Wednesday, February 29, 2012

Bisikan Cinta Pertama

                                                      baby

Cinta itu berbisik
Menggamit setia sebuah kasih abadi
Bertaut dalam sudut hati
Yang jauhnya sukar aku jangkau
Aku terpesona dengan ciptaan Ilahi
Sebentar aku hilang dalam lamunan
Tersentak aku hiba
Terkilan rasa dihati
Saat tersedar aku dilamun
Keindahan bisikan cinta
Adakah dosa bagiku Ya Allah?
Aku dibuai pesona wajahnya
Terdetik kesal saat khilaf
Membuka mata
Namun gelora jiwa ini terus membadai
Membawa helaian cinta
Yang aku sendiri tidak memahami kebenarannya.

Ya Allah
Andai cinta ini anugerahmu
Andai cinta ini bisikan darimu
Andai cinta ini milikku
Peliharalah hati ku dan hatinya
Agar cinta ini bersemi
Di atas landasan Perjuangan islam
Ya Allah
Aku redha mencinta
Dan dicintai
Jika ini ketentuan Ilahi
Akan ku simpan bisik hati ini
Sehingga harinya terpatri
Dua jiwa bersemi

Tuesday, February 28, 2012

Aku Malu Untuk Menjadi Sayap Kirimu

                                                        baby

PERIGI MENCARI TIMBA?
Ada pula yang berkata, "Cara ini untuk lelaki bolehlah. Untuk perempuan, tak sesuai. Nanti orang kata 'macam perigi mencari timba', 'wanita tidak bermaruah' dan macam-macam lagi."  
Sabar dahulu saudari.
Sebenarnya ini merupakan pemikiran songsang yang telah diterapkan dalam masyarakat Melayu kita. Sebetulnya kita berbalik kepada Islam itu sendiri. Bagaimanakah Islam mengajar wanita yang berkeinginan bernikah untuk menyuarakan keinginanya? Mari kita bersama - sama mengkaji sirah terdahulu.
Bukankah perkahwinan teragung antara junjungan kita, Nabi Muhammad s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. dimulakan dengan Siti Khadijah menzahirkan keinginannya?
Ketika mengetahui sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Nabi Muhammad S.A.W , beliau merasakan yang dia tidak akan menjumpai sesiapa yang lebih layak untuk dijadikan suaminya melainkan Baginda. Oleh itu Siti Khadijah menyuarakan keinginannya kepada pakciknya, Abbas, agar merisik Muhammad s.a.w. Sesudah pihak Baginda bersetuju, barulah keluarga Nabi menghantar rombongan meminang. Begitulah yang diajarkan dalam sirah??
Jadi, tiada salahnya wanita yang memulakan dahulu. Bukankan itu lebih mulia, menyuarakan keinginan dan kebersediaan untuk mengikuti sunnah baginda Rasulullah s.a.w.? Cuma biarlah caranya sesuai dengan cara masyarakat kita.

Jika seorang wanita itu telah mempunyai calon suami yang baik dan soleh, suarakan-lah kepada ibu bapa supaya mereka dapat menghubungi pihak keluarga lelaki tersebut. Biar orang tua yang menguruskan, kita cuma mencadangkan. Kalau kedua-dua pihak setuju, alhamdulillah. Maka pihak lelaki boleh masuk meminang.
Lihat, betapa indahnya Islam mengaturkan perjalanan hidup penganutnya. Cukup teratur dan sitematik. Cara ini dapat mengelakkan daripada berlakunya maksiat dan perkara-perkara lain yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, ia menuju kepada pembentukan keluarga bahagia yang diidamkan oleh semua manusia kerana itulah fitrah insani.
Insya-Allah jika segalanya dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah dan bukan atas dasar nafsu dan keduniaan semata-mata, Allah akan mempermudah urusan itu.
Untuk mereka yang masih menimba ilmu, tidak perlulah bersusah-susah mencari jodoh sekarang. Jodoh di tangan Allah, pasti bertemu jua dengan taqdirnya.
Sekarang kita mempunyai matlamat yang lebih penting iaitu mendapatkan kecemerlangan dalam pelajaran dan menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim. Banyak lagi tanggungjawab yang perlu kita pikul dan bercinta bukanlah sesuatu yang perlu buat masa sekarang. Berusahalah menjadi muslim dan muslimah sejati serta mengamalkan Islam dalam kehidupan kita.

Akan tetapi, bagi mereka yang merasakan diri sudah mampu untuk memikul tanggungjawab berumah tangga, mampu memberi nafkah zahir dan batin, maka bernikahlah.
Tiada salahnya bernikah ketika belajar. Itu adalah lebih mulia daripada mereka yang ber'couple', dan memuaskan nafsu mengikut telunjuk syaitan. Ikutilah cara-cara menuju pernikahan yang telah diterangkan di atas.
Sekali lagi ditegaskan, bercinta sebelum berkahwin dan ber'couple' adalah menghampiri zina dan hukumnya adalah HARAM.
akhir kalam, jika kita benar - benar sudah bersedia dan sudah berjumpa dengan seseorang yang kita rasa dia betul - betul boleh membimbing kita, maka tidak perlulah segan silu untuk menyuarakan keinginan kita kepadanya kerana di zaman yang serba moden ini tiada lagi istilah "Perigi mencari timba". dan jika ingin menyuarakan keinginan itu mestila selari dengan ajaran islam kerana islam itu indah.
"Aku mencintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu." (Imam Nawawi )

"Jika tepat masa, ketika, keadaan dan SIAPA, cinta adalah kuasa luar biasa yang tiada bandingannya"

Ujian Bukan Sekadar Menguji

                                                        Kucing

Selalu orang cakap hidup bagaikan roda. Tak selalunya kita di atas. Mungkin esok lusa kita di bawah. Tapi adakah itu alasan untuk kita terus mengalah?
Cuba fikirkan kembali ketika kita masih muda, mungkin semasa kita kanak-kanak? Bukankah hidup ini mudah dan seronok bagi kita? Semuanya adalah mungkin, boleh saja dilakukan jika ada kemahuan.
Tapi dalam kita membesar, perkara-perkara yang dahulunya mudah belaka telah menjadi susah lagi menyusahkan. Kenapa ya?
Mungkinkah kita telah dewasa dan mengetahui bahawa betapa susahnya untuk merealisasikan sesebuah perkara?
Ujian untuk Menguji.
Ujian dan dugaan yang menimpa, bukanlah sesuatu yang dapat kita ketahui sebelumnya ianya berlaku.
Allah taala menguji hambaNya dengan ujian yang hambaNya boleh terima. Maka sabar dan senyumlah. Lain orang lain ujiannya.
Allah taala takkan menguji hambaNya jika hambaNya itu tidak mampu. Maka jika kita terpilih untuk melalui ujian itu tempuhlah dengan penuh redha dan tawaduk.

"Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya." (Hadis riwayat Muslim)
Setiap perkara yang berlaku, baik buruk mahupun baik, ada hikmahnya. Andai kita gagal dalam ujian ini, mungkin ada hikmahnya. Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kita, lebih baik daripada perancangan manusia untuk diri sendiri.
Namun, kita hidup dengan manusia. Terarah dengan jangkaan, harapan dan sangkaan manusia. Sedar atau tidak, kita terpaksa memenuhi semua tuntutan itu. Sehingga kita mungkin lupa yang kehendak Allah jauh melangkau segalanya.
Sesungguhnya, jalan menuju syurga itu adalah dengan kesabaran. Sebab itu, Nabi telah bersabda : "Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, kemudian yang terbaik sesudah mereka, kemudian yang terbaik sesudah mereka. Seseorang diuji sesuai kadar agamanya. Jika agamanya kuat, ujiannya berat. Jika agamanya lemah, dia diuji sekadar agamanya. Ujian terus mendera hamba sampai membiarkannya berjalan di muka bumi tanpa menyandang sedikit pun dosa."
Ya Allah, bila membacanya entah mengapa hati rasa berbunga-bunga. Para sahabat sahabiah dulu, mereka sangat risau bila diri diuji. Mungkin ada yang mahu diuji dan ada yang takut bila diuji.
Namun dengan segenggam kepercayaan bahawa Allah tidak akan menguji hamba-Nya sesuatu yang hamba-Nya tidak mampu pikul. Dan ya, kehidupan sememangnya mengajar erti redha, sabar, tawakal, berharap pergantungan sepenuhnya kepada Allah dan bermacam-macam lagi.
Banyak saja cara Allah nak didik kita. Nak tarbiyyah kita. Semoga Allah akan terus mendidik kita ketika iman masih menebal. Mudahan perasaan cinta kita kepada sang Khaliq akan semakin bertambah.

Malam Pertama Saad Bin Muaz

                                                         muslim

Saad Bin Muaz adalah seorang hamba antara sahabat yang paling hitam pada masa itu, dibandingkan Saad dengan Bilal, Saad dikatakan jauh lebih hitam dari Bilal. Saad mula memeluk Islam ketika berumur 31 tahun dan syahid pada umur 37, seorang yang tinggi iman.
Ketika berhijrah ke Madinah beliau ingin mendirikan rumahtangga lalu dipinangnya perempuan di Madinah. Kerana kulitnya yang hitam pinangannya telah ditolak berkali-kali oleh wanita-wanita Madinah.
Rasa kecewa dengan peristiwa ini lalu beliau mendatangi Rasulullah untuk mengadu, "Wahai Rasulullah, adakah hinanya aku ini kerana kulitku yang hitam sehingga pinanganku ditolak berkali-kali".
Lalu Rasulullah bekata, "Jangan bimbang Saad, engkau adalah orang yang aku jamin".
Lalu Rasulullah memanggilkan sahabat-sahabat yang lain untuk bertanyakan kepada meraka akan rumah seorang wanita yang terkenal dengan kecantikannya di Madinah. Lalu Rasulullah menyuruh sahabat-sahabat tersebut membawa Saad untuk meminang atas jaminan Rasulullah. Alangkah gembiranya Saad di saat itu kerana dirinya dijamin oleh Rasulullah untuk dikahwinkan dengan wanita yang cantik.

Maka Saad pun dibawa oleh sahabat-sahabat ke rumah wanita yang cantik di Madinah itu. Ketika sampai di rumah tersebut, Saad dan sahabat-sahabat dilayan oleh bapa kepada wanita tersebut. Lalu sahabat-sahabat yang lain menyampaikan hajat bahawa Saad telah dijamin oleh Rasulullah datang untuk meminang anaknya yang cantik tersebut.
Bapa wanita itu kemudiannya gembira kerana salah faham menyangka anaknya dipinang oleh Rasulullah. Oleh kerana Saad seorang yang jujur lalu dinyatakan maksud yang sebenar bahawa beliaulah yang ingin meminang wanita yang cantik tersebut. Bapa wanita tersebut kemudian bertukar menjadi marah kerana menghina Saad yang berkulit hitam ingin mengahwini anaknya yang cantik.
Saad pun balik berjumpa dan mengadu kepada Rasulullah. Perempuan yang cantik ini kemudian menegur bapanya kerana menolak pinangan Saad kerana Saad adalah seorang yang dijamin oleh Rasulullah, dan ketentuan oleh Allah. Lalu bapa wanita itu pergi mengejar Saad dan meminta maaf dan menerima pinangan Saad di depan Rasulullah.
Rasulullah lalu bertanyakan Saad samada beliau memiliki wang. Kerana mengetahui bahawa Saad tiada wang untuk berkahwin maka disuruhnya untuk meminta wang kepada Abd Rahman, Usman dan Ali. Kemudian Rasullulah menyuruh Saad membeli kelengkapan untuk perkahwinannya.
Ketika sedang membeli keperluan untuk perkahwinannya, Saad terdengar seruan jihad dari Rasulullah. "Wahai pemuda-pemuda Islam bersiap sedia segera kerana musuh sedang datang untuk menyerang kita". Lalu Saad menukar fikiran dengan membeli kelengkapan perang dan siap sedia dengan baju perisai dan kuda untuk berperang.

Saad dengan segera pergi berbaris paling hadapan dengan sahabat-sahabat lain dengan siap berpakaian perisai perang. Kerana baju perisai yang lengkap, Saad tidak dikenali oleh sahabat-sahabat lain. Takdir Allah Saad telah syahid dalam peperangan tersebut.
Selepas perang jihad tersebut, sahabat-sahabat terkejut kerana tidak menyangka orang yang berperisai lengkap tersebut adalah Saad. Mereka sedih dan tidak menyangka kerana Saad sedang bersiap sedia untuk perkahwinannya.
Berita syahidnya Saad ini segera disampaikan kepada Rasulullah dan Rasulullah berkata, "Di saat kematian Saad, bergegar Arash Allah dan menangis para malaikat di langit dan di bumi". Saad Bin Muaz dimuliakan oleh Allah di saat kematiannya adalah seorang yang hanya 6 tahun jangka hayatnya dalam Islam.
Tetapi apakah kita yang ketika dilahirkan telah pun Islam akan dimuliakan oleh Allah di saat kematian kita?

Rahsianya Pada Dua Wanita Yang Hebat

                                                         tangga

Rahsianya adalah kerana dia mempunyai dua orang wanita yang hebat!

"Lelaki yang berjaya itu dilihat daripada dua perkara. Pertama, siapa ibunya dan yang kedua, siapa isterinya" – Sayyidina Umar bin Khattab.
Siapakah si Dia yang bergelar  A ini ?
Siapakah si dia yang telah bersusah payah mengandung selama 9 bulan sambil membawa kandungannya ke sana dan ke sini tanpa mengeluh kepenatan atau kekesalan ?
Siapakah gerangannya yang tabah menahan sakit yang lama dan berpanjangan ketika melahirkan si buah hati yang ditunggu-tunggukannya selama ini ke alam dunia ?
Siapakan si dia yang sabar menyusukan bayi yang sebelumnya menangis kelaparan dengan penuh tekun sehingga hilanglah segala rasa lapar dan dahaga ?
Siapakah insan istimewa itu yang telah membesarkan anaknya semenjak kecil sehingga dewasa dengan penuh kasih sayang tanpa mengenal penat dan jemu ?
Siapakah susuk tubuh yang berkeringat mendidik anak-anaknya dengan pengetahuan dan skil kehidupan sehingga menjadi insan hebat yang bakal menggantikan visi perjuangan ke dua orang tuanya ?
Siapakah gerangan yang berusaha untuk mendapatkan rawatan ketika sakit dengan penuh kasih sayang serta harapan yang kuat agar si anak ini cepat sembuh bagi meneruskan kehidupan ?
Siapakah insan yang terus tabah mendepani karenah anak-anaknya yang pelbagai yang berterusan memberikan ujian dan dugaan penjaganya ?Siapakah si dia yang istimewa ini yang sanggup berkorban masa, wang ringgit, pemikiran dan berkeringat sehinggalah anak warisannya ini memperolehi kejayaan demi kejayaan ?
Siapakah insan yang turut mengambil-berat mengenai bakal pasangan anaknya ini agar masa depannya terus bahagia walaupun terpaksa berkongsikan kasih sayang bersama wanita baru ini ?
Siapakah si dia yang terus mencurah dan mengharapkan kasih sayang anaknya yang semakin dewasa miski pun si anak ini telah berumah-tangganya ?
Siapakah gerangannya yang terus mendoakan kebahagiaan dan kebaikan mereka walaupun anaknya mungkin telah mulai lupa terhadap sumbangan dan pengorbanannya selama ini ?Jawapannya ialah si 'ibu'nya.....

Siapakah si Dia yang bergelar  B ini ?
Siapakah insan istimewa ini yang telah mempertimbangkan lamarannya dengan penuh harapan bagi berkongsikan masa depan yang bahagia buat mereka bersama ?
Siapakah gerangannya si dia yang telah bersetuju bagi menerimanya sebagai teman hidup yang dirancang bersama untuk sepanjang hayat ?
Siapakah si dia yang tekun dan sabar memenuhi keperluan dan hajat suaminya yang merupakan ayah kepada anak-anaknya ?Siapakah insan ini yang sentiasa mempastikan bahawa suami yang ditaatinya ini memiliki kesihatan yang terbaik dan keceriaanya ditekuni ?
Siapakah insan tabah ini yang sentiasa mengambil berat dan memberikan sokongan terhadap perkembangan kerjaya suaminya sehingga kejayaan dicatat dan sejarah terbina cemerlang?
Siapakah gerangannya yang sabra dan tabah mengandung, melahirkan dan membesarkan anak-anak suaminya seorang demi seorang dengan jayanya?
Siapakah dia insan istimewa ini yang berkorban untuk rumah tangga dan kejayaan suami dan anak-anaknya walaupun dia mungkin turut sibuk berkeringat menanggung bebanan ini?
Siapakah dia yang tabah menahan kesedihan kehilangan suaminya dan terus berkorban bersendirian membesarkan anak-anak peninggalan suaminya bagi mempastikan cita-cita dan hasrat arwah suaminya tercapai jua?
Jawapannya ialah si 'isteri'nya.....
Betullah kata Umar al-Khattab bahawa "Lelaki yang berjaya itu dilihat dari dua perkara. Pertama, siapa ibunya dan yang kedua, siapa isterinya" .
Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud, "Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita solehah." (Hadis riwayat Muslim).
Hargailah jasa dan pengorbanan ibu dan berbuat-baiklah kepadanya walaupun dia telah pergi. Hargailah jasa dan pengorbanan isteri dan janganlah memandang kecil kepada sebarang sumbangannya.Didiklah adik-adik atau anak-anak perempuanmu dan juga isterimu dengan baik dan berkasih-sayang kerana merekalah yang akan menentukan masa depan dunia yang baru.
Layari www.bidadaridunia.com bagi menyertai Konvensyen Bidadari Dunia 2012. 

Sayang,Mari Berhijab!

                                                         baby

Hijab.
Apa yang dikatakan Hijab?
Hijab bukan sekadar sehelai kain menutup kepala.
Ia juga bukan sekadar sehelai kain menutup anggota badan kita.
Namun ia merupakan pakaian yang menutupi keseluruhan aurat kita. Ia pakaian takwa.
Hijab merupakan pakaian yang tidak LONGGAR, KETAT, NIPIS dan BERLEBIH-LEBIHAN.
Hijab menutupi aurat kita dari hujung kaki hingga ke hujung rambut kecuali muka dan tapak tangan.
Apabila kita telah berhijab maka kita telah mematuhi 1 dari sekian banyak nya perintah Allah buat kita.

Jika seorang wanita telah berhijab dia belum tentu seorang yang baik NAMUN seorang yang baik pasti akan berhijab dengan betul.
Jangan kita jadi seperti sesetengah masyarakat yang menggunakan nama ISLAM namun tidak solat dan melakukan pelbagai jenis kemungkaran.
Jika kita berkata "Aku telah berhijab" maka kita perlulah berHIJAB dengan seseungguh-sungguhnya. Bukan sekadar menggunakan perkataan "Aku telah berhijab" namun masih lari dari konsep hijab.
Ya, memang ia tidak mudah. Tapi ia bukan mustahil.
Mau berhijab dan berfesyen? Silakan sayang. . .
Tahukah kita bahawa sebenarnya HIJAB itu merupakan sebuah fesyen namun tidak semua fesyen itu boleh menjadi hijab.
Mari sayang, atur langkah kita satu-persatu. Jangan takut untuk laksanakan perintah Allah. Jika ada manusia mengejimu kerana HIJAB maka ketahuilah Allah akan mengeji mereka kembali kerana perbuatan mereka mengejimu.
Ketahuilah sayang, dirimu sangat cantik jika berhijab :)

Anak Perempuan Cantik Yang Melihat Pelangi

                                                       ibu

Cerpen ini berdasarkan pengalaman sebenar Prof. Dr. Muhaya dalam mengendalikan pesakit mata. Namun sudah sifatnya penulisan cerpen, maka atas izin beliau yang baik hati, saya dizinkan menambahkan imaginasi saya pada pengalaman beliau.
Tidak banyak, pasti tetap ada sebibit kebahagian untuk manusia yang menatap pelangi. Itu yang saya percaya, dan itu yang semua manusia percaya. Sehinggalah pada hari itu, menatap pelangi itu memberi makna lain kepada saya. Pelangi itu bukan berkenaan bahagia tetapi berkenaan sesuatu yang membuatkan hati saya terjatuh ke daerah gusar.
Ibu.
Saya adalah ibu yang sangat bahagia. Saya fikir itulah semua perasaan ibu-ibu di dunia yang mempunyai anak perempuan yang cantik, dan beberapa bulan sebelumnya, saya melahirkan anak yang kedua yang juga cantik. Saya berasa diangkat ke langit hanya kerana status saya sebagai seorang ibu yang punyai dua anak yang meneduhkan hati.
Segala-galanya terlihat sempurna, sehinggalah pada suatu hari, anak perempuan saya yang cantik itu datang menemui saya, berkata sesuatu yang saya sangkakan bahagia.
Pelangi.
"Ibu, mengapa saya nampak pelangi?"
"Sayang, mana ada pelangi di sini," kata saya lembut. Rambutnya yang ikal saya belai penuh kasih.
"Betul ibu. Saya nampak pelangi," katanya lagi dengan jarinya menunjuk-nunjuk sesuatu.

Lama saya memerhatikan ke arah yang dia tunjuk, namun tetap sahaja kosong. Pelangi apa yang dilihat anak saya?
"Mana?" Saya terus bertanya.
"Itu, merah, biru, hitam..."
Mendengarkan sahaja itu terus ketawa kecil dan berkata, "Anakku, pelangi mana ada warna hitam. Kamu main-mainkan ibu, ya?"
"Betul, ibu. Saya nampak pelangi. Saya nampak pelangi." Suara anak saya mula terdengar hiba, dan pelupuk matanya mula berkolam minta dipercayai.
Untuk pertama kalinya, saya diam. Apabila anak sudah meminta mahu dipercayai, saya melihat perkara itu sebagai sesuatu yang serius. Saya memandang tepat ke arah matanya. Saya meniup perlahan-lahan dan dengan senyuman madu saya berkata, "Ibu sudah tiup mata kamu. Ada lagi pelangi?"
Anak kecil yang cantik itu mengejap-ngejapkan matanya. Kemudiannya dia menambah dengan menggosok-gosoknya.
"Ada lagi. Ada lagi pelangi. Ibu, pelangi ada lagi." Anak kecil itu mula menangis tersedu-sedu. Resah saya sudah menggunung. Pada waktu itu saya tahu seperkara, anak saya tidak main-main. Lama saya terdiam, dan terlintas juga dalam fikiran mungkin anak saya terkena makhluk halus dan perlu bantuan bomoh. Mujur, sesaat selepas fikiran itu datang, saya kembali rasional, dan pada waktu itulah saya berjumpa dengan doktor mata itu.
Mata.
Untuk saya, semua doktor adalah sama. Mereka adalah orang yang mengubati, dan mereka adalah orang yang mengubati bukan sekadar dengan peralatan dan ubat mereka, malah dengan kata-kata, dan pada hari itu saya bertambah yakin dengan apa yang saya percaya.
"Puan, mata anak puan normal, tidak ada apa-apa masalah," kata doktor itu sebaik mata anak saya diperiksa dengan alat yang tidak saya tahu namanya.
Saya memandang anak perempuan saya yang duduk di sebelah kiri. Rambutnya saya usap sebelum berkata, "Matamu bagaimana sayang?"
"Masih nampak pelangi," kata anak saya dengan wajah hiba.
"Dia masih nampak pelangi, doktor. Doktor pasti mata anak saya normal?" soal saya dengan wajah khuatir.
"Ya, normal." Jawapan dan senyum doktor itu masih belum meyakinkan saya, dan saya kembali bertanya, "Jadi bagaimana dia boleh nampak pelangi."
Untuk soalan itu, doktor itu diam seketika. Sempat kembali fikiran saya membenarkan, yang anak saya itu mungkin diganggu makhluk halus.
"Berapa bulan umur bayi Puan?" soal doktor itu lembut.
Berkerut juga dahi saya mendengarkan soalan itu. Apa kaitan bayi saya dengan pelangi yang dilihat oleh anak perempuan saya?
"Lapan bulan," jawab saya tanpa meluahkan rasa sebenar hati.
Doktor itu mengangguk-angguk. Dan saya pula bertambah bingung. Saya kenal angguk itu, itu angguk yang punya jawapan, tetapi apa?
"Puan, memang mata anak Puan normal. Apa yang tidak normal adalah pada perasaannya," kata doktor itu dan membuatkan saya terkejut.
"Maksud doktor?" Kuat hati saya mengatakan doktor itu juga percaya yang anak saya diganggu makhluk halus. Sekiranya tidak, mengapa dia berkata perasaan anak saya tidak normal?
"Selama ini, anak Puan rapat dengan Puan. Saya percaya, ke mana-mana sahaja Puan pergi pasti anak ini mengikut ataupun Puan sendiri yang membawanya bersama. Itulah yang ada dalam perasaan anak ini, dia percaya yang dia akan sentiasa punya masa dengan ibunya. Masa yang tidak pernah terhad. Tetapi pada ketika Puan melahirkan anak kedua, anak ini mula berasa ada sesuatu yang tidak kena. Masa Puan yang sebelum ini bersama dia, sudah dibahagikan. Tetapi untuk anak kecil ini, itu bermaksud Puan sudah tidak punya masa dengan dia."
"Jadi?" sampuk saya segera. Entah mengapa saya berasa khuatir mendengarkan penerangan doktor itu.
"Maksud saya, anak Puan merasakan, Puan sudah tidak ada masa dengannya. Sayangnya, dia masih kecil dan anak kecil tidak tahu bagi meluahkan perasaannya. Dia cuma mengerti sesuatu perlu dilakukan bagi menarik perhatian Puan, dan dia pun mula terlihat pelangi. Dia tahu, ibunya sayangkan dia tetapi dia berasa sering dilupakan. Melihat pelangi adalah jalan bagi diingat kembali dan ia adalah jalan bagi mendapatkan perhatian," terang doktor itu, jelas dan bersungguh-sungguh.
Saya terpempan. Kata-kata doktor itu meresap ke hati. Aduhai anakku, kasihannya kamu. Hanya dengan melihat pelangi, kamu fikir dapat mendapatkan kasih sayang ibu. Anakku, kamu tidak perlu nampak apa-apa sayang, ibu sayangkan kamu. Cuma ibu yang terlupa ada kamu untuk selalu diberi masa, untuk selalu diberi perhatian.
Dan pada ketika itu jugalah saya peluk anak saya. Peluk dia kuat-kuat dengan air mata saya menitik.
"Maafkan ibu, sayang. Maafkan ibu. Ibu sayangkan kamu."
"Saya juga sayangkan ibu," balas anak saya, dan air mata saya semakin tumpah ruah.