Friday, March 2, 2012

Jarak Itu Menjaga Aku Dan Dia

                                                        baby

Semua insan dalam dunia ini pasti pernah merasai perasaan itu. Perasaan yang tidak asing lagi dalam jiwa kita sebagai manusia. Perasaan yang kadangkala hadirnya tanpa kita duga atau kita paksa.
Memang sudah menjadi fitrah kita sebagai manusia untuk merasai perasaan itu. Cuma mungkin bagaimana perasaan itu hadir dalam diri kita berbeza bagi setiap individu.
"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."
[Ali 'Imran, 3:14]
Dalam diam, perasaan itu hadir di hatiku
Seperti insan lain, aku jua merasai perasaan itu. Perasaan yang bukan baru semalam berputik, tetapi telah hampir 5 tahun aku pendam. Aku sering tertanya-tanya salahkah untuk aku mempunyai perasaan yang bukan aku reka atau cipta, perasaan yang hadirnya tak pernah aku paksa, perasaan yang tak berubah sedikit pun walau banyak dugaan menimpa. Namun dalam aku melangkah menyusuri perasaan itu, aku sering dilanda rasa khuatir. Aku khuatir andainya rasa cinta ini melebihi rasa cintaku pada-Nya. Aku khuatir andai rindu yang aku pendam melebihi rinduku pada-Nya. Diri ku dan dia diikat dengan satu ikatan di dalam hati. Ikatan yang tak perlu aku dan dia lafaz melalui bicara kata.
Cukuplah rasa ini aku pendam dan dia juga memendam rasa yang sama. Jasad aku dan dia beribu batu terpisah. Hati aku dan dia juga beribu batu menjauh. Kini, wajahnya pun mungkin telah menjadi samar-samar di ingatanku. Suaranya seperti ku ingat-ingat lupa di telingaku. Rinduku padanya yang tidak menentu telah menjadi rindu yang ada hala tuju.

Saat aku dan dia menjauh
Pernah satu ketika dulu, aku kecewa dengan keadaan ini. Aku rasa seperti tidak sempurna dengan ketidakhadiran dia disisi. Namun kini, aku mengerti mengapa dia makin menjauh dari aku. Aku hormat keputusannya kerana aku tahu semua ini dia lakukan demi kebaikan aku dan dia.Teringat aku bicaranya tentang kisah kami. Kami dipertemukan dalam keadaan yang aneh sekali. Dalam keadaan saling tidak mengenali, perasaan yang tidak disangka-sangka hadir dalam diri kami. Sehingga kini, aku masih tidak mengerti bagaimana perasaan itu hadir dan bercambah sehingga ke saat ini.
Oleh itu, aku megerti mungkin pertemuan yang aneh ini harus jua dilalui dengan jalan yang aneh. Biarlah 'JARAK' ini menjadi penjaga bagi aku dan dia. Biarlah ingatanku tentang dia yang makin samar-samar di dalam hatiku menjadi penguat hubungan aku dengan ya-Rabb. Aku yakin dengan rencana yang telah tertulis untukku. Aku yakin jika tertulis jodoh antara kami, sejauh mana aku dan dia berlari menjauh, kami akan dipertemukan jua di garisan takdir antara kami nanti.

Jarak ini menjaga aku dan dia
Kini aku semakin mengerti, 'JARAK' ini bukan untuk menghukumku. Tetapi 'JARAK' ini untuk menjaga aku dan dia. Dengan 'JARAK' ini aku dan dia berjanji untuk berubah menjadi yang lebih baik. Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk memperbaiki cinta kepada Illahi.Dengan jarak ini aku dan dia berjanji untuk mencintai Pencipta kami lebih dari segalanya. Dengan JARAK ini aku dan dia berjanji untuk mendalami Islam hingga ke akar umbi. Dan Dengan JARAK ini jua aku dan dia yakin andai tiba saatnya nanti, aku dan dia akan lebih bersedia untuk melayari semua ini dengan jalan yang diredhai.
Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang kepadaku melalui jalan-Mu ini. Terima kasih kerana memberikan JARAK itu kepada aku dan dia.
"Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang"
(Ar-Ra'd 13:28 )
Aku sedar, aku insan yang masih rapuh. Kadangkala hatiku goyah melihat keadaan sekeliling yang menekanku. Jika tidak kerana JARAK ini,mungkin aku akan mencari pelbagai alasan untuk bersama dia. Iman ku akan goyah saat terpandang wajahnya. Hatiku akan bertambah rindu saat mendengar suaranya. Moga hidayah yang diberi ini akan terus membajai hatiku. Aku yakin semua ini rencana Mu Ya Allah. Moga di akhir JARAK ini, Kau memberi kesudahan yang baik untuk aku dan dia

Panduan Memilih Jodoh

                                                          Kumbang

Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama. Bukan sekejap. Jika umur panjang mungkin bersama sehingga 50 tahun. Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur bersama. Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi kasih.
Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius. Memang serius. Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya.
Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh, perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk. Dalam banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com. Antara yang menarik tulisan berikut:
Hadith Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.
Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadith ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS. Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.
Apa tujuan berumahtangga?
"Begin with the end in mind", adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.
Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.
Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia. Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, "aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku. Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku"
Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia. Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat? Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara? Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun.
Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.
Berkahwin kerana [1] kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali. Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama. Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.

Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan? Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?
Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan."Maka pilihlah yang memiliki agama... nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.Benar sekali, pilihlah yang beragama."Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan agama'.
PENYAKIT "TIDAK JELAS"
Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar [2] menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit "tidak jelas", apabila tiba kepada soal beragama.
Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz?
Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?
Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.
Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.
Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini?
Sejauh mana gred 'A' yang digarap dalam subjek "PengeTAHUan Agama Islam" menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?
"Yang memiliki agama" itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal mahu yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan mampu dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.
Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan "jenama TAHU agama" tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.
Dia mungkin seorang ustazah.Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.Dia mungkin bertudung labuh.Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang 'teachable".
HANYA 'BERAGAMA'?
Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.
Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta. Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.
Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan. Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri. Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.
Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri.
Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama. Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu. Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..
Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.
Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh... atas nama berkahwin kerana beragama.

Thursday, March 1, 2012

Jika Esok Masih Ada

                                                        nisa

Jika esok masih ada
Akan ku sujud padamu
Minta diampun semua dosaku
Akan ku kotakan suruhanmu
Sampaikan pada dunia
Biar semua tahu
Islam itu satu!
Jika esok masih ada
Akan ku berikan pada yang meminta
Akan ku laksanakan apa yang tertunda
Niatkan semuanya kerna Dia
Jika esok masih ada
Pasti aku pegang saudara
Tidakkan aku biarkan mereka menderita
Kerana leka terhadapnya
Jika esok masih ada
Tidak ada masa yang akanku sia
Tidak ada hati yang akan ku luka
Tidak ada jasad yang  aku aniaya
Seakan hidup sesaat Cuma

Jika esok masih ada
Akan ku tinggalkan selimutku
Tinggalkan enak tidur malamku
Bersujud kepadamu
Memohon perlindungan darimu ya rabbi!
Namun,
Itu semua jika esok masih ada!
Telah aku siakannya
Peluang sekali Cuma
Hari ini aku sudah melelapkan mata
Dihimpit gelap selamanya
Tiada lagi jika esok masih ada.

Bertunang,Antara Disiplin Dan Adab Yang Terabai

                                                          baby

Bertunang adalah salah satu tuntutan di dalam islam, ianya adalah sebagai satu permulaan kepada setiap pasangan untuk mengenali antara satu sama lain. Namun di alam era serba canggih kini, kita sering mengabaikan displin dan adab – adab semasa bertunang.
Ramai yang salah faham mengenai konsep bertunang, bagi mereka apabila sudah bertunang maka mereka bebas untuk melakukan apa sahaja. Bebas berdua – duaan, bebas bergambar bersama, bebas keluar ber'dating' dan sebagainya. Islam tidak mengajar umatnya sedemikian, zalim pada diri sendiri dan zalim pada orang lain. Agama islam adalah syumul, adil serta cantik aturannya.
BERTUNANG
Pertunangan merupakan mukadimah kepada perkahwinan. Ianya diharuskan didalam islam bagi memberi peluang kepada si lelaki atau perempuan untuk mengenali pasangan masing -masing dengan lebih dekat lagi.
Tempoh pertunangan ini juga merupakan masa bagi seseorang itu untuk membenihkan roh persefahaman ikatan kasih sayang dengan pasangan masing -masing ke arah melahirkan sebuah mahligai keluarga yang bahagia.

Walaubagaimanapun disana terdapat tatasusila atau batas- batas terhadap perhubungan ini ,yang di katakan sebagai adab-adab bertunangan (ianya melibatkan kedua- dua belah pihak samada lelaki atau perempuan) .
Antara  adab-adab semasa bertunangan boleh dibahagikan kepada 2 bahagian :
Adab dalam bergaul
Maksud pergaulan disini ialah pertemuan, perbincangan atau hubungan secara langsung antara si lelaki atau perempuan dengan tunangan masing -masing :
1 . Setiap pertemuan atau perbincangan itu hendaklah ditemani oleh mahram (si perempuan ). Seboleh-bolehnya pertemuan itu diadakan di rumah si perempuan
2 . Tidak diharuskan duduk berdua-duaan. Ingatlah hadis Rasulullah :" Tidaklah seorang lelaki itu bersendirian dengan wanita malainkan ada orang yang ketiga iaitu syaitan. "
3 . perbincangan itu mestilah sunyi daripada unsur nafsu dan syahwat.
4 . Dalam keadaan menutup aurat sebagaimana yang telah digariskan oleh agama islam . dan harus dingatkan bahawa aurat diantara keduanya adalah sama dengan aurat perempuan dengan lelaki ajnabi (muhram) hanya sekadar muka dan dua tangan sahaja.
5 . Bagi pihak perempuan, janganlah bercakap terlalu manja dan menggoda. Sementara bagi lelaki janganlah merasakan bahawa telah mendapat milik mutlak dan boleh melakukan
apa saja.
Kesimpulanya sebarang tindakan yang boleh menimbulkan fitnah ,syak wasangka atau boleh membawa kepada berlakunya perkara maksiat maka ianya tidak diharuskan .

Tempoh pertunangan
Pada hakikatnya islam menggalakkan agar tempoh pertunangan itu disingkatkan ,ianya bagi mengelakakn daripada berlakunya sebarang fitnah atau berlaku perkara-perkara yang tidak didugai dan ulama sendiri tidak menetapkan tempoh tertentu pertungan, cuma rata-rata mereka lebih cenderung untuk memendekan tempoh. Disini saya sendiri cenderung kepada mempercepatkan perkahwinan kerana:
1 . Dalam tempoh pertunangan yang lama , dibimbangi tersingkapnya keaiban pasangan yang boleh membawa putusnya hubungan pertungan dan kemungkinan juga ada orang yang menaruh perasaan dengki kepada pasngan dan menabur fitnah yang tidak ada benarnya yang boleh membawa padah pasanga itu sendiri.
2 . Tempoh yang lama mungkin memberi peluang kepada orang lain yang mungkin ada menaruh hati kepada salah satu pasangan dan berusaha untuk memisah antara keduanya .
3 . Di bimbangi kedua pasangan banyak melakukan dosa disepanjang tempoh pertunangan dengan kerapnya mengadaka pertemuan yang tak syarie. Susah untuk menjaga batas aurat dan syarat dimani oleh Muhram.
4 . Lebih menenangkan gelodak jiwa dan perasaan rindu yang boleh mengganggu prestasi pelajaran dan juga kerja.

Serta banyak lagi
Akhir kalam, jaga hati, jaga iman, jaga ahlak, jaga amal dunia dan bekalan akhirat jangan fikir apabila telah bertunang kita "bebas" melukakan apa - apa sahaja. Ingat bertunang itu belum tentu lagi si "dia" akan jadi milik kita, kecualilah apabila di ijab kabulkan barulah si "dia" betul-betul milik kita..
" Apabila salah seorang daripada kamu bertunang, maka jika sekiranya dia boleh melihat wanita itu hingga membawa kepada kehendak atau kemahuan untuk berkahwin, maka lakukanlah!" (HR. Abu Daud)

Allah Ajarkan Hidup Bertuhanan

                                                      bunga

Kita sentiasa dapat merasakan diri sebagai anak kepada seorang ibu bukan? Sekiranya kita mempunyai suami/isteri, kita sentiasa merasakan suami kepada seorang isteri atau isteri kepada seorang suami. Perasaan ini tidak akan dapat kita lepaskan ... sentiasa merasainya pada setiap ketika.
Bagaimana dengan perasaan merasakan diri seorang hamba kepada Allah? Rasa berketuhanan seperti kita merasakan kita bersuami, kita beristeri. Apakah perasaan ini dapat kita rasakan setiap waktu dan ketika juga?

Sekarang bayangkan kita berjalan bersama seseorang, katakan kita berjalan bersama suami atau isteri kita. Pada ketika kita berjalan, ketika kita berada di hadapan, kita dapat merasai bahawa suami atau isteri kita ada di belakang kita bukan? Kita sentiasa merasai kehadiran teman kita itu. tidak akan terlepas rasa itu.

Apabila kita ke kedai bersama contohnya, ketika kita asyik memilih barangan yang hendak dibeli, kita toleh ke kiri ke kanan melihat di mana teman yang bersama kita. Kita merasakan kehadirannya.

Bagaimana dengan kehadiran Allah dalam diri kita? dapatkah kita rasakan? Padahal Allah dulu yang bersama kita sejak kita masih dalam kandungan ibu sampai sekarang. Padahal Allah yang sentiasa ada bersama dan tidak pernah meninggalkan kita walau sesaat pun.

Padahal Allah yang sedang mengepam jantung kita. Allah yang sedang mengalirkan darah ke setiap tubuh kita. Dapatkah kita merasakan ada Allah bersama kita setiap waktu? dapatkan kita merasakan aku hamba Allah setiap ketika?

Sahabat yang dirahmati Allah semua, ketika solat kita merasa 'connect' dengan Allah. Apabila ada daya yang menyambung kita kepada Allah ketika kita solat, kita akan merasakan kebahagiaan yang tidak dapat kita bandingkan dengan apa juga. Kebahagiaan yang tak tertara nikmatnya. Bayangkan sekiranya kita dapat merasa daya sambung dengan Allah itu dari mula kita bangun tidur sehingga kita tidur semula, kita mendapat kebahagiaan setiap waktu dan ketika. Kita mendapat kebahagiaan yang sebenarnya di dunia ini. Itulah yang sebenarnya dicari oleh ramai manusia, tetapi masalahnya dia gagal untuk sambung dengan Allah tapi sambung dengan selain Allah.

Daya sambung ini sering disebutkan dalam kelas-kelas pengajian kita sebelum ini sebagai "menghadirkan hati kita dengan Allah", "mengingati Allah", "merasakan kehadiran Allah", tapi masalah yang dihadapi oleh kita bagaimana ya?
Bagaimana mengingati Allah? Bagaimana merasakan kehadiran Allah. Dengan berzikir? Maka kita berzikir dengan sebutan Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Namun aktiviti yang kita lakukan ternyata menjadikan kita bosan. Kita rasa penat menyebut dan memuji Allah atau fikiran kita melayang-layang kita ketika kita menyebut pujian-pujian kepada Allah. Akhirnya kita tinggalkan aktiviti itu atau tidak beristiqamah dengannya. Kenapa kita rasa penat dan membosankan padahal Allah menjanjikan bahawa dengan mengingati Allah hati akan tenang dan dengan mengingati Allah pastinya membahagiakan bukan membosankan. Pastinya kaedah kita melakukan aktiviti itu gagal menghasilkan 'mengingati Allah", gagal menghasilkan "merasakan kehadiran Allah". Sebutan kita hanya dibibir saja, apatah lagi jika yang ingin disebutnya sampai 1000 kali.

Cuba kita padamkan segala apa yang ada. Padamkan rumah kita, padamkan kereta kita, padamkan bumi ini, padamkan seluruh bulan, bintang dan alam ini, padamkan semuanya sehingga tidak ada suatu pun yang ada lagi. Apa yang tinggal? Hanya kita dan Allah bukan? Sekarang rasakan wujudnya Allah itu, rasakan hadirnya Allah itu. Jangan digunakan fikiran, jangan digunakan emosi dan perasaan. Diam dan rasakan. Kita berhadapan dengan Allah yang Maha Hidup. Pasti kita merasakan ada daya yang menyambung kita dengan Allah.

Bayangkan kita menghadap ibu kita, sungguh-sungguh kita menghadap ibu kita. Adakah kita merasakan sesuatu ? Adakah kita merasakan kehadiran ibu kita? Adakah kita merasakan ada satu daya yang menyambung antara kita dan ibu kita? Terasa bukan? Pastinya terasa berbanding kita tidak menghadap ibu kita. Dengan ibu sudah terasa, apa lagi dengan Allah, pastinya dapat merasakan jika kita benar-benar yakin kita sedang berhadapan dengan Allah.
Tundukkan wajah kita, diam dan hanya rasakan saja. Jangan difikirkan. Jangan diluahkan apa-apa perasaan kepada Allah (kerana kita tidak mahu memasuki wilayah emosi, kita mahu memasuki wilayah spiritual) jangan dikatakan apa-apa pun. Diam dan rasakan hubungan itu.

Kita akan merasakan suatu suasana perasaan 'sambung' dengan Allah dan perlahan-lahan sebutkan Allah ... Lailahaillallah, Allahuakbar dan sebutan-sebutan memuji Allah yang lain ... rasa 'sambung' ini biasanya akan memberi kesan kepada fizikal dan perasaan kita. Ada yang rasa bergetar, ada yang rasa merinding, ada yang rasa ingin menangis, yang pentingnya bukan rasa difizikalnya tapi rasa dekatnya dengan Allah.

Rasa kehadiran Allah itu. Kemudian akan terasa dialirkan ketenangan di dalam jiwa, hilang apa juga tekanan. InsyaAllah kita akan rasakan kebahagiaan dan rasa berketuhanan.

Latihan merasakan hubungan dengan Allah dan rasa berketuhanan ini Allah kukuhkan melalui ibadah-ibadah dalam rukun Islam yang lima, Mengucapkan Dua Kalimah Syahadah, Solat, Puasa, Zakat dan Haji.

Sudah berapa ramai di kalangan kita merasakan sudah cukup melakukan semua rukun Islam tapi masih belum dapat merasakan hidup berketuhanan, belum dapat merasakan aku hamba Allah setiap waktu dan ketika, masih belum dapat merasakan kehadiran Allah dalam diri, masih belum mencapai tahap takwa kepada Allah.

Allah berfirman di dalam Al-Qur'an yang maksudnya; "Diwajibkan di atas kamu berpuasa seperti mana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertakwa" Sudah berapa lama kita berpuasa di bulan Ramadhan tapi kenapa sampai sekarang merasakan diri belum bertakwa padahal Allah menyebutkan bahawa Puasa di Bulan Ramadhan itu hasilnya takwa
Justeru harus kita teliti di mana silapnya latihan pengukuhan yang Allah siapkan untuk kita di dalam Rukun Islam Yang Lima ini.

Satu saja yang dapat saya simpulkan. Ibadah kita tidak kita lakukan dengan rasa Ihsan. Bukankah itu yang diajarkan rasulullah saw. Ihsan itu ertinya kita beribadah seolah-olah kita merasakan melihat Allah dan sekiranya kita tidak dapat merasa melihat Allah kita dapat merasakan Allah melihat kita.

Jom semak semula, solat kita, puasa kita, zakat kita, haji kita adakah kita melakukan ibadah dengan rasa 'sambung' atau 'sadar' kehadiran Allah? Itulah nikmat yang tak tertaranya.

Kita rasa sukar untuk merasakan rasa sambung dengan Allah? Kadang-kadang sambung kadan-kadang tidak? Ia perlu dilatih.
Alhamdulillah ada latihan dan metodologinya. Pelatihan Solat Khusyuk oleh Pak Ustaz Abu Sangkan memberikan panduan dan membantu kita dengan latihan praktikalnya. Justeru saya menyeru kepada sahabat-sahabat semua agar cuba sedaya upaya mengikuti Kursus-kursus Solat Khusyuk yang diadakan samada di Malaysia atau di Indonesia.

Hidup berketuhanan ini bukan sekadar kita sentiasa merasakan hadirnya Allah dalam hidup kita tetapi merasakan kita sebagai hamba Allah dan KhalifahNya. Kita dapat merasakan dengan jelas ada amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada Allah kepada kita untuk disempurnakan di dunia ini sebelum kita dipanggil pulang nanti.

Dengan rasa hadir Allah dalam diri kita, kita akan sentiasa berserah kepada Allah dan sedia tunduk dan patuh atas apa juga kehendakNya.

Ketundukan dan kepatuhan ini insyaAllah tidak sukar apabila Allah yang akan meletakkan kehendakNya ke dalam hati kita ... Segalanya dibimbing Allah insyaAllah dengan syarat kita sentiasa mencari jalan menuju Allah, sentiasa berusaha menyucikan jiwa kita.
"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah bagi orang yang mensucikannya Dan merugilah bagi yang mengotorinya "(Asy -Syams: 7 - 8)
Semoga kita dapat sentiasa merasakan sambung dengan Allah dalam apa juga keadaan dan pada setiap waktu dan ketika. Sentiasa bersungguh-sungguh memenuhi tugas dan tanggungjawab sebagai wakil Allah dimuka bumi ini. InsyaAllah kita akan meninggalkan segala keresahan, segala kegelisahan dan menemukan kebahgiaan yang berpanjangan apabila merasai hidup berketuhanan.Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Peringatan Buat Para Isteri

                                                         isteri

Pada suatu petang, saya mendapat panggilan daripada hospital menyatakan seorang ibu muda mempunyai mata merah yang sakit dan tidak dapat membuka mata beliau.
Setelah memeriksa beliau, saya mendapati, beliau mengalami sakit mata selamat 5 hari dan tidak beransur pulih dengan ubat yang diberi oleh tiga doktor sebelum itu.

Semasa memeriksa mata beliau, saya dapati, selain daripada jangkitan virus dan yang menghairankan saya, selalunya infeksinya hanya melibatkan konjunktiva atau bahagian mata yang putih.

Bagi pesakit ini, bahagian kornea atau bahagian mata yang hitam yang penting untuk melihat telah koyak dengan agak banyak sehingga menyebabkan beliau rasa amat sakit dan tidak dapat melihat dengan jelas. Saya terpaksa meletak ubat dan menampal kedua mata beliau dan memasukkan beliau ke dalam wad untuk pemerhatian rapi.

Setelah melihat keadaan yang agak teruk bagi jangkitan yang selalunya mudah dikawal, hati kecil saya bertanya apakah hikmah ataupun rahsia di sebalik kejadian ini.

Dengan kuasa Allah, saya menyedari bahawa beliau agak kasar dengan suaminya.

Setelah dua hari di dalam wad dan beransur pulih, saya menasihati beliau secara tidak langsung tentang pentingnya sebagai seorang isteri solehah kita harus menjaga tiga perkara suami kita.

1. Mata beliau - sentiasa kelihatan cantik dan menawan dengan menjaga rupa paras dan berat badan.
2. Hidung beliau - sentiasa berbau wangi dan menjaga kebersihan mulut dan nafas supaya selesa apabila suami bercakap berdekatan dengan kita.
3. Telinga beliau - sentiasa mengeluarkan kata-kata yang manis dan pujian serta penghargaan, dan jangan sekali-kali kufur nikmat.
Beliau seterusnya memberitahu saya sebelum berlakunya sakit mata itu, beliau telah merajuk dengan suaminya.

Beliau nampaknya insaf ketika memberitahu kisah ini dan mengakui bahawa setiap kali beliau berlaku kasar terhadap suaminya, tentu sesuatu perkara negatif akan berlaku terhadap beliau.

Saya meneruskan menasihati beliau bahawa dalam kehidupan kita bahawa redha Allah bergantung kepada redha suami dan sebagai seorang isteri, hidup kita fokus untuk jadi isteri solehah. Dan jika mempunyai profession, jadi professional mukminah.

Setelah berjumpa dengan beliau hari ni, beliau menyatakan bahawa beliau memang selalu memberitahu suaminya bahawa fokus beliau adalah untuk menjadi isteri solehah dan setelah peristiwa ini, semangat beliau untuk mencapai cita-cita ini bertambah kuat.

Pertemuan Pertama

                                                        bunga

"Lalu ada siapa?"

Amat tahu langit yang akan ditatapnya esok, tetap akan sama dengan langit yang ditatapnya sekarang. Kalau berbeza sekalipun, mungkin larik-larik awan. Entah mengapa angin hari ini kuat. Mungkin angin kuat itu juga yang menjadi berus langit, mewarnanya dengan awan. Ah, itu logik Amat. Logik orang kampung.

"Kalau hanya aku? Mengapa?"

Murni tidak pernah berasa seperti ini. Tangannya sesekali berasa sejuk, seperti kurang darah. Digosok-gosok tapak tangannya, semoga darah kembali ke situ. Tidak tahu Murni atas sebab apa dia buat begitu, cuma biasanya di filem-filem barat yang ada salji memang itulah cara mereka, mengosok-gosok tapak tangan. Tetapi Murni tetap berasa tangannya sejuk.

"Kalau hanya ada kau, itu hal besar. Kau tahu, aku perempuan dan kau lelaki. Memanglah ilmu agama aku tidak tinggi, tapi aku tahu tinggi mana nafsu orang seperti kita, yang kurang ibadahnya."

Amat cuba tersenyum, tetapi tertahan entah di mana. Sekejap terasa tertahan di dada, sekejap terasa tertahan di kerongkong. Susahnya juga mahu senyum pada sesuatu yang bernama kebenaran. Mungkin sahaja kerana kebenaran itu tidak memihak kepada dia.
"Kalau begitu, kita pulang sahaja."

Murni berpaling memandang jalan raya tar yang belum diberi garis. Rumput-rumput di tepi jalan sudah meninggi. Tidak ada yang mahu memotongnya kerana upah yang ketua kampung beri, adalah upah tahun 70-an. Rendah dan menghina. Fikiran Murni larut pada rumput-rumput yang meninggi itu, dia tersenyum.

"Itulah yang seeloknya."

Amat ke barat dengan langkah yang seperti punya mata, memandang ke langit, melihat awan yang dia tahu ada namanya, tetapi dia tidak peduli. Kerja memberi nama kepada alam ini adalah kerja orang putih. Itulah fikirnya. Namun sesekali dia tetap yakin, langit itu akan tetap sama, hari ini, esok, lusa dan sehingga dia mati. Langkahnya pun menjauh.

"Saya balik dulu."

Murni ke timur. Ke arah rumput yang meninggi. Tangannya sudah mula terasa darahnya, panas. Aneh rasanya. Kuasa apa yang membuat tangannya sejuk tadi? Biarlah kuasa apapun. Yang penting, dia tahu dia semakin jauh, dan fikirannya terus kepada soalan, mengapa jalan tar itu belum diberi garis?