Tuesday, February 21, 2012

Dakwah Dalam Pemasaran

                                                            alt

Pernah semasa belajar di sekolah menengah dahulu, seorang guru menceritakan kepada kami. "Semalam isteri saya marah-marah, katanya kenapa saya tidak suka pergi ke surau dan selalu balik rumah selepas solat Maghrib berjemaah. Dia marah saya kerana tidak mahu mendengar kuliah Maghrib."
Tiba-tiba seorang murid menyampuk, "Cikgu kata apa?"
Guru kami terus menjawab,"Saya bukan tidak mahu dengar kuliah Maghrib, tapi kebanyakan ustaz dan penceramah agama sentiasa 'mengata' kepada orang itu begini, orang ini begitu. Yang itu salah, yang ini salah. Yang itu haram, yang ini haram. Sampai kadang-kadang ada yang berkata, yang ini masuk syurga, yang ini masuk neraka.
Saya terfikir, apakah mereka ini mahu mengajak orang mendalami Islam atau mahu marah-marah dan menjatuhkan hukuman kepada semua orang?" Semua murid terdiam. Seorang kawan mencuit saya dan berkata perlahan, "Memang al-Quran diturunkan kepada manusia, bukan haiwan." 
Itu peristiwa lama dahulu. Namun kini apabila direnungi kembali ada benarnya hujah guru saya itu. Dakwah dengan cara dan teknik yang tidak sesuai. Sesekali ia menyebabkan keindahan Islam itu terselindung dengan persepsi yang negatif kerana para pendakwah kerana tidak ramai yang menyampaikan mengenai keindahan Islam. 
Nada suara yang terlalu tinggi sehingga dilihat seperti menengking, seakan sedang marah-marah menyebabkan jemaah rasa tidak selesa apatah lagi ungkapan yang digunakan agak kasar dan tidak sesuai dengan konteks adab dalam penyampaian ilmu Islam. 
Dakwah masa kini
 Alhamdulillah, boleh dikatakan setiap masjid di seluruh Malaysia saban malam diadakan kuliah Maghrib, ada sesetengah masjid pula pada hari minggu diadakan kuliah Subuh atau Duha.
Mutakhir ini, wujud rancangan kuliah yang cukup efektif seperti Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah, Halaqah, Al-Hidayah. Kelahiran siaran TV AlHijrah menyemarakkan lagi dunia dakwah media penyiaran dengan muatan rancangan yang hampir semuanya bernafas Islam.
Subhana-Allah, sungguh hari ini tiada lagi alasan bagi kita yang tidak mampu ke dewan kuliah masjid kerana uzur atau sebagainya bagi menuntut ilmu. 
Terlebih dahulu, Astro Oasis mewarnai dunia penerbitan rancangan Islam secara total pengisiannya mengenai Islam dan ilmu-ilmunya, tinggal lagi hati dan akal mahu mengarahkan jari menekan dan mencari rancangan nombor berapa. IKIM pula berperanan sebagai wadah penyampaian maklumat dan rancangan berorientasikan kegiatan dan ilmu Islam melalui corong-corong radio.
Perkongsian daripada tokoh-tokoh yang dijemput sangat bersiaran sesuai bagi dijadikan teman pemanduan ke manapun destinasi kita. Di sini, iluvislam muncul bagi menjadi pengimbang dan alternatif kepada para pengunjung laman sesawang yang pelbagai ragam tanpa batasan.

Dibina atas dasar dakwah dan perkongsian mengenai keindahan Islam, meletakkan ia lebih tinggi daripada kedudukan gerakan politik partisan, kerana iluvislam untuk mereka yang mencari dan mahukan sesuatu keindahan mengenai Islam. Iluvislam cuba menyediakan apa yang menjadi keperluan ummah khususnya di Malaysia dalam kalangan generasi muda supaya suatu hari nanti mereka menjadikan ia kemahuan.
Kemahuan untuk menjadi muslim yang mukmin, mukmin yang muttaqin dan akhirnya muttaqin yang mukhlisin. Iluvislam sedaya upaya memenangi hati manusia, sama ada yang baik atau yang tidak. Sama ada apa juga partinya. Sama ada manhajnya salaf atau khalaf. Sama ada yang bangsanya Melayu atau bukan Melayu. Asalkan apabila mereka ingat Islam dan mahu tahu mengenai keindahannya, mereka segera ingat iluvislam, itu adalah matlamat utama.
 Pendek kata, iluvislam tidak mahu ada orang Islam mengambil sikap seperti kisah yang diceritakan di atas selepas membaca dan melayari iluvislam. Nauzubillah. Memahami 4P dalam pemasaran dakwah Melalui ilmu pemasaran, kaedah 4P menjadi rukun wajib bagi dihadam oleh para usahawan. Konsep 4P dalam konsep dakwah ini dilihat relevan dengan modifikasi dan pemahaman yang bersesuaian dengan dakwah itu sendiri.
 4P adalah Product (produk), Price (harga/ nilai), Place (tempat)4, Promotion (promosi).
Produk (product):
 Ada tiga soalah utama perlu dijawab di sini. Adakah iluvislam dan pengisiannya sesuatu yang diperlukan oleh umat Islam di negara ini khususnya kepada golongan muda? Adakah ia menyamai kualiti yang ditetapkan oleh Islam? Apakah ia kelak boleh menjadi tidak relevan dan tidak ketinggalan zaman? 
Jawapan: Iluvislam cuba memberikan apa yang umat Islam khususnya golongan muda perlukan dan para pelayar lebih berhak menjawap persoalan ini. Berkenaan dengan kualiti, sebagaimana yang dimaklum oleh Presiden iluvislam sendiri, ia sentiasa ditingkatkan sesuai dengan peredaran masa. Teknologinya mungkin akan terus berubah dan jika tidak dapat dikejar maka mungkin keciciran namun pengisian mengenai agama dan manusia adalah sesuatu yang akan dibicarakan dan diperlukan sepanjang hidup manusia hingga ke hari kiamat. 
Nilai (price): Apakah nilai yang ada pada iluvislam akan memberikan nilai tambah kepada para pelayarnya. Dan apakah yang dapat ditawarkan kepada mereka ini selain daripada apa yang ada? Bayangkan kalau mereka membayar untuk melayari iluvislam.com. apakah ia berbaloi? 
Jawapan: Iluvislam cuba memberikan nilai yang dilihat tidak dimainkan oleh pihak lain secara serius. Selain apa yang ada, iluvislam dari hari ke hari cuba menambah apa sahaja perkara yang dilihat dapat membantu dan menyatukan serta memberikan pencerahan kepada umat Islam di negara ini. Terbaru iluvislam menganjurkan Seminar K-Fiqh yang menghimpunkan para sarjana Islam tempatan dan luar negara malah seminar-seminar seperti ini akan terus dilaksanakan bagi mengisi ruang yang ada dengan sokongan semua pihak. 
Tempat (place): Alhamdulillah, negara kita antara yang terbaik khidmat jalur lebarnya. Iluvislam mampu melakukan kerja dakwahnya di ceruk mana sekalipun asalkan ada jalur lebar ini. Ini adalah suatu kelebihan berbanding dengan cara dakwah biasa yang memerlukan logistik yang lebih mahal. 
Jawapan: Tuan puan dijemput menjadi rakan kongsi pahala berdakwah dengan memanjangkan apa sahaja isi yang ada dalam iluvislam melalui Blog, FB, Twitter malah mencetak dan melekatkannya di mana-mana yang boleh dibaca oleh orang ramai termasuk bukan Islam. 
Promosi (promotion): Antara cabaran besar bagi sesebuah organisasi yang mengeluarkan produk adalah promosi. Tiada guna andai menghasilkan produk tanpa ada orang mengetahui mengenai kewujudannya. Bagaimana pula caranya bagi orang ramai mengetahui mengenai produk yang iluvislam.com ada? Apakah mereka mempunyai maklumat yang cukup bagi menggerakkan hati mereka mengunjungi laman iluvislam? 
Jawapan: Semenjak beberapa tahu lalu, promosi berterusan dilakukan dengan pelbagai cara antaranya mengadakan kerjasama pintar dengan pelbagai syarikat korporat seperti Karangkraft. Kini iluvislam mempunyai radio dalam talian sendiri dan terus aktif mengadakan promosi secara maya dan fizikal. Selain daripada itu, presiden dan wakil iluvislam sentiasa bergerak berkongsi dengan masyarakat khususnya dalam kampus-kampuas IPTA dan IPTS seluruh negara. Iluvislam.com juga jarang melepaskan peluang bagi bertemu dengan masyarakat dalam program seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Ekspo Karangkraft dan sebagainya. Peluang indah bersama iluvislam.com.
Ternyata iluvislam boleh dikatakan sudah berjaya mempraktikkan konsep 4P bagi memasarkan khidmat dakwahnya. Tinggal lagi, ia memerlukan lebih ramai PEGAWAI PEMASARAN DAKWAH yang dapat membantu menyebarluaskan lagi apa yang mereka ada. Berita baiknya adalah, sebenarnya kita semua layak bagi menjawat jawatan tersebut.
Jika kena caranya, kita sama-sama merasai nikmat yang dijanjikan oleh Allah buat mereka yang mengerjakan dakwah di jalan-Nya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 
"Sesiapa mengajak kepada kebaikan, maka dirinya mendapat pahala sebanyak orang yang mengikutinya tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, sesiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka dirinya mendapat dosa sebanyak orang yang mengikutinya tanpa dikurangkan dosa mereka sedikitpun." (Riwayat Muslim, hadis no: 4831)
Comments
0 Comments

0 comments: