Sehari sebelum
"Esok, boleh?" soal dia, tegas.
"Lusa?" Aku menawar.
Perempuan di hadapan aku diam. Nampak ketara wajahnya sedang menimbang-nimbang. Dia menarik nafas lantas membetulkan tudungnya.
"Esok?" Dan aku kembali tersudut pada kenyataan, yang dia sedang mendesak, sedangkan aku cuma menawar. Lalu jelaslah keputusannya, mereka yang mendesak akan menang ke atas mereka yang menawar.
Aku angguk, dia senyum dan langit pun kembali ceria.
Seminggu sebelum.
"Betul?" tanya dia sambil menunjukkan surat yang bertulis tangan kepada aku.
Aku fikir, waktu itu adalah waktu yang membuatkan aku sangat malu. Malunya aku mengalahkan malunya murid yang dirotan guru. Kalau ada cermin, pasti aku sudah lihat pipi aku yang merah.
"Kamu punya?" tegas perempuan itu lagi. Surat di tanganya seperti dihulur-hulurkan pula kepada aku.
Aku angguk dan sempat tersenyum malu.
Perempuan itu berlalu, surat di tangannya berpindah ke atas meja. Aku pandang surat itu, dan aku bertambah malu. Ya, Allah malunya.
Tiga hari sebelum
"Jadi, tunggu apa lagi?" soal perempuan itu. Dia menjeling rakan di sebelahnya yang bertudung ala Hana Tajima. Aku di hadapannya, sudah menelan liur.
Perempuan itu memandang jam tangannya dan kembali berkata, "Saya tidak ada banyak masa."
Aku masih diam, dengan kepala masih senget memikirkan kata-kata yang perlu aku ucapkan. Memang sepatutnya aku sudah berkata-kata dari awal dia sampai, kerana untuk pertemuan itu, aku juga yang meminta ia berlaku.
Dengan takut-takut aku berkata, "Sama seperti dalam isi surat itu."
"Itu sahaja?" Perempuan itu terus bangun. Degup jantung aku yang sedia laju, semakin laju.
"Bukan itu saja. Saya juga minta maaf kerana memberi surat itu. Dan saya memang maksudkan surat itu. Saya ikhlas." Cepat-cepat aku bercakap.
Perempuan itu sedang mengemaskan beg tangannya. Rakan di sebelahnya, memandang aku dengan wajah kasihan dan pertama kalinya aku berasa tewas. Tewas yang memalukan.
"Duduklah dulu. Kamu pun bukannya muda lagi. Lagipun, dia punya kerja yang baik, dan orangnya pun baik dan kacak," kata rakannya memujuk, dan ada senyuman mengiringi semasa dia menyebut perkataan 'kacak'.
Sama ada dia memang maksudkan, ataupun tidak, itu sudah tidak penting. Yang utama, kini hati aku sedikit berbunga-bunga.
Perempuan di hadapan aku memandang geram sebelum berkata, "Ayah saya kata, haram kalau menjadikan wanita kekasih kalau tiada niat mahu menikahinya."
Aku terpempan. Perempuan yang bertudung ala Hana Tajima memandang tajam ke arah aku.
"Awak ada niat menikahi rakan saya?"
Aku angguk, dan perlahan berkata, "Ada."
Perempuan bertudung Hana Tajima tersenyum.
"Lihat, dia ada niat menikahi kamu."
"Kalau ada niat itu, bukan minta daripada saya, mintalah daripada ayah saya."
Itulah kata-kata akhirnya sebelum dia melangkah keluar dari kedai makan itu. Rakannya menuruti dan tinggal aku sendiri, menyesali betapa bodoh dan penakutnya aku.
Hari kejadian.
Duduk di hadapan aku, lelaki yang bersih wajahnya. Mungkin pagi tadi dia sudah bercukur. Rambutnya disisir kemas. Wajahnya tetap menyisakan kekacakan masa lalu, ketokohan dan wibawa tinggi. Hanya dengan memandang wajahnya sahaja, aku sudah takut separuh mati.
Aku sudah kenalkan diri aku, aku sudah bercerita berkenaan kerja aku, kenderaan yang aku pakai, di mana aku belajar, dan boleh dikatakan semuanya sudah aku ceritakan kepada lelaki di hadapan aku. Tetapi masih tertinggal satu yang aku belum cerita, tujuan utama aku ke situ.
"Setakat ini, pakcik kagum dengan kamu. Dan sebenarnya pakcik tahu tujuan kamu ke sini. Cuma pakcik mahu tanya satu soalan."
Mulanya, aku berasa lega, dan pada akhirnya, aku kembali menahan nafas. Soalan apa lagi?
"Apa pakcik?"
"Bagaimana solat kamu?" Lelaki penuh wibawa itu membawa nada yangs serius.
Aku terus serba-salah. Apa jawapan yang aku perlu beri? Dan itulah soalan yang aku tidak boleh elak lagi.
Jadi aku menjawab, "Bagus, pakcik."
Lelaki penuh wibawa itu, berkerut dahi dan aku berkerut hati. Entah apalah jawapan aku, mengapalah aneh benar bunyinya.
"Bagus yang bagaimana?"
"Tidak pernah tinggal, dan kalau tertinggal, cepat-cepat qada." Aku berasa malu sendiri mendengar jawapan aku. Jawapan lelaki yang gugup.
"Awal waktu?" Ternyata lelaki itu masih terus menyoal.
Dan soalan itu aku hanya mampu tersengih-sengih dahulu sebelum berkata, "Maghrib dan Isyak memang awal waktu."
Lelaki penuh wibawa diam, mengangguk-angguk. Diam dan angguknya membawa aku jatuh ke daerah gusar yang teramat-amat gusar.
"Pakcik bukan apa tanya soalan itu. Jangan terasa pula. Kamu sendiri tahu, di akhirat nanti, perkara pertama yang diaudit adalah solat kita. Jadi, itulah panduan pakcik bagi memilih calon suami untuk anak pakcik. Kalau di akhirat nanti, kerja kita dahulu yang diaudit, kerja kamulah yang pakcik utamakan. Kalau keturunan yang pertama diaudit, itu jugalah yang pakcik audit dahulu. Tetapi, di akhirat solat jugalah yang pertama diperiksa, dan itu jugalah yang cuba pakcik periksa dahulu. Kalau kamu menjaga solat kamu, insya-Allah kamu mampu menjaga anak pakcik dengan sebaik-baiknya. Seterusnya, terpulanglah kepada anak pakcik."
Aku menarik nafas panjang dengan hati yang terus berdoa, semoga dia setuju. Ya, Allah, jadikan dia setuju.