Saya tinggal di kawasan perumahan yang sangat sedikit orang Islam. Akibat daripada itu, saya menyedari sesungguhnya, tidak ada kedai orang Islam di kawasan itu selain sebuah kedai runcit bukan Islam. Tidak ada apa-apa sebenarnya pada kedai itu, tetapi di kedai itulah keikhlasan hati saya teruji. Walaupun sudah kuat saya melindungi ikhlas saya, akhirnya hari itu tumpah ruah jugalah hakikat sebenar. Semuanya kerana perempuan Islam Melayu yang manis cantik, yang bekerja di situ.
Air
Seperti hari-hari biasa, tidak ada apa-apa luar biasa yang terjadi. Sekiranya terjadi yang luar biasa, saya berharap ia tidak terjadi pada hari itu. Semuanya kerana saya sudah terlalu lelah bagi menghadapi keluarbiasaan itu.
Apa yang saya tidak jangka itu jugalah yang terjadi, pada ketika saya melangkah masuk ke kedai runcit milik bukan orang Islam itu.
Kedai runcit itu sebenarnya lebih tepat digelar pasaraya mini, kerana berjenis-jenis barang yang dijual, dan ada dua kaunter bayaran. Mungkin kerana saya sudah terbiasa dengan gelar kedai runcit, maka semua kedai saya gelarkan kedai runcit walaupun ia tidaklah tepat.
Kedai runcit itu sebenarnya lebih tepat digelar pasaraya mini, kerana berjenis-jenis barang yang dijual, dan ada dua kaunter bayaran. Mungkin kerana saya sudah terbiasa dengan gelar kedai runcit, maka semua kedai saya gelarkan kedai runcit walaupun ia tidaklah tepat.
Saya haus ketika itu, dan airlah ubatnya. Semasa melangkah masuk, sesuatu yang luar biasa terlihat di hadapan saya. Di kaunter sebelah kiri, ada seorang cashier baru. Bertudung dan cantik. Ya, sangat luar biasa kerana yang biasanya, cashier di situ adalah orang India ataupun Cina, dan pada hari ini, cashier itu adalah perempuan Melayu cantik yang bertudung.
Ada lagi perkara yang luar biasa sebenarnya, namun untuk kali pertama itu saya belum mengerti sehinggalah saya datang kepada cashier itu bagi membayar air yang dibeli.
Itulah perkara yang mencucuk hati saya. Selama ini memang saya tahu di belakang kaunter itu ada rak cermin yang bagus letaknya. Di dalam rak cermin yang bagus itu, tersusun rapi botol-botol arak. Itulah membuatkan hati saya berdebar meninggi, kerana di hadapan botol arak itulah perempuan Islam Melayu cantik itu bekerja.
Dapat saya bayangkan pada ketika ada manusia yang mahu membeli arak dan pasti perempuan Islam Melayu cantik tadilah yang mengambil dan menjualnya. Itu sesuatu yang sangat tidak menyenangkan hati.
Teringat-ingat kata ustaz berkenaan arak, Rasulullah melaknat 10 golongan orang yang berkaitan arak, orang yang minum, menjual, membuat dan ada lagi yang saya lupa. Dan pastinyalah perempuan Islam Melayu tadi termasuk dalam golongan yang 10 tadi.
Seketika, saya menjadi kasihan. Namun bodohnya saya, ada sesuatu yang membuatkan saya terhalang bagi mengkhabarkan hal itu kepadanya. Bodoh yang sangat saya sesali sehingga sekarang.
Seketika, saya menjadi kasihan. Namun bodohnya saya, ada sesuatu yang membuatkan saya terhalang bagi mengkhabarkan hal itu kepadanya. Bodoh yang sangat saya sesali sehingga sekarang.
Cinta
Waktu itu, saya masih belum pernah bercinta dengan yang namanya perempuan, dan apa sahaja yang berkenaan cinta saya cuma tahu daripada luar, dan tidak hidup sendiri di dalamnya. Jadi, pada ketika mahu membuka mulut berkenaan perkara itu, datang kata-kata dalam hati, yang akhirnya saya yakini sebagai bisikan iblis.
"Ikhlaskah kamu mahu menolong dia, ataupun kamu menolong kerana dia perempuan cantik? Nanti kamu dikata mahu tunjuk baik dan mahu mengurat dia. Dia akan semakin liat mahu mendengar kata dan kamu dilihat sebagai seorang yang mengambil kesempatan. Sabar dulu, jangan terburu-buru, tunggu masa kamu ikhlas. "
Dengan kata yang terlintas dalam hati itu, saya segera menjadi malu. Yalah, orang belum pernah bercinta, egonya sedikit berbeza. Saya akui juga, sebetulnya kerana cantiknya perempuan itu membuat saya berasa jatuh hati, namun tetap juga ego ada bersama. Ego itulah yang menjadi jalan iblis, sehingga saya terlupa tugas saya.
Sehinggalah petang itu, saya bertemu rakan saya dan dengan wajah yang tersenyum ceria saya menceritakan tentang perempuan Islam cantik yang bekerja di situ.
"Saya tidak mahu bertanya, di mana kamu letakkan otak kamu, tetapi saya mahu bertanya di mana kamu letakkan iman kamu?" soal rakan saya itu serius, dan langsung tidak menyambung keceriaan saya.
Saya diam mendengarkan pertanyaan rakan saya itu. Ya, Allah susahnya soalan itu. Mahu juga saya menjawabnya main-main, tetapi rakan saya itu jenis lelaki yang cukup serius apabila berbicara berkenaan agama, cukup serius apabila dia menunjukkan wajah yang serius.
"Marahkan saya?" soal saya.
"Ya! Kamu mungkin letakkan otak kamu di lutut tetapi jangan sesekali letakkan iman kamu di situ. Iman itu letakkan di hati. Di sini!" kata rakan saya dengan tangan yang menunjuk-nunjuk pada dadanya.
Saya sudah semakin tidak tentu arah. Aduh, sampai begitu sekali marahnya dia kepada saya.
"Kamu tidak memberitahu dia perkara sebenar hanya kerana kamu takut dia fikir kamu mahu tunjuk baik dan mengurat dia?" Rakan saya terus menyerang dengan soalannya, dan saya semakin terperosok.
Lama juga saya diam sebelum dapat akal mahu menjawab, "Saya takut saya tidak ikhlas."
"Ikhlas?" Rakan saya menepuk dahi sebelum menyambung, "Ikhlas itu memanglah nombor dua selepas iman, tetapi ikhlas itu bukan kita yang menilai keputusannya. Kita cuma berusaha bagi ikhlas, dan antara cara berusaha adalah meneruskan membuat pekerjaan yang baik. Bagaimana kamu mahu ikhlas sekiranya kamu tidak berbuat apa-apa?"
"Tetapi tanpa ikhlas, nanti jatuh riak pula." Saya dengan ilmu agama yang sikit, tetap mahu melawan dan akhirnya, saya jelas-jelas terlihat bodoh.
"Ikhlas itu perlu dilatih dengan banyak berbuat baik, membuat ibadah, kerana ikhlas itu hanya digunakan pada ketika itu. Kamu tidak perlu ikhlas pada ketika berbuat maksiat, tidak perlu ikhlas pada ketika berbohong dan tidak perlu ikhlas pada ketika menonton konsert Lady Gaga. Jadi, latih ikhlas kamu dengan mula berbuat baik dan beribadat, dan pada ketika kamu sudah berasa riak, cepat-cepat beristighfar. Tidak ada cara lain selain cara itu, sekiranya soal ikhlas yang jadi masalah besar kamu," terang rakan saya dengan bersungguh-sungguh.
"Ikhlas itu perlu dilatih dengan banyak berbuat baik, membuat ibadah, kerana ikhlas itu hanya digunakan pada ketika itu. Kamu tidak perlu ikhlas pada ketika berbuat maksiat, tidak perlu ikhlas pada ketika berbohong dan tidak perlu ikhlas pada ketika menonton konsert Lady Gaga. Jadi, latih ikhlas kamu dengan mula berbuat baik dan beribadat, dan pada ketika kamu sudah berasa riak, cepat-cepat beristighfar. Tidak ada cara lain selain cara itu, sekiranya soal ikhlas yang jadi masalah besar kamu," terang rakan saya dengan bersungguh-sungguh.
Tidak tahu saya apa perasaan saya pada waktu itu, tetapi terus saya berkata, "Kamu ada petua menjadi ikhlas?"
"Tidak ada petua sebenarnya melainkan kamu belajar dan terus berlatih. Namun ini cuma gambaran kasar, iaitu kamu fahami lagi maksud ikhlas itu. Kamu cari ertinya, kamu fahaminya. Kamu pelajari mengapa hidup harus ikhlas. Kemudiannya pada ketika kamu sudah faham, pertama-tama sekali, kamu jangan mengatakan yang kamu ikhlas."
Belum habis penerangan rakan saya, terus saya memotong, "Tetapi kalau saya katakan, 'Saya memberi sedekah ikhlas', itu bagaimana?"
Rakan saya dengan kepala dan tangannya, ikut memberi isyarat 'jangan'. "Tidak usah. Kamu mahu beri sedekah, beri sahaja. Kamu mahu buat baik, kamu buat sahaja. Sekiranya mereka bertanya mengapa, katakan itu rezeki daripada Allah. Kerana pada ketika kamu berkata kamu ikhlas atau kamu mengaku kamu ikhlas, pada ketika itu sangat besar kemungkinannya, automatik kamu sudah menjadi tidak ikhlas."
Saya terdiam lama memikirkan kata-kata rakan saya.
"Pada akhirnya, pastikan kamu bukan sahaja ikhlas pada permulaan, tetapi juga ikhlas pada pertengahan semasa kamu berbuat kebaikan atau ibadah dan ikhlas pada pengakhiran pada ketika kamu selesai membuatnya." Teman saya terus bersemangat menerangkan.
"Maksud kamu?" Saya bertanya tidak tahu. Betul-betul tidak tahu.
"Maksudnya, pada ketika mula-mula kamu berbuat kebaikan, niatkan itu semua kerana Allah bukan kerana mahu ganjaran, pada pertengahan terus niatkan kerana Allah, dan bukan kerana berasa diri hebat berbuat baik, dan pada pengakhiran teruskan niatkan kerana Allah, dan bukan mengharapkan pujian. Dan ingat, semakin kuat iman, semakin mudah untuk kita ikhlas. Jadi kuatkan iman dan insya-Allah ikhlas itu datang sendiri."
Saya mengangguk, namun hakikatnya pada malam itu saya asyik terkenang-kenang pada perempuan Islam cantik di kaunter itu. Lupa saya berkenaan ikhlas, dan hanya ingat berkenaan cantiknya. Ah, cinta mungkin. Sehinggalah pada esoknya, saya diuji dengan apa yang saya diajarkan oleh rakan saya.
Esok.
Hari itu semangat saya meninggi. Seperti semangat tentera Islam yang sudah mahu terbang ke syurga. Saya sudah sampai ke kedai runcit itu dengan niat mahu menebus kebodohan semalam, dan dengan niat mahu bersungguh-sungguh mahu ikhlas.
Namun, ketentuan Allah juga, pada ketika saya melangkah masuk, perempuan Islam Melayu cantik sudah tidak ada di kaunternya. Digantikan pula dengan seorang perempuan Islam, yang sangat tidak cantik pada pandangan mata saya. Mana perempuan Islam cantik itu?
Namun, ketentuan Allah juga, pada ketika saya melangkah masuk, perempuan Islam Melayu cantik sudah tidak ada di kaunternya. Digantikan pula dengan seorang perempuan Islam, yang sangat tidak cantik pada pandangan mata saya. Mana perempuan Islam cantik itu?
Dan pada ketika saya bertanyakan soalan itulah saya tersedar, ikhlas itu benar-benar sukar. Segera saya mempersoalkan niat saya. Jelas lagi bersuluh, niat saya sangat tidak benar. Tetapi peluang itu tetap ada, peluang bagi menjadi hamba yang baik. Lalu dengan jiwa yang dipaksa-paksa, saya menghampiri juga perempuan Islam yang tidak cantik pada mata saya itu dan berkata, "Carilah kerja lain."
Perempuan itu tersenyum manis dan lebar kepada saya. Aduh. Semoga dia tidak berfikir yang saya mahu menggoda dia. Dan aduh lagi, ternyata iman saya sangat lemah sehingga ikhlas itu menjadi sangat sukar. Ya, Allah ampunkan aku. Ampunkan.