Tuesday, February 21, 2012

K-Fiqh Jadi Kebangkitan Ummah Di Malaysia

                                                         alt

Iluvislam, sebuah organisasi dakwah online buat pertama kalinya menganjurkan program mega bagi menyatukan ilmuan serta ummah dari dalam dan luar negara di bawah satu bumbung.
Melalui kerjasama daripada Telaga Biru Sdn. Bhd, Mantop Training & Consultancy Sdn Bhd dan Zaharuddin.net serta sokongan penuh daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Konvensyen ini menjadi program pertama yang menggabungkan ulama dan ilmuan dari dalam dan luar negara.
Pengarah Konvensyen Fiqh Ummah 2012 yang juga presiden iLuvislam, Tuan Imran Koyube menjelaskan konvensyen Fiqh Ummah ini menjadi program mega pertama yang diuruskan oleh tim iluvislam.
"Tahun 2012 merupakan tahun sejarah sejarah bagi iluvislam. Tambahan pula dengan kerjasama kukuh daripada Telaga Biru Sdn Bhd, Mantop Training & Consultancy Sdn. Bhd dan Zaharuddin.net serta sokongan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pastinya memudahkan dan memantapkan lagi usaha penganjuran program dakwah mega ini.
"Tanpa sokongan penuh daripada semua pihak termasuk tim yang kuat serta tajaan daripada sektor koporat dan agensi kerajaan pastinya menyulitkan usaha penganjuran Konvensyen Fiqh Ummah ini," jelas tuan Imran lagi.
Penasihat Konvensyen Fiqh Ummah, Dr. Zaharuddin Abd Rahman pula berharap dapat membentangkan 'blue print' utama bagi membantu masyarakat daripada segenap latar belakang dan daripada pelbagai sudut dalam membantu memberi kefahaman yang baik terhadap ilmu Islam.

Beliau menjelaskan jumlah individu yang berminat kepada ilmu agama dan yang berkait dengannya tidak begitu ramai, namun dari jumlah yang tidak ramai ini berlaku pula banyak perselisihan, pertelingkahan dan prasangka antara satu sama lain.
"Bayangkan mungkin jumlah yang berminat dengan agama ini hanya 20 hingga 30 peratus daripada  rakyat di Malaysia yang beragama Islam, dari situ berpuak-puak dan terbahagi disebabkan pelbagai jenis aliran Salafi dan Kalafi. Tidak kurang juga yang terbahagi disebabkan pelbagai jenis kepartian dan sebagainya.
"Menyedari munculnya umat Islam yang cintakan kebaikan dan islam kini sedikit keliru disebabkan faktor-faktor di atas tadi ditambah pula dengan begitu banyak sumber yang wujudma daripada pelbagai medium membawa kepada Konvensyen Fiqh Ummah ini.
"Kami yakin dengan kemahiran, penghayatan dan kedalaman seseorang ilmuan di dalam ilmu Usul Fiqh khususnya dalalah al-alfaz dalam memahami Al-Quran & Al-Hadis mampu memberi kesan yang besar kepada pendekatannya, sama ada di dalam bab aqidah dan ibadat, siyasah, muamalat dan lain-lain.
Ustaz Ahmad Fauzan yang ditemuramah wakil media dalam konvensyen ini menjelaskan Konvensyen Fiqh Ummah menjadi permulaan kepada kebangkitan umat. Fiqh bermaksud kita memahami islam dalam syumul mengatasi segalanya. Konvensyen ini merupakan satu agenda ummat dan bukannya satu agenda yang bersifat kepartian.
"Sampai masanya para ilmuan bersatu dalam agenda umat dan bukannya hanya bertumpu kepada agenda kepartian semata-mata. Ummat ini bukan sahaja bertumpu di Malaysia malah meluas di seluruh dunia. Saya juga berfikir ilmuan dari seluruh asia malah seluruh dunia dapat berkumpul seperti hari ini demi kepentingan Ummat di seluruh dunia," ulas Ustaz Ahmad Fauwaz.
Peserta yang hadir juga turut memberi maklum balas positif hasil 2 hari berkampung di PWTC ini yang dapat memberi input kepada mereka selain dapat bertemu dengan ilmuan dari seluruh malaysia.
Sebagai maklumat, Konvensyen Fiqh ini diadakan di PWTC pada 18 hingga 19 Fabruari lalu. Konvensyen ini mengumpulkan ilmuan dan ulama daripada pelbagai lapangan bagi membincangkan ilmu agama secara menyeluruh. Konvensyen yang dihadiri lebih daripada tiga ribu peserta ini nyata mendapat sambutan yang luar biasa hebat.
Konvensyen ini turut dihadiri oleh Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman, Ustaz Dr. Zahazan Mohamad, Ustaz Dr. Abdul Basit Abd Rahman, Ustaz Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar dan ramai lagi.
Konvensyen Fiqh Ummah 2012 ini diharapkan dapat menjadi landasan kepada program-program ilmuan yang lebih besar demi kepentingan ummah bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
Comments
0 Comments

0 comments: