Friday, December 9, 2011

6 Sebab-Sebab Perniagaan Gagal Yang Dirahsiakan

                                                           alt

Sudah banyak kita dengar daripada peniaga dan penulis mengenai kenapa sesebuah perniagaan itu gagal. Banyak sebab seperti :
1. Tidak mendapat pinjaman
2. Lokasi yang salah
3. Masalah pekerja
4. Pengurusan yang tidak terurus
5. Persaingan
6. Berkembang terlalu cepat
Ini belum lagi yang mengatakan sebab-sebab seperti terkena sihir atau buatan orang.
Namun sebab-sebab ini biasanya akan menuding jari ke arah orang lain. Malah sebab yang sebenar-benarnya akan terkubur tanpa dinyatakan. Jadi dalam artikel ini saya akan menerangkan antara sebab-sebab sesebuah perniagaan itu gagal yang tidak dinyatakan kepada kita.Kenapa sebab-sebab sebenar ini tidak dinyatakan? Mungkin kerana sebab sebenar ini akan menyakiti ego pemilik perniagaan yang gagal. Sudahlah gagal, terpaksa pula menerima kesalahan diri sendiri. Ini bagaikan jatuh ditimpa tangga. Jadi mereka fikir,adalah lebih baik meletakkan sesuatu kesalahan itu di atas faktor luaran.
Jadi apa pentingnya kita kenal kesalahan yang sebenar ?
Ini penting untuk usahawan menilai dengan sebenar-benarnya kenapa sesuatu perniagaan itu gagal dan mengambil pengajaran untuk membangunkan perniagaan lain di masa hadapan.
Sebab-sebabnya ialah:-
1.  Perniagaan Yang Menumpukan Kepada Keuntungan Cepat
Ramai yang akan menghubungi saya kira-kira 6 bulan sebelum tarikh perkahwinan mereka untuk memulakan perniagaan. Alasan mereka "Saya ingin buat bisnes untuk cari duit untuk kahwin".Ini satu penyakit yang dihadapi sesetengah orang. Mereka fikir perniagaan ini boleh membawa keuntungan yang cepat dalam beberapa bulan.Fokus seperti ini adalah salah. Membangunkan sesebuah perniagaan adalah seperti melahirkan bayi. Pada awalnya, kita yang perlu mengeluarkan duit dan keringat untuk membangunkan perniagaan ini.Setelah beberapa tahun, barulah kita boleh menuai hasil dari pelaburan itu tadi. Jadi untuk membuat keuntungan sebenar serta meneruskan perniagaan untuk tempoh masa yang lama, kita perlu meletakkan fokus jangka masa panjang dan bukan 6 bulan sebelum berkahwin.
2. Perniagaan Memuaskan Ego
Usahawan yang sebenar memulakan perniagaan apabila dia dapat melihat peluang sebenar dalam membangunkan sesebuah perniagaan. Namun terdapat orang yang ingin membangunkan perniagaan atas faktor ego.Faktor ego di sini adalah seperti membuka perniagaan untuk tujuan kelihatan 'cool' atau merasa dengan adanya perniagaan ini status dirinya akan meningkat naik di mata rakan-rakannya.Contohnya,seperti orang yang ingin membuat kafe atas dasar untuk kelihatan hebat berbanding dengan orang yang membuka kafe atas dasar untuk memulakan perniagaan.Perniagaan yang dibuat berdasarkan ego jarang berjaya. Jadi fikirlah sebelum anda memulakan sesebuah perniagaan. Adakah anda memulakan perniagaan ini untuk semata-mata kelihatan 'cool' atau anda memulakan perniagaan untuk membuat keuntungan jangka panjang?
3. Masalah Peribadi
Sewaktu seseorang manusia itu berada dalam keadaan stress atau bermasalah, jarang sekali manusia ini akan membuat keputusan yang betul.Masalah yang lebih besar adalah idea kreatif juga tidak akan timbul pada waktu ini.Masalah kita boleh terjadi akibat dari pergaduhan dengan rakan, masalah dengan isteri, penceraian, masalah anak-anak dan pelbagai masalah lain yang tidak ada kaitan langsung dengan perniagaan.Namun masalah-masalah ini akan memberi impak yang sangat besar kepada perniagaan anda. Jadi untuk membangunkan perniagaan dengan baik, cuba elakkan atau selesaikan masalah peribadi anda dahulu.
4. Mendapatkan Nasihat Daripada Orang Yang Salah
Kita selesa untuk berbincang dan menceritakan masalah kita kepada rakan-rakan dan ahli keluarga.Namun apabila berkenaan dengan perniagaan, rakan-rakan dan ahli keluarga bukanlah orang yang sesuai untuk kita dapatkan jalan penyelesaian.Ini biasanya berlaku apabila kita hendak memulakan perniagaan. Kita akan bertanya kepada rakan-rakan dan keluarga kita. Kebanyakkan daripada mereka ini tidak mahu menyakiti hati kita. Jadi mereka ini sentiada akan memberikan sokongan kepada idea bodoh kita itu.Cuba anda fikir, jika seorang rakan anda datang dengan satu idea bisnes, dan anda menentang idea ini. Namun rakan anda itu meneruskan dengan idea itu dan berjaya. Adakah anda fikir rakan anda akan masih berkawan dengan anda ? Sudah tentu hubungan anda kini telah menjadi lebih tawar. Jadi tidak ada orang yang anda sayangi akan membuatkan anda kecewa.Jadi mereka ini tidak sesuai untuk kita tanya pendapat mengenai perniagaan. Walaupun kepada mereka inilah kita sering menyatakan idea dan masalah perniagaan kita untuk mendapat penyelesaian.
5. Pemilik Perniagaan Yang Tidak Pandai Berhubung Dengan Manusia
Banyak perniagaan yang lingkup hanya kerana seseorang pemilik perniagaan yang panas baran atau jenis orang yang tidak tahu berkomunikasi dengan orang lain.Dalam perniagaan, kita terpaksa berhubung dengan pembekal, pelanggan yang pelbagai kerenah, pekerja, rakan kongsi dan banyak lagi orang lain. Jadi,jika seseorang itu tidak mampu untuk menjadi kawan dengan semua mereka ini, tidak mungkin mereka boleh berjaya dalam perniagaan.Jadi kemahiran berkawan adalah sangat penting. Anda juga perlu menerima hakikat tidak semua yang anda faham itu difahami oleh orang lain dan juga sebaliknya.Kita juga perlu menerima hakikat bahawa semua golongan yang saya sebutkan sebelum ini tidak akan membantu perniagaan anda untuk maju jika anda bukan seseorang yang pandai berkawan.Jadi,belajarlah untuk berkawan dengan ramai orang dari pelbagai tahap masyarakat kerana ini adalah kemahiran wajib untuk anda berjaya dalam perniagaan.

6. Usahawan Yang Tidak Sepenuhnya Komited Pada Perniagaannya
Terdapat usahawan yang memulakan pekerjaan dan dalam masa yang sama berkerja makan gaji, ada pula yang sudah mempunyai back-up plan jika perniagaan itu gagal.Dalam kedua keadaan ini, kegagalan adalah satu pilihan. Kerana itu anda tidak perlu terlalu komited kepada perniagaan anda, memandangkan jika perniagaan ini gagal, anda mempunyai kerja tetap ataupun sudah pun mempunyai back-up plan yang kukuh.Perniagaan akan menjadi lebih berjaya jika anda bergantung harap hidup anda kepada perniagaan itu. Jadi anda tidak ada pilihan selain untuk berjaya dan membuat keuntungan.Pada masa ini, otak dan fizikal anda akan melonjak ke tahap yang jauh lebih baik daripada tahap biasa. Tidakkah apabila Tariq bin Ziyad menawan sepanyol, beliau telah membakar kapal tentera Islam itu sendiri dan berkata"Tidak ada jalan untuk melarikan diri! Laut di belakang kalian, dan musuh di depan kalian: Demi Allah, tidak ada yang dapat kalian sekarang lakukan kecuali bersungguh-sungguh penuh keikhlasan dan kesabaran''.Apabila tidak ada lagi jalan pulang, kita tidak ada pilihan selain untuk terus mara dan berjaya.
Comments
0 Comments

0 comments: