Tuesday, April 3, 2012

Inilah Makna Bahagia

                                                        Kumbang

Bahagia itu fitrah tabie manusia. Semua orang ingin bahagia. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa ingin dan mencari bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.
• Bahagia itu relatif?
Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.
Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu "moving target" yang tidak spesifik ertinya.
Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.

• Sumber dalaman atau luaran?
Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?
Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.
Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?
• Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.
Realitinya, sudah menjadi "rules of life" (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:

"Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya." Al Mulk.
Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan.
Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.
John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya.
Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.
• Bukti hilangnya bahagia.
Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang ...
Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang "hilang" di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.
• Ujian hidup punca hilang bahagia?

Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!
Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.
Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.
• Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.
Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.
Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor "kesihatan" hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.
•Inilah erti bahagia
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." Al Ra'du 28.
Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
"Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. " (riwayat Bukhari Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
"Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati "
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.
Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara "kesihatannya" agar lahir sifat-sifat mazmumah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara "auto pilot".
KAEDAH MENCARI BAHAGIA MENURUT AL QURAN DAN AS SUNAH:
1. Beriman dan beramal salih.
"Siapa yang beramal salih baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan." (An-Nahl: 97)
Ibnu 'Abbas RA meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qana'ah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu 'Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.
2. Banyak mengingat Allah.
Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana. Firman Allah:
"Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu." (Ar-Ra'd: 28)
3. Bersandar kepada Allah.
Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah berfirman:
"Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya." (Ath-Thalaq: 3)
4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya:
"Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu karena mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar." (An-Nisa: 114)
5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu karena apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula.

Rasulullah SAW bersabda:
"Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: "Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu," akan tetapi katakanlah: "Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan," karena sesungguhnya kalimat 'seandainya' itu membuka amalan syaitan." (HR. Muslim)
6. Melihat "kelebihan" bukan kekurangan diri.
Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki karena dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita. Rasulullah SAW bersabda:
"Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu karena dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu." (HR. Al-Bukhari dan Muslim)
7. Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.
Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, "sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!".
Firman Allah:
"Kami memberi makan kepada kalian hanyalah karena mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih." (Al Insan: 9)
ZIKRULLAH YANG MEMBAWA BAHAGIA
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Zikrullah akan memberi ketenangan buat hati. Ketenangan hati itulah kebahagiaan sebenar. Tetapi kenapa ada orang yang berzikir tetapi hati tidak ataupun belum tenang? (Untuk mendapat jawapannya, tolong rujuk kembali entri dalam blog ini dalam tajuk: Mencari Ketenangan Hati)
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti.
Ingatlah, untuk menjaga kebersihan hati, (selalin berzikir) kita perlu menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.  Jadi berhati-hatilah menjaga hati kerana ia adalah punca ketenangan dan kebahagiaan diri!
Kita harus melatih hati kita supaya sentiasa berniat baik dan inginkan sesuatu yang baik. Sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbanyak doa agar Allah SWT mengurniakan kita hati yang bersih dan selalu dekat dengan-Nya. Itulah beberapa hal yang mungkin dapat kita jadikan landasan untuk mencari kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga sebagai bekal untuk menghadapi kehidupan akhirat nanti.
Sebenarnya kebahagiaan hidup yang hakiki dan ketenangan hanya didapatkan dalam agama Islam yang mulia ini. Sehingga yang dapat hidup bahagia dalam erti yang sebenarnya hanyalah orang-orang yang berpegang teguh dengan agama.

Lelaki-Lelaki Dan Bengkel Besi - Sebuah Cerpen

                                                       Kumbang

Dia bertanya, "Ada berapa tempat dalam hidup kamu, yang kamu tersenyum dengan senyuman yang benar-benar daripada hati?"
Untuk soalan itu, saya sering termangu-mangu sendiri. Tidak banyak tempat yang saya benar-benar tersenyum daripada hati, tetapi setidak-tidaknya saya masih tersenyum, dan pada ketika itu, saya ditanyakan lagi satu soalan oleh lelaki tua itu, soalan yang membuatkan termangu saya menjadi menungan yang panjang.
Lelaki dan bengkel besi
Saya adalah lelaki yang hidupnya kasar, sangat kasar sehingga pernah saya diberitahu, lembut embun pagi pun enggan singgah pada tubuh saya. Tidak tahu saya, mengapa kata-kata begitu dilemparkan kepada saya, tetapi untuk setiap kata-kata yang datang kepada saya, saya yakin ia bukan kata-kata untuk mengambil hati.
Saya bekerja sebagai pembuat parang, dan katakan parang jenis apa yang kamu mahukan, saya pasti sediakan. Parang panjang, parang bengkok, parang pendek, ataupun parang-parang yang kamu lihat daripada filem Lord of The Ring. Katakan sahaja, saya pasti usahakan.
Untuk kerja itulah saban hari saya bermain dengan panas api, merah besi dan tajamnya denting tukul. Semua itu menjadikan otot saya padat, bersegi-segi dan urat-urat seperti tali yang berselirat pada tubuh saya.

Itulah dunia, apa sahaja yang mampu diterangi matahari, pasti mampu juga dilindungi bayang. Dan pekerjaan itu menjadikan saya, lelaki yang pendiam. Sangat pendiam dan saya hanya berbicara dengan denting-denting besi.
Pada ketika itu hanya denting besi yang mampu menyelongkar rasa bahagia dalam hati saya. Semakin kuat dentingnya semakin saya berasa bahagia. Dan seperti manusia biasa yang lain, saya juga punya kisah di sebalik bahagia yang saya peroleh daripada dengting besi itu. Kisah yang saya tidak pernah ceritakan kepada sesiapa, tetapi tetap diketahui oleh seorang lelaki tua.
Lelaki tua yang lebih hormatnya adalah adik kepada arwah ayah saya.
Bapa saudara.
Hari itu, pada ketika saya sedang peluh sudah membasahi wajah, hanya kerana bagi menempa parang Barrow, lelaki tua itu datang dengan wajah yang tenang. Dengan kopiah lusuh yang hanya hilang pada ketika mandi dan tidur, dengan baju Melayu cekak belanga ungu yang sudah tidak berbutang dan seluar hitam yang sudah nampak kelabu, dia duduk di pangkin, memerhati dengan pandangan orang yang penuh pengalaman hidup.
Dia tidak saya sambut, tidak saya pedulikan kerana saya sangat tahu, setiap kali dia datang, dia hanya datang dengan niat mengubah hati saya. Bukan sekali dua tetapi berkali-kali, namun kali ini, wajahnya sudah seperti nampak pada penghujung sabar, dan saya tahu, saya hanya perlu bersabar sedikit sahaja lagi bagi memastikan, lelaki tua itu tidak akan datang untuk selama-lamanya ke tempat penuh api ini.
"Sampai bila kamu mahu membuat parang?" Itu soalan pertamanya kepada saya.
Parang yang sudah terlihat bentuknya, saya kembali cucuh ke timbunan arang batu yang merah. Panas api itu sama dengan panas soalan daripada lelaki tua itu. Dan panas itu membuat saya hanya diam berdiri.
"Kamu ada ijazah, dan kamu ada pengalaman kerja yang bagus, mengapa kerja yang begini juga yang kamu kejarkan?" Lelaki tua itu terus bertanya dan saya terus diam memerhatikan bilah parang yang kembali merah.
"Sekiranya bengkel besi itu milik kamu, pak cik faham yang kamu mahu berniaga. Tetapi bengkel ini bukan kamu yang punya. Kamu hanya pekerja kepada Ah Chai, dan paling utama pak cik tahu, kamu tidak ada perancangan apa-apa pada kerja kamu ini. Sangat sia-sia ijazah dan pengalaman kerja kamu."
Saya tahu, diam adalah pertahanan terbaik saya. Saya tahu, dengan diam saya ini, lelaki tua itu akan berlalu, dan bagi mempercepatkannya pergi, bilah parang yang merah itu saya ketuk dengan sekuat hati, biar dentingnya menyerang gegendang telinga lelaki tua itu.
Ting! Ting! Ting! Sekuat hati, itu yang saya niatkan. Ting! Ting! Ting!
Dan sekuat hati juga, lelaki tua itu menarik bilah parang yang merah daripada tangan saya, dan terus dicucuhkannya kepada timbunan arang batu yang menyala di hadapan saya.
"Saya tahu mengapa kamu kerja di sini. Kamu bekerja di sini kerana kamu mahu menebus dosa kamu kepada arwah ayah kamu, dengan menyambung pekerjaannya sebagai tukang besi. Tetapi kamu lupa, ayah kamu menyekolahkan kamu, bukan kerana mahu kamu menyambung pekerjaannya ini, tetapi mahu kamu bekerja yang lebih baik! Dan ini bukan caranya kamu menebus salah kamu kerana kamu tidak pernah bersalah, tetapi kamu cuma tidak dapat menerima ujian hidup." Lelaki tua itu mula bersyarah, dan saya masih tidak menyangka lelaki tua itu masih kuat dan mampu merentap bilah parang daripada tangan saya.
"Mengapa kamu diam?" Lelaki tua itu mula keras suaranya.
"Soal hati, sampai bila pun pak cik tidak akan tahu," jawab saya untuk pertama kalinya.
"Berapa kali pak cik mahu katakan, kamu tidak pernah bersalah ke atas kematian ayah kamu. Kamu tidak pernah bersalah sedikit pun. Tetapi sekiranya kamu berasa begitu, apa yang kamu buat ini tidak akan menyembuhkan luka hati kamu. Biar seribu bilah parang pun kamu siapkan, luka hati kamu tidak akan sembuh, dan tidak akan pernah sembuh!" bidas lelaki tua itu.
Atas kerana hormat, biarpun hati saya sudah diserang rasa tidak senang pada kata-kata dan perlakuan lelaki tua itu, saya tetap mencuba tenang dan diam.
"Kamu mahu memberontak kepada Tuhan?" soalnya, dan soalan itu membuatkan saya berpaling buat pertama kali kepada dia.
"Kata Imam Ghazali, "Cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah 'memberontak' kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Dan kamu ini sudah melakukan lebih daripada kebiasaan hidup. Kamu berhenti kerja, kamu berhenti tersenyum, muram, diam, dan malah sudah jarang betul saya melihat kamu solat."
"Saya yang diuji, bukan pak cik. Sekiranya pak cik berada di tempat saya, tidak mungkin pak cik akan berkata begitu," bidas saya geram dengan suara yang ditahan-tahan agar terdengar masih hormat kepada dia..
"Itu memang benar, tetapi apa yang berlaku ke atas diri kita itu adalah perkara kecil, perkara yang lebih besar adalah apa yang terjadi kepada hati kita? Jadi kematian ayah kamu itu bukan soalnya kerana setiap manusia akan mati, tetapi apa yang terjadi kepada hati kamu. Apa yang terjadi? Apa yang jelas, kamu seperti tidak redha dan hati kamu seperti gagal dalam ujian Tuhan. Jangan sesekali hati kamu gagal pada ujian. Kamu mungkin boleh berkali-kali gagal di luar. Gagal pada pelajaran, gagal pada cinta, gagal pada usaha, gagal pada pekerjaan, tetapi jangan... jangan sesekali gagal pada hati. Kerana pada ketika kamu gagal pada hati, kamu akan hanyut pada kesempitan hidup, dan hanyut pada kegagalan," terang lelaki tua itu.
"Gagal saya, tidak akan membawa pak cik iku sama gagal," hujah saya.
"Kamu adalah anak abang saya, dan kamu sudah saya anggap sebagai anak saya sendiri. Jadi, adakah seorang 'ayah' sanggup melihat anaknya 'gagal'? Tidak, saya tidak sesekali sanggup melihat kamu gagal kerana walaupun saya cuma bapa saudara yang miskin, yang belajar tidak tinggi, tetapi sayang saya kepada kamu, tidak kurang daripada sayangnya ayah kamu kepada kamu!"
Entah bagaimana, seketika kata-kata lelaki tua itu seperti air yang disimbah pada hati saya. Seketika, hati saya seperti lumpur keras yang terkena air, dan mula melembut. Saya diam tetapi diam saya kali ini berbeza, diam yang saya tidak tahu entah apa perasaannya.
"Ada berapa tempat dalam hidup kamu, yang kamu tersenyum dengan senyuman yang benar-benar daripada hati?" soal dia lagi.
"Senyum itu tidak perlu dikira. Sekiranya dikira juga, kita hanya akan berjumpa dengan lebih banyak tangisan," balas saya lalu tersenyum sinis.
"Kamu hanya akan berjumpa tangisan, apabila kamu tidak berjumpa dengan senyuman pada tempat itu. Sekiranya kamu berjaya senyum pada tempat itu, saya yakin kamu tidak akan lagi begini," jelas dia.
Kata-katanya itu membuatkan saya tertarik untuk lebih tahu, namun saya memilih diam kerana hanya itu perkara terbaik yang mampu saya buat. Pada ketika itu juga, lelaki tua itu mengambil bilah parang yang sudah merah dan menukulnya dengan sekuat-kuat hati. Terbit asap dan percik api, dan ia membuatkan saya semakin tertanya-tanya.
"Rasulullah pernah bersabda, "Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!" Seperti besi yang kamu tempa ini. Adakah besi yang kamu tempa ini sudah sedia bersih? Pasti ia adalah besi hitam, kotor dan penuh karat. Adakah membasuhnya dengan air akan menjadikan besi itu bersih? Tidak mungkin dan hanya dengan api yang mampu membuatkannya bersih, suci dan lembut bagi ditempa menjadi sesuatu yang berguna."
"Apa kena-mengena dengan saya?" soal saya pantas kerana sudah terlalu jauh dia membawa saya.
"Allah 'mendidik' kita secara langsung dengan ujian-ujianNya. Ujian Allah itu bolehlah dikatakan seperti relau yang berisi api itu, dan besi itu adalah diri kita. Besi yang dibersihkan dan dilembutkan oleh api. Itulah ujian Allah bagi mendidik hati kita supaya tahu maknanya syukur, sabar, redha, merendah diri, ikhlas, dan semua perkara-perkara baik. Itulah diri kamu, kamu sekarang sedang berada di dalam relau, tetapi kamu hanya melihat panasnya api, mengapa tidak melihat apa yang akan kamu peroleh sekiranya kamu sudah siap 'ditempa'? Itulah hikmah, tetapi kamu tetap tidak 'siap' kerana kamu enggan melihat hikmahnya."
Saya pantas berkata, "Bagaimana saya mahu melihat diri saya siap ditempa?"
"Dengan tersenyum kepada ujian-ujian Allah. Senyum bukan kerana putus asa, tetapi senyum kerana reda dengan ujian-ujian Allah. Kamu senyum kerana kamu berbaik sangka kepada Allah, dan kamu senyum kerana kamu tahu ujian-ujian Allah hadir kerana kasih sayang-Nya melebih murka-Nya, dan kamu sedar kamu masih ada peluang bagi kembali ke jalan yang benar, jalan yang diredai Allah."
Saya terdiam dan dia menyambung lagi,
"Itulah tempat, yang apabila kamu mampu tersenyum di situ, kamu akan senang untuk tersenyum di mana-manapun. Kamu tidak akan temukan diri kamu menangis selain tangisan kerana taubat kepada Allah. Walaupun saya tahu, saya tidak mungkin menggantikan ayah kamu dalam hati kamu, saya boleh pastikan, saya juga seperti ayah kamu, mendoakan kamu pada setiap kesempatan.  Jadi, saya mohon untuk kali kamu dengarlah kata saya. Kata seorang lelaki tua yang miskin dan bodoh ini."
Dan seperti biasa lelaki tua itu pergi, tetapi kali ini, perasaan saya sudah tidak seperti biasa kerana ada sesuatu yang tersisa pada hati saya, sesuatu yang saya hanya mampu luahkan menjadi tangisan yang panjang.

Duahi Muslimah, Mahalkan Maharmu Maruahmu

                                                        baby

Alhamdulillah , didetikkan hatiku untuk menulis artikel tentang maruah seorang muslimah .Muslimah, kamu itu cantik sebenarnya. Walaupun kau tutup seluruh auratmu, sesungguhnya yang tertutup itu lebih terjaga kualitinya daripada yang terdedah.
Di sini, inginku coretkan tentang maruah. Tidak dapat dinafikan lagi, setiap muslimah yang sedang ataupun telah meniti alam remajanya pernah mengalami satu situasi ataupun ujian wajib bagi dirinya iaitu hatinya akan jatuh hati dengan seorang Adam .
Wahai muslimah sahabatku, mari kita faham perspektif pemikiran lelaki terhadap wanita. Sepertimana yang kita tahu, lelaki mudah meluahkan kata-kata manis untuk mendapatkan madu cinta daripada seorang Hawa . Madu cinta itu akan diteguk untuk menghilangkan dahaga yang tidak berpanjangan.Sepertimana lebah, dia tidak akan hinggap pada bunga yang telah diambil madunya. Dia akan pergi ke bunga lain untuk mendapatkan madu.  Itu gambaranku. Ima yakin, ramai sahabat Ima yang faham apa yang Ima gambarkan itu.
Madu itu maruah seoarang wanita. Yang sememangnya maruah wanita muslimah itu sangatlah cantik. Jangan kau berikan pada lebah-lebah yang tidak layak kau berikan madumu itu. Tapi, bagaimana kalau sudah terlanjur cinta ? Baiklah, Ima sangat faham situasi ini kerana Ima sendiri pernah mengalami pengalaman begini. Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah Taala dan bimbingan Ummi Ima serta sahabat-sahabat, Ima sudah nampak jalan penyelesaian.

Begini sahabatku sayang, masih belum terlambat untuk kamu berubah niat. Ima faham, perasaan cinta itu satu fitrah. Ima tidak dapat menafikan fitrah tersebut. Tetapi, cuba kita halakan fitrah cinta itu kepada Allah. Mengapa tidak ? Lihat di sekeliling kita, apa yang Allah Taala berikan kepada kita ? Macam-macam nikmat dan pinjaman-Nya kepada kita yang tidak terhitung. Lihat pula pada ujian-ujian yang ditimpakan kepada kita. Sesungguhnya, Allah Taala menguji setiap hamba-Nya berdasarkan apa yang hamba-Nya mampu sahaja. Itu merupakan salah satu daripada tanda cinta Allah kepada hamba-Nya tetapi ramai hamba-Nya yang tidak menyedari akan hakikat itu .
Cinta manusia . Sememangnya indah, dibalas setiap kali dilafaz. Didengar dan dikongsi setiap kali kesedihan dirintih. Kamu yakin setiap apa yang dilafaznya itu ikhlas ? Kamu yakin bahawa dia benar-benar berkongsi kesedihan dengan kamu ? Mungkinkah, dia akan mengadu kepada kawan-kawannya , betapa menyampahnya dan meluatnya dia dengan sikap kita. Bukan mahu buruk sangka tetapi kadang-kadang ia perlu dalam beberapa situasi untuk menyelamatkan kita daripada hanyut .
Jadi, bersederhanalah dalam berhubung dengan kaum Adam. Jagalah kesucian cinta itu untuk diberikan kepada pasangan yang sah dengan ikatan ijab dan qabul kelak. Tidak salah untuk berhubung dengan lelaki, tetapi dengan syarat, kamu mesti ada prinsip kamu yang tersendiri dan kekalkan prinsip kamu walau digoda bagaimana cara sekalipun. Misalnya, prinsip kamu adalah " Aku tidak akan sesekali mengucapkan madah-madah cinta walaupun pada hakikatnya aku rasakan aku betul-betul sayangkan mamat nih". Prinsip itu biarlah sesuatu yang menjaga maruah cinta kita. Semoga bermanfaat buat kalian. Wallahu'alam.

Bank Muamalat: Perbankan Islam Untuk Semua

                                                        bank

Shah Alam - Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) kini melancarkan cawangan terbarunya di Laman Seri, Shah Alam. Majlis dilancarkan oleh Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Tuan Mohtar Bin Hani.
Cawangan terbaru Bank Muamalat ini bertempat di tingkat satu, No. G03A & 103A, Laman Seri Business Park, No. 7, Jalan Persiaran Sukan, Seksyen 13, Shah Alam.
Dalam majlis pelancaran baru-baru ini, Tuan Mohtar menjelaskan Bank Muamalat mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan dari setahun ke setahun.
"Walaubagaimanapun, usaha untuk mempromosikan Bank Muamalat harus diteruskan untuk memastikan Bank Muamalat tidak terkesan dengan arus globalisasi yang semakin membangun," jelas beliau lanjut.
Beliau menambah, penerimaan pengguna terhadap produk bank yang bersifat Islamik menyebabkan Bank Muamalat melakukan perubahan dan dalam pada masa yang sama menyokong industri kewangan tempatan."
Bank Muamalat kini dalam usaha untuk mengenalpasti lokasi yang lebih strategik dan memudahkan pengguna.
Bank Muamalat cawangan Laman Seri menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada akaun pengguna, perkhidmatan untuk syarikat, perkhidmatan bank antarabangsa dan banyak lagi.