Tuesday, February 28, 2012

Saham Akhirat

                                                         duit

Islam agama syariat, yang menjadi panduan hidup untuk seluruh umat. Syariat menunjukkan, bagaimana untuk kita menjalani tatih hayat di atas dunia, apa yang perlu dilakukan, apa yang wajib ditinggalkan, apa yang mendatangkan mudarat dan apa yang menimbulkan nikmat. Syariat menentukan kaitan antara dunia dan akhirat.
Dalam kepelbagaian aturan Allah SWT yang dinamakan syariat itu, kita wajar memahami bahawa salah satu perkara yang sangat penting ialah tatacara perhubungan sesama manusia. Dalam hal ini, Allah SWT telah mensyariatkan kepada kita apa yang dinamakan sebagai zakat.
Zakat adalah syariat yang bersangkutan di antara hubungan sesama manusia (hablumminannas). Zakat tujuannya tidak lain dan tidak bukan, ialah demi menjamin keseimbangan hidup. Ini kerana, orang-orang miskin dan kaya, akan sentiasa ada sampailah dunia ini menuju ke penghujungnya.
Golongan miskin ini hanya akan terhapus, apabila semboyan kiamat hampir ditiup oleh malaikat Israfil. Selagi itu belum terjadi, manusia kaya dan miskin akan terus wujud dan beriringan. Samalah seperti adanya malam dan siang, laut dan daratan, lelaki dan perempuan.
Dalam Islam, harta hendaklah diagihkan atau diedarkan secara saksama sesama manusia. Untuk itulah, maka Allah SWT menegah jika harta kekayaan itu hanya berlingkaran dalam kalangan orang-orang kaya sahaja.
Ia demi mengelak daripada berlakunya manipulasi ke atas golongan yang lemah, sama seperti mana yang pernah berlaku lewat sebelum kedatangan Islam ke Kota Mekah. Kala itu, orang miskin terjerat dalam sistem pengumpulan harta oleh orang kaya, sehingga ada yang terpaksa menjadi hamba demi melunaskan hutangnya.
Allah menyatakan: "Apa sahaja harta rampasan (fa'i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu," (al-Hasyr, 59: 7)


Zakat memastikan harta dapat dikongsi secara saksama. Setiap orang mempunyai hak, sama ada hak untuk memberi dan hak untuk menerima. Tiada sesiapa boleh menghalang seseorang daripada memberikan hartanya kepada orang lain. Begitu juga, tiada sesiapa boleh mendabik dada menegah hartanya daripada diambil demi kebaikan orang lain. Ini semua mampu terlaksana dengan adanya syariat zakat.
Inilah secebis keunggulan sistem yang dititipkan Allah azzawajalla kepada kita. Ia bukan sistem yang menindas apatah lagi memeras; sebaliknya satu sistem yang sangat cantik demi melestarikan keluk keseimbangan kehidupan manusia di atas muka bumi ini.
Bagi meningkatkan hubungan antara pembayar zakat dan menyebarkan dakwah, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan satu kejohanan boling bersama pembayar zakat perniagaan koperasi 2012, bertempat di ARL Power Bowl, Alamanda Shopping Centre, Putrajaya.
Kejohanan ini dianjurkan buat kali keempat oleh Unit Zakat Perniagaan (UZP) PPZ-MAIWP. Ia sebagai salah-satu landasan dalam merapatkan hubungan silaturrahim di kalangan pembayar zakat perniagaan khususnya bagi koperasi dan meninjau peluang bagi menambahkan bilangan pembayar dan kutipan zakat perniagaan khasnya juga zakat harta amnya.
Objektif kejohanan ini adalah merupakan satu konsep dakwah secara santai dalam usaha menyebarkan dakwah sambil beriadah mengikut cara Islam. PPZ-MAIWP dapat mengeratkan lagi hubungan dengan kakitangan koperasi selain  dapat merealisasikan tanggungjawab sosialnya menyahut seruan amalan gaya hidup sihat dengan menjulang semangat kesukanan dan ukhwah Islamiah yang tinggi dikalangan pembayar zakat tanpa mengabaikan tuntutan syarak dalam bersukan.
Kejohanan kali ini mensasarkan 13 pasukan dari koperasi-koperasi di Wilayah Persekutuan yang terlibat secara langsung dalam menguruskan zakat perniagaan seperti Jabatan/ Bahagian/ Unit Kewangan dan Akuan, Perkhidmatan Korporat dan Syariah.
Tiga belas buah koperasi yang terlibat adalah Koperasi CIDB, Koperasi BIMB, Koperasi Felda Trading Berhad, Koperasi Telekom (M) Berhad, Koperasi DBP (M) Berhad, KOJUPEM,Koperasi Pekerja JPM (M) Bhd, Koperasi Kakitangan Angkasa, Koperasi Matrade A, Koperasi Matrade B, Koperasi Kastam, Koperasi Polis, Koperasi Kakitangan Angkasa.
Inisiatif zakat perniagaan melalui koperasi ini diharapkan dapat meningkat dari setahun ke setahun sekaligus membantu asnaf yang memerlukan.
Turut hadir adalah Ketua Pegawai Operasi PPZ-MAIWP, Tuan Hj Mohd Rais Hj Alias. Untuk maklumat lanjut sila hubungi Nur Haliza Abd Rahman, Unit Komunikasi Korporat di 012-5003547.
Comments
0 Comments

0 comments: