Wednesday, February 29, 2012

Dakwah:Sebuah Perancangan,Harapan,dan Perkongsian

                                                       lelakidakwah

Nabi Muhammad s.a.w. hadir saat dunia memerlukan sebuah harapan bagi meneruskan kesinambungan kehidupan yang selamat dan harmoni. Islam datang sesuai dengan namanya yang bermaksud selamat, sejahtera, aman dan damai. Antara tugas utama kepada Rasulullah s.a.w dan rasul-rasul sebelum baginda adalah berdakwah.
Dakwah bermaksud mengajak, menyeru dan panggil sesiapa sahaja kepada Islam yang benar. Dakwah adalah suatu kewajipan sejak azali manusia, atas nama amar makruf nahi mungkar atau sebagai tugas warisan daripada Rasulullah. Ramai yang tidak sedar, selain daripada al-Quran dan sunnah.
Rasulullah juga mewariskan kepada setiap daripada umatnya tugas dakwah. Ini bermaksud setiap daripada umat Nabi Muhammad wajib menjadi pendakwah. 
Justeru, apakah perlu setiap daripada kita menjadi pekerja agensi seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atau mana-mana jabatan kerajaan yang mempunyaia bahagian dan unit dakwah yang khusus. 
Atau apakah perlu juga kita menjadi seorang daripada penjawat dalam agensi dakwah seperti Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), Persatuan Kebajikan Islam se-Malaysia (PERKIM) dan lain-lain agensi bukan kerajaan naungan kerajaan. 

Tidak lupa juga mereka yang memilih jalur tabligh, tarikat, PUM, PPM, JIM, ISMA, IRC, IQRAM dan pelbagai lagi jemaah yang membawa jenama-jenama khusus bagi melambangkan diri dan aliran dakwah yang mereka pilih. Malah ada pula yang meletakkan dakwah hanya berdasarkan perjuangan sesebuah parti yang mereka pilih kerana pada mereka, berdakwah melalui jalur politik dalam merebut kuasa pemerintahan adalah lebih efektif berbanding dengan NGO atau jemaah dakwah yang lain.
 Meski apapun jalur dakwah yang dipilih, pastinya semua jemaah ini berdakwah berdasarkan kefahaman dan kepakaran masing-masing, kerana Allah dan menuruti sunnah Rasulullah s.a.w. Semoga Allah merahmati kesemua jemaah tersebut atas usaha dakwah yang selama mereka lakukan.
Cumanya... kita tertanya, apakah faktor yang memboleh seluruh jemaah ini duduk bersama dan mencapai resolusi bersama? Apakah perlu sebuah lagi agensi yang menaungi semua jemaah ini?... dan apakah pihak kerajaan yang paling sesuai memegang peranan ini? 
Dakwah yang Rigid 
Pemahaman dakwah yang rigid dan sempi amat merugikan umat Islam dan Islam itu sendiri. Ini biasa berlaku kerana seseorang yang sudah membataskan sikap dan pemikiran mereka kepada kefahaman dakwah berdasarkan jemaah yang mereka sudah pilih. Ini tidak lebih daripada seorang pegawai pemasaran yang bermati-matian mempromosikan syarikat mereka dan kehebatannya, namun terlupa dan gagal menjelaskan kepada para pelanggan mengenai apakah kelebihan dan kehebatan produk mereka. 
Dalam isu ini, amat sesuai jika didatangkan contoh pemasaran yang dianjurkan oleh Peter Spalton (2011, Teknik Terhebat Promosi Diri dan Produk). Beliau mendatangkan enam cara bagaimana bagi Menyesuaikan dan Menerima, Belajar dan Merancang. 
Namun ironinya, apa yang dinyatakan oleh beliau perlu dilihat secara terbalik kerana perbincangan enam teknik tersebut adalah bagi dunia perniagaan yang menganggap syarikat lain adalah pesaing dan akan berasa lega andai syarikat lawan kecundang sedangkan dakwah sebaliknya. 
Menurut beliau, dalam menghadapi pesaing: 
01.
Sentiasa awasi pesaing kita.
Kenyataan ini menunjukkan betapa sesebuah organisasi bisnes perlu peka kepada kelebihan dan sentiasa mengambil kesempatan ke atas kekurangan pesaing. Sedangkan dalam dunia dakwah, sesebuah jemaah juga peka kepada sesama jemaah dan sentiasa melengkapkan kekurangan
02.
Beli Produk Pesaing.
Perkataan pesaing patut ditukar kepada sahabat seagama. Apabila mereka mengeluarkan produk, kita membeli bukan kerana mahu mengkaji dan mencari kelemahan sebaliknya sebenar-benarnya kerana mahu menolong sesama Islam. Andai sesama orang Islam sentiasa sokong menyokong antara satu sama lain, ekonomi kita pasti utuh dan kukuh. 
03.
Perhatikan apa yang berlaku dalam industri kita di negeri lain.

           
           Kecaknaan ini adalah bagi menunjukkan betapa ukhwah Islamiyah atas dasar satu akidah adalah utuh. Banyakkan hubungan dengan organisasi dakwah yang sudah berjaya di peringkat internasional dan bantu pula mereka yang lebih memerlukan.
04.
Lihat apa yang dilakukan oleh lain-lain insdustri.

            Kebanyakan jemaah mempunyai kelebihan masing-masing sesuai dengan keperluan dan kehendak negara mereka sendiri. Justeru mempelajari apa yang sesuai bagi diimplementasikan di negara kita adalah suatu perkara yang wajar dilakukan. 
05.
Hadiri seminar-seminat dan bengkel-bengkel.

            Hadir kerana ilmu, dengan rendah diri dan tawaduk ingin mempelajari kelebihan dan perbezaan pandangan dalam Islam yang luas. Apatah lagi andai bengkel dan seminar disampaikan oleh para pendakwah peringkat antarabangsa yang kaya dengan pengalaman dan ilmu. Hadir ke dalam seminar anjuran jemaah lain juga dianggap sebagai sebuah sokongan kepada sesama jemaah.
06.
Ukur prestasi diri sendiri.
Pasti tiada jemaah yang sentiasa kuat dan sempurna dalam segenap aspek. Justeru, wajar sesebuah jemaah menawarkan apa yang mereka ada dari sudut kepakaran dan tenaga bagi menjayakan sesuatu misi.;
Peranan iluvislam 
Dakwah dalam talian atau dunia maya adalah suatu lapangan yang sangat penting pada hari ini. Tanpa dapat menafikan kesan buruknya ia mampu dieksploitasi menjadi medium yang efektif dalam menyebarkan keindahan Islam. 
Iluvislam mengabil sikap menjadi suatu laman yang menghubungkan antara generasi, antara benua malah antara fikrah bagi membicarakan mengenai keindahan Islam. 
Iluvislam meraikan sesiapa dan jemaah manapun bagi menjadi sahabat penganjur atau sebagai pusat promosi mahupun pemasaran bagi sebarang program dakwah Islam. Iluvislam mungkin dikecam disenangi dengan sikap yang diambil, dalam masa yang sama pasti ramai juga yang tidak setuju.
Namun fokus iluvislam jelas, sejelas mentari di terik siang hari dan seterang rembulan saat mengambang bulan setengah malam. Iluvislam mahu menyebarkan keindahana Islam kepada sesiapa dan sedia digunakan bagi tujuan tersebut. Malah jawatan PEGAWAI PEMASARAN DAKWAH sentiasa dibuka oleh sesiapa sahaja, daripada jemaah mana dan bagaimana jalur fikrah yang dipilih mereka. Iluvislam adalah milik kita semua dalam berdakwah.
Comments
0 Comments

0 comments: