Sebuah organisasi atau gerakan dakwah adalah sebuah entiti yang bergerak atas platform jemaah. Tanpa jemaah yang kuat, utuh dan setia, sesebuah jemaah Islam termasuk parti politik tidak akan mampu bersaing dengan sihat di medan perjuangan. Selain daripada itu, proses meyakinkan, menarik dan memberikan penerangan supaya lebih ramai prospek bersama dengan perjuangan kita adalah sangat penting.
Ganerasi Y yang dilihat sebagai generasi sumber maklumat 'langit terbuka' adalah generasi yang tidak tetap pada sesuatu sentimen. Mereka adalah pemerhati dan penilai melalui sumber dalam talian yang mendominasi pada hari ini. Mereka tidak lagi berselera menelan dakyah-dakyah maklumat daripada akhbar dan televisyen arus perdana melainkan lebih berkiblatkan Facebook, Youtube, Twitter, blog dan sebagainya.
Justeru, mereka hanya akan bersama dengan pihak yang dilihat mampu memberikan harapan kepada mereka paling tidak dalam jangka masa yang pendek.
Fenomena ini semakin disedari oleh pelbagai pihak, malah sudah ada jentera khas secara rasmi atau bertindak menjadi bala tentera bagi menangkis isu dan menyebarkan kesedaran melalui dunia dalam talian meskipun kadang-kadang akhlak dan adab dalam komunikasi terlucut daripada suluhan Islam.
Perdebatan demi perdebatan yang berlaku kadang-kadang lebih menjauhkan dan merugikan pihak yang berada dalam kebenaran kerana gaya pemasaran yang tidak menepati ciri-ciri sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud,
"Ajak mereka kepada jalan Allah dengan berhikmah dan nasihati mereka dengan kebaikan dan berwacana bersama mereka dengan wacana yang harmoni."
Pendakwah sebagai pegawai pemasaran Para pemuda dan ahli gerakan Islam selain bertindak sebagai pendakwah perlu meletakkan diri mereka sebagai pegawai pemasaran kepada ideologi dan harapan yang mahu diberikan kepada rakyat khususnya Generasi Y. Mereka yang berada di atas seakan-akan memerhatikan suasana politik sambil membuat telahan dan analisis sendiri yang akhirnya membawa kepada undi.
Para prospek dan pelanggan ini wajar dilayan dengan baik dan sempurna, bagi memikat hati mereka kepada produk yang kita tawarkan pemasaran dan penerangan perlu berada pada tahap yang paling optimum teknik dan isinya. Paling pun mereka tidak menerima produk kita mereka tidak akan memperlekeh dan mengatakan ia adalah produk yang tiada guna.
Itu sudah boleh dikira sebagai suatu kejayaan. Pemasaran dan penerangan yang baik mampu memberikan publisiti dan imej yang baik kepada organisasi, tambahan pula produk yang dihasilkan oleh organisasi sudah terbukti sangat baik dan relevan serta mampu memberi harapan kepada mereka semua.
Berikut sebagaimana yang diringkaskan oleh Peter Spalton dalam buku kecilnya yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu berjudul Teknik Terhebat Promosi Diri dan Produk (2011, PTS Profesional Sdn Bhd). Beliau menjelaskan falsafah pemasaran yang penulis kira wajar difahami dan dipraktiskan oleh setiap aktivis dakwah khususnya dalam laman media baru.
Tulis Peter Spalton: "Ramai orang menyangka pemasaran adalah semata-mata perihal pengiklanan. Seorang jurujual (baca: pendakwah) mungkin menganggap tanggungjawab pegawai-pegawai pemasaran hanya menyediakan brosur dan menjaga laman web sahaja. Sebenarnya dua jenis pandangan itu hanya sebahagian daripada makna pemasaran, kerana pemasaran merangkumi hampir semua aspek perniagaan."
Beliau kemudian meletakkan beberapa garis panduan asas dalam pemasaran yang sangat sesuai diasimilasikan dalam konteks pemasaran dakwah iaitu:
01.Pemasaran adalah falsafah: Kita mesti memupuk tabiat sentiasa memikirkan kita sebagai pegawai pemasaran. Bayangkan bagaimana kita berjaya mempengaruhi para pelanggan dan mengalahkan para pesaing. Mengenal pasti pemasaran: Segala-galanya bermula daripada para pelanggan (mad'u) dan kita mesti memahami apa yang dapat mempengaruhi mereka. Bagi melakukan perkara ini, kita perlu gunakan psikologi, sedikit kebolehan meramal dan mengagak serta belajar daripada pengalaman lalu.
02.Wujudkan apa yang masyarakat mahu dan perlu: Tidak boleh tidak, seseorang mesti membeli sesuatu. Sekiranya tidak, kita tiada sebab bagi berada dalam bisnes. Oleh itu, kita perlu mencipta produk-produk keperluan orang ramai supaya mereka memilih kita berbanding produk pesaing-pesaing kita yang lain.
· Perhatikan di mana orang ramai membeli: Sekarang orang ramai bukan hanya membeli di kedai ataupun daripada jurujual. Kita mesti memastikan mereka dapat membeli produk (informasi Islam) kita daripada mana-mana punca lokasi mengikut keselesaan mereka.
03.Pelbagaikan tarikan promosi: Ada pelbagai kaedah dan cara bagi mempromosikan perniagaan dan produk kita. Kita mesti bijak dalam memilih kaedah yang sesuai dengan pelanggan bagi setiap proses pembelian antaranya memberikan hadiah dan buah tangan yang cantik namun bermesej.
04.Gunakan internet (dengan tambahan: secara maksimum): Kita tidak perlu menjadi seorang pakar internet ataupun seorang yang berkebolehan memprogram perisian komputer.Tetapi kita mesti membuka minda dan fikirkan apa dan bagaimana internet dapat membantu perniagaan kita. Melalui status FB yang santai dan tidak memaksa, tidak menghukum namun informatif, positif dan mendamaikan.
05.Sediakan pelan yang realistik: Menyediakan rancangan perniagaan (dakwah) bukan sesuatu yang meyeronokkan, tetapi ia membantu kita melihat arah tuju perniagaan dan mewajarkan cadangan yang mahu dijalankan. Istilah-istilah seperti 'kita', 'pemasaran', 'perniagaan' perlu dicerap dan difahami dengan halus agar maksud penulisan ini tidak disalah erti.
Tentu sekali ia tiada kaitan dengan apakah kita mahu menjual Islam sekali gus merendah dan memperlecehkan agama suci kita itu, tidak sama sekali! Namun dalam konteks persaingan merebut hati rakyat yang memungkin ia diterjemahkan sebagai penerimaan dan kefahaman kepada Islam, langkah praktikal melalui kaedah pemasaran produk (informasi dakwah) adalah amat penting.
Istilah 'kita' wajar difahami sebagai ahli jemaah, 'pemasaran' adalah dakwah dan penerangan manakala istilah 'perniagaan' adalah perjuangan organisasi itu sendiri. Dari sudut penjenamaan serta duta-duta produk sudah banyak dan ramai.
Malah iluvislam.com yang sudah berusia lima tahun dilihat suatu jenama yang cukup ampuh dan disenangi. Hal ini terbukti dengan kegemilangan dan peningkatan yang drastik dalam penglibatan penganjuran program-program berunsur Islam mutakhir ini.
Generasi Y yang penulis gambarkan tiada sentimen khusus dan sentiasa memikirkan apakah faedah dan kepentingan yang mereka dapat daripada sesuatu perkara atau produk, bersamaan dengan situasi diri mereka yang mahu membeli sesuatu produk dan persoalan yang timbul adalah, "Apakah pulangan yang produk ini berikan kepada diriku dan apakah berbaloi pulangan daripadanya dengan kos yang dikeluarkan?"
Produk dakwah adalah ideologi dan harapan Presiden Barrack Hussein Obama adalah warga kulit hitam pertama yang dilantik menjadi presiden Amerika Syarikat. Analisis yang dibuat, antara faktor yang memberikan kemenangan kepada beliau adalah tema sepanjang kempen pilihanraya presiden yang memfokus kepada suatu perkara iaitu 'hope' iaitu harapan kepada rakyat. Obama menawarkan dan berjaya menjadikan harapan-harapan yang ditawarkan sebagai produk yang sangat diperlukan oleh rakyat. Dengan menggunakan hampir ketujuh-tujuh kriteria pemasaran di atas, rakyat yang mempunyai keperluan dan kehendak kepada harapan memberikan kepercayaan kepada Obama.
Tidak syak lagi, pihak mana yang mampu memberikan harapan dengan memahami apakah yang diperlukan oleh rakyat akan berjaya menambat hati para pelanggan ini bagi melanggan produk-produk keluarannya malah akan terus setia selagi mana layanan yang diberikan memenuhi impian dan harapan mereka.
Justeru, setiap daripada kita adalah pegawai pemasaran kepada produk parti paling tidak secara dalam talian di FB, Twitter dan laman blog masing-masing, mulakan dari hari ini dengan memaparkan isu-isu dan maklumat-maklumat yang mampu memberikan pencerahan dan pemahaman kepada keindahan Islam dan bukan hanya terus mencetuskan polemik yang merugikan masa dan tenaga terperangkap dengan debat yang sia-sia.
Ayuh, kita jadi pegawai pemasaran kepada harapan bersama iluvislam.com. Caranya amat muda, sebarkan segala bahan daripada iluvislam.com dalam ruangan mengikut kapasiti masing-masing. Fokus kepada kerja kita sebagai pegawai pemasaran produk dan berfikir dengan gaya seorang pegawai pemasaran dakwah demi kesinambungan dakwah dunia maya dan Islam itu sendiri.