Saad Bin Muaz adalah seorang hamba antara sahabat yang paling hitam pada masa itu, dibandingkan Saad dengan Bilal, Saad dikatakan jauh lebih hitam dari Bilal. Saad mula memeluk Islam ketika berumur 31 tahun dan syahid pada umur 37, seorang yang tinggi iman.
Ketika berhijrah ke Madinah beliau ingin mendirikan rumahtangga lalu dipinangnya perempuan di Madinah. Kerana kulitnya yang hitam pinangannya telah ditolak berkali-kali oleh wanita-wanita Madinah.
Rasa kecewa dengan peristiwa ini lalu beliau mendatangi Rasulullah untuk mengadu, "Wahai Rasulullah, adakah hinanya aku ini kerana kulitku yang hitam sehingga pinanganku ditolak berkali-kali".
Lalu Rasulullah bekata, "Jangan bimbang Saad, engkau adalah orang yang aku jamin".
Lalu Rasulullah memanggilkan sahabat-sahabat yang lain untuk bertanyakan kepada meraka akan rumah seorang wanita yang terkenal dengan kecantikannya di Madinah. Lalu Rasulullah menyuruh sahabat-sahabat tersebut membawa Saad untuk meminang atas jaminan Rasulullah. Alangkah gembiranya Saad di saat itu kerana dirinya dijamin oleh Rasulullah untuk dikahwinkan dengan wanita yang cantik.
Maka Saad pun dibawa oleh sahabat-sahabat ke rumah wanita yang cantik di Madinah itu. Ketika sampai di rumah tersebut, Saad dan sahabat-sahabat dilayan oleh bapa kepada wanita tersebut. Lalu sahabat-sahabat yang lain menyampaikan hajat bahawa Saad telah dijamin oleh Rasulullah datang untuk meminang anaknya yang cantik tersebut.
Bapa wanita itu kemudiannya gembira kerana salah faham menyangka anaknya dipinang oleh Rasulullah. Oleh kerana Saad seorang yang jujur lalu dinyatakan maksud yang sebenar bahawa beliaulah yang ingin meminang wanita yang cantik tersebut. Bapa wanita tersebut kemudian bertukar menjadi marah kerana menghina Saad yang berkulit hitam ingin mengahwini anaknya yang cantik.
Saad pun balik berjumpa dan mengadu kepada Rasulullah. Perempuan yang cantik ini kemudian menegur bapanya kerana menolak pinangan Saad kerana Saad adalah seorang yang dijamin oleh Rasulullah, dan ketentuan oleh Allah. Lalu bapa wanita itu pergi mengejar Saad dan meminta maaf dan menerima pinangan Saad di depan Rasulullah.
Rasulullah lalu bertanyakan Saad samada beliau memiliki wang. Kerana mengetahui bahawa Saad tiada wang untuk berkahwin maka disuruhnya untuk meminta wang kepada Abd Rahman, Usman dan Ali. Kemudian Rasullulah menyuruh Saad membeli kelengkapan untuk perkahwinannya.
Ketika sedang membeli keperluan untuk perkahwinannya, Saad terdengar seruan jihad dari Rasulullah. "Wahai pemuda-pemuda Islam bersiap sedia segera kerana musuh sedang datang untuk menyerang kita". Lalu Saad menukar fikiran dengan membeli kelengkapan perang dan siap sedia dengan baju perisai dan kuda untuk berperang.
Saad dengan segera pergi berbaris paling hadapan dengan sahabat-sahabat lain dengan siap berpakaian perisai perang. Kerana baju perisai yang lengkap, Saad tidak dikenali oleh sahabat-sahabat lain. Takdir Allah Saad telah syahid dalam peperangan tersebut.
Selepas perang jihad tersebut, sahabat-sahabat terkejut kerana tidak menyangka orang yang berperisai lengkap tersebut adalah Saad. Mereka sedih dan tidak menyangka kerana Saad sedang bersiap sedia untuk perkahwinannya.
Berita syahidnya Saad ini segera disampaikan kepada Rasulullah dan Rasulullah berkata, "Di saat kematian Saad, bergegar Arash Allah dan menangis para malaikat di langit dan di bumi". Saad Bin Muaz dimuliakan oleh Allah di saat kematiannya adalah seorang yang hanya 6 tahun jangka hayatnya dalam Islam.
Tetapi apakah kita yang ketika dilahirkan telah pun Islam akan dimuliakan oleh Allah di saat kematian kita?