Wednesday, November 30, 2011

Usah Memilih Kerja

                                                      alt

Pagi Isnin. Kebanyakan jalan raya di kota dipenuhi kenderaan semenjak jam 6.30 pagi lagi. Kesesakannya akan memuncak mulai jam 7.30 hingga 8.00 pagi. Bas, teksi, koc LRT mahupun komuter turut dipenuhi para penumpang. Kesendatannya akan reda seketika apabila kakitangan awam mulai masuk ke pejabat.
Namun, jalan-jalan raya akan mulai sesak kembali dengan gelombang kesesakan kedua di antara jam 8.30 sehingga 9.00 pagi. Ketika ini, giliran kakitangan swasta pula memenuhi kereta dan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Pada waktu petang, mulai jam 5.00 membawa hingga ke jam 7.00 malam, jalan-jalan raya dan rel juga sesak apabila para pekerja pulang ke rumah masing-masing.
Inilah fenomena kesesakan yang disebabkan oleh mereka yang bekerja daripada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau 9.00 pagi hingga 5.00 petang, lima atau enam hari seminggu. Mereka yang memenuhi jalan-jalanraya diwaktu-waktu puncak ini lazimnya bertugas sebagai kakitangan awam mahupun swasta. Mereka pekerja pejabat.
Di pinggir-pinggir kota khususnya di kawasan perindustrian pula, masa paling sesak adalah jam 7.00 pagi, 3.00 petang dan 11.00 malam. Ini adalah masa sibuk kerana permulaan syif bagi pekerja-pekerja kilang adalah pada waktu tersebut.
Waktu-waktu kerja kakitangan awam, swasta mahupun pekerja-pekerja kilang adalah tempoh kerja yang biasa kita tahu dan sudah dianggap waktu kerja standard. Namun, ada juga kakitangan yang bertugas pada waktu yang khusus, tetapi on call atau perlu hadir bila dipanggil bertugas pada bila-bila masa. Profesyen polis, askar, bomba, kakitangan hospital dan juga wartawan adalah di antara profesyen yang tidak menentu waktu bertugasnya.
Oleh kerana sebilangan besar mereka yang bekerja tertakluk kepada masa kerja seperti di atas, ramai yang beranggapan, inilah kerja yang sebenarnya. Hinggakan, ramai pencari kerja yang memasuki pasaran pekerjaan menganggap bertugas pada masa yang lain daripada itu bukan kerja namanya. Justeru itu, profesyen yang tidak terikat dengan masa kerja sebegitu dianggap pelik, tidak menjamin masa depan, malah tidak dianggap sebagai kerja pun.
Kerana itu, pekerjaan yang mempunyai waktu kerja berbeza daripada yang normal tidak menjadi pilihan si pencari kerja melainkan kerana terpaksa. Kalaupun ada yang memilih kerja-kerja itu, mereka hanya bekerja untuk sementara. Apabila ada tawaran kerja dengan waktu standard, dengan senang hati mereka akan meninggalkan kerja yang ada.
Sebenarnya, ramai yang tidak sedar, kerja-kerja di luar waktu normal itu lebih menguntungkansamada daripada segi material dan fizikal. Seorang pakcik yang menjual nasi lemak di Taman Tun Dr. Ismail, hanya berniaga daripada jam 6.30 pagi hingga jam 11.00 pagi iaitu empat jam setengah sahaja. Seorang pemuda penjual char kuey teow di Gombak pula berniaga daripada jam 6.30 petang hingga 12.00 malam iaitu lima setengah jam sehari.
Saya mengenali seorang perunding perniagaan yang bekerja hanya dua hari seminggu. Saya juga pernah membaca kisah mereka yang bekerja hanya tiga bulan setahun pada bulan puasa hingga hari raya, atau pada musim haji semata-mata. Setelah habis musim, mereka berehat sembilan bulan lamanya untuk berbuat apa yang mereka suka. Beberapa orang rakan saya bekerja pada waktu malam sahaja membuat rekabentuk untuk sebuah syarikat di Amerika.
Ramai lagi yang bekerja di rumah, samada dengan membuat kuih untuk dibekalkan ke hotel-hotel dan syarikat penerbangan. Sudah tentu ramai lagi yang bekerja tidak ikut waktu bekerja yang statik dengan perniagaan online masing-masing.
Kini, semakin ramai yang memilih kerja yang tidak memerlukan seseorang itu ke pejabat atau kilang. Ia bukan lagi dianggap kerja sambilan atau kerja kedua untuk menambah pendapatan. Sebaliknya, ia adalah kerja utama yang menjadi mata pencarian.
Justeru itu, bagi si pencari kerja, anda tidak semestinya memfotostat resume dan mengelek fail ke mana-mana pejabat lagi. Tidak perlu lagi duduk berbaris menanti untuk ditemuduga. Sebaliknya, anda hanya perlu membuka mulut atau internet dan singgah ke tempat mereka yang mempunyai perniagaan di luar waktu pejabat. Peluangnya lebih besar. Pulangannya juga lebih tinggi.
Justeru itu, jangan memilih kerja. Jangan juga memilih waktu kerja!

Ku Cinta Dia

                                                       alt

Dialah Allah. Maha Pemurah. Maha Penyayang.
Maha Pencipta, Maha Pengampun.
Maha Pengurnia, Maha Pemberi Rezeki, Maha Pembuka Rahmat.
Maha Pelapang Hidup, Maha Pemberi Manfaat.
Dialah al-Wadud, Yang Maha Mencintai.
Katakanlah, ku cinta Dia.
Mengapa Kita Mencintai Allah S.W.T?
1. Sebagai bukti bahawa kita adalah hamba yang  bersyukur
وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالأبْصَارَ وَالأفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur.
(Surah Al-Nahlu 16: Ayat 78)
Alhamdulillah. Kita boleh mendengar. Tetapi ada insan yang dilahirkan pekak sekaligus bisu.
Kita boleh melihat. Ada insan yang dilahirkan tidak mampu melihat. Ada yang kehilangan penglihatannya.
Kita boleh berfikir secara waras. Ada insan yang perkembangan akalnya terbantut atau lambat.
Adakah kita bersyukur?
Bagaimana kita bersyukur?
Tidak lain melainkan dengan ketaatan dan kecintaan kepada Allah S.W.T. Pendengaran, penglihatan dan hati, perlu dihiasi dengan ketaatan dan kecintaan kepada-Nya.
2. Demi mencapai kemanisan Iman

Sabda Rasulullah S.A.W. :
"Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman : (iaitu) Allah S.W.T dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah S.W.T, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api."
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)
Manisnya coklat berkualiti itu menggembirakan.
Manisnya, lazatnya makanan kegemaran itu menyeronokkan.
Manisnya senyuman dan wajah itu menenangkan.
Manisnya tutur bahasa itu membahagiakan.
Namun halawatul (kemanisan) Iman itu bagaimana?
Ianya suatu rasa yang lebih hebat.
Kemanisan Iman, satu anugerah  daripada Allah S.W.T.
Kemanisan Iman, rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T.
Kemanisan Iman itu adalah kegembiraan hati, tenangnya jiwa dan bahagianya hidup.
من لم يذوق لا يفهم
Siapa yang tidak merasa, tidak memahami.
 
Halawatul Iman itu tidak dapat dirasai melainkan oleh mereka yang sempurna iman dan benar-benar mencintai Allah S.W.T dan Rasul-Nya.
Kemanisan Iman, adalah sesuatu yang kita perlu berusaha sedaya-upaya untuk merasainya.
Kita taat dan mencintai Allah S.W.T dan Rasul-Nya, demi kemanisan Iman.
3. Untuk meraih Cinta Yang Maha Mencintai
Daripada Abu Darda' r.a. bahawasanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: "Di antara doa Nabi Daud 'alaihissalam ialah: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cinta-Mu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu dan aku memohon kepada-Mu perbuatan yang dapat menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin."Dan bila Rasulullah s.a.w  mengingat Nabi Daud 'a.s beliau menggelarinya sebaik-baik manusia dalam beribadah kepada Allah S.W.T."(HR Tirmidzi 3412)
Betapa manusia mengharap cinta daripada kekasih, sifat raja' (harap) itu lebih utama kepada Allah S.W.T.
Betapa manusia berusaha memenangi cinta insani, cinta daripada Allah S.W.T itu lebih utama untuk diraih.
Itulah cinta hakiki yang kita dambakan.

Mencintai Allah S.W.T tidak akan pernah ada erti kecewa atau dikhianati.
Cinta kepada-Nya pasti dibalas dengan cinta daripada-Nya, dibalas dengan pelbagai curahan nikmat dan rahsia yang seni.
Berbahagialah jiwa yang taat dan cinta kepada Allah S.W.T, kebahagiaan di dunia yang sementara dan kebahagiaan di syurga yang kekal abadi.
4. Kerana Allah S.W.T telah memperingatkan dan memberi ancaman:
قُلْ إِنْ كَانَ أبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya,maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya". Dan Allah S.W.T tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.
(Surah At-Taubah 9: Ayat 24)
 

Kepada-Mu Kami Memohon:
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cinta-Mu, dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan kecintaan terhadap amal yang mendekatkan diriku kepada-Mu. Keampunan-Mu ku pohon, andai ada selain-Mu yang lebih utama dalam hatiku.

Monday, November 28, 2011

12 Barisan Di Akhirat

Assalamualaikum para pembaca sekalian.. Harap para pembaca sekalian sihat sejahtera. Di sini admin ingin mencoretkan sebuah pedoman yang bakal menambah ilmu kalian mengenai akhirat. Coretan ini berkisahkan 12 barisan yang berhimpun di akhirat kelak.. Admin menggunakan sebuah sumber yang admin dapat daripada seorang rakan admin di facebook. Oleh itu,admin persembahkan artikel itu dibawah ini ye..

              

Suatu ketika, Muaz b Jabal ra mengadap Rasulullah SAW dan bertanya: “Wahai Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT:”Pada sangkakala ditiup,maka kamu sekalian datang berbaris-baris”Surah an-Naba’:18 Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata. Lalu menjawab: “Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar,bahawa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri….” Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut:

BARISAN PERTAMA
Di iring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: “Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”
BARISAN KEDUA
Diiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: “Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”
BARISAN KETIGA
Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. “Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”
BARISAN KEEMPAT
Diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka. “Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jualbeli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka…”
BARISAN KELIMA
Diiring dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar. “Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”
BARISAN KEENAM
Diiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. “Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”
BARISAN KETUJUH
Diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. “Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran,maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”
BARISAN KELAPAN
Diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.”Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”
BARISAN KESEMBILAN
Diiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. “Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”
BARISAN KESEPULUH
Diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta. “Mereka adalah orang yang derhaka balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”
BARISAN KESEBELAS
Diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran. “Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”
BARISAN KEDUA BELAS
Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka,datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: “Mereka adalah orang yang beramal salih dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga,mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih…” Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah, maka garanglah terhadap dirimu sendiri. Jika engkau merasakan manisnya berhubung dengan Allah, tahulah engkau betapa peritnya berpisah denganNya…..

Sekian,inilah coretan admin untuk hari ini dan pada saat ini. Diharap kalian berusaha la dlm kehidupan yg menjadi tempat persingahan kita untuk mencari bekalan akhirat dan berusaha untuk menjadi hamba-Nya yang tergolong dalam barisan yg ke-12. Insyaallah kalian semua boleh jika hendak seribu daya. Syukran Admin ucapkan kepada kalian kerana membaca artikel ini.

Sunday, November 27, 2011

Pohon Cinta

                                                          alt

“Allahuakbar, Allahuakbar, Lailahailallah.” Tangannya pantas mencapai telefon bimbit di sebelah, mematikan nada deringan. Lagu Maher Zain itu segera terhenti. Beberapa saat berlalu, matanya masih jua tertutup.
Hati digagahkan, tangan segera meraba di dalam kegelapan, mencari sesuatu. Dia duduk di atas katil itu, sambil memegang buku Bidayatul Hidayah, karya al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali R.A dan membuka muka surat yang dikehendaki.
Subuh yang hening itu dimulakan dengan doa dan puji-pujian bagi yang selayaknya menerima pujian, Allah S.W.T.
Ahlam segera bangkit, bersiwak, dan mempersiapkan diri untuk beribadah. Subuh hanya akan tiba kurang setengah jam sahaja lagi.

Dengan lafaz bismillah, membaca surah an-Nas sebelum memulakan solat, dia hanyut di bawah kelemahannya, menghadap Yang Maha Kuasa.

Pagi itu cerah seperti biasa, awan dan matahari juga seperti biasa. Semua yang hidup itu pasti sedang bertasbih, memuji kebesaran Allah S.W.T. Selepas Isyraq, dia menarik nafas, melangkah menuju ke kelas. Pusat Asasi UIAM, PJ hening ketika itu. Sudah menjadi kebiasaanya, dia bahagia.
Tanpa disedari, ada yang melihat dari jauh. Hanya beberapa langkah dibelakangnya.
“Ahlam.” Tegur yang melihat itu.
Ahlam tidak segera menoleh, walaupun langkahnya terhenti. Dia beristighfar, kerana dia tahu suara itu milik seorang 'brother,' panggilan yang digunakan untuk pelajar lelaki di situ.
“Assalamualaikum, Ahlam.” Tegur suara itu lagi.
Pemilik suara itu berkira-kira, mungkinkah Ahlam akan pergi meninggalkan dia begitu sahaja, atau sudi mendengar bicaranya.
Dia melihat sekeliling, hanya ada beberapa orang rakannya tiga langkah daripada dia. Dia tidak mahu bersendirian dengan Ahlam. Mestilah, haruslah, pertemuan itu berteman.
Ahlam hanya menjawab salam di dalam hati. Dia menutup bahagian bawah mukanya dengan lengan baju kurungnya, lalu tunduk seraya berkata.
“Kenapa ya, perlu berjumpa di waktu begini? Ana ada kelas.”
“Bukankah kelasmu hanya akan bermula satu jam saja lagi? Masih ada waktu."
"Asif.. ana terpaksa menganggu seketika. Ana tidak ada nombor anti untuk bertanya perkara ini.”Faqeh menjawab.
Dia terdiam sesaat. “Sudahkan sister Farah berjumpa anti?” Tanyanya.
“Sudah, dan jawapan sudah diberikan.” Ahlam menjawab tegas.
Hatinya bergolak, perasaan bercampur baur. Dia tahu fitnah tidak akan timbul kerana Faqeh berteman, tapi mana mungkin dia berdiri di situ walaupun sesaat dua kerana hanya dia seorang di pihak muslimah.
Dia segera berlalu. Tidak betah berlama. Faqeh terkejut tapi tidak menghalang.
“Salahku juga.” Fikirnya.
*****
Lalu dia teringat pertemuannya dengan sepupunya, Farah, semalam.
“Allah mengetahui segala sesuatu." Farah memulakan bicara.
“Faqeh, dia menolak. Sudah dua kali kamu cuba taqdim, cukuplah.” Tambah Farah.
“Tapi aku yakin dia jodohku.” Tegas Faqeh.
“Apakah keyakinanmu itu bersandarkan Allah? Bagaimana pula dengan keyakinannya menolak kamu? Adakah itu cuma permainan di mata? Faqeh, dia sudah istikharah. Dia hanya memaklumkan belum tiba masanya saja. InsyaAllah, lepas habis pengajian, cubalah kamu mengkhitbahnya sendiri.” Balas Farah.
“Aku juga sudah istikharah, dan ternyata dia jawapanku.” Kata Faqeh.
Pelajar Asasi Kejuruteraan itu sukar menerima hakikat.
“Istikharah tidak bermakna jika kamu berat hati pada satu jawapan sahaja. Kamu harus bersedia untuk pilihan yang lain. Itu salah kamu di situ.”
Farah memandang sayu sepupunya itu.
“Hanya satu semester saja lagi. Habiskanlah pengajianmu, biarkan dia juga belajar. Kamu itu bukan setakat seorang pelajar, tapi seorang Muslim. Tanggungjawabmu lebih berat, tanamlah dulu sifat taqwa, insya-Allah, perjalananmu akan dipermudahkan.”
Kata Farah menutup bicara. Dia berlalu meninggalkan Faqeh dan temannya di kafeteria.
Faqeh menoleh ke arah temannya, meminta kekuatan walaupun sedikit.
'Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.' [Q.s. An-Nisa:19 ]
Ujar temannya, memahami maksud pandangan Faqeh.
Faqeh mengusap muka dengan kedua tapak tangannya, mengucapkan terima kasih lalu beransur ke musolla.
Dia hendak bertaubat, kerana walau sekejap cuma, dia sudah lupa tanggungjawab yang lebih utama, iaitu menjadi hamba kepada Pencipta yang Agung.
*****
Farah tiba di dalam bilik, meletakkan beg di atas meja, dan mengingat kembali peristiwa ketika dia menyampaikan hajat Faqeh buat kali kedua kepada Ahlam.
“Petunjuk awak adalah dia bukan?” Tanya Farah.
Ahlam tenang, lalu menganggukkan kepala.
“Tapi kenapa harus menolak?” Tanya Farah lagi.
Ahlam tersenyum, lalu menjawab.
“Belum tiba masanya. Kami masih muda, iman kami masih baru bercambah.”
Suasana senyap seketika.
“Cinta itu sempurna seperti pohon, akarnya tertanam dalam hati, batangnya kukuh dalam kata, buahnya terkandung dalam perbuatan. Persis seperti iman, tetap dalam hati, terucap dalam lisan, dan dibuktikan oleh amal. Pernah saya terbaca ayat itu.” Tambahnya lagi.
“Awak cintakan dia?” Farah menambah persoalan.
“Cintaku kepada Allah lebih penting, dan juga Rasulku, adakah awak hendak saya melupakan itu?”Ahlam menjawab dengan pertanyaan.
“Boleh saja kalau kamu bertunang dahulu sementara belajar, dan bernikah selepas tamat.” Farah mengutarakan pandangan.
“Pertunangan itu bagi saya, adalah untuk mengenali satu sama lain. Baguslah kalau ramai yang memikirkan begitu. Tapi saya sendiri yakin dengan pilihan Allah, biarlah saya mengenali jodoh saya selepas kami dinikahkan.”
Terang Ahlam. Farah senyap.
“Aduhai Farah, ingatkan hatimu, ingatkan nafsumu, bahawa kematian itu dekat sekali. Mungkin ramai berkata, kita berada di sini untuk menuntut ilmu. Tapi bukan itu semata-mata. Seperti yang ku katakan, cinta itu seperti pohon, laksana iman.
Teguhkanlah iman dulu, siramilah dengan ketakwaan, barulah sempurna cintamu itu. Marilah kita letakkan kepercayaan kepada Allah, saya yakin, Dia akan menjaga hati kami berdua.
Insya-Allah, setelah tamat belajar, barulah mendapat keberkatan. Habiskan tanggungjawab kita sebagai pelajar dan seorang anak dahulu.”
Ahlam berkata sambil memegang tangan Farah. Dia senyum, hatinya beristighfar.
Farah membalas senyuman Ahlam, lalu mengangguk tanda faham.
Dia tahu, ramai yang kalah dalam perjuangan atas nama cinta. Ahlam menjaga maruahnya sebagai seorang muslimah dengan rasa malunya, dengan kesabarannya.
Dia tahu, kalau ada jodoh, pasti akan bersatu jua. Lalu dia juga beristighfar di dalam hati, kerana dia tahu dan dia pasti, hatinya selalu sahaja leka namun Allah itu Maha Pengampun. Maka dia memohon keampunan.

Artikel iluvislam.com