Wednesday, November 30, 2011

Ku Cinta Dia

                                                       alt

Dialah Allah. Maha Pemurah. Maha Penyayang.
Maha Pencipta, Maha Pengampun.
Maha Pengurnia, Maha Pemberi Rezeki, Maha Pembuka Rahmat.
Maha Pelapang Hidup, Maha Pemberi Manfaat.
Dialah al-Wadud, Yang Maha Mencintai.
Katakanlah, ku cinta Dia.
Mengapa Kita Mencintai Allah S.W.T?
1. Sebagai bukti bahawa kita adalah hamba yang  bersyukur
وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالأبْصَارَ وَالأفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur.
(Surah Al-Nahlu 16: Ayat 78)
Alhamdulillah. Kita boleh mendengar. Tetapi ada insan yang dilahirkan pekak sekaligus bisu.
Kita boleh melihat. Ada insan yang dilahirkan tidak mampu melihat. Ada yang kehilangan penglihatannya.
Kita boleh berfikir secara waras. Ada insan yang perkembangan akalnya terbantut atau lambat.
Adakah kita bersyukur?
Bagaimana kita bersyukur?
Tidak lain melainkan dengan ketaatan dan kecintaan kepada Allah S.W.T. Pendengaran, penglihatan dan hati, perlu dihiasi dengan ketaatan dan kecintaan kepada-Nya.
2. Demi mencapai kemanisan Iman

Sabda Rasulullah S.A.W. :
"Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman : (iaitu) Allah S.W.T dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah S.W.T, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api."
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)
Manisnya coklat berkualiti itu menggembirakan.
Manisnya, lazatnya makanan kegemaran itu menyeronokkan.
Manisnya senyuman dan wajah itu menenangkan.
Manisnya tutur bahasa itu membahagiakan.
Namun halawatul (kemanisan) Iman itu bagaimana?
Ianya suatu rasa yang lebih hebat.
Kemanisan Iman, satu anugerah  daripada Allah S.W.T.
Kemanisan Iman, rasa nikmat ketika melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T.
Kemanisan Iman itu adalah kegembiraan hati, tenangnya jiwa dan bahagianya hidup.
من لم يذوق لا يفهم
Siapa yang tidak merasa, tidak memahami.
 
Halawatul Iman itu tidak dapat dirasai melainkan oleh mereka yang sempurna iman dan benar-benar mencintai Allah S.W.T dan Rasul-Nya.
Kemanisan Iman, adalah sesuatu yang kita perlu berusaha sedaya-upaya untuk merasainya.
Kita taat dan mencintai Allah S.W.T dan Rasul-Nya, demi kemanisan Iman.
3. Untuk meraih Cinta Yang Maha Mencintai
Daripada Abu Darda' r.a. bahawasanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: "Di antara doa Nabi Daud 'alaihissalam ialah: "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cinta-Mu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu dan aku memohon kepada-Mu perbuatan yang dapat menyampaikanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin."Dan bila Rasulullah s.a.w  mengingat Nabi Daud 'a.s beliau menggelarinya sebaik-baik manusia dalam beribadah kepada Allah S.W.T."(HR Tirmidzi 3412)
Betapa manusia mengharap cinta daripada kekasih, sifat raja' (harap) itu lebih utama kepada Allah S.W.T.
Betapa manusia berusaha memenangi cinta insani, cinta daripada Allah S.W.T itu lebih utama untuk diraih.
Itulah cinta hakiki yang kita dambakan.

Mencintai Allah S.W.T tidak akan pernah ada erti kecewa atau dikhianati.
Cinta kepada-Nya pasti dibalas dengan cinta daripada-Nya, dibalas dengan pelbagai curahan nikmat dan rahsia yang seni.
Berbahagialah jiwa yang taat dan cinta kepada Allah S.W.T, kebahagiaan di dunia yang sementara dan kebahagiaan di syurga yang kekal abadi.
4. Kerana Allah S.W.T telah memperingatkan dan memberi ancaman:
قُلْ إِنْ كَانَ أبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya,maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya". Dan Allah S.W.T tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq.
(Surah At-Taubah 9: Ayat 24)
 

Kepada-Mu Kami Memohon:
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cinta-Mu, dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan kecintaan terhadap amal yang mendekatkan diriku kepada-Mu. Keampunan-Mu ku pohon, andai ada selain-Mu yang lebih utama dalam hatiku.
Comments
0 Comments

0 comments: