Friday, March 30, 2012

Wanita Berfesyen?

                                                         baby

Semua orang dalam dunia sukakan kecantikan. Malah diri kita sendiri suka kelihatan cantik.Tambahan pula ALLAH juga menyukai sesuatu yang cantik kerana sifat ALLAH juga cantik.
Cantik? Apa makna cantik? Pada pandangan saya,cantik itu subjektif. Setiap orang lain takrifannya.
Setiap kejadian yang ALLAH jadikan semuanya cantik.
Secantik-cantik seseorang adalah akhlaknya.
Secantik-cantik agama adalah islam.
Secantik-cantik pakaian adalah taqwa.
Islam itu mudah,ringkas dan indah. Kita yang menyempitkan pemikiran kita mengenai islam.
Berfesyen itu tidak salah tapi kita yang menjadikannya sesuatu yang salah.
Islam sentiasa meletakkan garis panduan untuk umatnya dalam apa jua perkara.
Wanita sinonim dengan fesyen kerana wanita adalah sesuatu yang cantik sebenarnya.
Kalau diperhatikan, wanita ini sangat istimewa sehingga wujudnya surah An-nisa untuk wanita.Begitu kasihnya ALLAH pada kita.
Panduan berfesyen menurut Islam:
1)Menutup aurat
2)Pakaian longgar dan tidak menampakkan susuk tubuh
3)Pakaian tidak jarang dan tidak nipis
4)Melabuhkan tudung hingga menutup dada
5)Pakaian tidak menyerupai lelaki
6)Pakaian tidak menyerupai orang kafir

Muslimah itu lebih cantik jika menutup auratnya.Percayalah.Aurat bukan suatu mainan!
Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-ahzab ayat 59 yang bermaksud :
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.Dan (ingatlah) allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani"
Al-quran dengan jelas menerangkan perkara ini dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud :
" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya".
Sedih apabila melihat dunia hari ini.Perempuan dengan selamba menayang benda yang tidak sepatutnya.Banyak terjadi zina.Banyak maksiat yang semakin berleluasa dan dunia hari ini seolah-olah "biasa" dengan keadaan ini.Malu lah wahai wanita!Dirimu dicipta sebaik-baik kejadian. Secantik-cantik ciptaan.

Dengan memakai pakaian yang menutup aurat, seseorang wanita telah menunjukkan harga diri sebenar seorang wanita dan sekaligus menghindari perbuatan tidak senonoh di kalangan para lelaki terhadap wanita.
Wanita yang menutup aurat dan berpegang teguh dengan ajaran islam akan mendapat keredhaan allah s.w.t dan lelaki akan memandang mereka dengan penuh rasa hormat dan memberi penghormatan yang tinggi bersesuaian dengan sifat mereka yang pemalu dan bersopan santun.
Tanpa kita sedari ada banyak hikmah yang ALLAH beri jika kita betul-betul ikut cara Islam.
Kesimpulannya,wanita tidak salah berfesyen asalkan mengikut syariat Islam.

Realiti Cantik Yang Tidak Berapa Cantik

Salam pembaca semua. Adik-adik, kakak-kakak, abang-abang yang dikasihi semuanya. Yang dikasihi dan disayangi kerana Allah. Teringat kata-kata Syaikh Ourazi, jika kita mahukan kebaikan dan Jannah, maka sayangilah rakan kita kerana Allah. Sayangilah saudara seMuslim kita kerana Allah dan tidak cukup dengan itu, kita perlu 'beritahu' atau maklumkan kepada mereka bahawa kita menyayangi mereka kerana Allah.
Sangat menyentuh hati apabila tiba-tiba menerima kiriman SMS yang berbunyi "Dina atau Dear sister, I LOVE YOU LILLAH" MasyaAllah. I Love you sudah cukup power, sudah cukup membuatkan kita tersenyum dan rasa dihargai, tetapi I LOVE YOU LILLAH. "Saya sayang kamu kerana Allah", memberi satu dimensi yang sungguh berbeza sekali.
Ini bererti kita menyayangi rakan atau sahabat kita bukan kerana rupa, pangkat, harta atau kelebihan lain tetapi semata-mata kerana Allah. Tiada agenda tersembunyi yang lain. MasyaAllah hebatnya, ikhlasnya, indahnya!
Jadi untuk permulaan, sebelum kita membicarakan yang cantik-cantik, mari berhenti seketika dan kirimkan SMS atau berhenti dari membaca, hubungilah rakan kita dan ucapkanlah "Sister, I Love you Lillah, for the sake of Allah" Lihatlah kesannya. Moga persahabatan kalian kekal selamanya, bersama susah dan senang dan moga bertemu di Jannah! Amin! (Ada pengecualian ya! Sisters tolong ucapkan pada sisters sahaja, brothers pada brothers sahaja).
Baiklah, saya mahu fokuskan tulisan saya kali ini mengenai satu realiti kehidupan yang tidak berapa cantik! Setiap dari kita pernah atau masih menjadi mangsa. Saya lebih lagi, kerana menjadi mangsa dari remaja sehinggalah dewasa. Baru kini sedikit demi sedikit saya sedang menilai diri semula, berusaha menghakis apa yang ada di dalam minda saya yang sudah lama diracuni. Memohon ampun atas dosa saya membiarkan diri menjadi mangsa sekian lama. Saya akui saya telah melakukan dosa. Semoga Allah mengampuni saya! Jika melihat gambar saya yang lalu, ampunkanlah saya adik-adik semua, jangan ditiru! Itulah namanya mangsa keadaan, moga ada hikmah disebaliknya, moga ini dijadikan pengajaran buat saya dan anda semua.
Mari kita berbicara bagaimana minda kita sudah dipengaruhi dan diracuni secara TIDAK sedar atau pun separa sedar, untuk sentiasa tidak bersyukur dengan mata, badan, hidung, kulit atau pun rupa kita! Kita selalu merasa diri KURANG SEMPURNA! MasyaAllah jika kita benar-benar bahawa Allah itu Al Musawwir, Al Bari sebaik-baik pencipta - maka tidak mungkin kita mengeluh.

Mana tidaknya, tiap-tiap bulan, tiap-tiap hari kita disogok dengan gambar dan imej "kesempurnaan" yang dicedok dan berkiblatkan barat. Majalah VOGUE yang bermula dari tahun 1969 membawa fokus kepada tubuh badan wanita! Kita pun merasakan PERLU untuk ikut! Menurut (Kenrick & Guthrie) Wanita yang dikelilingi wanita-wanita cantik – di persekitaran mahupun majalah atau filem – akan merasa rendah diri dan merasa diri mereka kurang menarik.
Ya, ini termasuk lelaki kerana mereka merasakan itulah dia 'cantik', dan mengharapkan wanita mereka 'cantik' seperti yang ada dalam majalah dan TV. Tanpa sedar, kita terus membeli majalah begini, membiarkan diri merasa kurang cantik dan kurang sempurna! Saya sudah berhenti! Berhenti membeli majalah ini. Kerana saya yakin Allah menyempurnakan kejadian saya dengan sebaiknya! Beli majalah SOLUSI dan Gen-Q MasyaAllah membuatkan saya mahu lebih cantik dari dalam Alhamdulllah! Ya, apa yang kita baca dan apa yang kita lihat amatlah mempengaruhi kita.
Krim muka untuk memutihkan kulit, pusat pelangsingan badan yang meracuni minda (saya juga menjadi mangsa seketika dulu) dan alat solek yang beratus jenama dan fungsi sebenarnya merupakan satu empayar bisnes bernilai jutaan ringgit.
Empayar ini terus 'hidup' dengan membuatkan wanita merasa TIDAK cantik supaya "kami " (golongan hawa) membeli produk mereka. (Jangan dicerita bahan yang dimasukan kedalamnya, tidak pernah kita ambil peduli segala racun dan bahan tidak selamat lagi tidak halal) Dengan terus menyogok di dalam minda bahawa kita 'kurang sempurna' maka kita TERPAKSA membeli produk mereka. Strategi 'marketing' mereka menunjukan bagaimana mudahnya kita, orang Islam Melayu ditipu. Sangat mudah dipengaruhi.
Tidak berhenti bertanya kepada diri seketika. Perlukah? Selamatkah? Benarkah apa yang mereka dakwa ini? Kajian menunjukan bahawa ketika zaman kegawatan ekonomi, peningkatan jualan kosmetik semakin meningkat. Ya hakikatnya kita merasakan kita perlu segala 'tambahan kosmetik palsu' ini untuk merasa yakin! Sedih bukan?
Tahukah anda di Malaysia untuk jadi jutawan segera adalah dengan memulakan bisnes kosmetik. Cuma tukar jenama, ambil dari kilang yang sama, janji dengan bermacam janji dan lakukanlah sedikit promosi. Jutawan sekelip mata! Allah, mari kita duduk sebentar untuk berfikir adik-adik.
Bagaimana kita menilai cantik? Tak cantikkah seorang wanita yang tiada baju berjenama dan solekan diwajah namun kaya dengan ilmu, santun, adab dan akhlak?
Akhir kata, cukuplah kita berkiblatkan barat untuk menilai 'cantik' cukuplah menggunakan J.Lo dan Angelina Jolie sebagai 'rujukan' kita. Cukuplah kita tiru mata, solekan, pakaian, rambut mereka. Yakinlah dengan mengatakan Allah menciptakan saya sebagai insan cukup sempurna. Rujuk Quran surah Tin "Sesungguhnya manusia diciptakan sebaik-baik kejadian". Tak usah rasa rendah diri kalau kita tidak seperti apa yang majalah atau barat 'kata' sebagai cantik. Yakinlah dalam diri yang lebih penting ialah apabila kita cantik dengan adab, akhlak, islam, iman dan ihsan. Sesungguhnya saya juga sedang membina keyakinan ini dalam diri saya dan anak-anak. Cantik BUKAN fizikal semata.
Hiduplah dengan nama Allah Al-Jamil. Namun cantik dalam erti yang sebenar. Cantik dalam sabar dan memberi maaf itulah akhlak yang cantik. Cantik kerana mengucapkan yang benar, kerana hati penuh keikhlasan mencari kebenaran, cantik kerana ketaatan kita kepada Allah.
Sebelum berakhir kita renung satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Masood. Rasulullah SAW pernah bersabda,
"Seseorang tidak akan masuk syurga sekiranya mempunyai secubit pun perasaan sombong. Maka ada hamba Allah yang bertanya: Jika seseorang itu suka memakai pakaian dan kasut yang cantik? Rasulullah SAW menjawab "Allah itu Maha Cantik dan Allah mencintai kecantikan. Sombong itu adalah mengejek dan menolak kebenaran dan merendahkan orang lain" (Bukhari)
Bukan tak boleh cantik, cuma mari nilaikan semula definasi cantik kita selama ini. Definasi siapa yang kita pegang? Jika bertemu dengan orang lain, elakkan dari menuji kecantikan mereka dahulu. Menilai orang dengan hanya kecantikannya adalah merendahkan martabatnya. Sebagai seorang wanita, saya mahu lebih dari cuma cantik! Diri saya berharga BUKAN kerana cantik saya, tetapi ilmu, adab dan akhlak saya InsyaAllah. Mari bina keyakinan dri situ. Saya yakin kita akan lebih dihormati dan disayangi InsyaAllah oleh Allah dan manusia. Wallahu'alam
Salam Sayang,
-WARDINA-

Soladiriti Antarabangsa Membelah Palestin

                                                            Palestin

Pada bulan Mac 1976, bermulalah titik hitam dalam kehidupan masyarakat Palestin apabila pihak Zionis merampas tanah swasta dan awam secara besar-besaran di kebanyakan kawasan di bumi Palestin.
Rentetan daripada itu, rakyat Palestin mengisytiharkan mogok umum yang pertama kali dihadapi oleh Zionis sejak pendudukan Palestin pada tahun 1948. Zionis mula bertindak ganas dengan menakluki lebih banyak perkampungan Palestin, membunuh dan mencederakan ramai orang awam.
Tarikh 30 Mac 2012 dipilih kerana ianya merupakan simbolik bagi hari yang bersejarah yang terpahat di memori masyarakat Palestin iaitu 'Palestine Land Day'. Tarikh 30 Mac ini turut dijadikan sebagai acara tahunan antarabangsa yang melibatkan masyarakat di seluruh dunia untuk menunjukkan perpaduan kita dengan masyarakat Palestin dan untuk melindungi Baitulmaqdis sebagai kota suci.
Global March to Jerusalem (GMJ) yang juga perjuang antarabangsa bagi menuntut kebebasan buat Baitulmaqdis dan masyarakat Palestin di samping bertekad untuk mengakhiri dasar Aparteid dan polisi pembersihan etnik yang memberi kesan mendalam terhadap rakyat, tanah jajahan dan kesucian Kota Baitulmaqdis yang mana merupakan satu jenayah bukan sahaja terhadap rakyat Palestin, bahkan terhadap semua masyarakat di seluruh dunia.
Sehubungan dengan itu, satu perarakan keamanan akan dianjurkan secara besar-besaran di beberapa buah benua seperti benua Asia, Afrika, Eropah, Amerika dan Australasia untuk bergerak menuju ke Palestin and beberapa negara jiran seperti Jordan, Mesir, Syria dan Lebanon.
Setelah tiba di Palestin pada 30 Mac nanti, perarakan secara aman akan bergerak pula menuju ke Baitulmaqdis atau titik kawasan yang terdekat dengannya. Pada tarikh yang sama, demonstrasi secara aman akan diadakan di hadapan kedutaan Israel di pelbagai ibu negara yang terpilih dan seterusnya akan berlanjutan secara besar-besaran di dataran utama di bandar-bandar besar di dunia seperti Dataran Tahrir, Mesir.
Malaysia sendiri mengambil langkah menyokong usaha ini. Malaysia Global March to Jerusalem (myGMJ) ditubuhkan untuk menerajui sebuah gabungan NGO Malaysia tidak mengira agama, bangsa dan politik untuk menganjurkan sebuah aktiviti kebangsaan serta mengambil bahagian dalam aktiviti GMJ antarabangsa.
Seluruh warga Malaysia daripada semua lapisan masyarakat diajak untuk bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan amalan yang mulia ini. Semua tokoh negara, ahli politik, selebriti, tokoh-tokoh hak asasi manusia dan penerbit filem dijemput untuk bersama-sama menyokong aktiviti myGMJ ini.
Beberapa aktiviti telah dijalankan di beberapa tempat dan terdapat juga aktiviti-aktiviti yang masih dalam perancangan dan akan menyusul seiring dengan acara kemuncak GMJ yang akan berlangsung pada 30 Mac 2012 nanti.
Antara aktiviti yang telah dan akan dijalankan ialah kempen kesedaran di sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi, menghantar wakil dari myGMJ untuk menyertai perarakan global di Beirut, konvoi bermotor myGMJ dan flashmob myGMJ di beberapa tempat awam yang terpilih.
Selain itu, kemuncak acara myGMJ akan diadakan pada 30 Mac 2012 di Stadium Malawati Shah Alam untuk diselarikan dengan perarakan lain di seluruh dunia dan konvoi motosikal berkuasa besar (Superbike) yang membawa 131 bendera negara yang mengiktiraf negara Palestin yang akan berkumpul di satu tempat awam berlatarbelakangkan Baitulmaqdis, Masjid Al-Aqsa dan Gereja Nativity.

Sebagai rakyat Malaysia, anda boleh sertai myGMJ atau mana-mana badan yang bersama-sama menganjurkan aktiviti-aktiviti seperti ini. Selain itu, anda boleh menghebahkan mengenai aktiviti myGMJ kepada rakan-rakan di sekeliling anda di samping memboikot apa sahaja yang ada kaitan dengan Israel seperti memboikot barangan, pelancongan, kebudayaan dan acara-acara sukan.
Jom hadir pada Jumaat 30 Mac ini di Stadium Malawati Shah Alam sebagai tanda solidariti antarabangsa membela Palestin di seluruh dunia. Perjuangan membela Palestin adalah perjuangan bersama. Ayuh, sama-sama kita jayakannya!
Dipetik daripada http://ikram.org.my

Di Balik Tirai Aurat

                                                           baby

Ah.
Keluh aku luah.
Runsing benak minda.
Memikir hal seorang wanita.
Bilang orang dia jelita.
Digilai berjuta jejaka.
Sungguh.
Bukan dusta.
Matanya menyinar bak permata.
Bibirnya mekar semerah saga.
Hidungnya mancung.
Lesung pipit di pipi.
Bagai menakung selaut mimpi.
Tapi sayang.
Sejuta kali sayang.
Rambutnya lepas bebas.
Compang kebayanya dibuka luas.
Selangkah dia mara.
Terlihat gebu betis.
Terkopak seribu pasang mata.
Pasti goyah iman di dada.
Sayang.
Sejuta kali sayang.
Budi bahasanya indah bila bicara.
Tutur suaranya lemah dengan si tua.
Mendengar perihal agama.
Tekun dipasang telinga.
Melihat insan kebulur.
Pantas tangan dihulur.

Ah.
Keluh kesah aku luah.
Memikir hal seorang wanita.
Wahai wanita.
Kiranya luah ini kau baca.
Ini pesanku untukmu.
Kiranya dedahmu untuk ditayang.
Mahu ada mata memandang.
Janganlah.
Kerana aku juga lelaki.
Aku mengerti apa yang mereka perhati.
Terkadang bukan cinta yang mereka cari.
Sekadar nafsu selubung diri.
Kiranya dedahmu untuk dipuja.
Sesama teman dirimu dijaja.
Ingatlah.
Yang mencatat baik buruk bukan teman mu.
Tapi malaikat yang setia di sisi.
Mengarang amal di dalam buku.
Namun aku percaya.
Jauh di sudut hati.
Kau mahu berubah.
Hematmu kira suatu hari.
Kau pasti beroleh hidayah.
Tapi sayang.
Tiada kita tahu si ajal menjelma.
Entah esok entah lusa.
Atau nanti.
Kita pergi tiba-tiba.
Aku mengerti.
Kau bimbang ditempelak.
Khuatir menerima suara hina.
Tapi persetan semuanya.
Kerna di hujung titis hujan.
Pasti pelangi benderang semula.
Kira kau malu.
Sudi aku jadi temanmu.
Menepis segala sinis.
Menangkis semua egois.
Kira kau tiada mampu.
Nah.
Sudi aku kongsi hasil titik peluhku.
Belilah mana kau mahu.
Asal lengkap isi syariatnya.
Asal penuh syarat litupnya.
Wanita.
Bukan balas cinta yang aku pinta.
Bukan kasih sayang yang aku bayang.
Tapi kau permaisuri.
Aku sang raja.
jJatuh bangun takhta ku keranamu.
Pecah sunyi adam juga kerana kamu.
Maka tiada salah.
Kiranya kita bangun bersama.
Jatuh bersama.

Ah.
Keluh kesah aku lagi.
Tidak mahu kerana seutas rambut.
Segunung azab seksa menanti.
Wanita.
Percayalah.
Bagi aku kau tetap jelita.
Bukan dek ayu matamu.
Bukan dek manis raut senyummu.
Tapi jelita kau terpancar dari dalam jiwa.
Di balik tirai aurat.
Mendukung patuh Maha Pencipta.
Perlahanlah.
Kerna sejuta derap lari itu.
Mulanya dari langkah yang satu.

Thursday, March 29, 2012

Singa Yang Gagah dan Bangku Kaki Empat

                                                            baby

Assalamualaikum wrt wbt,
Para Usahawan Muslim Ana yang dirahmati Allah,
Mungkin sudah banyak kali kita terjumpa dan terserempak dengan anjuran agar kita mendefinisikan impian kita dengan sejelas mungkin, sehingga kita boleh membayangkan apa yang kita impikan itu dalam minda kita. Melalui proses ini, kita sebenarnya membolehkan minda kita menggarap seluruh potensi yang ada pada kita seterusnya memusatkan usaha ke arah merealisasikan impian kita itu.
Antara kunci penting proses ini ialah kemampuannya untuk melahirkan fokus, atau tumpuan. Kehilangan fokus atau tumpuan kebiasaannya akan menjadi sesuatu itu lemah dan tidak mencapai potensi yang sebenarnya. Contoh mudah ialah cahaya matahari yang apabila difokuskan menggunakan kanta pembesar akan mampu membakar, air yang dipusatkan kepada turbin hidroelektrik boleh menghasilkan kuasa elektrik yang bermanfaat. Mungkin kita boleh kaitkan juga bahawa kuasa solat sebenarnya hanya boleh dicapai melalui hadirnya hati yang fokus atau khusyuk'.

Satu perumpamaan yang pernah dinukilkan dalam sebuah buku ialah bagaimana penjinak singa atau harimau dalam sarkis dapat menjalankan aksinya bersama singa dan harimau yang ganas. Menurut seorang pakar, antara peralatan penting yang biasa di bawa oleh seorang penjinak itu ialah, sudah tentu, pistol - tetapi mungkin lebih penting ialah sebiji bangku atau kerusi berkaki tiga atau empat. Maklumlah, kalau setiap kali penjinak tersebut terpaksa menggunakan pistol, pasti tidak banyak pertunjukan yang dapat dilakukan!
Namun yang menarik di sini ialah, apa pula fungsi kerusi atau bangku itu. Kata penulis itu, sebenarnya kerusi itulah peralatan penting yang dapat membantu penjinak tersebut. Ini kerana apabila diajukan kaki bangku yang empat itu kearah singa atau harimau tadi, binatang tersebut tidak tahu kepada kaki mana hendak difokuskan tindakannya, maka ia seolah-olah lumpuh pergerakannya dan 'hilang taring'. Maka si penjinak tadi akan dapat menjalankan tugasnya tanpa perlu menggunakan kaedah yang drastik untuk mengawal binatang tersebut, walhasil dapatlah kita menikmati keseronokan menonton aksinya 'menjinakkan' harimau atau singa itu!
Satu pengajaran penting di sini ialah, sebagaimana sang singa yang gagah dapat ditundukkan oleh sebiji bangku berkaki empat, maka begitulah kita manusia yang berpotensi mentadbir alam akan lumpuh apabila berhadapan dengan terlalu banyak komitmen. Sudah semestinya usaha mendefinisikan impian kita sama ada menggunakan kaedah SMART atau sebagainya, akan memberi kita fokus. Dan fokus inilah yang membolehkan minda kita memusatkan segala potensi kita dan menjalankan tulang empat kerat kita ke arah apa yang kita impikan, insya Allah.

Hidayah Allah Itu Sangat Berharga

                                                        baby

Alhamdulillah, itulah yang diperkatakan tatkala membaca pelbagai berita sejak akhir-akhir ini diuar-uarkan tentang artis-artis yang sudah berhijrah ke jalan diredhai Allah. Sesungguh kuasa Allah itu sangat luas dan meliputi sekalian alam. Dia sahaja yang mampu memberikan hidayah kepada manusia dan mampu juga menarik hidayah dari manusia. Sebagaimana kata-kata Allah :
"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman."
Al-An'aam , 125
Kita lihat sahaja kini, ramai artis-artis yang sudah berhijrah seperti Sham kamikaze, Zuar XPDC, Bob Lokman, malah saban hari makin ramai. Sesungguhnya kita sebagai hamba Allah semestinya cemburu akan hidayah yang Allah berikan kepada mereka ini. Adakah kita hanya duduk mencemburui atau bertindak untuk mengejar Hidayah Allah. Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
(Surah ar-Rad: ayat 11).
Sesuatu bangunan itu tidak akan terbina jika tiada orang yang membinanya, Sesuatu perkara itu tidak akan terjadi jika tiada orang yang melakukannya. Oleh itu, kita sebagai hambanya sentiasalah mencari dan sentiasa muhasabah diri mengapa dan kenapa diri kita jauh dan tidak mendapat hidayah Allah. Hidayah Allah itu tersangat berharga kerana setiap perlakuan seseorang selepas itu akan bertukar menjadi dari kekufuran kepada beriman. Kita lihat sahaja sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w dahulu, mereka mendapat hidayah Allah sehingga sanggup menggadaikan semua hartanya hanya kerana Allah.
Lihat sahaja zaman penyebaran islam di mekah oleh Rasulullah s.a.w, banyak mukjizat kekuasaan Allah yang ditunjukkan oleh Beliau, akan tetapi tidak dapat juga hidayah daripada Allah antara nya Abu lahab dab Abu Jahal. Pelbagai mukjizat mereka diperlihatkan akan tetapi disebabkan hati mereka yang sentiasa menolak, itu yang menjadikan mereka tidak mendapat hidayah Allah s.w.t.

Kita mungkin sering berniat untuk berubah dan menjadi lebih baik, tetapi tindak tanduk perlakuan kita?.. adakah sehaluan dengan perubahan yang kita hendak lakukan?. Adakah dengan berkata kita akan berubah?. Allah mementingkan hidayah itu kerana Ianya sesuatu yang sangat berharga dan kita sebagai hambanya perlulah sentiasa berusaha dan tidak jemu untuk mendekat diri kepadaNya kerana usaha kita lakukan akan mendatangkan hasil.
Firman Allah SWT dalam surah Yunus, 10:57:
Hai manusia, Sesungguhnya Telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Terdapat pelbagai alternatif untuk berubah memandangkan zaman yang serba canggih kini, hanya mahu ataupun tidak. Berdasarkan ayat diatas, Allah menyatakan Al-Quran itu sendiri sebagai nadi untuk penyembuh penyakit-penyakit yang berada didalam dada dan petunjuk
Muhasabah diri kita adakah kita sentiasa melakukan perkara yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah lalu mendapat hidayah daripadaNya atau kita bersahaja dalam memikirkan hal ini. Nauzubillah, sesungguhnya kita tidak mahu tergolong dalam golongan yang disebut diatas dimana pelbagai mukjizat dan pengajaran akan tetapi tidak mendapat hidayahNya. Sesungguhnya hidayah Allah itu akan mudah diterima jika tiada sesuatu yang menghalang dari ia sendiri hadir dalam hati kita sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi:
Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.

Lihatlah diri kita, ada dikalangan kita sudah berhijrah mendapat hidayah Allah yang sangat berharga itu, ada yang masih didalam kegelapan oleh tindakan mereka sendiri. Bagaimana kita dengan Allah?, apakah hubungan kita dengan Allah?, semoga kita semua mendapat tempat disisi Allah dan tergolong dalam golongan Hambanya yang mendapat hidayah dan petunjukNya.

Sembilan Untukku, Satu Untukmu

                                                         baby

Wahai dikau pemilik persona yang mendamaikan,
Maafkan aku kiranya nukilan ini membuatmu jauh hati padaku
Aku tahu kamar hatimu terbuncang tulus kasih yang tak berbelah bahagi,
Aku tahu kerana aku juga begitu.
Aku tahu raudhahmu sarat kuntuman cinta yang harum mewangi,
Aku tahu kerana aku juga begitu.
Padamu selalu aku bisikan, dalam senda beralas, dalam gurau berbalas.
Bukan aku tak bersedia menerimamu sepenuhnya,
Bukan aku tak bersungguh denganmu seadanya.
Tapi itulah kata syariat, itu jugalah kata adat.
Langkah harus beringat, berkasih biar bertempat
Bagiku telah difitrahkan sembilan akal bak pahlawan,
Dan satu nafsu yang tidak terlawan,
Bagimu sembilan nafsu yang mudah ditawan,
Dan satu akal yang berpangkat bawahan
Bukan ini diskriminasi ilahi
Tapi itulah anugerah yang sangat berseni
Terciptanya kamu dari serpihan penuh rahsia
Yang mohon dituntun penuh waspada
Barang kau ingat wahai puteri
Sembilan akalku nakal tidak terperi
Satu nafsuku itulah raja, akalku pula setia bekerjasama
Sembilan akalku sedia berpadu,
demi memenuhi nafsu yang satu

Kutahu juga sembilan nafsumu bertakhta
Satu akalmu sering kecundang kehilangan kuasa
Itulah sebab benteng kubina, kerana sayangku padamu tidak terhingga
Aku tidak mahu kasarnya sentuhan,
mencalarkan kacamu yang kerapuhan,
Kubimbang jika aku bukanlah jodohmu,
kelak kau tersisa tidak bermutu
Kupohon kau jagalah peribadimu,
jangan terlalu mudah memberi sebelumnya waktu
Biar sombong dikata duniawi, asalkan jadi cemburuan bidadari syurgawi
Bukan aku tidak kasih padamu, bukan juga aku tak kisah padamu
Tapi biarkan itu berlaku seiring waktu
Sebagai bingkisan jodoh yang datang bertamu.
Aku bukanlah Ustaz Wan Aqasha, dan kau juga bukan Ustazah Siti Norba'yah
Tapi kuharap cinta kita semanis kurma, dan mahligai terbina penuh ceria
Kuharap dikau bukan pilihan yang salah,
Sebelum jodoh datang menjengah
Bersamalah menimba ilmu yang payah,
Agar saat istana bergoyah,
Bahtera kita masih berarah.
Ketika restu dan izin-Nya mencurah,
Akan kupinangmu dengan Bismillah.