi-tubi ke atas umat Islam kini ialah untuk menyerlahkan siapakah di antara kita umat Islam sebenar dan siapa pula umat Islam yang menyamar?
Hanya umat Islam yang benar-benar berpegang dan mengamalkan kebenaran sahaja akan diberi kemenangan dalam menghadapi musuh-musuhnya. Musibah adalah kaedah Allah untuk menyerlahkan siapa yang benar itu. Mereka yang memohon keampunan lalu diberikan keampunan dan dibebaskan daripada kesempitan.
Sabda Rasulullah saw: "Barangsiapa yang memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan membebaskannya dari kesedihan, dan memberi jalan keluar bagi kesempitannya dan akan memberi brezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya." HR Abu Daud.

Monday, April 23, 2012

Jangan Engkau Kahwini Wanita Ananah, Mananah, Hananah, Hadaqah, Basaqah dan Syadaqah

                                                       couple

Pesanan Rasulullah saw untuk kaum Lelaki : "Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah, dan yang hananah dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang basaqah dan yang syadaqah".
1. Wanita Ananah : wanita yang banyak mengomen itu dan ini. Apa yang diberi atau dilakukan suami untuk rumahnya tangga semua tidak kena dan tidak berpuas hati.
2. Wanita Mananah : wanita sebegini yang menidakkan usaha dan jasa suami sebaliknya mendabik dada dialah yang banyak berkorban untuk membangun rumah tangga. Dia suka mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk kebaikan rumah tangga. Biasanya wanita ini bekerja atau berkedudukan tinggi dan bergaji besar.
3. Wanita Hananah : Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain dan wanita ini berangan-angan mendapatkan suami yang lebih baik dari suami yang sedia ada. Dalam kata lain wanita sebegini tidak bersyukur dengan jodohnya itu. Wanita sebegini yang mengkufuri nikmat perkahwinan. Dia juga merendahkan kebolehan dan kemampuan suaminya.
4. Wanita Hadaqah : melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya utk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya selain itu wanita ini suka ikut nafsunya. Wanita sebigini memeningkan kepala lelaki. Dia tenguk apa saja dia mahu. Dia suka membandingkan dirinya dengan diri orang lain. Suka menunjuk-nujuk. Wanita inilah yang menjadikan suami dulu handsome sekarang sudah botak.

5. Wanita Basaqah :
ada 2 makna:
Pertama wanita sebegini yang suka bersolek dan menghiaskan diri. Dia menghias diri bukan untuk suaminya tetapi untuk ditunjuk-tujukkan kepada dunia. Suka melawa. Wangnya dihabiskan untuk membeli make-up, kasut dan barang kemas. Wanita begini juga suka dipuji-puji. Kalau dia kebetulan menjadi isteri orang ternama dan menjadi pula ketua dalam kumpulan itu, orang lain tidak boleh mengatasi dirinya.
Kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.
6. Wanita Syadaqah : banyak cakap, tidak menentu lagi bising. Kebecokan itu juga menyebabkan segala kerja yang dibuatnya tidak menjadi, hanya tukang sibuk dan komen saja.

Bubur Keledek

                                                        bubur

Bahan A
200 gram keledek oren
200 gram keledek kuning
1 cawan isi jagung
1 ½ cawan gula pasir
2 cawan air
1 tin susu cair
3 helai daun pandan [koyak dan simpulkan]
Garam secukupnya
Cara Membuat
1. Keledek dikupas dan potong dadu kasar. Basuh dan tuskan.
2. Masukkan keledek, jagung, dan air dalam periuk. Masakkan sehingga keledek lembut.
3. Masukkan gula, garam, daun pandan dan biarkan mendidih dengan api perlahan.
4. Masukkan susu cair dan kacau rata. Masakkan lagi sambail mengacau sehingga naik wap.
5. Tutup api dan masukkan dalam mangkuk.
6. Hidangkan.

Cintakan Keadilan Itu Fitrah

                                                       alt

Islam adalah agama Allah yang ajaranNYA berasas fitrah yang DIA ciptakan manusia. Maka Islam adalah agama fitrah (natural religion), sesuatu yang bercanggah dengan fitrah manusiawi ia ditolak oleh agama ini.
Islam yang sebenar selaras dengan sifat penciptaan manusia yang telah Allah jadikan. Maka, Islam menolak homoseksual, lesbian dan segala yang menyanggahi fitrah asal insan itu. Demikian Islam menolak kezaliman, penindasan, ketidakadilan, kebodohan dan seterusnya kerana ia bercanggah dengan fitrah manusia. Mereka yang menolak homoseksual ataupun lesbian tetapi membiarkan atau akur dengan ketidakadilan tidak memenuhi element fitrah yang Allah ciptakan. Demikian juga mereka yang menentang ketidakadilan tetapi menerima amalan songsang, ia bercanggah dengan roh Islam ini.
Firman Allah:
"maka hadapkanlah wajahmu ke arah agama yang hanif (yang menyembah Allah Yang Esa) itu agama Allah yang fitrah (natural religion) yang DIA ciptakan manusia di atasnya. Tiada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui" (Surah ar-Rum, 30).
Allah telah ciptakan manusia atas fitrah (natural instinct) yang menjadikan naluri manusia yang benar mempunyai persamaan sekalipun berbeza keturunan, tempat, zaman dan agama. Kezaliman umpamanya, ditolak dan dibenci oleh fitrah manusia tanpa mengira keturunan, tempat, waktu dan agama. Justeru itu, dalam semua cerita, drama dan filem yang diterbit oleh sesiapa sahaja di dunia ini samada oleh Hollywood, ataupun Bollywood mestilah mengakhirinya dengan kemenangan ataupun sokongan moral berada di pihak yang baik dan kekalahan di pihak yang jahat.

Jika ia love story seperti Titanic yang heronya mati pun, perasaan dan support moral filem tetap berada di pihak yang ditindas. Jika ada filem yang menyimpulkan watak jahat menang dan dimuliakan, sementara watak baik tewas dan dihina oleh kesimpulan filem, tentu ia tidak mendapat sambutan. Ia terkeluar dari naluri yang dibekalkan dalam jiwa insan. Padahal para penonton itu mempunyai latar keturunan, tempat dan agama yang pelbagai. Namun mereka berkongsi satu perkara yang sama dalam hal itu, iaitu fitrah insan menolak ketidakadilan dan kezaliman.
ANTI-ZALIM
Apa-apa ajaran yang mengiyakan kezaliman dan penindasan, ataupun ketidakadilan, ia terkeluar dari fitrah, dan sudah pasti ia bukan ajaran Tuhan yang menciptakan manusia atas fitrah. Apa sahaja fatwa agama, ataupun tindakan keagamaan yang menyanggahi fitrah, ia tersasar dari kebenaran. Perasaan insan yang betul fitrahnya sensitive dengan kezaliman dan ketidakadilan. Inilah yang Nabi s.a.w didik para sahabah baginda.
Kata sahabah Nabi s.a.w yang bernama Jabir:
Apabila pulang dari penghijrahan ke Habshah (Abyssinia), kami kembali kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda berkata: "Tidak mahukah kamu semua ceritakan kepadaku perkara paling menakjubkan yang kamu lihat di Habshah?
Seorang pemuda berkata: "Wahai Rasulullah! Ketika kami duduk, seorang wanita mereka melintas, dia membawa atas kepalanya suatu bekas air. Dia melintas di hadapan seorang pemuda mereka, lantas pemuda itu meletakkan satu tangannya atas bahu wanita tua itu dan menolaknya sehingga jatuh melutut. Terpecahlah bekas airnya.
Apabila dia bangun, dia menoleh ke arah pemuda tersebut lalu berkata: Wahai pengkhianat! Apabila Allah meletakkan kerusiNYA, DIA menghimpunkan makhluk yang awal dan akhir, apabila tangan dan kaki boleh berbicara mengenai perbuatan yang telah mereka lakukan, kelak nanti kau akan tahu keadaanku dan keadaan kau".
Rasulullah s.a.w bersabda: "Wanita itu benar! Sesungguhnya wanita itu benar! bagaimanakah Allah akan memuliakan satu kaum yang tidak mengambil tindakan atas penindasan golongan yang kuat terhadap yang lemah?!" (Riwayat Abu Ya'la, Ibn Hibban dalam sahihnya dan Ibn Majah, hadis hasan).
Lihat pemuda ini, dalam banyak pemandangan yang dia saksikan sepanjang perjalanan yang jauh, isu kezaliman juga yang menarik perhatiannya. Ulasan Nabi s.a.w menegaskan betapa satu kaum tidak akan mulia jika membiarkan golongan yang kuat menindas yang lemah. Apakah akan mulia suatu negara jika kekayaannya dibolot oleh satu pihak secara yang tidak adil, sementara yang lemah merintih di sana sini mencari kehidupan. Apakah akan mulia jika ada penguasa yang mempunyai ratusan juta tanpa jalan yang sah, sedangkan rakyat marhaen bawahan bertarung dengan kehidupan yang payah?
Berpakat Lawan KezalimanSebelum Nabi s.a.w muncul sebagai rasulullah, suatu perjanjian menentang kezaliman yang dikenali dengan Half Fudul ataupun 'Sumpah Setia Fudul' pernah dibuat di Mekah.
Ia dibuat di rumah Abdullah bin Jad'an. Isi kandungannya untuk membela dan mengembalikan hak sesiapa yang dizalimi dalam kalangan penduduk Mekah, ataupun sesiapa yang memasuki Mekah. Ini kerana ada kalangan bangsawan Mekah yang sering menindas pihak yang lemah. Beberapa kabilah Quraish seperti Bani Hashim, Bani 'Abd al-Muttalib dan lain-lain turut terlibat dengan Sumpah Fudul itu. Al-Tahawi (meninggal 321H) meriwayatkan hal ini dalam Mushkil al-Athar, juga al-Baihaqi (meninggal 458H) dalam as-Sunan al-Kubra di mana Nabi s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya aku telah menyaksikan satu sumpah setia di rumah Abdullah bin Jad'an yang membabitkan Bani Hashim, Zahrah, Taiyyim dan aku juga dalam kalangan mereka. Aku sukakan perjanjian itu melebihi unta merah. Jika aku diajak kepadanya semasa Islam pun, aku akan sertai. Aku tidak suka untuk tertinggal dari menyertainya sekalipun diberikan kepadaku unta merah".
Unta merah adalah lambang kemewahan kenderaan arab ketika itu. Nabi s.a.w menegaskan bahawa jika perjanjian seperti itu dibuat lagi, sekalipun setelah baginda menjadi rasul, baginda tetap akan menyertainya. Lihatlah, Islam mengiktiraf perjanjian yang dibuat oleh pihak lain, sekalipun di zaman sebelum Islam kerana isi kandungan menepati maksud ajaran Islam yang menentang kezaliman dan penindasan. Malanglah, jika ada orang muslim yang tidak merasa terpanggil dalam isu-isu tempatan dan antarabangsa yang membabitkan soal sokongan kita ke atas pihak yang ditindas.