Pejam celik. Pejam celik. Mata tidak juga bisa ditutup. Memerhatikan segenap ruang bilik. Terpana pada jam di dinding. Sepantas jarum saat akhirnya pasti berhenti. Tatkala,manusia pasti akan toleh ke belakang. Memikirkan tiap detik yang berlalu. Muhasabah.
Dalam suka duka, mengenang dosa-dosa semalam. Hadir rasa kesal dan kesedihan mula melanda diri. Bila rasa bersalah hadir, rasa kehambaan juga turut hadir. Mencari Tuhan, mengingati Tuhan, menyebut-nyebut nama-Nya. Menghadirkan rasa bertuhan agar menyentap sanubari.
"Ya Allah,hamba-Mu ini rasa berdosa. Terlalu. Terlalu banyak dosa."
Maka berderailah air mata. Tidak tertahan-tahan lagi. Pada tangisan ia kembali kepada fitrah insani, mencari Tuhan tatkala rasa bersalah. Terlukis kerinduan hadir dari hati yang dihimpit perasaan ingin dibelai Tuhan.
Oh Tuhan.
Aku manusia biasa. Aku bukan malaikat. Manusia itu sering lupa dan leka. Gembira dengan kesenangan, sedih dengan kesusahan. Kiranya aku fikirkan aku sudah cukup bahagia. Tapi adakah aku tenang? Hari-hariku bukan lagi mentaddabur bacaan Al-Quran. Solatku kini bukan lagi khusyuk. Hatiku tidak lagi dijamu dengan roh usrah, tazkirah dan ceramah setiap hari. Aku lalai di sini.
Di sini. Di celah kesibukan.
Tapi aku bukan manusia jahat. Tidak pernah sesekali ku teguk minuman syaitan. Tidak pernah ku menjejakkan kakiku ke tempat maksiat. Aku tidak menyentuh yang bukan halal untukku. Aku hanya manusia biasa. Aku menunaikan sembahyang. Aku berpuasa di bulan Ramadan. Aku manusia biasa!
Tapi, kurasakan kini ibadahku seakan-akan tiada roh.
Tiada rasa haya' kepada-Mu! Tiada rasa takut kepada-Mu!
Di manakah semangat itu menghilang?
Di manakah air mata yang sering mengiringi bacaan doa?
Tiada rasa haya' kepada-Mu! Tiada rasa takut kepada-Mu!
Di manakah semangat itu menghilang?
Di manakah air mata yang sering mengiringi bacaan doa?
Hatiku tidak dapat merasai kenikmatan doa. Aku jadi takut. Pelbagai perkara bermain di fikiranku. "Ya Allah gelapnya hati hambaMu ini!". Hati meronta-ronta, lepaskanlah aku! Lepaskan aku daripada perasaan ini. Diri seakan-akan terasa sangat jauh daripada-Mu.
Hati manusia ibarat besi. Setiap dosa yang dilakukan akan melekatlah karat padanya. Tapi karat itu boleh di cuci dengan solat dan doa. Namun lama kelamaan jika karat itu tidak dibersihkan, akan semakin besarlah ia, dan semakin sukarlah untuk dibersihkan . Maka semakin hitam dan gelaplah hati kita. Ketika ini setiap dosa yang dilakukan tiada lagi dirasakan dosa bagi dirinya.
Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah.
"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang". (Surah Al-Ra'd 13:28)
Ku ulang-ulang. Ku panggil-panggil nama-Mu. Ku sebut-sebut nama-Mu. Kembalikanlah aku semula. Usah Kau palingkan aku setelah Kau beri hidayah petunjuk-Mu. Aku ini lemah Ya Allah. Kau peganglah hatiku, tautkanlah hatiku di jalan ini. Aku ingin tenang dalam mencari keredhaan-Mu di setiap perjalanan hidup ini.
Allah.
Aku tersedar. Aku tersentap. Kenapa aku mahu jadi orang biasa-biasa? Kenapa tidak ingin menjadi yang lebih baik? Tidak berbuat dosa tidak bermakna aku sempurna. Tidak minum arak tidak bermakna aku terlepas dari melakukan dosa-dosa kecil. Sembahyang 5 waktu tidak bermakna aku sempurna.
Bagaimana dengan dosa-dosa kecil? Aku lalai. Aku lalai! Aku lalai Ya Allah! Terima kasih ya Allah kerana menyedarkan aku. Terima kasih atas hidayah-Mu. Ku panjatkan segala doa kepada-Mu.
"Zikir itu, penghias hati, tasbih menghias lidah. Beruntungnya hati bila masa menguasai, bermegahlah lidah, dengan ucapan sering memuji Allah SWT"
Wahai Tuhan yang Maha Mendengar, kepada siapa hamba mahu mengadu, sekiranya bukan kepada-Mu? Kepada siapa lagi hendak hamba menagih simpati, jika tidak kepada-Mu? Kepada siapa untuk hamba pinta kekuatan, ketika seluruh daya seperti dicabut daripada tubuhku?
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui. Tegarkanlah, pasakkan jiwa ini untuk berada pada jalan-Mu untuk selamanya. Jangan sekali-kali Kau biar diri ini tandus dimamah kefuturan. Menjauh dari-Mu, meminggir dari-Mu dan melupakan-Mu. Kuatkan hati ini wahai Tuhan. Kerana tiada siapa tahu kehidupan hamba-Mu ini nanti akhirnya melainkan hanya Engkau. Amin ya Rabb.