Monday, April 2, 2012

Aku Ini Tulang Rusuk Kiri Siapa

                                                        baby

Ketika aku remaja
Sesaat selepas mendengar kisah Adam dan Hawa
Terbit satu pertanyaan dalam diri ku
Aku ini tulang rusuk kiri siapa?
Bagaimana rupanya,
Tinggi atau rendah,
Kurus atau gempal,
Cerah atau gelap,
Tampan atau jelek.
Puas aku membayangkan,
Impikan jejaka rupawan,
Persis seorang pahlawan.
Ketika aku menganjak dewasa
Dikala sedang menuntut di menara
Timbul semula persoalan itu,
Aku ini tulang rusuk kiri siapa?
Bagaimana hartanya,
Motor atau kereta,
3310 atau Iphone,
Selipar atau Adidas,
Miskin atau kaya,
Puas aku mencari
Impikan lelaki hartawan
Persis seorang jutawan.
Ketika aku akhirnya dewasa
Dikala sedang berusaha berkerja
Bertanyaku sekian kali,
Aku ini tulang rusuk kiri siapa?

Bagaimana akhlaknya,
Malas atau rajin,
Baran atau sabar,
Dungu atau pintar,
Jahat atau baik,
Puas aku berdoa
Impikan lelaki budiman,
Persis seorang beriman.
Ku tanya lagi pada diri,
Aku ingin jadi tulang rusuk kiri siapa,
Pentingkah rupa?
Cukuplah yang sedap di mata,
Pentingkah harta?
Cukuplah yang mampu menyara,
Pentingkah iman?
Terdiam aku seketika.
Kerana diriku melihat diri sendri,
bagai tak layak untuk disunting oleh pencinta Ilahi,
Diriku lemah sekali,
Penuh dosa dan layak dicaci,
Bagaimana kalu pemilik tulang rusuk ini ketahui,
Bertapa hinanya si rusuk kiri
Pasti dia menyesal sekali
Lalu ku tanamkan azam,
Tuhan masih memberiku peluang
Akan ku berusaha membaiki diri,
Bagi melayakkan diri pada yang terbaik.
Semoga pemilik tulang rusuk kiri,
Akan bahagia bersamaku di dunia dan di akhirat nanti.

Pinangan Lelaki Teragung Ditolak

                                                          Kumbang

Ummu Hani': Menolak Lelaki Teragung Kerana Cemburu dan Prihatin Urusan Anak
Ummu Hani' adalah wanita Quraisy yang bijak memberi ­pendapat dan berakhlak mulia.
Pada zaman jahiliyah, Rasulul­lah pernah meminangnya, tapi ayahnya telah menjanjikannya untuk Hubarah bin Abi Wahbin.
Pada awal perkembangan Islam, Ummu Hani' turut masuk Islam bersama kaum wanita yang lain.
Rasulullah memisahkan Ummu Hani' dengan suaminya yang masih kafir, sesuai dengan hukum Islam yang berlaku mes­kipun ia sudah dikurniai empat orang anak.
Setelah Ummu Hani' disahkan menjadi janda dengan empat orang anak, Rasulullah lalu meminangnya untuk kali yang kedua.

Ummu Hani' menjawab atas pinangan itu, "Ya Rasulallah, sungguh dirimu lebih saya cintai daripada pendengaran dan penglihatan saya. Namun, saya seorang wanita yang sangat kuat cemburu.
Ya Rasulullah, saya tahu bahawa hak suami sangatlah besar dan harus dijun­jung tinggi. Saya khuatir jika mengurusi seorang suami, lalu saya terpaksa mengabaikan sebahagian hak anak-anak saya.
Jika saya mengurusi anak-anak, saya khuatir akan mengabaikan hak suami."
Rasulullah menghormati pandangannya. Kemudian Rasulullah memberikan pandangan, "Sesungguhnya sebaik-baik wanita yang naik unta adalah wanita Quraisy. Mereka paling sayang kepada anak-anaknya di waktu kecil, dan paling memperhatikan urusan suami."

Apa Yang Tergalas Di Sebalik Syahadah

                                                        baby

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Syahadatul Haq itu adalah Penyaksian kebenaran.
أشهد أن لا اله الا الله وأشهد أن محمد رسول الله
''Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah''
Lafaz yaang sering meniti di bibir kita setiap hari. 10 kali sehari semestinya, 2 kali untuk setiap kali solat fardhu. Ditambah dengan solat-solat  sunat yang lain, lebih dari itu. Akan tetapi adakah kita sedar, apakah yang terkandung di sebalik kalimah itu? Apakah yang tergalas di bahu kita? Sedarkah kita suatu amanah yang berat tergalas di bahu kita sebagai seorang muslim. Hanya dengan kalimah syahadah.
Analogi :
Jika A dan B ingin ke sesuatu tempat (masjid). Dalam perjalanan mereka ke sana, mereka menyaksikan suatu kemalangan menimpa sahabat mereka si C. Tetapi mereka hanya pura-pura tidak menyaksikan kemalangan tersebut, kerana malas untuk membuat laporan, turun naik mahkamah dan sebagainya. Mereka memikirkan ada orang lain akan membantu sahabat mereka.
Masjid= sesuatu kebaikan
kemalangan= kemungkaran
membuat laporan= jalan dakwah ; yang berliku dan memerlukan kesabaran
Pemikiran A dan B = mind setting manusia bahawa jika aku tidak menyampaikan kepada seseorang, akan ada orang lain yang menyampaikan kepadanya.

A dan B melakukan kebaikan tanpa menghiraukan sahabat mereka yang berada dalam kesusahan dalam erti kata lain sahabat mereka yang perlu didakwah. Jika sahabat kita terjun ke neraka, adakah sanggup kita membiarkan dia begitu sahaja? Mind setting manusia yang selalu berasa berada dalam "comfort zone" perlu diubah. Aku dah baik. Aku dah puasa, solat, zakat, menunaikan haji. Semua larangan Allah telah kujauhi. Ya benar, tetapi adakah kita telah menyampaikan kepada yang lain? Kitalah manusia terpilih dan dipilih oleh Allah untuk menjadi agen perubahan masyarakat.
Kelihatan seperti mustahil, tetapi dengan usuaha yang istiqamah dan usaha dan usaha berkumpulan, insyaallah dipermudahkan. Kitalah yang perlu menjadi orang yang menyampaikan tersebut. Apa cara sekalipun, mugkin dengan cara penulisan, mungkin dengan lisan, mungkin yang rajin untuk membuat video dakwah dan lain-lain.
Suka saya memetik kata-kata salah seorang penulis kegemaran saya, HILAL ASYRAF,
"Jika kau terjun ke neraka, akan ku terjun jua untuk menarikmu semula agar kita dapat berpimpinan tangan menuju ke syurga"
Memetik juga kata-kata DR FARID RAVI :
" Kalau aku tidak memeluk Islam, akanku tuntut pada umat Islam kerana tidak menyampaikan Islam kepadaku"
Adakah kita ingin menuju kebaikan seorang diri? Sedangkan ada pepatah arab اصلح نفسك وادعوا غيرك yang bermaksud 'Baikilah diri kamu dan serulah yang lain'. Proses yang perlu jalan seiring.

Jika ditanya oleh Allah di akhirat nanti, " Pada siapakah kamu telah menyampaikan Islam itu? " . Siapakah yang Akan menjadi saksi kita pada saat itu. Siapakah yang akan membela kita di hadapan Allah nanti, bahawa dia telah menerima Islam itu daripada kita?
Fikir-fikirkan bersama. Yang bahawa selama ini kita sering beranggapan dengan hanya menjadi qudwah hasanah telah mencukupi, kan? Jelas sekali tidak. Menyampaikan itu sesuatu yang perlu, bukan hanya setakat menjadi contoh teladan yang baik.
Islam pernah menjadi world order dan menguasai 2/3 dunia satu ketika dahulu.
Allah telah menjanjikan bahawa Islam itu akan tertegak kembali suatu hari nanti, sama ada dengan adanya kita ataupun tidak. Itu janji Allah. Jadi adakah kita akan menyia-nyiakan peluang keemasan ini? Just be a part of people yang menyumbangkan sesuatu pada jalan Islam, dan kemudian, kemanisan kejayaan tersebut akan dapat dinikmati bersama.
Sekurang-kurangnya jika kita tidak sempat untuk mencapai dan menikmati zaman kegemilangan Ustaziyatul Alam suatu saat nanti, mungkin generasi kita akan menikmati kemanisan Islam itu pada saat ianya dijulang suatu hari nanti. Dalam masa yang sama insyaallah usaha kita yang kecil tersebut akan mengalir terus pahalanya.
SEMOGA TERUS ISTIQAMAH DALAM MENYAMPAIKAN.
-sampaikanlah walau 1 ayat-

Kisah Pemuda Ikhlas Dan Syaitan

                                                        Kumbang

Dalam Kitab Minhajul Qasidin, Ibnu Qudamah al-Maqdisy sempat mencatatkan sebuah kisah yang mahsyur mengenai keikhlasan. Kisah ini diriwayatkan oleh al-Hassan. Ayuh kita hayati kisah ini dan mengambil ibrah daripadanya.
Pada zaman dahulu ada sebatang pokok yang disembah oleh orang ramai, seorang lelaki pergi kepadanya dan berkata, "Aku akan menebang pokok ini." 
Dia pun pergi bagi menebang pokok itu. Di pertengahan jalan, dia terjumpa syaitan yang menjelma sebagai seorang lelaki, dan berkata kepadanya, "Apa yang engkau ingin lakukan?"           
Dia menjawab, "Aku ingin menebang pokok ini yang disembah selain Allah taala." 
Syaitan berkata, "Jika kamu tidak menyembahnya, apakah mudarat kepadamu jika orang lain menyembahnya?" 
Lelaki itu berkata, "Aku tetap menebangnya." 
Syaitan itu berkata kepadanya, "Adakah kamu mahu perkara yang lebih baik lagi daripada melakukan perkara ini? Jangan tebang itu dan kamu akan mendapat sebanyak dua dinar yang terletak di bawah bantalmu setiap pagi." 
Lelaki itu berkata, "Siapa yang akan bagi?" Syaitan berkata, "Aku." Dia pun pulang ke rumah dan keesokan paginya, dia mendapati ada dua dinar di bawah bantalnya.
Pagi seterusnya, dia mengangkat bantal tetapi tidak menjumpai apa-apa. Serta merta dia menjadi marah dan berazam mahu menebang pokok itu semula. 
Syaitan kembali menjelma di hadapannya dalam bentuk yang serupa dan berkata, "Apa yang kamu mahu lakukan?"
Dia berkata, "Aku ingin menebang pokok ini yang disembah selain Allah taala." 
Syaitan berkata, "Kamu bohong, kamu tidak akan mampu menebangnya." 
Lalu lelaki itu mara ke depan untuk menebang, tiba-tiba syaitan itu memukulnya hingga jatuh tersungkur, lantas mengcekik sehingga hampir membunuhnya. 
Kemudian syaitan berkata kepadanya, "Kamu tahu siapa aku? Aku adalah syaitan." 
Syaitan berkata lagi, "Kali pertama kamu datang untuk menebang pokok itu kamu memang marah kerana Allah dan ketika itu aku tidak boleh mengalahkan kamu.
Dengan dua dinar, aku berjaya menipu kamu dan kamu tidak jadi menebangnya. Apabila kamu kembali untuk kali kedua, ketika itu kamu marah kerana dua dinar tersebut.
Oleh sebab itulah, aku berjaya mengalahkanmu." Muhasabah Pemuda tersebut adalah pelambangan diri kita sebagai hamba Allah, kedua-dua sifat itu maujud dalam diri kita yang serba daif ini.
Kita mungkin sahaja seorang yang ikhlas pada awalan babak namun berakhir dengan sebaliknya, atau sahaja mungkin kita bermula dengan terpaksa namun akhiran adalah keikhlasan dan kelazatan iman yang membuak-buak. 

Al-Quran sendiri banyak kali menekankan mengenai keikhlasan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah yang bermaksud: 
"Padahal mereka tidak diperintah melainkan mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas beribadat kepada-Nya, malah tetap teguh di atas tauhid." (Surah al-Bayinah, ayat 5)
Kemudian Allah berfirman lagi yang bermaksud: 
"Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan kepada Allah) ialah segala ibadat dan amalan yang suci bersih (daripada segala bentuk kesyirikan)." (Surah az-Zumar, ayat 3) 
Jelas dan nyata umat Islam perlu ikhlas malah diwajibkan ikhlas dalam menjalani kehidupan sebagai hamba Allah. Bukan sahaja dalam ibadat khusus, dalam setiap amalan dan perbuatan harian yang lain juga mesti diikhlaskan kerana Allah.
Ini kerana lawan kepada ikhlas dalam berakidah kepada Allah adalah syirik kepada Allah, dan sebesar-besar dosa di sisi Allah adalah syirik. 
Muaz bin Jabal meriwayatkan sebuah hadis daripada Rasulullah SAW yang bermaksud: 
"Ikhlaskanlah (amalan) agama kamu, nescaya amalan yang sedikitpun akan mencukupkan kamu." (al-Hakim dan al-Dailami, disebut juga dalam Jami' As-Sangir karangan Imam as-Sayuti) 
Ujian keikhlasan Waktu keikhlasan paling teruji adalah ketika dalam solat, sama ada wajib ataupun sunat.
Sebagaimana yang dinyatakan, kita mungkin bermula dengan penuh keikhlasan namun berkakhir dengan sebaliknya dan mungkin kita bermula dengan kurang memberikan perhatian namun tiba-tiba terasa nikmat dan kelazatan raja' kepada Allah saat dalam rukuk dan sujud dan sebagainya. 
Solat adalah medan yang terbaik bagi menguji keikhlasan. Kalau dalam solat kita boleh berlaku ikhlas nescaya dalam urusan dan ibadat lain juga tidak menjadi masalah.
Diceritakan kepada kami dalam satu kuliah, ustaz berkata, "Kalau mahu tahu seseorang itu ikhlas atau tidak dalam solatnya, maka lihatlah apakah kualiti beliau bersembahyang di masjid sama dengan kualiti beliau sembahyang seorang diri di rumah atau depan lembu!?" Kata kuncinya adalah usaha.
Allah menyatakan yang bermaksud: "Maka berazamlah, dan bertawakal kepada Allah."

Sunday, April 1, 2012

April Fool? Bukan Untuk Kita!

                                                          baby

April Fool? pastinya kita semua sering mendengar mengenai perayaan ini. Perayaan yang disambut pada setiap 1 April yang menghalalkan perbuatan menipu atau berbohong dengan tujuan gurauan dan memperbodohkan orang lain.
April Fool mungkin kelihatan menyeronokkan bagi sesetengah pihak. Hari tersebut dianggap sebagai hari untuk bergurau senda dengan kawan-kawan,saudara mara ataupun sesiapa sahaja dengan cara menipu. Tapi tahukah kita apakah disebalik perayaan april fool dan terfikirkah kita dengan kesan daripada kita menyambut perayaan ini?
Menurut sumber, April Fool merupakan sebuah perayaan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib yang dilakukan melalui cara-cara penipuan. Perayaan April Fool bermula daripada satu episod sejarah tragedi besar yang menimpa kaum Muslimin di Sepanyol pada tahun 1487 M, atau bertepatan dengan 892 H. Oleh sebab itu, mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun ia dikaburi dengan alasan kononnya ia hanya sekadar suatu hiburan atau gurauan belaka.

Namun begitu, dukacita saya tanyakan, adakah kita semua tahu rahsia di sebalik April fool dan tidak marayakannya atau adakah kita hanya mengikut budaya barat dan menyambut perayaan ini?
Jika jawapan kita yang kedua. Maka kita adalah yang tergolong dalam golongan yang rugi. Kita adalah fool yang sebenarnya dan apa yang kita tahu hanyalah meniru perbuatan orang barat tanpa menyelidik itu dan ini semata. Oleh yang demikian, berhentilah mejadi orang yang menurut dan terikut-ikut sahaja,jadilah orang yang hebat,yang membina revolusi dan jauhkanlah diri kita dari di'fool'kan
Dalam sabda Rasulullah S.A.W pun, baginda akan bersabda mengenai perbuatan menikut-ikut ini.
"Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak (dhab) nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?" 
 [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
April Fool ini tidak lain tidak bukan cumalah hari yang mendatangkan kerugian. jelas sekali impak perayaan ini adalah perkara yang buruk sahaja. Sesiapa sahaja pasti akan marah jika diperbodohkan,Malah ada banyak laporan yang menyatakan perbuatan ini ada yang menyebabkan saudara-mara mahupun kawan yang membunuh orang yang menipu kerana tidak dapat mengawal emosi.Bukan itu sahaja, April fool ini jelas sekali boleh menyebabkan seseorang akan hilang kepercayaannya terhadap orang lain. Pemikiran pun asyik bergfikir yang negatif sahaja mengenai orang lain.

Konklusinya, April Fool ini sudah terbukti tidak mempunyai apa-apa yang menarik dan mendatangkan faedah untuk kita sambut.
Jadi, Say No to April Fool!!

Saturday, March 31, 2012

Selamat Menjadi Hero

                                                        baby

Sejak dari kecil, saya mempunyai banyak cita-cita. Saya mahu jadi guru, polis, doktor,peguam hinggalah ke Perdana Menteri. Namun impian saya sejak kecil ialah ingin menjadi hero.
Menurut wikipedia, Hero bermaksud orang yang menyumbang bakti kepada bangsa, negara, dan agama. Hero juga boleh diklasifikasikan sebagai orang yang menonjol kerana keberaniannya dan pengorbanannya dalam membela kebenaran.Selain itu,hero juga adalah pejuang yang gagah berani.
Tapi bagi saya, hero tak semestinya anda mesti menjadi setegap The Hulk, boleh terbang seperti Superman, sehebat Spiderman mahupun Keluangman. Bagi saya orang biasa juga boleh menjadi hero, tidak semestinya kita perlu kuat,gagah dan berani untuk menjadi hero. Cukuplah jika kita "luar biasa" , Kita adalah hero.
Oleh itu, Pada hemat saya, Orang-orang muda seperti kita ini perlulah menanam sifat ke 'hero'an dalam diri. Kita mesti yakin bahawa kita ini adalah hero dan kita mampu melakukan pelbagai perkara hebat di dunia walaupun usia kita masih mentah.
Ini kerana, Walaupun kita masih muda, mentah, tak semestinya kita sentiasa salah. Kita muda, dan sebenarnya orang muda itulah orang yang kreatif dan up-to-date. Sampai bila kita asyik nak jadi ''ordinary" sahaja. Setiap hari melakukan perkara yang sama sahaja,dan langsung tiada perubahan dalam kehidupan. Hidup macam roda yang sekejap berada di atas sekejap pula di bawah. Tak bosan ke??

Kita semua mesti ubah diri kita. Yakinlah hidup kita ni sebenarnya mesti tak ubah seperti perlumbaan f1. Pelumba memecut selaju mungkin dan akhirnya berhenti. Sama macam kita, Kita perlulah memecut dalam kehidupan, fikirkan sesuatu yang luar biasa dan lakukan sesuatu yangawesome. Dan kita cuma akan berhenti apabila kita mati.
Oleh itu, bermula dari sekarang.  Ubahlah persepsi tentang diri sendiri. Jika sebelum ni kita orang yang selalu lupakan Allah, berubalah jadi hamba Allah yang paling awesome. Jika sebelum ini kita selalu mendapat biasa-biasa dalam peperiksaan, ubahlah kepada sesuatu yang luar biasa, jika selama ini, kita asyik melakukan perkara yang sama, ubahlah dengan setiap hari melakukan perkara yang hebat!
Dengan itu,barulah kita sedar bahawa dunia sentiasa memberi peluang. Tinggal kita untuk mewarnakannya dan Allah yang mengizinkannya. Kita adalah super hero kan??
Esok pagi, pastikan anda mulakan hari anda dengan cakap "saya akan lakukan sesuatu yang hebat hari ini" dan pergilah menghadap dunia dengan berani dan yakin bahawa andalahsuperhero dan berbaktilah terutamanya kepada yang Maha Pencipta, Allah SWT.

Percayalah, anda bukan siapa-siapa. Anda adalah hamba yang diciptakan oleh Allah untuk mewarnai dunia. Jangan warnakannya dengan satu warna bosan sahaja iaitu kelabu. Warnakanlah ia dengan warna paling hebat, sehebat diri anda.
Selamat menjadi Hero wahai Orang hebat!!

Sekian.