Monday, February 13, 2012

Raikan Cinta Sepanjang Masa

                                                      alt

Tidak dinafikan cinta itu merupakan fitrah dalam kehidupan setiap manusia. Ia bertepatan dengan kejadian manusia yang dicipta berpasangan antara satu dengan yang lain.
Cinta yang teratas diletakkan hanya kepada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W yang tiada batasnya. Cinta yang berlandaskan Islam mulia kerana dibina berlandaskan matlamat yang jelas. Demi kasih sayang Allah, manusia sedia berkongsi rasa cinta dan kasih sayang sesama insan. Cinta yang tulus ikhlas hanya dapat dirasakan dengan jiwa yang bersih dan sentiasa mencari dan mengingati Allah S.W.T.
"Barangsiapa menikah, maka ia telah melengkapi separuh dari agamanya. Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam memelihara yang separuhnya lagi". (Hadith Riwayat Thabrani dan Hakim).
Menyedihkan. Pada masa kini ramai dalam kalangan kita yang lupa hakikat cinta yang sebenar dan lebih menjurus kepada cinta yang cenderung kepada maksiat.
Menyedari hakikat ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta rakan strategik Raudhah Sakinah dan JAWI bersama-sama berusaha bagi menjayakan program ini. Hal ini bertujuan bagi melahirkan tanda protes umat Islam khususnya terhadap sambutan Valentines Day.
"Hakikatnya usaha yang dilakukan mendapat sokongan dari pelbagai pihak termasuk media masa dan media cetak. Buktinya pihak Media Prima, Masat Broadcasting (astro) serta kementerian Penerangan menyokong usaha yang dijalankan dengan menyekat dan tidak menjalankan promosi dan iklan berkait Sambutan Valentines Day di kaca televisyen dan juga radio." jelas Dato' Haji Othman Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam program Raikan Cinta yang diadakan sabtu lalu.
Menurut Dato' Haji Othman, program Raikan Cinta ini bertepatan dan sesuai dalam membentuk generasi muda yang cintakan Allah dan Rasulullah.
Penganjuran program Raikan Cinta ini bertujuan mengingatkan orang ramai khususnya remaja berkait larangan amalan yang cenderung ke arah maksiat. 
Sesungguhnya Allah S.W.T memberikan petunjuk yang jelas bagaimana cara mendapatkan kecintaan-Nya. Allah berfirman:"Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Ali-Imran: 31)
Program ini membawa Bicara Cinta yang dikendalikan oleh Wardina Saffiya dan 3 orang ahli panel jemputan iaitu Imam Muda Najdi (Imam Muda Astro), Imam Muda Mujahid (Imam Muda Astro) dan Amie Sofia (Solehah TV Al Hijrah).
Turut menyerikan lagi majlis tersebut termasuklah persembahan khas daripada penyanyi terkenal Nash, Aishah, Aiman dari Akademi Nasyid TV9, dan Kumpulan Demascus.

Comments
0 Comments

0 comments: