Friday, December 2, 2011

Wasilah Dakwah Kontemporari

                                                      alt

Selain tutur bicara, mata pena juga sangat berkuasa dan bertindak menjadi medan seseorang untuk mengeksperasikan segala mesej yang ingin diketengahkan.
"Allahlah yang mengatur perjalanan hidup ini. Sungguh aku ingin membantumu Rul. Tapi agaknya takdir tidak menghendaki aku bisa membantumu kali ini. Sayang kau datang tidak tepat pada waktunya. Anna Althafunnisa sudah dilamar orang. Ia sudah dilamar oleh temanmu sendiri."
"Sudah dilamar temanku sendiri? Siapa?"
"Furqan! Ia sudah dilamar Furqan satu bulan yang lalu."
Mendengar hal itu tulang-tulang Azzam bagai dilolosi satu per satu. Lidah dan bibirnya terasa kelu. Furqan lagi. Ia berusaha keras mengendalikan hati dan perasaannya untuk bersabar.
"Ah semua sudah ada yang mengatur. Iaitu Allah Subhanahu wa Ta'ala. Jika saatnya ketemu nanti akan ketemu juga." Gumamnya dalam hati.
Membelek karya tulisan Habibburahman El Shirazy, seorang novelis tersohor yang mengadunkan nilai-nilai Islamik dalam novelnya, Ketika Cinta Bertasbih, beliau membawa satu pendekatan baru yang mampu menarik golongan muda ke arah pembudayaan pembacaan. Walaupun membawa tema percintaan, namun nilai Islam tidak pula diketepikan bahkan menjadi nadi penting untuk dihuraikan dalam setiap plot penceritaannya.
Rentetan itu, bukanlah suatu yang janggal andai medium penulisan menjadi salah satu gerak kerja dakwah pada masa kini. Selain wasilah berbentuk ceramah, diskusi serta hiburan yang membina, bidang penulisan juga adalah satu inisiatif yang boleh diketengahkan kerana  mampu menghidupkan dakwah secara tidak langsung.
Melihat kepada analogi, realitinya mata pena juga boleh menjadi penggerak untuk menzahirkan kepelbagaian penceritaan sama ada perasaan, harapan dan perbincangan tentang sesuatu permasalahan. Menyelami tulisan Nimoiz TY melalui karyanya, Menjadi Penulis Jutawan, beliau menyatakan bahawa terdapat 10 kuasa tulisan. Antaranya ialah tulisan bertindak sebagai satu agen informasi, menyuntik fahaman dan bertindak melebar serta meluaskan pengaruh. Penulisan terbaik ialah penulisan yang bertindak memberi kesan dan pengaruh kepada pembaca.
Gerak kerja dakwah tidaklah tertumpu kepada medium pengucapan sahaja. Menginjak ke zaman yang serba moden ini, dakwah secara bertulis sangat relevan memandangkan kepelbagaian bentuk pengolahan dan penceritaannya yang cuba disampaikan kepada segenap lapisan pembaca. Justeru, wasilah ini tidak perlu diundurkan sama sekali.
Majalah merupakan salah satu bentuk penulisan yang dilihat mampu menggerakkan dakwah kerana medium ini bertindak meletakkan mesej yang kuat dan berkesan. Momentum dan percambahan majalah-majalah Islamik kini sangat rancak dan diterima baik oleh semua peringkat umur. Kewujudan majalah-majalah berorientasikan Islam seperti majalah Solusi, Gen-Q, Majalah-I, Milenia, Asuh dan pelbagai majalah lain merupakan contoh bahan bacaan yang dapat memberikan input berguna pada setiap kumpulan sasaran pembacanya.
Saranan mewujudkan budaya mencintai ilmu ini bertepatan dengan perintah Allah SWT yang meletakkan budaya 'iqra' sebagai asas kepada pengetahuan manusia.
Firman Allah SWT:
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajarkan (menulis) dengan pena. Yang mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya." Surah Al Alaq(1-5)
Menurut Faizatun Najihah Azaman, mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau melihat hal ini ada pro dan kontranya. "Bila memperkatakan mengenai kelebihan dan kekurangan, sesetengah orang lebih terkesan melalui penulisan. Bagi pembaca pula, sesetengahnya lebih suka membaca dan menghayati daripada menonton ataupun mendengar. Jadi, kita tidak boleh lebihkan salah satu. Ia perlu seimbang kerana masing-masing ada cita rasa, kelemahan dan keistimewaan tersendiri," jelasnya.
Majalah dakwah perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan perlu disesuaikan mengikut sasaran pembaca. Antara aspek yang perlu dititikberatkan adalah merangkumi faktor peringkat umur pembaca, jenis pembacaan yang sesuai, teknik penyampaian atau pengayaan cerita dan beberapa faktor lain yang perlu ditekankan untuk menguatkan mesej yang ingin diketengahkan. Bahan dalam majalah juga perlu relevan dengan peredaran masa. Di samping itu, topik yang diutarakan penulis juga perlu bersesuaian dengan isu-isu semasa masyarakat. Namun, andai tajuk lama ingin diketengahkan semula, penulis perlu bijak menggunakan teknik memujuk dalam gaya penulisan mereka.
Memiliki bakat dalam bidang penulisan merupakan satu anugerah yang tidak ternilai tandingannya.  Justeru, kelebihan yang digunakan untuk tujuan pembaikan ini boleh dijadikan momentum terbaik sebagai langkah membawa mesej-mesej positif kepada  masyarakat.

Allah Ajarkan Tentang 'Dimana Allah'

                                                        alt

Pada malam ini,saya terpanggil untuk menulis setelah membaca nota di Facebook di tulis oleh sahabat baik saya tentang "Di mana Allah".
Ketika solat kita sering gagal mencapai kesedaran berbicara kepada Allah kerana persepsi kita adalah Allah jauh di Arasy. Persepsi ini sukar untuk dibuang kerana ia telah lama tertanam di dalam minda kita sejak kita anak-anak lagi.
Persepsi dan apa yang ada di fikiran kita yang sering membelengu diri kita di dalam mengarahkan kesedaran kita kepada Allah.
Persoalan "Di mana Allah" adalah persoalan pokok yang penting di dalam mengarah kesadaran ketika solat.
Ketika bersembang dengan Pak Ustaz Abu Sangkan di lapangan terbang sebelum keberangkatan pulang Ustaz ke Jakarta, Pak Ustaz mengatakan tentang laut .
''Kalau sesuatu terjatuh di dalam laut, atasnya apa? Laut bukan? Bawahnya apa? Laut juga.Kirinya? juga laut, bagaimana kanannya? Oh,laut juga.Lautnya ada berapa?'' tanya Ustaz .
''Satu!'' Begitulah juga dengan Allah, di mana pun kita mengadap di situlah wajah Allah.
"Allah Maha Besar? Sebesar apa? Besar sangat jawab anak-anak di dalam kursus yang kami anjurkan. Adakah sebesar bumi ini?" tanya saya.
Jawab mereka besar lagi.
"Adakah Allah ada disyurga?" Saya cuba memerangkap mereka. Ada yang menganggukkan kepala. Dan saya katakan,
"Wah,kalau begitu syurga lagi besar dari Allah?".
"Tak",jawab mereka dengan kuat dan tegas.
Mereka dapat mengerti seketika itu bahawa tidak ada yang lebih besar dari Allah dan saya katakan, Ya tidak ada yang lebih besar dari Allah dan Rasulullah saw ajarkan Allah Maha Besar atau Allahu Akbar.
Justeru, kita harus mempunyai kesedaran ini ketika kita mengangkat takbiratul ihram yakni "Allahu Akbar".Allah Maha Besar dan meliputi semuanya termasuk diri kita.Justeru ALLAH SANGAT DEKAT dengan kita! Kesedaran ini penting dalam solat.
Kesedaran Allah Maha Melihat.Ya,pastinya kita semua tahu Allah Maha Melihat. Tapi adakah kita berada di dalam kesedaran Allah Maha Melihat ketika solat?
Ustaz mengingatkan kita bahawa ketika kita solat,pastinya kita tidak dapat melihat Allah tetapi Allah melihat segala gerak geri kita, segala detikan hati kita.Bila hati kita bersambung dengan Allah ketika solat, pastinya seperti orang yang bertemu,ada rasa di hati.
Apabila kita mengadap-Nya dengan penuh kesedaran sedang berhadapan dengan-Nya dan sedang berbicara penuh hormat dengan-Nya,pastinya seperti orang bertemu dan berbicara ada respon dari yang sedang menjadi rakan perbicaraan.
Begitu juga pertemuan dan perbicaraan dengan Allah; Allah merespon.Allah menyambut kita.Ada rasa di hati.Ada getaran di dalam jiwa dan kemudian di aliri rasa ketenangan yang sangat hebat, tidak terbanding apa pun di dunia ini. Saya menamakannya syurga di dunia.

Tiga kesedaran yang saya sebutkan di atas:-
(1) Di mana Allah, Allah Maha Dekat dan Maha Meliputi semuanya.
(2) Allah Maha Melihat.
(3) Menyedari kesedaran kepada Allah ketika solat dan merupakan beberapa kunci penting di dalam mencapai solat yang khusyuk.
Hati dan jiwa perlu sentiasa terarah kepada Allah. Saat hati dan jiwa terpaling dari Allah, sesaat itu juga rasa hubungan dan getaran tadi hilang entah ke mana dan kita terpinga-pinga mencari kembali kesedaran itu semula.
Semoga sedikit sebanyak dapat membantu kita mencapai solat yang khusyuk dan dapat merasakan kesedaran di mana Allah tidak kira di mana kita berada.

Bagaimana Memperbaiki Diri Menjadi Peniaga Yang Lebih Baik

                                                           alt

Bagaimana untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik ? Kita manusia seolah-olah berada dalam sebuah rumah pondok. Kadang-kala walaupun pondok ini sudah usang bagaikan hendak runtuh, kita yang berada di dalamnya mungkin belum menyedarinya.
Masyarakat kita terbina sebagai sebuah masyarakat yang jarang mengkritik rakan kita. Kita lebih selesa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini dan berharap keadaan akan berubah menjadi lebih baik di masa hadapan.
Contohnya, jika badan anda berbau busuk. Anda mungkin tidak menyedarinya kerana bau ini berkembang sedikit demi sedikit dan hidung anda terbiasa dengan bau ini.
Kawan anda yang merasai bau ini mungkin juga akan terus diam tanpa memberitahu anda dengan harapan keadaan akan berubah pada keesokan harinya.
Ini adalah masalah yang perlu kita selesaikan. Kita perlu membudayakan rakan kita untuk mengkritik kita dan kita seharusnya menerima kritikan ini dan cuba berubah tanpa sebarang rasa malu atau marah.
Keadaan kedua yang lebih teruk berlaku kepada seseorang individu apabila seseorang menyatakan bahawa "bau badan awak busuk".
Apabila seseorang menyatakan kenyataan seperti di atas, ini adalah indikasi bahawa bau badan anda itu sudah TERLALU BUSUK.
Jika ianya TIDAK TERLALU BUSUK, mungkin tidak ada orang akan menyatakannya kerana mereka akan cuba menyesuaikan diri dengan keadaan ini.

Pengajaran yang boleh diambil adalah:-
1. Budayakan orang disekeliling anda untuk mengkritik anda. Terima dan nilai dengan hati terbuka. Tidak perlu malu atau marah.
2. Jika orang menyatakan sesuatu kritikan. Ini bermakna keadaan sudah menjadi terlalu teruk. Jika tidak terlalu teruk, orang tidak akan menyatakannya.
3.Terima kritikan secara terbuka, ini untuk kebaikkan anda bukan kebaikkan orang yang mengkritik.
Jika kita lihat, kebanyakkan ahli politik akan mengelilingi diri mereka dengan orang yang suka memuji mereka. Apabila ini terjadi, mereka ini akan hidup dalam dunia utopia tanpa mengetahui keadaan yang sebenar. Biasanya apabila kebenaran sebenar itu muncul, keadaan sudah terlambat untuk diperbaiki. Jangan benarkan orang sekeliling anda memuji dan mengampu anda. Ini BAHAYA !!!

Thursday, December 1, 2011

Sedikit

                                                        alt

Di sini, saya selalu berpesan kepada anak-anak saya dan sebaya dengan mereka  betapa yang membezakan seseorang dengan seseorang yang lain ialah amalannya.
Mereka yang menadah ilmu di Madinah akan pulang menjadi pemimpin masyarakat.
Jika kita berilmu tetapi tidak mengamalkan apa yang kita pelajari maka ia menjadi kemurkaan Allah. Bagaimana kita mahu mengajak isteri dan anak-anak bersolat malam kalau kita sendiri gagal membebaskan diri dari ikatan syaitan semasa tidur.
Apatah lagi untuk mengajak masyarakat.
Bagaimana mahu kita menyuruh anak-anak dan isteri membaca al-Quran setiap hari jika kita sendiri tidak melakukannya. Atau bagaimana mahu memaksa anak yang berusia 10 tahun solat berjemaah di masjid jika kita sendiri tidak konsisten melaksananya.
Begitulah dua – tiga contoh mudah tentang amalan dan kaitannya dengan mereka yang kita sayangi. Begitulah juga pengalaman kehidupan lampau yang telah saya lalui, tidak pernah mengajak anak-anak atau isteri solat malam kerana diri sendiri alpa dengan amalan tersebut.
Namun ada sesuatu yang menarik tentang amalan dan respons masyarakat terhadap amalan itu sendiri. Bila kita mengajak khalayak untuk melakukan amalan-amalan yang dituntut (bukan amalan wajib) maka adalah yang akan menyebut,
"Amalan yang sedikit tetapi berterusan itu lebih disukai Allah".
Benar, ia satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Penonjolannya, janganlah khuatir jika kita tidak mampu melakukan amalan yang banyak kerana yang sedikit itu lebih baik daripada yang banyak tetapi tidak berterusan.
Allahu Akbar. secara psikologinya, perkataan sedikit itulah yang mahu diuar-uarkan. Mari kita melihat pertanyaan-pertanyaan berikut:
1. Amalan yang banyak dengan yang sedikit, mana yang lebih baik?
2. Amalan yang banyak berterusan dengan amalan yang sedikit berterusan, mana yang lebih baik?
3. Amalan yang banyak tidak berterusan dengan amalan yang sedikit berterusan, mana yang lebih baik?
4. Amalan yang banyak berterusan dengan yang sedikit tidak berterusan, mana yang lebih baik?
Saya bertanya diri, agaknya banyak manalah amalan kita sehingga kita mahu menyukat sedikit dan banyak itu. Alahai... dengan kadar yang kita amalkan, ia hanya secalit daripada istilah sedikit. Entah-entah hanya sebesar zarah.
Saya fikir, ia hanyalah merupa perbandingan atau penekanan agar kita melakukan amal ibadat secara berterusan.
Akhirnya, nilai berterusan itulah yang lebih perlu ditonjolkan berdasarkan 4 soalan yang telah saya kemukakan.
Bagaimana pula dengan kegemaran masyarakat menyebut,"kita lakukan amalan ibadat setakat mana yang termampu. Allah tidak memberati kita". MasyaAllah, jika kita tidak mampu bangun malam kerana membesarkan tidur maka saya fikir ia tidak termasuk dalam kategori "termampu".
Fikiran bodoh saya berfikir, jika kita biasa solat berjemaah, tiba-tiba kita ditimpa bencana badan yang menyebabkan kita tidak boleh bangun atau bergerak berjemaah ke masjid maka itulah yang dimaksudkan dengan "termampu".
Allahu Akbar. Allah tetap memberi pahala berjemaah jika itulah keadaannya.

Marilah kita berfikir dan berusaha untuk menjadi manusia yang sentiasa ingin memperbaharui dan bergerak agar menjadi manusia yang lebih baik. Ia bukan hanya dengan niat dan kata-kata tetapi dengan amalan.
Mudah-mudahan Allah memudahkan keinginan tersebut, InsyaAllah.

Luruskan Hatiku Tuhan

                                                           alt

Kira-Kira 15 hari yang lalu, seorang hamba Allah , telah pun kembali ke rahmatullah secara mengejut kerana sakit jantung. Allahyarham adalah merupakan seorang yang amat dihormati dan disegani di kampung beliau.
Semasa jenazah Allahyarham diletakkan di ruang tamu rumahnya sementara menunggu untuk diuruskan oleh saudara-mara dan sahabat handai, isteri Allahyarham tidak berhenti-henti meratapi jenazahnya sambil merungut-rungut.
Kebetulan anak saudara Allahyarham, ada di sebelah balu Allahyarham pada ketika itu. Beliau merasa amat hairan dengan sikap balu arwah itu. Si balu sepatutnya membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk dihadiahkan kepada arwah. Kira-kira 10 minit kemudian, kakak ipar arwah (kakak balunya) pun sampai.
Beliau turut merasa hairan dengan sikap adiknya yang meratapi dan merungut itu, lantas beliau melarang adiknya berbuat demikian sambil bertanya akan sebabnya. Anak saudaranya yang masih berada di situ merasa amat terkejut apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh balu Allahyarham itu.
Antara jawapannya ialah:
Suaminya tidak membuat surat wasiat (yang sebenarnya ada). Tanah pusaka milik suaminya tidak sempat ditukarkan ke nama beliau dan anak-anaknya. Suaminya tidak sempat memindahkan saham syarikat suaminya bersama-sama adik-adiknya kepada beliau (Allahyarham memegang saham sebanyak 50% dan 5 orang adik-adiknya memegang 10% setiap seorang).
Untuk makluman, arwah adalah seorang yang agak berjaya dalam perniagaannya. Syarikat yang diuruskan oleh arwah sangat maju. Di samping itu, arwah memiliki kira-kira 12 ekar tanah di pinggir Putra Jaya dan kira-kira 50 ekar di sekitar kawasan Sepang/Dengkil.
Setelah seminggu arwah dikebumikan, peguam arwah memanggil waris-warisnya untuk dibacakan surat wasiat arwah. Anak saudara pada arwah juga turut dipanggil tanpa mengetahui akan sebabnya.
Allahyarham mempunyai 4 orang anak, yang sulung masih lagi bersekolah di tingkatan 4 manakala yang bongsunya berusia 6 tahun.
Antara kandungan surat wasiat Allahyarham ialah :
1. 30% syer perniagaannya diserahkan kepada anak saudara perempuannya yang juga ahli perniagaan, dan>20% lagi diagihkan sama rata kepada anak-anaknya dengan anak saudara perempuannya sebagai pemegang amanah.
2. Tanah pusakanya seluas 10 ekar di pinggir Putra Jaya dibahagikan sama rata kepada anak-anak perempuannya (2 orang) dan 2 ekar untuk anak saudara lelakinya yang juga pemegang amanah untuk anak-anak perempuannya. Anak-anak lelakinya yang berumur 14 dan 10 tahun, diberikan tanah 15 ekar seorang dengan saudara lelakinya sebagai pemegang amanah.
3. Saham-sahamnya diserahkan kepada anak-anaknya dan dibahagikan mengikut hukum syarak, dan diuruskan oleh saudara perempuannya yang diberi 20%.
4. Wang tunainya di bank persendirian diamanahkan kepada kakaknya untuk menampung pembiayaan anak-anaknya jika isterinya tidak berkahwin lagi. Jika isterinya berkahwin lagi, beliau meminta peguamnya meminta mahkamah memberikan hak penjagaan anak-anaknya kepada kakaknya.
5. Rumah dan tapak rumahnya diwakafkan untuk anak-anak yatim Islam dan sebuah surau, dan hendaklah diserahkan kepada Majlis Agama Islam.
6. Harta-hartanya yang lain iaitu 2 buah kereta diberikan kepada adik lelakinya yang ketiga dan kelima, manakala baki tanah 20 ekar dibahagikan sama rata kepada adik-adik dan kakaknya.
Setelah selesai wasiat tersebut dibaca, isterinya membantah keras kerana tiada satu pun harta yang diserahkan kepadanya melainkan sebuah proton saga yang tidak dimasukkan dalam wasiat tersebut (yang memang digunakan oleh isterinya).
Belum sempat isterinya terus membantah, peguam Allahyarham membacakan satu kenyataan mengenai isterinya yang terkandung dalam wasiat itu.
"Isteriku tidak akan kuberikan apa-apa kecuali pengampunan. Terlalu banyak dosanya kepadaku. Maka pengampunan adalah hadiah yang paling berharga buat nya.Tidak pernah aku merasa masakannya sejak mula berkahwin walaupun pernah aku suarakan.Tiada belas kasihan terhadap aku, baik semasa sakit apatah lagi jika aku sihat.Herdik dan tengking kepada aku dan anak-anak adalah lumrah.Keluar rumah tidak pernah meminta kebenaran daripada aku.Makan dan minum anak-anak adalah tanggungjawab bibik (pembantu rumah).Kain bajuku tidak pernah diuruskan, dan yang paling menyedihkan, tiada mahunya dia mendengar pandangan dan nasihatku untuk kesejahteraan rumahtangga. Kebahagiaan aku selama ini hanya dengan amalanku, tugas seharianku, anak-anakku dan adik-beradikku, terutama kakakku (yang sebagai pengganti ibu)."


Selepas peguam Allahyarham membacakan kenyataan itu, barulah aku faham mengapa balu Allahyarham begitu meratap dan merungut semasa berada di sisi jenazahnya. Marilah kita renungi bersama. Semoga dengan apa yang terjadi di atas, akan memberikan satu pengajaran yang berguna kepada kita sebagai umat Islam.

Mengapa Perasaan Perempuan Selalunya Lemah

                                                         alt

Duhai Hawa, mengapa kita terlalu lemah? Saya selalu terfikir mengapalah perasaan perempuan itu selalu lembut dan tersentuh. Bukan kita tak pernah dengar, sekeras-keras hati perempuan, akan lembut juga. Kerana itu rasanya Allah jadikan ibu seorang perempuan.
Seorang ibu itu dia lembut dalam garang, marah dalam sayang. Dua sifat antagonis ni sangat sebati dalam diri seorang insan bergelar Hawa. Kadangkala sensitifnya terlebih, adakalanya penyayang bukan main lagi.
Peliknya, untuk memahami perasaan naluri diriku sendiri, hatiku kadangkala seperti sebuah sampan di atas ombak yang kuat. Bergulir-gulir tanpa tujuan walaupun sudah dikayuh dengan kuat ke arah yang sudah ditetapkan.
Benar umum sudah mengetahui, cinta kepada Allah itulah paling hakiki. Tetapi untuk mereliasasikan cinta itu tidak semudah seperti sebutan di lidah semata. Banyak halangan yang perlu ditempuhi dan cabaran yang selalu menarik-narik diri ini untuk beralih arah dari mencapai Ilahi.
Benar, hakikatnya untuk mencapai cinta Ilahi ini, tidak cukup hanya dengan mentaati perintah-Nya semata-mata, dengan hanya menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulan Ramadhan dan juga membaca Al-quran.
Tetapi memerlukan pengorbanan yang lebih besar dari itu! Betapa ramai manusia hatta orang-orang soleh sendiri gagal dalam meraih cinta dari Allah saat kematian mereka kerana gagal melaksanakan perintah ini.
Itulah menahan diri dari perkara-perkara yang dimurkai Allah. Sukarnya menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang Allah larang kerana nafsu kita sangat-sangat cenderung kepada perkara tersebut.
Saidina Umar pernah berkata : "Seorang yang memiliki kualiti taqwa adalah seperti seorang yang berjalan di atas jalan berduri dengan berhati-hati. Seperti mana dia sangat berhati-hati untuk memastikan pakaiannya tidak terkena duri tersebut seperti itu jugalah seorang yang bertaqwa itu harus berhati-hati dalam setiap perbuatan yang dilakukannya."
Saidina Ali juga pernah berkata : "Taqwa adalah takutkan Allah, berbuat seperti mana yang disuruh oleh Allah, puas dengan apa yang ada dan bersiap sedia untuk hari pelepasan (kematian)."
Indahnya kata-kata mereka.
 
Kadang-kadang aku rasa marah pada diri sendiri. Kenapalah susah sangat nak menahan hawa nafsu? Terutama dalam perkara-perkara untuk menundukan pandangan. Memang benarlah firman Allah :
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka...." (Surah An-Nur : 30-31)
Kerana pandangan itulah akar kepada banyak maksiat yang berlaku sesama berlainan jantina.
Bagi aku, kadangkala sikap 'double standard' selalu ada apabila berhadapan dengan kawan yang bukan muslim. Namun rasanya tidak boleh sebegitu kerana dari situlah kita dapat berlatih untuk membersihkan hati kita.
Paling penting bukanlah menundukkan pandangan dengan menundukkan pandangan mata semata-mata, namun adalah menundukkan perasaan. Jika hawa dan adam berbual tanpa memandang sesama sendiri, namun jika gagal mengawal perasaan, banyak juga boleh jadi.
Selain itu, mungkin saja kita gagal dari menahan diri dari menonton rancangan televisyen yang mungkin mendedahkan aurat-aurat yang tidak patut kita nikmati.
Bukan itu sahaja, mungkin sahaja kita memandang kawan sekelas kita dengan merasakan sesuatu di dalam hati.
Dalam umur yang memasuki dewasa ini, perasaan adalah satu-satunya harta berharga yang perlu dijaga. Dan alangkahnya susah sebenarnya.
Oleh kerana itu kita lihat ramai orang solat dan menutup aurat namun tidak ramai yang dapat menjaga pergaulan. Sungguh, jalan menuju redha Allah penuh dengan duri dan jalan ke neraka penuh dengan keenakan duniawi.
Kaum Hawa, kuatkan jati dirimu dan lindungilah tamanmu dari dicemari oleh pandangan orang yang bukan menjadi hakmu.
Kaum Adam, peliharalah hatimu dari menjadi milik selain dari Rab-Mu. Semoga kita semua menang dalam menempuhi ujian di dunia ini. Ameen!