Friday, February 3, 2012

Erti Kehidupan

                                                       alt

Sayu bertandang lagi..
Menguji kekuatan hati,
Walau berdiri dalam ramai..
Sepi itu datang,
Wahai hati, cuba bersabarlah,
Dalam santun Allah hadirkan penghibur,
Dalam senyap Allah takdirkan pelita,
Dalam sopan Allah kurniakan darjat istimewa,
Yang tidak diduga oleh hati..
Ya ALLAH, Ya Rahman, Ya Rahim..
Kasihku tetap satu pada jalan yang telah KAU tetapkan,
Aku tidak pernah berputus asa pada jalan ini..
Aku bahagia dalam kelam,
Aku cekal dalam kepayahan,
Aku tenang dalam sukar,
Kerana ini yang mengajar aku erti hidup

Biar jutaan manusia berkata,
Biarlah...
Yang pasti ku pohon redhaMU..
RahmatMU agar senantiasa mengiringi jalanku
Kerana tanpaMU aku pasti rebah..
TanpaMU aku pasti lelah
Tanpa cahayaMU aku pasti hilang arah..
Ya Malikul Mulk,
Kuatkanlah semangatku dalam lemah
Berilah kasihmu dalam tiap kesukaran
Agar ianya menjadi mudah
Melayari sebuah kehidupan yang berliku
Sesungguhnya kasih sayangMU tidak bertepi
Kirimkanlah aku kasihMU,
Agar hidup lebih sempurna dan bahagia...
Amin...

Oreo Iluvislam Flurry

                                                         alt

Anda suka makan Oreo Mcflurry yang berharga Rm4 untuk satu cawan?. Apa kata kalau anda cuba resepi Oreo iluvislam Flurry pula. Rasanya hampir sama, malah ia menjimatkan wang!.
Jom kita lihat bahn-bahan yang diperlukan dan cara untuk membuat Orea iluvislam Flurry ini.
Bahan-bahan :
  • 2 cawan susu Dutchlady Fullcream atau lowfat
  • 2 cawan serbuk creamer cofeemate
  • 1 paket biskut oreo 

 Cara masakan :
01.Masukkan susu dan serbuk creamer coffemate ke dalam mesin pengisar. Kemudian kisarkan ia.
02.Seterusnya muasukkan pula beberapa keping biskut oreo ke dalam mesin pengisar yang berisi campuran susu dan creamer coffeemate. Kisarkan ia sehingga sebati.
03.Selepas itu, masukkan ia ke dalam bekas. patah-patahkan beberapa keping biskut oreo lagi dan masukkan ke dalam bekas tersebut.
04.Akhir sekali. Masukkan ia ke dalam peti sejuk dan tunggu sehingga ia beku. Selamat mencuba!



Itulah Titik Mula

                                                        alt

Beberapa tahun yang lalu, aku dipertemukan dengan Jenny di kelas "99 Nama-Nama Allah S.W.T." Jenny ialah seorang teman yang baru memeluk Islam dua tahun sebelum pertemuan kami. Terkadang diri teringat akan pertemuan dengan Jenny membuatkan aku tafakur sendiri, menilai diriku, saat itu.
Aku mula bermuhasabah, sudah berapa tahun aku menjadi seorang Muslim? 19 tahun.
Sudah berapa tahun aku benar-benar menjadi seorang Muslim? Aku tegas menjawab persoalan diriku, 19 tahun.

Namun melihat perwatakan Jenny membuatkan aku meragui jawapanku itu. Jenny yang selalu berpakaian labuh, bertudung labuh menutupi bahagian dadanya, memakai sarung kaki dan sentiasa menampakkan senyuman dan kecerian di wajahnya membuatkan aku berfikir. Aku
mula membandingkan Jenny dengan diriku.
Sudah cukup sempurnakah aku menutup auratku selama ini atau adakah selama ini aku cuma hanya bersikap sambil lewa mengikut arus trend pakaian yang kulihat dipakai oleh perempuan-perempuan di tanahairku yang merupakan sebuah negera Islam? Adakah diriku benar-benar mengetahui aurat-aurat yang wajib ditutup oleh seorang perempuan yang sudah baligh?
Tertancap difikiranku tentang sabda Rasulullah S.A.W kepada Asma' binti Abu Bakar R.A, "Wahai Asma' sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya" [HR Abu Dawud]
Allah S.W.T juga berfirman:
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah An-Nuur 24: Ayat 31)
Menghabiskan masa dengan Jenny sedikit sebanyak mencabar pemikiranku kerana seolah-olah dia lebih banyak mengetahui mengenai Islam, mengenai Allah dan mengenai Rasulullah S.A.W. Jenny kelihatan lebih bersungguh-sungguh di dalam mempelajari dan mengamalkan Islam dan percakapannya sentiasa dipenuhi dengan perasaan cintanya kepada Allah dan kasihnya kepada Rasulullah S.A.W. Matanya berkilauan dan terlihat airmata di hujung matanya setiap kali ia menyatakan betapa bersyukurnya dia menemui Islam, betapa Islam itu satu hadiah dari Allah yang sangat berharga bagi dirinya. Ini membuatkan aku terdiam membisu.
Jenny baru sahaja memeluk Islam selama dua tahun pada ketika itu, sedangkan aku adalah seorang Muslim dari sejak lahir, dididik dan dibesarkan dalam suasana Islam. Tapi adakah selama ini aku benar-benar seorang Muslim di sisi Allah?
Daripada 19 tahun kehidupanku sebagai seorang Muslim, sudah berapa tahun pula aku menjadi seorang Mukmin? Sudahkah aku mencapai standard seorang Mukmin di sisi Allah?
Mengimbas kehidupan ku dari sejak kecil, didikan agama itu memang cukup. Aku terima didikan agama dari kedua ibubapaku yang cukup mengambil berat mengenai hal agama. Selama enam tahun juga, aku menghadiri sekolah agama yang mengajarku berbagai ilmu agama
termasuk ilmu al-Qur'an dan tajwid, ilmu tarikh (sejarah), ilmu tauhid, ilmu tasawwuf, ilmu puasa dan berbagai lagi jenis ilmu agama.
Terus-terang kunyatakan, pada waktu itu, aku tidak menyedari kepentingan ukhrawi disebalik ilmu-ilmu itu. Sebaliknya, kutitikberatkan pula akibat duniawinya. Aku berlumba-lumba menghafalkan fakta-fakta, dalil-dalil dan sejarah Islam untuk mendapatkan markah tinggi. Namun begitu, ibu bapaku juga selalu menekankan kepentingan menyempurnakan kewajiban seorang Muslim demi menyelamatkan diri dari api neraka dan menempah tiket ke syurga.
Apakah yang terjadi dengan keikhlasan diriku menuntut dan mengamalkan ilmu yang kupelajari sewaktu itu? Dimanakah penghayatanku disebalik menyempurnakan kewajipan-kewajipan dan ibadah itu?
Aku lalu bertanya lagi pada diriku. Apakah sebenarnya tujuan mempelajari ilmu, mengamalkan ilmu itu dan beribadah kepada Allah? Tidak mungkin semua itu cuma untuk menyelamatkan diriku dari api neraka dan untuk menempah tiket masuk ke dalam syurga. Pasti ada sesuatu sebab yang lain. Pasti ada.
Jenny menyedarkan aku mengenai kepentingan 'penghayatan' dalam beribadah dan kepentingan mengetahui tujuan kehidupan ini. Aku mula belajar erti kehidupanku, Islam bukan saja sebagai agamaku tetapi sebagai cara hidupku. Itu memberikan makna yang sangat berbeza!
Sepanjang perjalanan dan penghijrahan memperbaiki diriku, banyak yang aku pelajari, banyak juga titisan air mataku yang gugur. Hatiku hancur dan remuk bila menyedari betapa jahilnya diriku tentang agamaku sendiri. Agama Islam yang kufikir telah kukenali semenjak kecil. Aku semakin teruja untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengenali Allah, rasul-rasul-Nya dan Islam itu sendiri. Aku juga semakin teruja untuk mengupas erti dan tujuan kehidupanku yang sebenar.
Allah yang menciptakan aku, seorang manusia di muka bumi ini, cuma seorang hamba yang mengharapkan redha-Nya dan cinta-Nya. Apa tujuan hidupku yang sebenar? Kenapa Allah menciptakan aku? Selama hidupku, aku tercari-cari. Aku selalu tercari-cari makna kehidupan. Walaupun aku lahir dan hidup di negara Islam, jawapan itu tidak dapat kutemui.
Walaubagaimanpun, Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mengetahui dan Allah itu juga Maha Pemberi, aku tidak putus-putus berdoa untuk mendapatkan petunjuk dan hidayah dari-Nya. Aku memohon agar mendapat kefahaman dalam mempelajari ilmu agama dan cara hidup yang di redhai-Nya. Penciptaku lalu mengajarkanku. Dia bukan saja mengajarku kenapa aku diciptakan. Tetapi Dia juga mengajarku tujuan sebenar manusia diciptakan. Semuanya tertulis di dalam kitab suci Al-Qur'an.
Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku. (Surah adz-Dzaariyaat 51: Ayat 56)
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." Mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (Surah al-Baqarah 2: Ayat 30)
Sekarang aku tahu bahawa tujuan penciptaan manusia diciptakan adalah untuk beribadah kepada-Nya dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Mulai saat itu, aku tahu tujuan hidupku. Hidupku menjadi lebih jelas dan terang dan aku menjadi lebih faham, yakin dan pasti akan matlamat dan tujuan hidupku.
"Tuhan,
kuatkan aku,
lindungi ku dari putus asa,
jika ku harus mati,
pertemukan aku denganMu"
[Muhasabah Cinta- Edcoustic]

Thursday, February 2, 2012

Vespa Kenangan

                                                         alt

"Ibu, Amin dah beli tepung dan gula yang ibu suruh Amin beli balik dari sekolah tadi. Ada Amin letakkan di dapur." Lembut Amin menuturkan bicara kepada Ibunya tersayang. Lalu seperti biasa dia melangkah menuju ke pinggir tangga, duduk di situ memikirkan..
"Ya nak... Terima kasih. Biarkanlah dulu. Ibu tengah siapkan jahitan yang Cik Kiah kirim ni." Sambil tangan dan kakinya sibuk bekerja di mesin jahit singer itu, Mak Jah menjawab.
Amin. Seorang anak yang taat. Kasihnya kepada ibu tidak pernah kurang walau senipis helaian rambut. Selepas pemergian ayahnya dua tahun lalu, Pak Latiff, ibunya sahajalah tempat Amin bergantung, tempat Amin bermanja, tempat Amin bergurau senda. Tiada kawan dan adik beradik lain seperti orang lain yang boleh Amin ajak main bilamana petang-petang di kawasan rumah kampung dekat dengan bendang itu. Kalau dulu, waktu arwah ayahnya masih ada, Amin sangat rapat dengannya. Bersiar-siar keliling kampung dengan dibonceng Pak Latiff, motor Vespa hijau tinggalan atuk itu sungguh comel sekali masa itu. Sekarang sudah usang jadinya, tak ada siapa yang nak jaga. Ramai juga orang kampung yang lalu lalang bertanya mengenai Vespa itu. Ada yang sanggup beli sampai harga beribu ringgit. Yalah, semua tahu enjin motor itu kuat dan tahan lama, boleh dijadikan enjin pada gerabak angkut sawit, tanah, pendek kata memang bagus. Ada juga yang mahu menjadikan koleksi barang antik, dan ada yang saja-saja ingin masuk kelab Vespa di pekan sana. Tapi, setiap kali ada orang yang datang melamar Vespa itu, Aminlah yang menjadi penentang nombor satu. Macam-macam alasan dan hujah diberi Amin kepada ibunya supaya tidak menjual motor itu. Akhirnya, sampai sekarang duduk saja Vespa itu di tempatnya, tempat kali terakhir ia diletakkan oleh orang kampung selepas dihantar pulang. Amin rasakan kenangannya pada Vespa itu sangat bernilai, walaupun sudah nampak agak usang kini, Amin tetap sayang, Amin bersihkan badannya tiap-tiap petang selepas pulang dari sekolah. Diusapnya badan Vespa itu dengan penuh rasa kasih. Cuma dia tak tahu membawanya saja.
"Amin teringin nak bawa motor tu la bu, boleh tak?" Rengek Amin kepada ibunya sambil merenung ke arah Vespa yang tersadai di bawah rumah, tepi tangga rumah kampung itu.
"Amin pandai ke nak bawa? Motor tu kan berat. Badan Amin tu kan kecik je. Silap-silap motor tu ke parit, Amin ke hospital. Amin tak sayang ibu lagi ke. Nak tengok ibu duduk kat hospital tu siang malam jaga Amin? Nak bayar duit biaya hospital tu pun ibu tak mampu." Sudah acap kali Amin suarakan hasrat ini kepada Mak Jah, namun jawapan ini jugalah yang Amin dapat.
Sengaja Mak Jah jawab begitu sebab dia amat sayang akan Amin, satu-satunya anak yang dia rasakan sangat baik untuknya. Syukur. Dia rasakan amat beruntung ada anak seperti Amin, tak macam anak remaja orang lain yang degil, liar, saban hari buat onar dan memeningkan kepala. Amin lain. Memang berbeza dengan remaja seusianya, walaupun baru tingkatan tiga, tingkahnya matang dan tak pernah buat hati kecil Mak Jah terluka. Dia juga tak mahu kerana Vespa itu Amin menjadi seperti ayahnya.

Kenangan lalu peristiwa yang meragut nyawa Pak Latiff tidak pernah kering dari memori Mak Jah, apatah lagi untuk terus diluputkan begitu sahaja memori itu. Kerna Vespa itulah Pak Latiff terbaring tak bernyawa, bukan kerana kemalangan atau terjatuh dari motor, tetapi kerana orang yang iri hati terhadap Pak Latiff. Pak Latiff masa itu bergelar jaguh Vespa Pekan Kampung Seri Menanti. Siapa yang tak kenal dengan Pak Latiff, sudah bertahun memegang gelaran juara pertandingan Vespa Klasik Nusantara yang menjadi gilaan pemuja-pemuja motosikal klasik itu seluruh Malaysia. Sehinggakan ada manusia yang gelap hatinya, dengki sanggup membunuh Pak Latiff di suatu malam tika Pak Latiff pulang dari surau seusai mengerjakan solat terawikh berjemaah. Pak Latiff ditemui mati tertikam dek buluh runcing, malah Vespanya juga turut menjadi mangsa dicampakkan ke hujung tebing parit. Dan keesokan harinya, barulah ada orang kampung menemui mayat Pak Latiff, sungguh ngilu, pilu, dan sedih bila terkenang arwah yang pergi dalam keadaan yang sebegitu, terbiar semalaman di tepi jalan yang sejuk gelap gelita. Mak Jah tidak mengesyaki apa-apa pada mulanya kerana faham Pak Latiff akan selalu berada di surau itu untuk berqiamullail, lebih-lebih lagi waktu itu sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.
Sampai sekarang tiada siapa tahu dalang di sebalik peristiwa itu dan akhirnya kes sudahpun ditutup oleh pihak berkuasa. Ada juga mulut gatal orang kampung yang mengatakan, Pak Latiff sudah tidak waras menikam dirinya sendiri, tak kurang juga yang berkata Pak Latiff terkena buatan orang melalui ilmu hitam, dan macam-macam lagi. Namun Mak Jah dan Amin percaya bahawa itu sudah ketentuan yang Maha Esa. Sudah tiba masa Pak Latiff pergi dan jika itu cara dia diambil oleh Tuhan, Mak Jah redha. Tidak putus doa Mak Jah dan Amin untuk arwah, disamping berdoa agar orang yang berbuat jahat terhadap arwah diberi hidayah dan mendapat balasan yang setimpalnya, bukan di dunia, di akhirat sana pasti tidak terlepas.
Kini, Mak Jah dapat merasakan yang Amin mahu mengikut jejak ayahnya menjadi juara dan dengan niat ingin menuntut bela kematian ayahnya itu. Namun, naluri keibuannya cepat-cepat menangkap hasrat Amin itu dan cuba seboleh mungkin untuk mengekang.

AYAH
WALAU KAU PERGI TERLEBIH DULU
KETAHUILAH
KASIH ANAKMU TAK PERNAH PUTUS KUNJUNG
DALAM DOA KU UKIR RASA RINDU
DALAM MIMPI KITA BERTEMU
KAULAH WIRA, KAULAH INSPIRASI...
BONDA
DI TELAPAK KAKI MU SYURGA MEMBENTANG
DALAM DOAMU TERKABULLAH KASIH SAYANG
DALAM KATAMU ADA HIKMAH
DAN SENYUM MU TIDAK MENGENAL SENJA
ENGKAULAH PELITA DIKALA JIWA GELAP GELITA...
JANJI ANAKMU
TAKKAN MELUPAKAN
WALAU HINGGA AKHIR NANTI.
"Kenapa orang tu sanggup bunuh ayah Amin ya bu? Ayah Amin tu baik, solat tak tinggal, dan kalau dia jadi juara sekalipun, apa salahnya kan, ayah memang berhak dapat gelaran tu, vespa ayah Amin tu istimewa, tak macam orang lain punya." Luahan Amin kepada ibunya yang sedang tekun menyiapkan tempahan jahitannya itu, seolah-olah berkata sendiri namun sengaja dikuatkan suara.
Dari tadi dia hanya duduk saja ditangga dengan baju sekolahnya tidak lagi berbuka. Itu sudah menjadi rutin harian Amin selepas pulang dari sekolah, paling kurang sepuluh ke tiga puluh minit pasti Amin duduk di situ memikirkan dan mengenangkan akan peristiwa yang menimpa ayahnya dua tahun lalu.
"Amin... ALLAH itu Maha Mengetahui dan Penyayang. Tidak DIA merancang dan menjadikan sesuatu perkara itu tanpa ada sebab dan manfaatnya. Kita sebagai hambanya perlu terima segala takdir yang telah tersurat. Redha dan berdoa agar ayah Amin selamat di sana. Ingat pesan ibu, doa anak yang soleh itulah yang menjadi cahaya penerang untuk ayah Amin di alam sana, dan moga dia ditempatkan dalam golongan yang mendapat syurga Allah." Nasihat Mak Jah kepada anak kesayangannya itu. Dia jikalau boleh tidak mahu Amin terus berfikir yang bukan-bukan, apatah lagi jika ada niat di hati anaknya itu untuk membalas dendam.
Senyap.
Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua (ibu bapa) dengan penuh kesayangan serta ucapkanlah, "Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil."
[Surah Al-Israa': Ayat 24]
Mak Jah ingin menyambung kata-katanya tapi bila terlihat Amin yang hanya tunduk duduk terdiam, dia mematikan suis mesin jahit itu dan bingkas bangun menuju ke arah Amin. Menangiskah dia? Bisik hati kecil Mak Jah. Tak pernah Amin macam ni. Selalu dia tidak bertanya banyak, hanya kadang-kadang seperti bercakap sendiri dan tersenyum, mungkin mengenangkan peristiwa indah-indah bila dia dengan ayahnya. Pak Latiff pun memang manja dengan Amin sejak Amin lahir sehinggakan kadang-kadang Mak Jah merasakan yang suaminya itu lebih memahami Amin. Tapi itu dulu.
"Amin nak jadi anak yang soleh tak? Amin nak jumpa dengan ayah Amin lagi ye? InsyaAllah kalau Amin jadi anak dan insan yang soleh, Amin masih boleh jumpa dengan ayah, di syurga... Amin sedih. Nak menangis? Sini peluk ibu. Menangislah kuat-kuat tak apa. Tak ada orang tahu, inikan ibu Amin."  Seperti memahami hati anaknya, si ibu membisikkan. Luhur dari dalam hati seorang ibu yang amat faham tentang anak bujangnya itu. Ya. Amin sudah besar, dan sudah lama Amin tak menangis. Lantas dipeluk Amin erat-erat. Amin tak menjawab soalan ibunya, Amin terus dan terus menangis seperti anak kecil di pangku ibu. Teresak-esak.
"Anak ibu ni masih kecik lagi rupanya, nak ibu datang peluk, pujuk-pujuk macam dulu ye bila menangis. Takpe. Dulu masa Amin kecik lagi la Amin kuat nangis tau." Sebak di hati Mak Jah melihat anaknya itu menangis kerana mengingatkan ayahnya, namun si ibu bijak menyembunyikan rasa sayu dan sedih itu. Dia perlu lebih kuat untuk melihat anaknya kuat. Dia tidak mahu melihat anaknya menjadi lemah kerana peristiwa itu, itukan qada' dan qadar Allah.
Dalam esak tangis dipangkuan ibunya Amin menuturkan, "Orang lain di sekolah semua cakap macam-macam pasal ayah Amin.. Amin sedih. Ayah Amin baik. Amin nak naik Vespa tu dengan ayah... Amin nak pergi jalan sampai hujung kampung sana dengan ayah, tengok bendang, main layang-layang... Amin nak teman ayah pergi bengkel Pak Ramlee hias-hias Vespa tu... Amin nak..."Kata-kata Amin terhenti bila Mak Jah menangkup mulut amin dengan tangannya, butir air mata si ibu yang tadi disorokkan kini terlerai juga akhirnya, tak sanggup dia mendengar lagi Amin menyambung bicara.

Pandangan mata ibu dan anak bertentang, dalam kesayuan si ibu menjawab, \"Amin satu-satunya anak ibu. Amin masih beruntung ada ibu di sisi yang jaga Amin. Ada orang lain yang macam Amin sudah tiada ibu dan ayah... Sekurang-kurangnya Amin masih ada ibu kan? Amin kata dulu nak jaga ibu bila ibu dah tua. Nak belajar pandai-pandai, nak merasa duduk luar negara... Kalau Amin asyik sedih macam ni, macam mana Amin nak jaga ibu nanti. Amin kena lebih kuat, lebih kuat dari ibu! Ibu lagi sedih sebenarnya, ibu hilang orang yang ibu sayang, suami ibu. Tempat ibu bergantung lebih sepuluh tahun lamanya. Ayah Amin pergi tak tinggalkan apa-apa pun untuk kita. Tapi ada Amin nampak ibu sedih-sedih?\" Senyap. Hanya suara unggas dan deruman enjin motor yang terdengar dari kejauhan. Mereka berpelukan.
Kata-kata si ibu akhirnya pecah berteman esak tangis si anak,
"Ibu sayang Amin. Kasih sayang ibu sampai ke Syurga.."
"Amin pun sayang ibu.. sayang sangat... sangat."
Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak keturunanku orang-orang yang mendirikan solat, Wahai Pemelihara kami, terimalah doa permohonanku.
"Ya Tuhan kami, ampunilah aku dan ibu bapaku, serta sekalian orang mukmin, pada hari apabila perhitungan didirikan (hari kiamat)."
[Surah Ibrahim: Ayat 40-41]

Kelebihan Bekerja Ikhlas

                                                       alt

Kelebihan bekerja dengan ikhlas.
1.Mendapat Kekuatan, Kebijaksanaan dan Kesabaran
Orang yang ikhlas akan mendapat bantuan dalam melaksanakan kerjanya. Apabila seorang hamba ikhlas, "talian hayatnya" bersambung dengan Allah. Allah tidak akan mengecewakan hambaNya yang ikhlas. Dia sentiasa memberi bantuan apabila hambaNya memohon pertolongan.
2.Hasil Kerja Berkualiti dan Produktif
Jika seseorang bekerja kerana gaji, maka dia tidak akan bekerja melebihi kadar gaji yang diterimanya. Tetapi jika seseorang bekerja ikhlas kerana Allah, dia akan melipat gandakan kerjanya di tahap terbaik kerana yakin pembalasan daripada Allah jauh lebih banyak, baik dan kekal. Dia juga menjadi pekerja yang produktif, tanpa memilih hanya kerja yang ada nilai "self promotion" (ganjaran pangkat dan gaji) malah dia juga giat dalam kerja-kerja yang memberi nilai "self improvement" (peningkatan nilai murni dalam diri). Tegasnya dia tidak terlalu berkira dengan tenaga, masa, dan sentiasa bersedia untuk melakukan kerja-kerja sukarela dan khidmat masyarakat.
3.Terhalang daripada Melakukan Penyelewengan
Pekerja yang ikhlas tidak perlu dipantau oleh "punch card", CCTV, dan peraturan-peraturan yang ketat untuk menghalangnya daripada rasuah, ponteng, curi tulang, dan lain-lain perbuatan negative kerana dia merasakan dirinya diawasi oleh Allah. Walaupun begitu, tidak salah menggunakan sistem pemantau luaran kerana sifat ikhlas sedang dalam pembinaan. Itu juga membantu proses mujahadah untuk mendapat keikhlasan.
4.Hubungan Harmoni Sesama Rakan Sekerja
Orang yang ikhlas tidak akan mengampu, mengadu domba, sabotaj, mengumpat, apalagi memfitnah rakan sekerja. Cinta dunia adalah "kepala" kejahatan. Orang yang ikhlas hanya mengharapkan keredhaan Allah dan tidak ada sebab untuk mereka menzalimi orang lain demi mendapat pujian, pangkat dan ganjaran material. Tempat di sisi Allah sentiasa luas dan tidak perlu berebut-rebut berbanding tempat di dunia yang sempit lagi terhad.
5.Taat Orang Atasan dan Hormat Orang Bawahan
Orang yang ikhlas akan mentaati perintah, teguran dan keputusan atasannya selagi tidak bercanggah dengan syariat. Ketaatan itu bukan mengampu sebaliknya dilakukan atas dasar taat kepada Allah. Begitu juga, mereka akan menghormati orang bawahannya, mengasihi dan tidak menzaliminya. Mereka faham bahawa pemimpin merupakan "khadam ummah" bukan memperalatkan orang bawahan untuk kepentingan peribadi.
6.Yakin dan Berani Menyatakan Pandanga dan pendirian.
Ketaatan dalam Islam tidak menutup pintu perbincangan atau mesyuarat untuk menyatakan pandangan dan pendirian. Justeru, orang yang ikhlas tidak teragak-agak untuk menyatakan pendiriannya apabila kena pada tempat, masa dan suasananya. Apa yang dirasakan benar, dinyatakannya dengan jelas dan beradab sekalipun pahit. Dia tidak akan bermuka-muka. Kata-katanya adalah dari hati bukan "ambil hati". Dan dia bertanggungjawab atas pendirinyannya bukan bersifat "lempar batu, sembunyi tangan".