Wednesday, November 30, 2011

Usah Memilih Kerja

                                                      alt

Pagi Isnin. Kebanyakan jalan raya di kota dipenuhi kenderaan semenjak jam 6.30 pagi lagi. Kesesakannya akan memuncak mulai jam 7.30 hingga 8.00 pagi. Bas, teksi, koc LRT mahupun komuter turut dipenuhi para penumpang. Kesendatannya akan reda seketika apabila kakitangan awam mulai masuk ke pejabat.
Namun, jalan-jalan raya akan mulai sesak kembali dengan gelombang kesesakan kedua di antara jam 8.30 sehingga 9.00 pagi. Ketika ini, giliran kakitangan swasta pula memenuhi kereta dan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Pada waktu petang, mulai jam 5.00 membawa hingga ke jam 7.00 malam, jalan-jalan raya dan rel juga sesak apabila para pekerja pulang ke rumah masing-masing.
Inilah fenomena kesesakan yang disebabkan oleh mereka yang bekerja daripada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau 9.00 pagi hingga 5.00 petang, lima atau enam hari seminggu. Mereka yang memenuhi jalan-jalanraya diwaktu-waktu puncak ini lazimnya bertugas sebagai kakitangan awam mahupun swasta. Mereka pekerja pejabat.
Di pinggir-pinggir kota khususnya di kawasan perindustrian pula, masa paling sesak adalah jam 7.00 pagi, 3.00 petang dan 11.00 malam. Ini adalah masa sibuk kerana permulaan syif bagi pekerja-pekerja kilang adalah pada waktu tersebut.
Waktu-waktu kerja kakitangan awam, swasta mahupun pekerja-pekerja kilang adalah tempoh kerja yang biasa kita tahu dan sudah dianggap waktu kerja standard. Namun, ada juga kakitangan yang bertugas pada waktu yang khusus, tetapi on call atau perlu hadir bila dipanggil bertugas pada bila-bila masa. Profesyen polis, askar, bomba, kakitangan hospital dan juga wartawan adalah di antara profesyen yang tidak menentu waktu bertugasnya.
Oleh kerana sebilangan besar mereka yang bekerja tertakluk kepada masa kerja seperti di atas, ramai yang beranggapan, inilah kerja yang sebenarnya. Hinggakan, ramai pencari kerja yang memasuki pasaran pekerjaan menganggap bertugas pada masa yang lain daripada itu bukan kerja namanya. Justeru itu, profesyen yang tidak terikat dengan masa kerja sebegitu dianggap pelik, tidak menjamin masa depan, malah tidak dianggap sebagai kerja pun.
Kerana itu, pekerjaan yang mempunyai waktu kerja berbeza daripada yang normal tidak menjadi pilihan si pencari kerja melainkan kerana terpaksa. Kalaupun ada yang memilih kerja-kerja itu, mereka hanya bekerja untuk sementara. Apabila ada tawaran kerja dengan waktu standard, dengan senang hati mereka akan meninggalkan kerja yang ada.
Sebenarnya, ramai yang tidak sedar, kerja-kerja di luar waktu normal itu lebih menguntungkansamada daripada segi material dan fizikal. Seorang pakcik yang menjual nasi lemak di Taman Tun Dr. Ismail, hanya berniaga daripada jam 6.30 pagi hingga jam 11.00 pagi iaitu empat jam setengah sahaja. Seorang pemuda penjual char kuey teow di Gombak pula berniaga daripada jam 6.30 petang hingga 12.00 malam iaitu lima setengah jam sehari.
Saya mengenali seorang perunding perniagaan yang bekerja hanya dua hari seminggu. Saya juga pernah membaca kisah mereka yang bekerja hanya tiga bulan setahun pada bulan puasa hingga hari raya, atau pada musim haji semata-mata. Setelah habis musim, mereka berehat sembilan bulan lamanya untuk berbuat apa yang mereka suka. Beberapa orang rakan saya bekerja pada waktu malam sahaja membuat rekabentuk untuk sebuah syarikat di Amerika.
Ramai lagi yang bekerja di rumah, samada dengan membuat kuih untuk dibekalkan ke hotel-hotel dan syarikat penerbangan. Sudah tentu ramai lagi yang bekerja tidak ikut waktu bekerja yang statik dengan perniagaan online masing-masing.
Kini, semakin ramai yang memilih kerja yang tidak memerlukan seseorang itu ke pejabat atau kilang. Ia bukan lagi dianggap kerja sambilan atau kerja kedua untuk menambah pendapatan. Sebaliknya, ia adalah kerja utama yang menjadi mata pencarian.
Justeru itu, bagi si pencari kerja, anda tidak semestinya memfotostat resume dan mengelek fail ke mana-mana pejabat lagi. Tidak perlu lagi duduk berbaris menanti untuk ditemuduga. Sebaliknya, anda hanya perlu membuka mulut atau internet dan singgah ke tempat mereka yang mempunyai perniagaan di luar waktu pejabat. Peluangnya lebih besar. Pulangannya juga lebih tinggi.
Justeru itu, jangan memilih kerja. Jangan juga memilih waktu kerja!
Comments
0 Comments

0 comments: