Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan segala ketetapannya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk penghamabaan diri, permohonan dan taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri dari segala kongkongan yang bukan daripada Allah (taghut) yang terpaksa dipatuhi, memberi hak kepada orang lain yang ditentukan hak oleh Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah segala kemungkaran, dan bejihad pada jalan-Nya.
Seorang cerdik pandai Dr. Abu al-Majd al-Sayyid Nawfalmenjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dakwah itu ialah usaha golongan yang mempunyai kemampuan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada sasaran untuk membawa mereka kepada Islam dan menjauhkan mereka daripada kepercayaan selain kepada Allahdengan cara-cara tertentu.
Dr. Ra'uf Shalabi menerangkan bahawa dakwah Islamiah itu ialah gerakan membawa atau mengubah masyarakat daripada keadaan kekufuran kepada keadaan keimanan, daripada keadaan kegelapan kepada keadaan cahaya dan daripada keadaan sempit kepada keadaan lapang, di dunia dan di akhirat.
5 tahun lepas, semasa saya dan 4 orang 'co-founders' iluvislam yang lain merancang untuk membuat sesuatu usaha dakwah online (kami di minggu-minggu akhir pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM), tujuan kami hanyalah satu; dakwah!
Secara peribadi, saya sangat suka dengan idea usaha dakwah online itu atas sebab berikut :
Setelah kami berlima bersetuju untuk melantik saya sebagai Presiden (ketua) iluvislam pada tahun 2007, saya tetap dengan pendirian bahawa usaha dakwah kami adalah bersifat umum. Mad'u (orang-orang yang kami dakwahkan) adalah masyarakat atau saya lebih suka dengan panggilan 'ummah'. Pendek kata, pendekatan yang kami guna pakai sehingga kini adalah 'ummah-centric'.
Kami merasakan bahawa salah satu sebab utama umat Islam lemah dan mudah ditindas adalah kerana kita semua tidak bersatu. Jika modus operandi yang digunakan adalah bercirikan 'group-centric' atau 'jemaah-centric', kami bersetuju bahawa impian untuk melihat ummah bersatu adalah kabur.
Sehingga hari ini, itulah pendirian dan pendekatan saya dalam mengemudi bahtera iluvislam. Pada tahun 2010, ketika saya bertemu dengan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasaruddin Tantawi, dan ketika saya bertemu dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifudin Abdullah – saya berkongsikan tentang pendekatan kami. Kedua-dua mereka sangat bersetuju serta menyokong kami. Malah kedua-duanya menggalakkan dan memberi kata semangat kepada saya tatkala kami bertemu semula sehingga hari ini. Mereka tidak lokek menjawab SMS saya jika saya bertanya soalan dan inginkan pendapat.
Pada tahun 2011, ketika saya bertemu 'muka ke muka' dengan ilmuwan agama, Ustaz Dr. Zahazan Mohamad dan Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman; kedua-dua bersetuju dan menyokong pendekatan kami; malah mereka sentiasa berkongsi idea dan sentiasa memberikan saya kata-kata motivasi serta semangat untuk meneruskan perjuangan.
InsyaAllah selagi Allah mentakdirkan saya memimpin iluvislam, itulah pendekatan yang saya akan ambil. Ummah diutamakan. Ummah 'target group' kami.
Saya agak sedikit kecewa dengan beberapa rakan PAS yang mengatakan bahawa iluvislam Malaysia tiada hala tuju, pendekatan tidak syumul kerana tidak menyentuh politik, bersekongkol dengan kerajaan UMNO dalam mengacarakan 'event' dan seumpamanya. Saya lagi kecewa apabila yang memberikan kritikan seumpama itu adalah cerdik pandai yang menuntut ilmu di negara orang putih (pastinya orang-orang bijak sahaja boleh dapat biasiswa ke sana).
Setelah 5 tahun kami bertatih membangunkan iluvislam, alhamdulillah sedikit sebanyak kami belajar dan kaji tentang apa sebenarnya yang masyarakat umum 'dahaga'kan. Memandangkan majoriti pengguna iluvislam adalah remaja dan awal dewasa, kebanyakan daripada mereka memerlukan panduan dalam bercinta dan berkeluarga. Walaupun saya akui bahawa 'contents' kami masih ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, namun saya dan 'teammates' saya insyaAllah sentiasa berusaha untuk lakukan yang terbaik.
Walaubagaimanapun, jika kita benar-benar meneliti 'contents' dakwah kami, bahan yang kami terbitkan bukan semuanya berkaitan cinta dan perkahwinan. Ada macam-macam. Kerana kami ingin memastikan bahawa iluvislam ini bukan sahaja memberi manfaat kepada remaja; malah juga kepada adik-adik kecil dan atuk serta nenek. Oleh kerana itu, jika melihat kepada bahan yang kami sajikan kepada masyarakat turut menyentuh tentang inspirasi, motivasi, pendidikan, gaya hidup, tazkirah, kerjaya dan lain-lain lagi.
Tambahan pula, bermula 8 Februari 2012, kami bakal mempunyai seorang penulis 'full-time' yang kami 'invest' untuk 'hire' dari salah satu syarikat penerbitan buku terbesar di negara kita – untuk fokus menulis bahan-bahan yang lebih umum seperti sukan, hiburan dan lain-lain. InsyaAllah pada bulan Mac pula, seorang lagi penulis sepenuh masa akan menyertai ofis iluvislam Malaysia untuk fokus menulis bahan-bahan yang lebih ilmiah dan mencabar minda. Tuntasnya, kami komited untuk terus 'grow' dan tidak mahu kekal di tahap 'comfort zone.'
Selaku orang yang bertanggungjawab memimpin iluvislam, saya sangat mengalu-alukan kritikan dan cadangan daripada sesiapa sahaja. Saya percaya bahawa kehidupan adalah satu proses. Iluvislam dan diri saya sendiri bukannya lahir-lahir terus menjadi sempurna. Namun, apa yang saya harapkan daripada cerdik pandai yang gemar mengkritik adalah cadangan membina daripada kalian. Cadangan yang bersifat 'action' atau 'action-oriented' supaya saya dan rakan-rakan dalam team iluvislam boleh pertimbangkan dan bertindak. Elakkanlah sekadar kritik yang tidak berasas dan diakhiri dengan kutukan; tanpa ada sebarang cadangan penambahbaikan.
Alhamdulillah, kami di iluvislam sentiasa bersyukur dengan apa yang berlaku. Andai sesuatu itu berbentuk ujian yang sukar, kami cuba belajar dari kekurangan. Jika ia berbentuk ujian yang menikmatkan, alhamdulillah syukur kami panjatkan. Akhirnya, apa yang kami harapkan adalah redha Alllah SWT dan ganjaran syurga di akhirat nanti.
Visi iluvislam yang telah saya dan barisan 'co-founders' iluvislam lain persetujui adalah 'to be the world's leading Islamic media of choice.' Saya tidak yakin kami berjaya untuk mencapai visi tersebut jika arah tuju yang saya bawa sebagai seorang ketua adalah untuk mengajak ummah untuk menyertai PAS, atau UMNO, atau PKR. Saya perlu fokus untuk menyeru ummah untuk mencintai ISLAM dan ALLAH. 'Period'!
Saya kira amanah yang saya pikul amat besar. Saya sangat memerlukan sokongan kata-kata semangat dan cadangan-cadangan serta kritikan-kritikan membina daripada semua - untuk membawa iluvislam ke tahap yang lebih tinggi dan cemerlang.
Harap-harap kalian mendoakan saya dan juga team saya di iluvislam.
Mohon maaf andai ada terkasar bahasa. Saya sentiasa memaafkan sesiapa sahaja insyaAllah.
Saya sentiasa hormati uslub (pendekatan) dakwah sahabat-sahabat lain dalam PAS, UMNO, PKR, IKRAM, ABIM, ISMA, TABLIGH dan lain-lain. Moga kita semua terus istiqamah.
Selamat menunaikan kewajipan berdakwah kepada semua! Chill la bro! :D