Wednesday, February 29, 2012

Didikan Ini Demi Cinta

                                                        taubat

Kalau ditanyakan kepada orang tua, bilakah masanya dalam takah kehidupan ini mereka rasakan terlalu banyak melakukan kesalahan dan kesilapan?
Nescaya mereka menjawab, "semasa kami masih muda." Ya, bila seorang tua menoleh ke belakang, terasa begitu banyak perkara yang sepatutnya dibuat semasa muda, tidak dibuat. Sebaliknya banyak pula perkara yang tidak sepatut dibuat, telah dibuat.
Sayangnya, kebanyakan orang muda tidak menyedari hakikat ini sehinggalah mereka  sendiri meningkat tua. Lalu atas kealpaan itu mereka akan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan oleh bapa, datuk dan moyang mereka pada zaman mudanya.
Pendek kata, ramai manusia lambat belajar di 'universiti kehidupan' ini. 'Kurikulum' pelajaran yang sepatutnya telah difahami di peringkat muda baru difahaminya hanya apabila kita meningkat tua.
Alam adalah sebuah 'universiti' yang luas dan besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan manusia terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat. Mungkin ini juga termasuk dalam maksud "tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad."
Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluh kehidupan untuk hidup yang lebih tenang dan bahagia. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu.
Kurikulum pelajaran ini pula tersusun mengikut tahap usia dan tempoh kedewasaan seseorang. Justeru, di peringkat muda ada 'pelajaran-pelajaran' tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah 'pelajaran-pelajaran' itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya?
Itulah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap kita. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya 'selesai' pada usia muda terpaksa dibawa ke peringkat tua. Kalau begitu keadaannya maka rugilah. Samalah seperti pelajar universiti yang terpaksa 'refer'  atau 'repeat' akibat gagal dalam peperiksaan semester atau tahunan mereka.
Para remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa. Tahap transisi ini tidak stabil. Umpama air (cecair) yang hendak bertukar menjadi wap (gas), maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.
Keadaan itu samalah dengan remaja, pada tahap itu jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen dalaman mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, ingin mencuba, perubahan biologi dan macam-macam lagi.
Dan di tahap ini juga para remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dalam hidup mereka dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan.

Sesungguhnya semua itu tidak berlaku sia-sia melainkan ada 'pelajaran' yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Para remaja (malah orang tua sekalipun) mesti dapat membaca 'mesej' yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas kita. Jika tidak, kita terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali.
Sebab itulah dalam pengalaman kita, sering  kita temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama. Abu misalnya, akan sentiasa 'pokai' setiap pertengahan bulan dan sentiasa merungut duitnya tidak cukup. Minah, sudah lima kali ditinggalkan kekasih dan mengeluh tidak ada lelaki yang benar-benar memahami perasaannya.  Joe pula, telah tujuh kali jatuh motor dan marah-marah tentang nasib malang yang sedang menimpanya.
Anehnya mengapa Mat tidak mengalami masalah 'pokai' seperti yang selalui dialami Abu. Bedah tidak seperti Minah, dia telah pun bertunang dengan lelaki yang pertama dikenalinya? Manakala Samad, cuma sekali sahaja jatuh motor dalam hidupnya dan sekarang sedang selesa memandu Perodua yang baru dibelinya... Apakah yang menyebabkan keadaan atau nasib mereka berbeza?
Bezanya ialah ada diantara para kita yang cepat belajar dengan hidup sebaliknya ada di antara mereka yang tidak pernah atau lambat belajar. Yang belajar, akan 'naik kelas' dan layak untuk mengambil mata pelajaran baru yang lebih tingkat dan martabatnya. Yang tidak belajar, terpaksa mengambil mata pelajaran yang sama berkali-kali.
Abu, contoh kita tadi, tidak pernah belajar bagaimana mengurangkan perbelanjaan berbanding pendapatan... dan dia akan mengalami masalah yang sama walaupun kiranya nanti ia menjawat jawatan yang tinggi dan bergaji besar. Manakala Minah, tidak cuba mengenali kelemahan dirinya sendiri sebagai seorang wanita justeru dia sering menemui lelaki yang tidak sepatutnya dia temui.
Jadi langkah pertama supaya kita 'lulus' dalam pelajaran hidup ialah  kita perlu akur bahawa setiap yang berlaku di dalam kehidupan ada unsur pengajaran dan didikan buat kita. Setiap peristiwa, pahit atau manis, setiap individu, baik atau buruk – hakikatnya adalah 'guru' yang mengajar kita. Dan setiap guru itu mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala kelihatan pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.
Untuk itu, apabila ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri sendiri, "apakah pelajaran yang di sebalik semua ini?" Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah 'mehnah' – maksudnya didikan terus dari Allah.
Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Allah. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehnah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sesiapaun. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.
Jika seorang datang membuat kita marah, maka dia adalah 'guru' yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita selalu 'kesempitan' wang maka itu tandanya kita harus bersedia belajar erti berjimat cermat. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap.
Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik. Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Allah, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik kerana tujuanNya mendidik pun pasti baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi 'tujuan' di sebalik 'pelajaran-pelajaran' yang datang  dan pergi dalam hidup kita? Tujuan utama pelajaran dalam hidup ini adalah untuk mengubah kita ke arah yang lebih. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru   hidup ini sendiri adalah satu proses perubahan yang berterusan.
Sudah menjadi sunatullah (peraturan Allah) yang tidak berubah dalam hidup ini adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan manusia. Kita akan kalah jika kita tidak berubah. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jika tidak, kita juga terpaksa berbuah, mengikut kawalan orang lain atau keadaan sekeliling.
Manusia umpama nakhoda yang belayar di lautan. Sebagai nakhoda kita punya arah dan destinasi tersendiri. Tetapi tiupan angin, pukulan gelombang dan cuaca tidak selalunya menyebelahi kita. Kekadang arah pelayaran kita ke utara tetapi angin bertiup ke selatan. Kita akan tersasar dari destinasi jika menurut sahaja tiupan angin.
Sebaliknya kita akan patah, jika  terus berkeras menentang tiupannya. Jadi, apakah kita menjadi 'Pak Turut' yang terpesong tanpa prinsip dan haluan? Atau bersikap keras, rigid dan akhirnya patah kerana kedegilan melawan gelombang?
Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, "we can't direct the wind but we can adjust our sail." Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir  yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita. Inilah kelebihan manusia, sebagai khalifah.
Kita diamanahkan untuk mentadbir pendengaran, sentuhan, penglihatan, penciuman, penglihatan, fikiran, emosi, hati dan tindakan kita dalam lingkungan takdir-Nya. Oleh itu, dengan segala kuasa dan kelebihan yang ada, kita perlu berubah mengikut arah dan bentuk yang kita pilih dengan izin Allah jua.
Malangnya, ramai manusia yang tidak suka berubah. Ada kita bersikap 'selamba' dan 'relaks' dengan apa sahaja yang berlaku termasuk perubahan yang berlaku pada diri dan sekeliling mereka. Mengapa? Sebab perubahan ertinya hijrah atau berpindah. Setiap hijrah dan berpindah itu menagih kesusahan. Maksudnya, orang yang berhijrah terpaksa meninggalkan zon keselesaan (comfort zone) untuk menuju zon cabaran (courage zone).
Misalnya, anak kecil yang hendak berpindah dari tahap merangkak ke tahap berjalan, tentu terpaksa bertatih-tatih, jatuh bangun, jatuh dan terpaksa mengalami calar-calar dan sebagainya. Namun segala-galanya terpaksa dihadapi demi membolehkan dia berjalan. Apa akan jadi kalau ada anak kecil yang terus selesa merangkak dan tidak mahu belajar berjalan kerana takut cabaran? Tentulah tidak ada perkembangan dalam hidup. Maka begitulah para kita, dengan ujian mereka dituntut supaya berubah, jika tidak mereka tidak akan mencapai tahap kematangan untuk berjaya dalam hidup!
Rengkasnya, pelajaran dalam hidup datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna kita gagal dalam peperikasaan di universiti kehidupan kita. Apa yang menghalang kita berubah?
Salah satunya ialah keinginan untuk melihat orang lain, keadaan atau peristiwa di luar diri kita terlebih dahulu berubah. "Aku boleh jadi baik, jika guru dan ibu-bapaku melayanku dengan baik," begitu selalu yang kita dengar. "Kedudukan kewanganku boleh stabil, jika pendapatanku bertambah," kata sesetengah yang lain. "Jikalau aku mengenali seorang lelaki yang beriman, aku akan menjadi isteri yang solehah." "Kalau motorku dari jenis yang mahal, tentu aku tidak terlibat dengan accident lagi!"
Begitulah suara-suara kelohan dan harapan yang selalu diluahkan oleh hati kita. Semuanya, mengharapkan keadaan, individu lain dan peristiwa berubah – barulah kita mahu dan mampu berubah. Sedangkan hukum perubahan tidaklah begitu. Kita mesti berubah dulu, barulah keadaan, peristiwa dan individu lain berubah akibat perubahan kita.
Guru dan ibu-bapa akan melayan kita dengan baik, jika kita terlebih dahulu berusaha menjadi anak atau murid yang baik. Anda berjimat cermat dahulu, barulah kedudukan kewangan anda akan stabil. Anda jadi wanita solehah dahulu, barulah akan ada lelaki beriman yang akan melamar anda. Dan anda perlu baiki dan memandu motor 'buruk' anda dengan baik barulah anda tidak terlibat dengan 'accident' dan akhirnya layak untuk mendapat motor baru yang mahal harganya!
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa kita, sama ada baik atau buruk... itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan kita hadapi... maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan... Nanti kita akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.
Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan. Belajarlah di universiti kehidupan semasa masih ada masa lagi, supaya kita tidak diburu penyesalan apabila tempoh pengajian tamat (mati).
Kata pepatah, "belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air." Teringat kata Dale Carnargie, "jangan gergaji abuk kayu!" Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!
Buat diri ku dan diri mu, kuaklah tirai hari ini dan ingatkan diri... aku adalah pelajar di universiti kehidupan ini. Hari ini Allah pasti mengajar ku melalui perlakuan-perlakuan manusia lain kepada ku.  Dan aku mesti belajar dengan orang lain, kejadian, peristiwa itu – pahit atau manis.
Jika manis, Allah mengajarku erti syukur. Jika pahit, Allah mengajar ku erti sabar. Jika dikecewakan, aku sedang belajar hakikat tawakal. Bila cemas, Allah mengajar ku erti raja' (mengharap). Jika sedikit, Allah mengajar ku erti qanaah (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati kami dari asbab-asbab ini, agar kami bebas dan tenang berpaut pada 'musabbabil asbab' (Penyebab segala sebab) – wajah MU ya Allah.
Pujuklah hati, katakan, didikan ini demi cinta-Nya jua.

Dakwah:Sebuah Perancangan,Harapan,dan Perkongsian

                                                       lelakidakwah

Nabi Muhammad s.a.w. hadir saat dunia memerlukan sebuah harapan bagi meneruskan kesinambungan kehidupan yang selamat dan harmoni. Islam datang sesuai dengan namanya yang bermaksud selamat, sejahtera, aman dan damai. Antara tugas utama kepada Rasulullah s.a.w dan rasul-rasul sebelum baginda adalah berdakwah.
Dakwah bermaksud mengajak, menyeru dan panggil sesiapa sahaja kepada Islam yang benar. Dakwah adalah suatu kewajipan sejak azali manusia, atas nama amar makruf nahi mungkar atau sebagai tugas warisan daripada Rasulullah. Ramai yang tidak sedar, selain daripada al-Quran dan sunnah.
Rasulullah juga mewariskan kepada setiap daripada umatnya tugas dakwah. Ini bermaksud setiap daripada umat Nabi Muhammad wajib menjadi pendakwah. 
Justeru, apakah perlu setiap daripada kita menjadi pekerja agensi seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atau mana-mana jabatan kerajaan yang mempunyaia bahagian dan unit dakwah yang khusus. 
Atau apakah perlu juga kita menjadi seorang daripada penjawat dalam agensi dakwah seperti Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), Persatuan Kebajikan Islam se-Malaysia (PERKIM) dan lain-lain agensi bukan kerajaan naungan kerajaan. 

Tidak lupa juga mereka yang memilih jalur tabligh, tarikat, PUM, PPM, JIM, ISMA, IRC, IQRAM dan pelbagai lagi jemaah yang membawa jenama-jenama khusus bagi melambangkan diri dan aliran dakwah yang mereka pilih. Malah ada pula yang meletakkan dakwah hanya berdasarkan perjuangan sesebuah parti yang mereka pilih kerana pada mereka, berdakwah melalui jalur politik dalam merebut kuasa pemerintahan adalah lebih efektif berbanding dengan NGO atau jemaah dakwah yang lain.
 Meski apapun jalur dakwah yang dipilih, pastinya semua jemaah ini berdakwah berdasarkan kefahaman dan kepakaran masing-masing, kerana Allah dan menuruti sunnah Rasulullah s.a.w. Semoga Allah merahmati kesemua jemaah tersebut atas usaha dakwah yang selama mereka lakukan.
Cumanya... kita tertanya, apakah faktor yang memboleh seluruh jemaah ini duduk bersama dan mencapai resolusi bersama? Apakah perlu sebuah lagi agensi yang menaungi semua jemaah ini?... dan apakah pihak kerajaan yang paling sesuai memegang peranan ini? 
Dakwah yang Rigid 
Pemahaman dakwah yang rigid dan sempi amat merugikan umat Islam dan Islam itu sendiri. Ini biasa berlaku kerana seseorang yang sudah membataskan sikap dan pemikiran mereka kepada kefahaman dakwah berdasarkan jemaah yang mereka sudah pilih. Ini tidak lebih daripada seorang pegawai pemasaran yang bermati-matian mempromosikan syarikat mereka dan kehebatannya, namun terlupa dan gagal menjelaskan kepada para pelanggan mengenai apakah kelebihan dan kehebatan produk mereka. 
Dalam isu ini, amat sesuai jika didatangkan contoh pemasaran yang dianjurkan oleh Peter Spalton (2011, Teknik Terhebat Promosi Diri dan Produk). Beliau mendatangkan enam cara bagaimana bagi Menyesuaikan dan Menerima, Belajar dan Merancang. 
Namun ironinya, apa yang dinyatakan oleh beliau perlu dilihat secara terbalik kerana perbincangan enam teknik tersebut adalah bagi dunia perniagaan yang menganggap syarikat lain adalah pesaing dan akan berasa lega andai syarikat lawan kecundang sedangkan dakwah sebaliknya. 
Menurut beliau, dalam menghadapi pesaing: 
01.
Sentiasa awasi pesaing kita.
Kenyataan ini menunjukkan betapa sesebuah organisasi bisnes perlu peka kepada kelebihan dan sentiasa mengambil kesempatan ke atas kekurangan pesaing. Sedangkan dalam dunia dakwah, sesebuah jemaah juga peka kepada sesama jemaah dan sentiasa melengkapkan kekurangan
02.
Beli Produk Pesaing.
Perkataan pesaing patut ditukar kepada sahabat seagama. Apabila mereka mengeluarkan produk, kita membeli bukan kerana mahu mengkaji dan mencari kelemahan sebaliknya sebenar-benarnya kerana mahu menolong sesama Islam. Andai sesama orang Islam sentiasa sokong menyokong antara satu sama lain, ekonomi kita pasti utuh dan kukuh. 
03.
Perhatikan apa yang berlaku dalam industri kita di negeri lain.

           
           Kecaknaan ini adalah bagi menunjukkan betapa ukhwah Islamiyah atas dasar satu akidah adalah utuh. Banyakkan hubungan dengan organisasi dakwah yang sudah berjaya di peringkat internasional dan bantu pula mereka yang lebih memerlukan.
04.
Lihat apa yang dilakukan oleh lain-lain insdustri.

            Kebanyakan jemaah mempunyai kelebihan masing-masing sesuai dengan keperluan dan kehendak negara mereka sendiri. Justeru mempelajari apa yang sesuai bagi diimplementasikan di negara kita adalah suatu perkara yang wajar dilakukan. 
05.
Hadiri seminar-seminat dan bengkel-bengkel.

            Hadir kerana ilmu, dengan rendah diri dan tawaduk ingin mempelajari kelebihan dan perbezaan pandangan dalam Islam yang luas. Apatah lagi andai bengkel dan seminar disampaikan oleh para pendakwah peringkat antarabangsa yang kaya dengan pengalaman dan ilmu. Hadir ke dalam seminar anjuran jemaah lain juga dianggap sebagai sebuah sokongan kepada sesama jemaah.
06.
Ukur prestasi diri sendiri.
Pasti tiada jemaah yang sentiasa kuat dan sempurna dalam segenap aspek. Justeru, wajar sesebuah jemaah menawarkan apa yang mereka ada dari sudut kepakaran dan tenaga bagi menjayakan sesuatu misi.;
Peranan iluvislam 
Dakwah dalam talian atau dunia maya adalah suatu lapangan yang sangat penting pada hari ini. Tanpa dapat menafikan kesan buruknya ia mampu dieksploitasi menjadi medium yang efektif dalam menyebarkan keindahan Islam. 
Iluvislam mengabil sikap menjadi suatu laman yang menghubungkan antara generasi, antara benua malah antara fikrah bagi membicarakan mengenai keindahan Islam. 
Iluvislam meraikan sesiapa dan jemaah manapun bagi menjadi sahabat penganjur atau sebagai pusat promosi mahupun pemasaran bagi sebarang program dakwah Islam. Iluvislam mungkin dikecam disenangi dengan sikap yang diambil, dalam masa yang sama pasti ramai juga yang tidak setuju.
Namun fokus iluvislam jelas, sejelas mentari di terik siang hari dan seterang rembulan saat mengambang bulan setengah malam. Iluvislam mahu menyebarkan keindahana Islam kepada sesiapa dan sedia digunakan bagi tujuan tersebut. Malah jawatan PEGAWAI PEMASARAN DAKWAH sentiasa dibuka oleh sesiapa sahaja, daripada jemaah mana dan bagaimana jalur fikrah yang dipilih mereka. Iluvislam adalah milik kita semua dalam berdakwah.

Poligami:Madu Itu Pahit?

                                                      baby

Wanita, sinonimnya apabila disentuh isu poligami kebanyakkan tidak 'senang duduk' mendengarkannya. Suami berkahwin satu lagi, isteri kedua, bermadu dan paling tepat sekali ialah poligami.
Poligami beerti mengamalkan beristeri lebih daripada satu iaitu dua, tiga atau had maksimumnya ialah empat dalam satu masa. Namun, poligami bukan sesuatu yang boleh di anggap mudah bagi yang berhasrat untuk melakukan. Banyak syarat, prosedur dan perkara-perkara yang perlu diambil kira untuk mencapai poligami yang mengikut kehendak agama Islam.
Allah swt berfirman :
"Maka berkahwinlah (dengan) sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain) dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman."
(Surah al-Nisa' : 3)
Antara sebab mengapa Islam mengharuskan poligami :
1. Lelaki atau suami mempunyai dorongan nafsu syahwat yang luar biasa sehinggakan isteri  tidak  dapat memenuhi keinginannya.
2. Keadaan isteri yang sentiasa uzur dan sabit membolehkan suami berkahwin lagi.
3. Menjadi pembela kepada kaum wanita yang menjadi balu atau janda setelah suami gugur dalam berjihad menegakkan agama    Allah.
4. Menyelamatkan kaum wanita  'andalia' yang belum berpeluang mendirikan rumah tangga.

Sebenarnya, 'madu' yang dianggap pahit bagi sesetengah wanita, boleh memberi  kemanisan lebih daripada madu yang dimakan sebagai penawar. Apabila suami berhasrat untuk berkahwin lain, dan dia mampu berlaku adil dari segi material dan spiritual (ilmu agamanya), tidak layak sebenarnya kita sebagai isteri untuk menghalang hasrat tersebut.
Seorang isteri haruslah mempunyai fikiran yang positif menerima kenyataan itu. Bukan mengamuk seperti harimau ganas, meraung seperti kucing hilang anak, malah paling teruk pergi berjumpa bomoh dengan sanggup menyekutukan Allah. Hingga melanggar batas-batas dan hilang pertimbangan.
Tahukah anda andai seorang isteri redha, syurga itu telah menjadi milik anda. Cuba fikir sejenak, bukankah dengan adanya madu, hidup kita akan lebih baik. Sebagai contoh sebelum ini setiap hari seorang isteri perlu melayan suami, makan minumnya dan pakainya, nafkah dari segi zahir dan batin. Isnin hingga ke Isnin seterusnya, dan sampai bila-bila hingga akhir hayatnya.
Namun, apabila dia mempunyai madu, bayangkan bukan setiap hari dia perlu melayan suaminya. Tugas-tugas sebelum ini menjadi ringan dan bolehlah isteri pertama berehat, sementara isteri kedua melunaskan tanggungjawab yang sama kepada suami. Begitu juga, apabila ada madu sekurang-kurangnya kita ada teman berbual, berkongsi rasa dan sahabat yang paling dipercayai selain suami. Banyak perkara sebenarnya dapat kita lakukan bersama madu andai kita ikhlas dan redha menerimanya. Terimalah dia seadanya dan anggaplah dia kiriman dari Allah iaitu bonus dalam mencari pahala untuk ke syurga. Tidak mahukah kita payung emas di sana kelak?
Bagi wanita yang hatinya tegar untuk menerima hakikat suami berkahwin lain dan masih belum tidak mampu untuk menerima kenyataan suami berkahwin lain. Pujuklah hati dan motivasikan diri anda.
Ingatlah firman Allah swt :
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ianya baik untukmu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ianya buruk bagimu. Dan Allah Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui."
(Surah al-Baqarah : 216)
Terimalah realiti dengan bersandar pada Allah swt. Bersangka baiklah pada Allah. Andai anda menerima ia sebagai ujian, ianya dapat menyucikan dosa anda. Andai anda menerimanya sebagai cabaran, ianya dapat mendidik diri anda menjadi wanita yang cekal dan tabah.  
Berbaliklah kepada ilmu Allah, jika anda faham hikmah disebaliknya yang bakal anda kecapi. Yang kedua, aktifkan fizikal dan mental anda. Memberi tumpuan kepada bacaan al-Quran dan hadis. Fahami ia hingga menjadi serasi dengan diri anda. Pastikan anda sentiada dalam keadaan aktif dan gembira. Kemas dan bersih menjadikan anda lebih bertambah mood dalam meneutralkan emosi anda. Yang akhir sekali, jika suami boleh membahagi cinta kepada isterinya yang lain, anda juga boleh berbuat demikian. Bukan bermaksud kepada lelaki lain tetapi kepada Allah, Rasul, ibu bapa dan anak-anak serta manusia seluruhnya. Cinta itu sifatnya universal. Apabila kita mengasihi makhluk lain, nescaya kita juga turut akan dikasihi.

Walaubagaimanapun, sedarlah wahai isteri. Suami bukanlah hak milik kita semutlaknya. Saat akad dilafazkan, saat itu juga Allah telah meminjamkan suami kepada kita sebagai sumber menggapai redha Allah di dunia dan pahala untuk akhirat. Suami bukan segala-galanya pengakhiran hidup kita. Saat kita memejam mata nanti, dia tidak akan turut serta mengikut kita ke sana. Hanya amalan kita bersamanya yang akan dibawa bersama. Terimalah hakikat suami adalah hak mutlak Allah swt Tuhan yang Menciptakannya. Wallahualam.

Duhai Bungaku

                                                        baby

Pesanan buatmu bunga dunia
Andai ada di antara kamu yang gagal
Dalam berhajat mendapatkan cinta kaum Adam
Usahlah engkau berhati walang
Usah ditanya apa salah kamu pada dia
Jangan disoal apa kurangnya kamu dan apa lebihnya dia
Sebaliknya bungaku
Ucaplah syukurmu pada Dia
Yang telah memilih kamu untuk merasa kecewa
Dalam berhajatkan cinta insani
Tempiaskan tangismu dan bisikkanlah laramu
Hanya pada Dia yang amat Pemurah
Kerana telah meminjamkan cinta itu kepada kamu
Adat meminjam haruslah dipulangkan
Jangan pernah kau lupa akan kebenarannya itu

Pasti engkau masih dalam dilema bungaku
Masakan aku meminta kamu bersyukur bukan
Pasti kamu merasakan yang aku gembira atas kesedihan kamu
Tetapi itu semua jauh dari benar
Aku pinta kamu bersyukur kerana harga kamu terlalu bernilai
Kerana itu kamu tidak layak dimiliki oleh insani yang tidak berhajat
Membawa hubungan itu kepada akad pernikahan
Kerana itu engkau harus bersyukur
Bersyukur kerana engkau terlepas dari tipu daya dunia
Terhindar dari cinta yang dusta
Dan terpisah dari seorang Adam yang tidak berniat menjadikan Hawa sebagai surinya
Doakan saja semoga hilangnya adalah hilang yang berganti.INSYAALLAH..
Duhai bungaku
Aku berpesan bukan hanya untuk kamu
Tetapi aku juga berpesan pada diriku
Aku sayangkan kamu wahai bungaku

Perlu Arif Tabiat Lelaki

                                                       lelaki

Qani'ah Syumaila membuka diarinya...
Ketika bergelar mahasiswa, saya menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua. Seronok mengisi masa dengan membaca. Buku Islam dan Cinta, karangan Abdullah Nasih Ulwan menemani petang saya pada hari itu.
Tiba-tiba, ada sebuah SMS masuk.
Saudari,
Awak kelihatan sangat solehah. Sudikah awak membimbing diri saya yang jahil ini. Saya mahu berubah. Saya ikhlas dahagakan petunjuk.  Classmate.
"Membimbing atau mengajak bercinta?" hati saya mempersoal.
Jika ikhlas mencari petunjuk, dia sepatutnya berjumpa ustaz, bukan berjumpa saya. Berjumpa saya hanya menyebabkan ruang  maksiat terbuka luas.
Sekalipun dia mengajak saya bernikah agar saya dapat mengubahnya, saya tidak boleh jahil tabiat lelaki. Lelaki lazimnya tidak suka sekiranya seorang isteri mengubah dirinya. Sekiranya peluang membuat perubahan itu ada tapi tidak boleh terlalu dipercaya. Peluangnya tipis sahaja.
Tatkala lelaki memegang darjat suami, keegoan mudah merasuk diri. Sukar mengikut kehendak orang lain apatah lagi kehendak isteri. Mengubah tabiat lelaki sangatlah payah. Apatah lagi, sekiranya cara hidupnya terbiasa dengan alpa dan dosa sejak muda.
Perlukah saya memperjudikan masa depan dengan menikahi lelaki yang tidak mampu membimbing diri sendiri? Adakah dia mempunyai modal untuk membimbing keluarganya nanti?
"Orang minta bimbingan saja. Kenapa fikir jauh sampai soal nikah?" syaitan mengejek saya.
"Jika aku berani memulakan, kena fikir kesudahan. Nikah dengan lelaki sebegini atau membiarkan anggota badan berzina. Baik abaikan sahaja." Saya patahkan hujah syaitan.
Seorang rakan menuju ke arah saya kemudian duduk di sebelah.
"Ramai kawan-kawan kita suka gandingkan nama awak dengan Presiden. Boleh saya tahu hal sebenarnya?" dia mengorek rahsia.
"Itu gosip sahaja. Kami tiada apa-apa," jawab saya.
Saya menyembunyikan rahsia bahawa memang benar Presiden pernah menghantar surat risikan kepada saya. Cuma, istikharah dan musyawarah saya dengan ibubapa belum mengatakan dialah orangnya. First thing first.
"Alhamdulillah. Saya sebenarnya sudah lama minat pada Presiden," dia meluahkan.
Saya tidak pelik mendengarnya. Wanita yang baik mudah tertarik kepada lelaki yang baik. Itu fitrah. Wanita yang jahat mudah tertarik kepada lelaki yang jahat. Begitulah sebaliknya. Saya tadahkan telinga mendengar bicara hatinya.
Katanya, yang ini lain. Rasa tertarik itu pada kesolehannya. Pada akhlaknya. Pada kesamaan visi dan misi dalam dakwah. Masing-masing tahu ada batasan. Dilemanya, hati mendesak untuk memberi perhatian. Hati mendesak untuk menunjukkan sikap memahami. Hati mendesak untuk saling berpesan-pesan atas kebenaran dan kesabaran.
"Awak ikut desakan hati?" saya bertanya.

"Saya meminta dia menjaga, memperhatikan atau menasihati saya agar istiqamah," katanya.
"Lalu, apa yang terjadi?"saya berkata.
Dia meluahkan lagi,
Setiap hari...
Kalau tidak bertemu, rasa ada suatu yang hilang. Perlu segera diintai-intaikan.
Ada kerisauan tentang dirinya. Ada keinginan kuat untuk tahu kondisinya.
Andai bertemu, berpandangan, atau SMS muncul pula rasa bersalah, gelisah, menyesal dan takut membuat Allah murka. Kenapa ya?
"Kerana hati awak masih hidup mengenal mana dosa dan mana pahala," jawab saya.
"Lepas saya mengungkap cinta kerana Allah, dia seakan menjauhkan diri. Salahkah saya?" dia bertanya.
"Tanyalah hati. Bimbang, ungkapan cinta Yang Esa tapi pengisian leka dari-Nya," jawab saya.
Saya berkongsi pendapat dengannya. Dalam hubungan yang tidak halal, cinta yang fitrah amatlah senang bertukar menjadi fitnah. Sukar mengenali mana cinta dan mana nafsu kerana topengnya handal, sukar dikenali. Orang yang biasa mendidik hati mampu mengenalinya.
Saya tidak mahu terlalu mudah mengungkap cinta. Siapa yang bakal menerima ungkapan cinta mestilah lelaki high class bukan lelaki sembarangan. Perlu ada matlamat. Perlu lihat kesudahan. Menghampiri syurga atau menghampiri neraka?
Saya berpesan supaya tidak perlu bertindak bodoh mengucapkan "Good bye" kepada dunia andai kehilangan cinta manusia. Patah tumbuh hilang berganti. Yang penting, Allah setia mencintai.
Selepas rakan saya itu beredar, saya jadi tertanya-tanya. Kenapa wanita kaya, cantik, bijak, menarik dan solehah sepertinya tidak mendapat tempat di hati Presiden? Kenapa Presiden lebih sanggup cuba mendapatkan saya? Saya cuma seorang gadis yang sangat sederhana.
Saya semakin arif tabiat lelaki. Secara semulajadinya, lelaki sukakan cabaran. Yang mudah menyerah diri, mudah pula disakiti. Yang sukar didapati, semakin bersungguh dia mencari. Maka, saya perlu terus menghunus duri. Agar cinta ini terpelihara untuk seorang suami yang diredhai Ilahi.
Saya mesti terus belajar tabiat lelaki. Bukan untuk menyaingi atau mengalahkan mereka. Saya cuma tidak mahu diperdaya. Saya melihat betapa ramai wanita telah dipermainkan. Mereka gagal mempertahankan diri. Mereka gagal keluar dari kebergantungan kepada permainan cinta sandiwara lelaki.
Saya tahu saya tidak mampu mengubah tabiat lelaki. Tapi saya mampu membantunya menjadi lelaki sejati. Bukan dengan cara melayan dan membimbingnya menjadi model lelaki idaman. Lelaki pasti mengambil kesempatan di atas sebuah kelembutan.
Caranya, saya mesti menghunus duri. Awas, jangan dekat! Jika mahu, dapatkan secara terhormat. Biar lelaki tahu, wanita itu untuk diselamat bukan diperalat untuk keseronokan sekejap.
Malah, setelah nanti saya telahpun bergelar isteri, saya tidak boleh berhenti untuk belajar tabiat lelaki. Lelaki suka berjanji dan cepat berubah hati. Saya melihat realiti masyarakat. Biar betapa baguspun seorang isteri melayani suaminya, masih ada lelaki yang gagal setia malah sesuka-hati memperdaya isterinya. Apatah lagi jika isterinya banyak kelemahan, ramai lelaki lebih suka menghukum daripada mendidik sehikmahnya.
Saya yakin, ada suatu rahsia yang menggerakkan tindakan lelaki. Saya mesti arif rahsia ini. What you see is what you get. Saya mesti bijak menyelaraskan 'sudut pandang' terhadap sesuatu isu sensitif yang melingkari alam rumah tangga sejak mula. Perlu juga ada jaminan undang-undang untuk mempersiapkan diri pada sebarang kemungkinan. Bukan kerana tidak percaya tapi kerana tabiat lelaki cepat berubah.