Wednesday, April 11, 2012

Surau Di Kompleks Membeli Belah: Tempat Beribadah Atau Sekadar Ambil Mudah

                                                       baby

Berpuasa dan berhari raya di tanah air merupakan satu nikmat yang sukar digambarkan. Tanyalah anak-anak rantau di mana jua  mereka berada, tak kira yang menuntut mahupun yang mencari sumber rezeki di perantauan, dapat pulang ke tanah air di bulan Ramadhan dan Syawal sudah pasti menggembirakan.
Kami sekeluarga juga demikian. Bila lama tidak pulang ke tanah air, kemahuan anak-anak untuk melepaskan rindu pada juadah berbuka dan membeli belah sebagai persiapan berhari raya sudah pasti tidak dilepaskan. Pastinya kompleks membeli belah merupakan tempat terbaik untuk dikunjungi terutamanya di hari-hari terakhir sebelum menjelang sambutan Aidil Fitri.
Setahun lalu kami menjenguk Wangsa Walk Mall di Wangsa Maju. Kagum juga dengan susun atur ruang dan fasiliti yang disediakan. Staf-staf sokongan yang ditempatkan di kaunter informasi dan juga sekuriti sangat mesra pelanggan menjawab pertanyaan dengan senyuman. Selesai iftar, saya bertanyakan salah seorang pekerja sekuriti di mana surau untuk solat maghrib. Pekerja tersebut dengan baik hati membawa saya hingga ke pintu surau di hujung mall  berkenaan. Sebagai seorang profesional yang berkecimpung dalam bidang pengurusan fasiliti, saya amat kagum dengan kualiti perkhidmatan pelanggan yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan kompleks ini. Barangkali itu juga kenapa kompleks yang saya kira masih baru ini berjaya mengundang ramai pelanggan untuk berkunjung ke mari.
Namun begitu 'first impression' saya terus berubah apabila saya membuka pintu surau. Saya dapati keadaan surau amat kecil dan berpusu-pusu (hinggakan pintu surau tidak boleh di buka)disebabkan ramai yang terpaksa menggunakan ruang tempat wudu' untuk menunggu giliran untuk solat maghrib. Ruang surau yang diperuntukkan hanya mampu mengisi kurang dari 15 orang pada satu sesi solat. Keadaan lecak dan berlengas antara tempat wudu' dan solat juga amat merimaskan serta menimbulkan bau yang kurang menyenangkan.
Beberapa persoalan timbul dalam pemikiran saya;

1.      Bagaimana kompleks yang sebegini besar dengan bilangan pengunjung yang ramai hanya memperuntukkan ruang yang kecil untuk memenuhi keperluan beribadat?
2.      Tidak adakah piawaian yang diperuntukkan di peringkat kelulusan jabatan teknikal pihak berkuasa tempatan untuk mengambilkira jumlah ruang fasiliti seperti surau ini sebelum pembangunan ataupun pelan bangunan diluluskan.
3.      Jikapun 'peak season' penggunaan surau hanya pada bulan Ramadhan (maghrib terutamanya), tidakkah pihak pengurusan fasiliti kompleks membeli belah ini boleh mengambil sedikit inisiatif untuk menyediakan tempat solat sementara yang lebih luas bagi memenuhi keperluan pengunjung seperti membina khemah di petak2 tempat meletak kenderaan demi keselesaan pengunjung?
4.      Tidak adakah pengurus fasiliti yang sama-sama dilantik di peringkat rekabentuk yang melihat hal ini dalam konteks strategik dan operasi yang dapat memberikan input keperluan pengunjung seterusnya memartabatkan keperihatinan pemilik kompleks dalam menerajui tangungjawab korporat sosial kepada masyarakat?
Saya yakin isu surau di kompleks membeli belah bukan satu isu yang baru diketengahkan. Dilihat dari aspek keuntungan, sememangnya ruang merupakan komoditi penting bagi harta tanah komersil. Setiap inci adalah berharga dan pemilik sudah pasti mahu menuai keuntungan dari sewa setiap ruang yang dibina. Namun begitu jika ada beberapa kompleks yang boleh mengorbankan ruang yang begitu besar untuk tujuan memberikan fasiliti untuk dinikmati pelanggan atas dasar tanggungjawab sosial korporat (seperti landskap dalaman dengan kolam ikan dan ruang hijau lengkap dengan air terjun dan sebagainya), kenapa pula keperluan surau dipandang enteng?
Beberapa persoalan terus berlegar-legar di kotak pemikiran saya;
1.      Berapa banyak kompleks membeli belah yang menyediakan ruang surau di tempat2 yang terceruk hinggakan sukar ditemui?
2.      Berapa banyak pula yang menyediakan fasiliti ini di tempat-tempat seperti tempat letak kereta bawah tanah (basement) yang jauh dari ruang membeli belah?
3.      Berapa banyak kompleks membeli belah yang tidak langsung mengambil endah akan keselesaan ruang ibadah ini dengan tidak menyediakan sistem pengudaraan yang baik, karpet yang hapak dan tidak disenggara, ruang wuduk yang berlendir dan kotor dan tersumbat?
4.      Tidak pentingkah ruang fasiliti solat ini dan tidakkah hak pengunjung untuk menunaikan ibadah sambil berkunjung diambil berat oleh pihak pengurusan fasiliti dan juga pemilik kompleks berkenaan?
Tidak saya nafikan terdapat kompleks yang prihatin dalam hal ini yang menyediakan fasiliti ini dengan baik. KLCC, Subang Parade dan IKEA contohnya, menyediakan fasiliti ini dengan begitu selesa dan ini patut dicontohi oleh kompleks-kompleks yang lain dalam hal ini.
Saya kira hal ini bukan perkara kecil. Ini tanggungjawab kesemua pihak  dari pihak yang meluluskan kebenaran pembangunan dan pembinaan, pihak pemilik yang membangunkan, pihak pengurusan harta dan fasiliti yang menguruskan juga pihak pengunjung yang menggunakan fasiliti surau sebagai tempat beribadah. Barangkali pihak Persatuan Pengguna Pengguna Islam Malaysia (PPIM) boleh mengambil inisiatif menyediakan platform kepada masyarakat muslim khasnya untuk membawa isu ini kepada pihak yang berwajib. Saya yakin perkara ini bukan keluhan individu, bahkan rintihan ramai pengunjung di mana-mana kompleks membeli belahpun. Sebagai rakyat Malaysia di mana agama Islam diangkat sebagai agama rasmi negara, permintaan untuk menyediakan fasiliti surau ini bukanlah satu permintaan yang keterlaluan.
Persoalannya berbalik kepada tajuk komentar yang diajukan. Adakah fasiliti surau yang disediakan  di kompleks membeli belah merupakan satu tempat ibadah atau penyediaannya hanya satu kehendak yang 'sampai jangan tidak ada' yang diambil mudah oleh pemilik dan pengurusan kompleks membeli belah?
Jika kita bertindak sekarang, saya pasti kita mampu sama-sama berusaha agar Ramadan tahun 2012 menjanjikan surau-surau di kompleks membeli belah khususnya lebih selesa bagi tujuan ibadah.

Suka saya menyeru kepada masyarakat untuk bergandingan dengan pihak pengurusan kompleks agar tidak hanya meletakkan tanggungjawab ini pada pihak pengurusan fasiliti kompleks semata-mata. Namun begitu pihak pengurusan kompleks perlulah mengambil inisiatif untuk mempelawa masyarakat untuk menyumbang sama ada tenaga, wang ringgit dan inisiatif  dalam projek seumpama ini.
Teringat saya satu ketika dulu apabila menerajui projek ubahsuai bangunan pejabat organisasi lama saya di Kuala Lumpur di mana bajet yang saya bentangkan dicantas pihak pengurusan kerana ingin menjimatkan kos pengubahsuaian. Salah satu ruang yang diubahsuai termasuklah ruang surau yang bakal digunakan oleh kesemua staf dan tetamu kelak. Tatkala pihak pengurusan meminta saya mengurangkan bajet ubahsuai surau saya nyatakan pada mereka:
"Saya boleh berusaha untuk meminimakan bajet ubahsuai ruang pejabat, tapi saya mohon kelulusan pihak pengurusan organisasi untuk meluluskan kos ubahsuai dan penyenggaraan surau ini sebagaimana diusulkan. Bukan kerana apa, ini ruang ibadah dan jika kita tidak kedekut dengan Allah SWT, saya yakin Allah akan lebih sayang dan pemurah dengan organisasi kita"
Alhamdulllah, usul saya diterima pihak pengurusan tanpa bantahan. Jemput ke surau Menara Bank Pembangunan (dulunya dipanggil Bangunan Bank Industri) di Jalan Raja Abdullah Kuala Lumpur jika sudi. Fasiliti yang disediakan dengan penuh teliti dan memenuhi keperluan surau bagi kakitangan dan tetamu yang datang berkunjung.
Tanggungjawab ini tanggungjawab kita bersama. Kalau bukan kita yang endah, siapalah lagi kan?

Surau di kompleks membeli belah: Tempat ibadah atau sekadar ambil mudah?
Nukilan:  Nazali Noor – Pensyarah Kanan Pengurusan Fasiliti di Liverpool John Moores University, United Kingdom
Comments
0 Comments

0 comments: