Tuesday, January 31, 2012

4 Kata-Kata Kunci Ketenangan

                                                         alt

Kehidupan di dunia ini menjanjikan seribu satu ujian yang mencabar kekuatan diri. Kata bijak pandai, bukanlah masalah itu sudah menjadi mudah, namun anda telah menjadi semakin kuat. Begitulah hikmahnya Allah menurunkan ujian demi ujian kerana dengannya, manusia akan kembali mengingatkan Tuhan yang menciptakannya dan memohon dipinjamkan kekuatan daripada-Nya Yang Maha Kuat.
Namun, kita ini tetap manusia yang punya hati budi dan perasaan. Setiap kali ujian, kita pasti merasa kegusaran. Seorang ulama Sufi di zaman tabi'in, Imam Hasan al-Basri menunjukkan kita jalan ketenangan dengan berpesan. Empat kata-kata yang merupakan kunci meraih ketenangan ialah:
1. "Aku tahu bahawa rezekiku tidak akan jatuh ke tangan orang lain, maka hatiku menjadi tenang."
Kata-kata ini membawa kefahaman kepada kita bahawa manusia yang faham benar konsep rezeki pasti tidak akan mengorbankan masa untuk persediaan akhiratnya demi kepentingan duniawinya. Mana mungkin ditinggalkan solatnya walau satu waktu, hanya kerana ribuan ringgit. Mana mungkin diabaikan pahala menjaga ibu yang tua kerana kepentingan lain. Mana mungkin ditinggalkan ibu tuanya yang memakai pampers dengan linangan air mata, semata-mata untuk menjadi si kaya dengan merantau ke bumi lain, sedangkan pendapatannya hari ini sudah lebih daripada cukup.
2. "Aku tahu bahawa tugasku (sebagai hamba) tidak akan dikerjakan orang lain, maka aku sibukkan diriku dengannya."
Sahabat-sahabat yang kucinta kerana Allah,
Jika kita ditugaskan untuk solat lima waktu, maka kewajipan itu ke atas diri kita. Tidak diterima solat orang lain yang kita bayar untuk menggantikan kita menunaikan solat. Jika kita dibebani dengan kewajipan menutup aurat, maka tidak diterima dari orang lain yang kita bayar untuk menggantikan kita menutup aurat. Jika kita sebagai suami yang membiarkan anak isteri tanpa makanan kerana kelalaian, lalu ada insan yang bersimpati menghulurkan bantuan, kewajipan kita tetap tidak terangkat. Kita adalah pendosa kerana mengabaikan kewajipan yang telah diamanahkan.
3. "Aku yakin Allah memerhatikanku, lalu aku malu untuk menjatuhkan diriku ke dalam dosa."
Allahu Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:
وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ وَنَعۡلَمُ مَا تُوَسۡوِسُ بِهِۦ نَفۡسُهُ ۥ‌ۖ  وَنَحۡنُ أَقۡرَبُ إِلَيۡهِ مِنۡ حَبۡلِ ٱلۡوَرِيد
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan menusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.
(Surah Al-Qaf 50:Ayat 16)
Sahabat-sahabat yang dikasihi, sekiranya anda menjadi seorang imam solat (waktu mengadap Tuhan) adakah anda sanggup melakukan perkara-perkara yang tidak sopan? 
Sudah tentu tidak. Tetapi mengapa?
Kerana anda yakin bahawa ada mata yang memandang anda di belakang. Mata para makmum yang berkomunikasi baik dengan lidah mereka sehingga kejelikan akhlak anda cepat tersebar. Jika diikutkan, anda tidak mampu melihat ke belakang, bahkan anda juga tidak tahu apakah makmun tadi benar-benar melihat anda, anda juga tidak tahu adakah makmun tadi masih bersama atau sudah mufaraqah dari anda, tetapi lihatlah, betapa keyakinan anda sudah memadai untuk menjadikan anda imam yang penuh kesopanan.
Cuba kita bayangkan, seandainya kita berkeadaan seperti ini pada setiap ketika iaitu berkeadaan seolah-olah seorang imam yang sentiasa berasa diri diperhatikan, sudah pasti kita akan jauh daripada dosa dan penderhakaan. Sudah pasti, kita akan semakin hampir dengan Allah dan merasakan ketenangan hati.
4. "Aku tahu ajal itu pasti datang, maka aku selalu bersiap-siap menantinya."
Imam al-Suyuti dalam kitabnya Sharh al-Sudur bi Sharh hal al-Mawta wa al-Qubur menukilkan kata sahabat Nabi Abu Darda' R.A tentang ajal kematian:
Peringatan yang memberi kesan dan suatu yang diabaikan yang segera datang, memadailah kematian sebagai pemberi peringatan dan memadailah masa (umur) sebagai pemutus. Hari ini di dalam bilik, esok di dalam kubur.
Renungilah 4 kata-kata kunci ketenangan ini.

Monday, January 30, 2012

Anak Buang Ibu Bapa

                                                         alt

Setelah hampir 20 tahun saya bekerja di bidang perubatan, saya didedahkan dengan pelbagai pengalaman yang mengembirakan dan juga yang sangat menyedihkan hati.
Seperkara yang menyedihkan saya ialah apabila menyaksikan semakin ramai ibu-bapa yang dibuang oleh anak-anak mereka sendiri samada di hospital, rumah orang-orang tua dan ada juga yang dibuang ke masjid atau ke surau.
Kalau dulu, perkara seumpama ini banyak berlaku di kalangan masyarakat Cina terutamanya di kalangan mereka yang berada tetapi kini ianya telah menular kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam.
Semakin kerap kedengaran berita anak-anak yang sibuk dengan kerjaya mereka menghantar ibubapanya ke rumah kebajikan orang tua. Apalagi apabila anak yang beragama Islam itu menghantar ibu atau ayahnya ke rumah kebajikan orang tua bukan Islam yang menjadi pilihan untuk dia membuang orang tuanya!
Tidakkah mungkin mereka berusaha mendapatkan pembantu rumah yang boleh menjaga dan membantu urusan kehidupan orang tua yang dahagakan kasih sayang mereka dan cucu-cicit mereka?
Sudah tiada tempatkah untuk orang tuanya di rumah kebajikan Islam? Mungkin juga dia merasakan orang tuanya akan dapat layanan terbaik di sana atau ada niat yang tersirat dalam memerli orang tuanya?
Saya sangat khuatir bahawa anak-anak yang kurang adab dan akhlaknya kepada orang tua mereka ini akan menerima nasib yang sama atau mungkin lebih teruk apabila mereka sendiri meniti usia senja nanti.....!
Kasihanilah ibu bapa dan garaplah kehebatan syurga melalui kasih-sayang dan bersabar dengan karenah ibu bapa yang berada di penghujung usia.

Sesungguhnya budaya menghormati dan mengasihi ibu bapa akan mewujudkan suasana yang harmoni, damai dan tenang dalam keluarga. Mari kita perhatikan maksud hadith Rasulullah saw ini sebagai peringatan kepada kita dalam menjaga adab dan berkasih-sayang dengan ibu bapa.
"Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami." (Hadis riwayat Tabrani).
Dalam hadith yang lain, baginda mengatakan bahawa perbuatan menderhaka kepada kepada ibu bapa merupakan maksiat yang akan di balas dengan segera di dunia ini.
"Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa." (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Ingatlah saudaraku,
Syurgamu kelak adalah pada redha ibumu, redha ibumu, redha ibumu dan juga pada redha bapamu.....!

Sunday, January 29, 2012

Kata-Kata Selembut Rasa Cinta

                                                       alt

Apabila Allah inginkan kebaikan kepada sebuah rumah tangga, maka dberikannya kelembutan dalam interaksi dan komunikasi sesama anggotanya. Itulah petanda yang sangat ketara dan dapat dirasai bukan sahaja oleh mereka tetapi bagi orang lain yang melihatnya.
Cinta dan kasih sayang umpama mentari, cahayanya boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang punya mata. Bersyukur jika kelembutan itu ada dalam rumah tangga kita, kerana itu petanda kebaikan berada bersama kita.
"Orang yang dijauhkan dari sifat lemah lembut, maka ia dijauhkan dari kebaikan." (HR. Muslim)
Malangnya, kini semakin sering terdengar betapa kelembutan itu semakin hilang. Tutur kata yang kasar, bahasa yang kesat dan suara yang tinggi sudah semakin lumrah di antara suami isteri.
Mengapa suami ku suka membentak? Mengapa sejak akhir-akhir ini isteri ku sudah mula menjerit-jerit? Suaranya menjadi tinggi, bahasanya menjadi kesat sekali, mengapa? Itulah antara keluhan yang samada diluahkan atau dipendamkan dalam sebuah rumah tangga.
Ah, betapa manusia semakin lupa bahawa sifat lemah-lembut itu bukan sahaja diperlukan di dunia, bahkan diperlukan di akhirat. Syurga itu disedikan untuk mereka yang lemah lembut dalam sikap dan tutur kata. Rasulullah saw telah bersabda:
"Mahukah aku kabarkan kepada kalian tentang orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan atasnya? Yaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan." (HR. Tirmidzi)
Mengapa frekuensi suara pasangan suami isteri boleh meninggi? Mana bisikan cinta dan luahan rasa yang mendayu-dayu seperti mula-mula dahulu?  Mengapa suara dinyaringkan padahal jarak fizikal antara mereka begitu hampir? Ya, mengapa perlu menjerit dan membentak pada hal mereka cuma duduk bersebelahan? Apakah telinga sudah tuli atau lidah kehilangan tenaga untuk berkata-kata?
Hati Telah Menjauh
Jawabnya mudah, itu semua kerana hati telah menjauh. Walaupun jasad masih dekat, jeritan, bentakan dan herdikan diperlukan apabila dua hati sudah menjarak. Justeru, hanya jeritan nyaring sahaja mampu merentasi jarak dua hati yang telah jauh itu!
Berbeza jika cinta masih ada dan menyala-nyala. Ketika itu dua hati masih berpadu. Satu bisikan sudah cukup untuk memperdengarkan dan didengari. Jarak cinta masih sangat hampir. Cuba bayangkan sepasang suami isteri yang asyik dilamun cinta, suara mereka berbicara hanya didengar oleh mereka berdua. Justeru 'alat komunikasi' yang sebenarnya bukan gajet-gajet teknologi tetapi hati.
Alat Komunikasi Alam Rumah Tangga
Hati adalah alat komunikasi yang sangat canggih dengan syarat hati itu bersih. Cuba lihat bagaimana cara orang-orang soleh berkomunikasi dengan Allah lewat doanya. Suaranya perlahan, lembut, mendayu-dayu, merayu-rayu, penuh rasa harap dan malu.
"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik." (Al-A'raf 55-56)
Dan itulah jua asas dan teras komunikasi Allah dengan hambaNya. Sabda Rasulullah s.a.w:  
"Sesungguhnya Allah adalah Dzat Yang Maha Lembut yang mencintai kelembutan dalam seluruh perkara." (HR. Al Bukhari dan Muslim).
Oleh kerana itulah nama-nama Tuhan sangat rapat dengan sifatNya yang Maha Lembut- Ar Rahman, Ar Rahim, Al Latif, Al A'fu, Al Ghafar dan lain-lain.
Komunikasi Memerlukan Mata & Hati
Perlu diingat, komunikasi bukan hanya menggunakan telinga dan mulut, tetapi menggunakan mata dan hati. Kita perlu memandang orang yang sedang berdepan dengan kita. Jangan hanya kata-kata kita tujukan kepadanya. Pandang dengan kasih sayang. Hati itu jendela bagi hati. Justeru, pertautan mata bermakna pertautan hati. Bahasa mata dan hati inilah yang dikenali sebagai bahawa rasa.  Itulah bahasa  sejagat yang  mempunyai nada dan melodi yang sangat harmoni.
Mata sangat diperlukan dalam komunikasi cinta. Oleh itu pandanglah mata pasangan kita, lalu berbicaralah dengan mata dan kata-kata, pasti hati kita dan dia akan bertaut... Ya, sekiranya di hati kita berdua masih ada cinta.
Namun, jika kita tidak mampu lagi merenung matanya,  dan bicara kita hanya dengan kata-kata dan telinga, itu petanda cinta sudah terguris.
"Sesungguhnya sifat lemah lembut itu tidak berada pada sesuatu melainkan dia akan menghiasinya (dengan kebaikan). Sebaliknya, tidaklah sifat itu dicabut dari sesuatu, melainkan dia akan membuatnya menjadi buruk." (HR. Muslim)
Pasti ada yang tidak kena di mana-mana. Cuba lihat orang yang berbohong, cuba amat-amati orang yang khianat, dan telitilah sikap orang yang benci, mereka tidak akan mampu menatap mata orang yang mereka bohongi, khianati dan benci. Maka begitulah bila mata tidak turut serta dalam komunikasi antara suami dan isteri, salah seorang atau keduanya, besar kemungkinan sudah terguris hatinya!
Cuba baca sejarah Rasulullah yang agung. Bagaimana baginda berbicara dengan sesiapa sahaja di hadapannya. Matanya, gerak tubuhnya, bahasanya begitu meyakinkan. Orang yang menjadi teman bicaranya rasa dihargai, disayangi dan diberi perhatian. Bila baginda berpaling, baginda memalingkan keseluruhan badannya (bukan hanya mukanya).
Nada suaranya lembut kecuali apabila menyampaikan nasihat tentang neraka dan ancaman-ancaman dosa. Matanya merenung penuh kasih. Baginda bukan hanya menghantar mesej pakej komunikasinya sepadu dengan rasa kasih-sayang, empati, dan cinta.
"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu." (QS. Ali Imran: 159)
Para suami dan isteri, contohilah hati Rasulullah yang penuh cinta, insyaAllah akan lembutlah suara dan harmonilah kata-kata. Meskipun peribadi baginda terlalu tinggi untuk didaki, tidak mengapa... jika kita sekadar mampu meniru 'di hujung kuku'.
Cuba hayati nasihat Rasulullah ini. Anggaplah Rasulullah sedang mengingatkan kita ketika baginda menasihati isterinya:
"Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya." (HR. Al-Bukhari)
Tidak ada insan lain yang paling berhak mendengar suara cinta dan bahasa kasih kita melainkan pasangan kita! Jangan berikan pada insan lain, sebelum kita berikan kepada suami atau isteri kita.     
Jika tidak, hati pasangan kita akan 'lari menjauh' walaupun mungkin tubuh badannya masih sebumbung dengan kita.
"Maka disebabkan rahmat dari Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka, sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu." (Qs. Ali Imran: 159)
Bahasa Menggambarkan Jiwa
Janganlah memperdengarkan jeritan jika bisikan sudah mampu didengar. Bahasa adalah jiwa bangsa – maksudnya, bahasa itu boleh menggambarkan jiwa. Walaupun sifat hati tidak ketara tetapi kata-kata akan membuka rahsia. Jika hati baik, tutur kata menjadi lembut, bahasa menjadi indah dan nadanya menjadi merdu. Jika hati jahat, tutur kata menjadi keras, bahasa menjadi kasar dan nadanya menjadi celaru.
Kita hanya merosakan diri sendiri dengan bahasa yang kasar berbanding orang yang kita tujukan kata-kata itu. Bahasa yang kasar datang daripada kebencian. Sesungguhnya kebencian itu akan merosakkan diri  sendiri berbanding dengan orang yang kita bencikan. Sebaliknya jika bahasa kita baik, itu datang dari rasa cinta. Dan cinta akan memberi kebaikan kepada diri  sebanyak mana yang akan diterima oleh orang yang kita cintai!
Dalam Al-Quran ALLAH memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44:
"Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut".
Ya, para Rasul wajib menebarkan rasa kecintaan bukan kebencian.
Rasulullah saw telah bersabda: 
"Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi mencintai kelembutan. Dia memberikan pada sifat kelembutan yang tidak diberikan kepada sifat kekerasan, dan tidak pula diberikan kepada sifat-sifat yang lainnya." (HR. Muslim)
Cinta mampu kembara merentasi ruang dan masa. Cinta adalah soal hati yang tidak mampu dipisahkan oleh jarak dan zaman. Cinta boleh melangkaui dimensi dan generasi. Justeru kita boleh mencintai Allah, yang tidak menyerupai sebarang makhlukNya. Kita boleh mencintai Rasulullah yang hidup ribuan tahun yang lalu. Kita boleh mencintai para sahabat dan para ulama silam yang tidak hidup sezaman dengan kita.
Mengapa Cinta Itu Ajaib?
Itulah ajaibnya cinta. Ia adalah satu kekuatan yang sangat luar biasa kerana ia bertapak di hati, yakni 'raja' dalam kerajaan diri manusia. Apabila ada cinta, kita boleh berkomunikasi dan berintraksi walaupun dengan alat-alat perhubungan yang terhad. Cinta menimbulkan kemahuan yang sangat kuat dan bertenaga.    
Namun, apabila tidak ada cinta... segalanya akan lesu dan kaku. Hati hilang keinginan, hasrat dan tenaga untuk  berkomunikasi dengan tulus, telus dan harmoni.
Bila kita kehilangan bahasa dalam bercinta, itulah petanda cinta itulah yang sebenar telah hilang! Tanpa cinta kita kehilangan makna, sedangkan makna itulah yang melahirkan bahasa... Bukankah makna cinta itu hadir dulu di dalam jiwa, kemudian barulah lahir ungkapan, aku cinta pada mu!

Thursday, January 26, 2012

Apabila Awan Baik Bercinta

                                                       alt

"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia."  (Surah An-Nuur, 27)
Aku berjalan kaki. Berjalan di atas tanah yang dihiasi dedaun kering. Hampir semua dedaun kering itu menjerit kesakitan apabila dipijak walaupun cuma tekanan daya yang perlahan. Berjalan dengan muka kosong dan pening kepala. Mungkin aku tersalah tidur sekali lagi .
Aku duduk di bangku kayu bersama teman imaginasi aku yang sukakan awan. Hairan. Entah kenapa sudah berumur lapan belas tahun tetapi masih lagi ada teman imaginasi .
Hairan juga sebab dia betul-betul sukakan awan. Aku masih lagi belum berani persoalkan kegemarannya berkenaan awan .
Ketika itu , mata teman imaginasi aku semakin liar menangkap awan di langit biru. Tangannya diregang ke atas , memicit langit untuk meraba awan yang laju bergerak . Gembira .
Namun , saat awan yang berbintik merah berlari laju ke telinga aku , terasa satu aura keberanian yang menyelaputi jasad . Muka yang kosong menjadi bernombor . Itu tandanya aku mahukan bicara
Awan itu lelaki baik ? 
Aku terdiam . Muka yang bernombor daripada nilai tempat belasan menjadi nilai tempat puluhan ; persoalan semakin berganda dan aku mahu dengar bicaranya .

Ketika berusia kanak-kanak , aku bermain satu permainan perempuan yang dikenali sebagai'masak-masak' . walaupun sekarang aku rasa yang nama permainan 'masak-masak' itu memang tak ada kaitan dan hanya sedikit sahaja bahagian memasak itu dalam permainan ini .
Misalnya, seorang isteri hanya akan memasak sarapan kepada si suami dan anak-anaknya pada waktu pagi sebelum keluar daripada rumah.  Apabila si suami pulang ke rumah, si isteri hanya berbasi  'sudah pulang ?' atau 'abang , penat ya ?'
Aku cadangkan bahagian memasak itu perlu dijalankan lima kali sehari dalam permainan ini demi meneruskan warisan permainan yang kian pudar kepopularannya .
Permainan ini lebih kepada kehidupan seorang suami bersama isteri dan anak-anaknya. Yang pasti ini cuma olok-olok .
Tanpa skrip yang hebat pun, aku dapat rasa yang aku telah berjaya menjiwai watak seorang suami yang betul-betul bertanggungjawab kepada isteri palsu dan anak-anak yang palsu . Erk dan juga watak lelaki yang menyayangi kucing peliharaan jadian yang tak bermisai .
Persoalan mula terpancar mencari identiti diri . Bagaimana aku boleh fikir yang aku rasa telah berjaya menjiwai watak seorang suami yang baik dalam permainan masak-masak ini ?
Adakah disebabkan pujian daripada adinda Aisyah yang mengatakan aku ini seorang suami palsunya yang bertanggungjawab? namun , yang penting tika itu hati aku betul-betul berbunga . senyum .
Aku sudah menjadi lelaki baik ketika berusia kanak-kanak. Patutlah ramai mahukan aku sebagai suami palsu mereka. Wah , beruntunglah kepada sesiapa yang diam-diam dipanah arjuna aku .

Dan masa mula berjalan dengan cemburunya, meningkatkan garisan kedut dunia. Aku semakin dewasa, melihat awan-awan yang hanya simbolik ketenangan. Aku hairan dengan istilah lelaki baik yang disamakan dengan awan .
Sudahlah teman imaginasi aku menayangkan wayang memori tentang zaman dulukala , Aku pula kebingungan dengan awannya tetapi aku masih lagi tersenyum .
Aku masih dalam acara perseorangan 
Aku masih sendiri, tiada pasangan. Gelaran lelaki baik aku sudah jelas luput ditelan zaman. Cinta aku hanya bertepuk sebelah tangan kepada si perempuan. Falsafah lelaki baik zaman kanak-kanak hilang ditiup angin moden. Aku bukan lagi lelaki baik, muka dingin .
Teman imaginasi aku tersenyum comel. Senyuman yang menenangkan persis awan putih di tapak tangannya yang jinak. Dengan basmalah , dia mengatur kata-kata baik .
Lelaki baik itu seperti awan 
Lelaki baik itu sudah tentu seorang yang tenang. Walaupun laju dia bertindak , dia tetap tenang. Dan juga perlahannya dia beraksi , ketenangan tetap terpamer di setiap inci jasadnya .
Ketenangan itu simbolik awan. Mereka yang melihat awan pastinya akan turut tenang . Apabila lelaki baik itu berjalan, atmosfera ketenangan akan hadir menyelimuti manusia-manusia sekelilingnya .
Aku tidak hairan dengan falsafah ini . Malah, aku sudah jangkakan sedikit kata-kata baik daripada teman imaginasi aku. Awan dan lelaki baik ialah simbol ketenangan .
 Apabila awan bercinta 
Apabila seseorang lelaki baik itu bercinta, tak ubah seperti awan yang bercinta. Aku hairan yang bukan sedikit. Kening aku naik perlahan . Dia sambung kembali .
Awan itu isipadunya ialah wap air yang ketumpatannya rendah. Isipadunya sangat besar . Dengan izin tuhan , dia terapung-apung dan sangat ringan terbang di langit . Kagumnya ciptaan tuhan ini , sifatnya yang sangat cintakan bumi .

Cinta si awan kepada si bumi ialah dengan melepaskan isipadunya yang sarat dengan wap air yang tidak terkira banyak nilainya kecuali dengan pengiraan yang maha bijaksana yang serba tepat. Cintanya dicurahkan dengan membasahi bumi ; menyucikan jasad kotor .
Namun , cinta si awan kepada si bumi sangat mahal nilainya. Sifatnya yang gemar terapung-apung ; melarikan diri daripada bumi yang di bawah. Hadirnya cinta si awan itu hanya apabila isipadu airnya sudah mula berat ; berteriak menyahut panggilan graviti untuk bercumbu dengan cinta si bumi .
Apabila nilai isipadu wap air hujan itu telah disahkan oleh piawaian tuhan yang satu, jasad awan jatuh ke bumi dalam bentuk sejuta manfaat kepada si bumi untuk menyelimutkan ketenangannya di atas langit. Itu cinta awan kepada si bumi yang cukup indah hikayatnya
Lelaki baik itu gemar larikan diri 
Sama seperti awan dan apabila seorang lelaki baik itu bercinta, datangnya cinta itu berbisik ke hatinya , lelaki baik itu lari. Lari dengan wajah yang tenang, menjarakkan diri daripada cinta seorang perempuan .
Lelaki baik itu terapung-apung dengan rendah diri, mengumpul ilmu untuk meningkatkan isipadu imannya ; tidak mahu menyentuh kulit halus si perempuan dan tidak akan sama sekali menghidupkan rindu yang lama kelamaannya berputik kepada zina hati .
Lelaki baik mendekatkan diri kepada cintanya dengan akad nikah
Datangnya seorang lelaki baik itu kepada cinta seorang perempuan. Membawa harapan yang isipadunya cukup sarat untuk dicurahkan fitrah yang dicipta Tuhan yang maha Esa .
Kontrak persetujuan tuhan ditandatangani untuk mendapat keizinan daripadaNya maka tersulamlah cinta yang diberkati tuhan antara lelaki baik dan pasangan fitrahnya .
Aku kagum. Kagum dengan falsafah awan putih yang berada di tangannya .
Bukan sedikit kagum itu sehinggakan hati ku mula membesar dengan semangat mahu memenuhi isipadu iman dengan wap-wap ilmu pengetahuan dan mencipta ketumpatan rendah diri agar aku bisa melarikan diri daripada cinta seorang perempuan .
Ingat aku, awan tidak selalu serupa dan suka terbang jauh, mungkin malu dengan cinta, ia akan berani dekati cinta apabila tiba satu saat yang dia sudah bersedia kongsikan air hujannya .

Lelaki baik itu pemalu ? yang pastinya dia lelaki yang tahu malu dengan tuhannya .
Dan apabila lelaki baik itu bercinta......aku bersalam dengan awan . Masih lagi senyum sampai sekarang :)