Aku adalah seorang yang suka membaca, setiap kali ada masa lapang aku pasti membaca buku. Setiap bulan aku akan membeli sekurang-kurangnya sebuah buku, untuk dibaca. Hidup ku dengan membaca dan buku sudah tidak dapat dipisahkan. Sehari tidak membaca buku, aku akan merasa kekurangan. Apatah lagi dalam masa semingggu.
Sedang aku menumpukan perhatian, membaca apa yang tertulis pada muka surat buku tersebut. Tiba-tiba Faiz yang duduk disebelahku bersuara.
"Belajar tu, jangan asyik baca buku saja, bertanyalah juga dengan guru!"
"Kalau belajar tanpa guru, nanti belajar dengan syaitan!" Tambah Amar yang duduk dibelakang ku.
Aku sudah biasa mendengar orang menegurku sebegitu. Ini bukan kali yang pertama. Entah buat kali yang ke berapa, aku sudah lupa, kerana aku sendiri tidak menghitungnya.
"Ya, jangan risau. Bukankah selama ini kita belajar bersama-sama di dalam kelas ni?" Aku menjawab teguran Faiz dan Amar.
Aku bukanlah menafikan kata-kata mereka berdua secara seratus peratus. Apa yang mereka ucapkan itu ada benarnya juga. Belajar itu sememangnya perlu berguru. Sangat mustahil bagi seseorang itu mempelajari sesuatu ilmu, tetapi tanpa berguru. Selama ini pun, aku belajar agama bukannya secara sendiri, melainkan aku berguru. Tapi, tidak perlulah aku sibuk untuk menghebohkan atau menyebutkan satu persatu nama guru-guruku kepada mereka. Kebanyakan manusia sememangnya suka bercakap mengikut suka hatinya tanpa berfikir panjang.
Hari ini segelintir orang yang berpandangan sempit, telah membataskan pengertian belajar. Bagi mereka belajar yang sebenarnya hanyalah belajar dihadapan guru sahaja. Apabila mereka melihat seseorang yang asyik membaca buku, mereka akan berkata kepadanya "Barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!".
Aku merasa tidak keterlaluan, sekiranya aku beranggapan, orang yang berkata begitu sebenarnya, adalah orang yang diserang penyakit malas. Malas membaca, menelaah dan mengkaji. Kata-kata 'barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!' tidak lain hanyalah slogan kosong untuk dijadikan alasan bagi sikap mereka yang malas membaca. Mereka lupa bahawa para ulama dahulu adalah orang yang kuat membaca kitab, beribu dan berjilid-jilid kitab mereka telaah. Adakah semua kitab itu mereka baca daripada lembaran ke lembaran didepan gurunya? Jawapannya sudah tentu tidak.
Namun begitu, walaupun suka membaca, jangan pula kita lupa untuk belajar secara berhadapan dengan guru agama yang diiktiraf keilmuaannya, berpandukan Al-Qur'an dan As-Sunnah di atas fahaman Salafus Soleh. Kita perlu bijaksana dalam mengimbanginya. Itulah peganganku dalam menuntut ilmu.
"Kalau belajar tanpa guru adalah belajar dengan syaitan, maksudnya kalau kita belajar dengan guru, kita belajar dengan malaikat? Begitukah?" Aku menyoal Faiz dan Amar dengan nada berjenaka. Secara logiknya, sekiranya kita terbalikkan kata-kata Amar tadi, maka begitulah maknanya.
Faiz dan Amar terkejut dengan kenyataanku. Mungkin tersedar bahawa, kata-kata mereka tadi ada silapnya.
"Sebenarnya kata-kata "barang siapa belajar tanpa guru, maka dia belajar dengan syaitan" itu daripada mana datangnya?" Sebelum mereka sempat menjawab soalan yang ku ajukan tadi, soalan seterusnya menyusul. "Adakah ianya hadis Rasulullah s.a.w atau pun kata-kata manusia yang tidak terpelihara?"
"Entah, aku pun tak tahu!" kata Amar selamba. "Tapi banyak orang cakap macam tu aku dengar!"
Amar cuba mengukuhkan kata-katanya dengan menjadikan kata-kata orang ramai sebagai sokongan. Faiz pula hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.
"Yalah, memang banyak orang cakap macam tu. Aku pun pernah dengar juga. Tapi, itu tidak menjadi petanda apa yang orang cakapkan itu adalah benar!" Aku membantah kata-kata Amar. Raut wajahnya mula berubah, dia memang pantang dibantah.
"Pada pandangan aku kita perlu nilai semula kata-kata itu." Aku menutup buku ditanganku, lalu memasukkannya ke dalam meja. Amar dan Faiz saling berpandangan antara satu sama lain.
"Belajar dengan guru tidaklah menjamin, bahawa setiap apa yang dipelajari oleh seseorang itu pasti benar seratus peratus. Ini kerana, guru tempat kita belajar itu bukanlah nabi atau rasul yang maksum, terpelihara daripada silap dan salah! Mereka juga manusia biasa, mereka boleh tersilap dan tersalah. Begitu juga dengan kita."
"Bila kita lihat secara realitinya, ada di antara manusia itu, walaupun dia belajar secara berguru, tapi dia tetap termasuk ke dalam golongan orang yang tersesat. Ini kerana, guru tempat dia belajar itu rupanya adalah orang yang sesat!" Aku menambah lagi.
Sedang aku, Faiz dan Amar bertukar fikiran, rakan-rakan yang berada disekeliling kami mula menghampiri. Rakan-rakanku memang pantang melihat perbincangan agama, pasti mereka ingin turut serta, sama ada dengan menyumbangkan pandangan atau mendengar dengan penuh perhatian.
"Betul juga tu! Aku setuju!" Faizal menyampuk.
Amar mengerling Faizal, raut wajahnya menunjukkan dia tidak berpuas hati. Faizal cuba membalas pandangan Amar dengan senyuman yang tidak bersalah.
"Yalah. Betul juga kau cakap tu!" Akhirnya Amar mengalah. Dia tidak dapat menafikan kebenaran kata-kataku. "Memang belajar dengan guru itu tidak menjamin apa yang kita pelajari benar seratus-peratus. Tapi kita perlu faham, kalau kita belajar dengan guru, bukankah lebih bermanfaat. Malah langkah pembelajaran kita pun akan menjadi lebih mudah. Mungkin ada penjelasan yang tidak dinyatakan di dalam buku, tapi guru kita mengetahuinya!"
Aku diam seketika. Berfikir.
"Ya, aku setuju. Memang tidak boleh dinafikan belajar dengan guru itu mempunyai manfaat dan kelebihannya yang tersendiri, yang ianya tidak ada pada orang yang belajar dengan asyik membaca buku."
"Cuma yang aku tidak setuju, bila kau kata "barang siapa belajar tanpa guru, maka dia belajar dengan syaitan", sebab kata-kata kau tadi tu seolah-olah menghalang orang daripada membaca dan mengkaji daripada buku-buku, dan hanya mencukupkan diri dengan belajar secara berdepan dengan guru." Setelah menjelaskan persamaan pandangan antara aku dengan Amar, aku pun menjelaskan titik perbezaan pandangan antara kami.
"Ulama dahulu pun belajar berguru juga, tapi pada masa yang sama mereka tidak meminggirkan pembacaan daripada kitab-kitab. Para ulama dahulu terdiri daripada pencinta buku. Mereka membaca beribu-ribu jilid kitab dan risalah. Perkara ini kita boleh lihat dalam kitab, Kaifa Tatahammas li Thalibil 'Ilmisy Syar'i karya Syaikh Abul Qa'qa Muhammad bin Shaleh, yang telah diterjemahkan dalam bahasa melayu dengan tajuk Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu."
"Apa yang penting sebenarnya, kita seimbangkan. Kita belajar dengan guru, kita juga membaca buku. Apabila tidak faham kita berbincanglah dengan guru, atau sesama penuntut ilmu."
Faiz dan Amar hanya senyum mendengar kata-kataku. Rakan-rakan yang lain bergegas kembali ke tempat masing-masing, kerana kelihatan Ustaz Amri yang akan mengajar kami subjek Usul Feqh sebentar lagi, sudah pun berada diluar kelas. Sejurus selepas itu Ustaz Amri pun masuk ke kelas, dan sesi pembelajaran bagi subjek Usul Feqh pun bermula.
"Barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!"
Ada segelintir orang menyangka bahawa kata-kata ini adalah hadis Rasulullah s.a.w, tetapi hakikatnya kata-kata sebegini tidak pernah diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w secara shahih.