'VALENTINE DAY'
Melihatkan sahaja tulisan itu pada akhbar yang aku baca, sekonyong-konyong aku sedar, aku pernah berada di situ. Aku pernah berpenampilan resah hanya untuk hadir pada tarikh 14 Februari, Aku pernah mengewap gusar pada rasa hari Valentine, dan hari ini, kenangan itu menggeser lagi.
Muda.
Apa yang aku ingat, waktu itu aku masih muda, baru usai SPM. Aku menandai garis waktu itu, dengan muzik kegemaran aku. Sebagai gadis Melayu, aku tetap bermegah-megah dengan bahasa aku. Maka, kumpulan Slam, Ukay, Spring, adalah muzik yang tidak pernah berhenti bergemerencang dalam telinga. Lagu-lagunya, menjunjung cinta hingga ke bintang, bait rindunya dibenamkan hingga ke jurang Mariana, namun apa yang aku tidak tahu, lagu-lagu itu juga yang berdingkit-dingkit mendorong aku bagi mendamba cinta lelaki.
Masih remaja, masih muda, dan segala-galanya terlihat sangat luar biasa, lalu semuanya mahu dicuba. Dan akhirnya, aku jatuh cinta kepada lelaki itu.
Lelaki.
Aku menemuinya di rumah ibu saudara. Diberitahu, bahawa lelaki itu anak angkatnya, dan dia belajar tinggi di luar negara.
Pada pertama kali menatapnya, aduhai, perasaan aku terus berasa hening, sepertinya aku berangkat ke pulau tiada penghuni. Dan apabila dia tersenyum, ia melahap mentah-mentah jiwa aku.
Benarlah kata bijak pandai, cinta itu adalah kemenangan khayalan ke atas akal fikiran. Hanya dengan khayalan aku akan bahagia dengan lelaki itu, aku berani mengatakan aku sudah jatuh cinta.
Mujur, aku masih diyakinkan dengan satu lagi kata bijaksana, cinta akan hilang keindahannya, apabila tidak lagi dirahsiakan. Namun yang paling utama, waktu itu sebenarnya aku masih malu. Ya, aku perempuan, dan pasti malu itu adalah sesuatu yang sangat wajar.
Itulah bencana kepada perempuan pemalu yang jatuh hati. Ia akan menyeksa hati dengan hasrat yang diperam-peram. Namun, ia juga adalah kemujuran yang sangat besar, kerana pada ketika akal sudah kalah pada khayalan, pada ketika ajaran agama sudah dipermudah-mudahkan, masih ada benteng halus yang bernama malu, yang menjadi benteng akhir kepada iman.
Itulah seksanya. Mahu diluah, malu, mahu dibiarkan, terasa seksa. Dan pada ketika dunia terasa seperti digelapkan oleh awan hitam yang bernama cinta, hadirlah hari itu, 14 Februari, hari Valentine.
14 Februari.
Waktu itu, dengan hati yang sudah bengkak-bengkak menahan rasa cinta, aku duduk di sebelah ibu. Aku ingat lagi, waktu itu hujan renyai, sejuk, aku merapat dengan ibu bagi mendapatkan haba dan kasih, sambil mata memandang ke televisyen, yang ada rancangan berbicara berkenaan hari Valentine.
Akal aku waktu itu berputar. Aku tahu, aku boleh menggunakan situasi ini bagi mendapatkan sesuatu daripada ibu berkenaan cinta. Paling tinggi, ibu memberi restunya, atau yang paling bawah, ibu berkata, "jangan bercinta, habiskan dahulu pelajaranmu", dan aku boleh meneruskan hidup dengan alasan, 'aku tidak akan bercinta selagi belum habis belajar kerana itulah pesan ibu'.
"Memang hari Valentine adalah hari orang Islam Sepanyol disembelih?" soal aku, memulakan bicara.
"Entahlah. Ibu tidak tahu. Bukan kamu tidak tahu, ada berbagai-bagai versi berkenaannya. Namun, walau banyak versi sekalipun, ia tetap tidak menutup ruang bagi umat Islam menyambut Valentine," jelas ibu, sehingga aku sedikit terkejut bercampur lucu, kerana jarang sekali ibu bicara begitu serius, selain pada waktu aku berbuat salah.
"Mengapa ibu nampak serius?" Aku tergelak kecil.
"Kerana kamu." Ibu memandang aku, dan aku tahu, itu pandangan penuh kasih sehingga aku boleh berasa hangatnya pandangan itu dalam hati.
"Mengapa saya?"
Seketika aku menjadi gusar. Adakah ibu tahu rahsia hati aku?
"Kamu perempuan, kamu masih muda, ada rupa, dan pasti ada ramai lelaki yang menjeling. Namun paling ibu risaukan, adalah hati kamu kerana ibu tidak mampu menjaga mahunya. Dan pasti, pada suatu ketika kamu akan jatuh cinta, dan pada ketika kamu jatuh cinta, ibu menjadi sangat khuatir." Mata ibu menceritakan apa yang diucapnya itu, adalah sangat dia maksudkan.
"Maksud ibu?" Aku kembali semakin ragu-ragu.
"Ibu setuju dengan semua perkara yang diperbuat pandai agama bagi menghalang budaya sambutan Valentine, tetapi secara tidak sedar, mereka menjadikan hari valentine itu sangat istimewa." Ibu semakin fasih bicaranya. Dan aku semakin tidak tahu ke mana ibu mahu membawa bicara seperti itu. Aku angguk kemudian diam.
Ibu tahu reaksi itu, itulah reaksi aku yang tidak faham.
"Istimewa itu bukan sekadar bermaksud kepada perkara yang diraikan, tetapi istimewa itu juga adalah pada perkara yang dilarang. Tidak ada masalah melarang hari Valentine bagi disambut, tetapi tanpa sedar ia akan membuatkan hari Valentine menjadi semakin istimewa, kerana kita hanya melarang hari, tetapi tidak menghilangkan maksud hari itu. Menghalang, menjadikan Valentine terasa istimewa, dan maksud hari itu ikut terasa istimewa. Dengan itu, pasangan kekasih boleh menyambut 'hari Valentine' pada setiap hari kerana ia dianggap istimewa. Jadi, walaupun kita berjaya pada 14 Februari, belum ada jaminan kita berjaya pada 15 Februari dan seterusnya." Ibu berhenti, menarik nafas selepas penerangan yang panjang.
Bagi menunjukkan kasih, aku bertanya juga, "Jadi, apa yang ibu mahu cadangkan?"
Ibu diam. Jelas dia mengatur bicara, sebelum dengan tatap kasih dia memandang aku.
"Ibu mahu menjaga kamu dahulu."
"Menjaga saya?" Aku mengerut dahi.
"Ya, menjaga kamu dengan memberitahu kamu sesuatu berkenaan cinta, supaya kamu mengerti bahawa cinta itu adalah sangat biasa. Tidak ada apa-apa istimewanya berkenaan cinta. Cinta itu sama biasanya dengan kuku yang boleh tumbuh selepas dipotong. Dan di situlah silapnya banyak manusia, kerana menganggap perasaan cinta itu sangat istimewa. Mereka menyangjungnya sampai hilang akal, kerana mereka tidak sanggup kehilangan sesuatu yang istimewa. Dan kamu sendiri, adakah kamu sanggup kehilangan sesuatu yang istimewa?"
Aku menggeleng, dan ibu terus menyambung,
"Manusia apabila sudah tidak sanggup kehilangan yang istimewa, mereka akan berbuat apa sahaja. Mereka menganggap ia sesuatu yang ajaib, padahal itu cumalah ilusi. Dan lebih menakutkan, pada ketika manusia menganggap cinta bukanlah berkenaan apa yang kita peroleh, tetapi adalah berkenaan apa yang kita beri, iaitu segala-galanya. Pada ketika tahap itu, maruah akan kita beri, keingkaran agama akan kita beri, dan iman juga akan kita tukarkan kepada cinta. Sedangkan, iman itulah yang perlu dianggap istimewa, bukannya cinta," jelas ibu, dan ada yang aku setuju walaupun banyak yang aku keliru.
"Jadi mengapa orang mengatakan cinta itu istimewa? Malah orang-orang pandai agama juga berkata begitu."
Dengan wajah tersenyum ibu memandang aku, "Anakku, cinta itu sangat biasa, kerana semua orang akan melalui perasaan cinta, tetapi tidak semua orang akan menikmati perasaan cinta, dan pada ketika cinta mampu dinikmatilah, barulah ia menjadi istimewa."
Aku pandang ibu, ibu terus-terusan tersenyum.
"Ibu sudah memberitahu kamu, iman lah yang perlu dianggap istimewa. Apa sahaja perkara baik yang dicampurkan dengan 'istimewa' akan menjadikan ia 'istimewa'. Begitu jugalah cinta. Cinta itu sangat biasa, tetapi apabila ia dicampurkan dengan 'iman' barulah ia menjadi cinta yang istimewa. Kamu tahu mengapa ia istimewa?"
Aku diam, keliru.
"Kerana, dengan campuran iman dan cinta, iman akan bertambah-tambah dan paling nikmat, adalah rasa cinta itu juga semakin bertambah banyak. Dan kamu tahu bagaimana kita mengenal cinta itu semakin banyak? Apabila, pasangan tadi tidak berhenti berusaha membahagiakan pasangannya. Sekiranya dahulu sering SMS, selepas nikah tetap berusaha SMS. Begitu jugalah sebaliknya, cinta akan terhenti apabila, ada antara pasangan sudah berhenti berusaha."
Aku mengerti bicara ibu itu, tetapi aku masih tidak mampu mengaitkannya dengan hari Valentine. Namun, tetap juga kata-kata ibu itu melegakan cinta dalam hati aku. Rupa-rupanya, ia cuma perasaan biasa, hanya kerana aku menganggapnya ia istimewa, maka aku berasa sangat tertekan.
"Itulah, yang ibu harapkan kepada bijak pandai agama. Melarang itu sudah betul, namun sekiranya terhenti setakat melarang, ia cuma menjadikan hari Valentine itu istimewa. Bijak pandai agama, selepas bercerita berkenaan asal-usul hari Valentine yang banyak versi itu, ceritakanlah juga berkenaan cinta Islam yang hanya ada satu versi. Ceritakanlah, berkenaan psikologi cinta, supaya ramai tahu, cinta itu sangat biasa, tidak perlu disambut, tidak perlu Valentine, tetapi ia perlu dinikmati, dan hanya ada satu cara menikmati cinta, iaitu bernikah. Dan ingatlah anakku, cinta itu buta, dan nikah akan kembali membuka matamu."
Aku tersenyum lebar, dan seketika, aku kembali tenang, aku berasa seperti burung yang terbang di bawah pelangi pagi.
"Kalau saya jatuh cinta, bagaimana?" Aku mula berani mengusik ibu.
"Kalau kamu jatuh cinta, jadilah perempuan baik yang bercinta."
"Perempuan baik yang bercinta?" Aku pula kembali terasa diusik, apatah lagi melihat ibu menyuntingkan senyuman nakal.
"Perempuan baik itu adalah suatu proses. Jangan sesekali mencuba menjadi perempuan baik hanya dalam masa sehari, tetapi berusahalah menjadi perempuan baik sampai kamu mati. Kerana, pasti orang seperti kita ada melakukan dosa, tetapi bangkitlah kembali dengan taubat. Itulah perempuan baik bagi ibu, iaitu perempuan yang sentiasa berusaha menjadi hamba kepada Allah yang taat. Dan taat kepada Allah, kamu tahu ia bukan sekadar satu dua perkara, tetapi ribuan perkara, meliputi hal ayah ibu, suami, anak, jiran, ibadah, menjaga maruah, menjaga mulut, taubat, dan banyak lagi. Itulah perempuan baik bagi ibu, perempuan yang sentiasa berusaha ke arah perkara yang baik-baik."
"Dan bercinta pula?" soal aku malu-malu.
Ibu tersenyum lebar, lalu berkata, "Sukar sebenarnya. Tetapi tetap ada petua. Pada ketika kamu menerima lamaran seorang lelaki, pada ketika itulah kamu periksa kata-kata, yang mula-mula keluar daripada hati kamu. Perempuan biasa yang bercinta akan berkata dalam hati, "Aku cintakan dia, sebab itu aku perlukan dia." Sedangkan perempuan baik, dalam hatinya akan berkata begini, "Aku perlukan dia, sebab itulah aku cintakan dia." Pada ketika 'perlu' yang datang terlebih dahulu sebelum cinta, kamu ada peluang menjadi perempuan baik yang bercinta. Kemudian semak maksud 'perlu' dalam hati kamu. Adakah kamu perlu lelaki beriman yang dapat membimbing, ataupun perlu kepada lelaki kaya yang dapat menyenangkan. Sekiranya kamu 'perlu' kepada lelaki beriman yang membimbing, kamu adalah perempuan baik yang bercinta."
Aku terus memeluk ibu erat-erat, aku cium pipi ibu, dan ibu cium dahi aku lalu berkata, "Ingat, kamu adalah harapan ibu, bukan sekadar di dunia tetapi di akhirat sana. Jadilah perempuan baik, bukan kerana ibu, tetapi kerana Allah, kerana ibu juga sangat menyayangi kamu seadanya kamu, kerana Allah."