Wednesday, December 7, 2011

Derita Yang Menerpa

                                                         alt

Sudah lama lelaki tua itu terperuk di dalam rumah itu, telantar, terduduk dan berjalan sekali-sekala hanya di dalam rumah itu. Dia rasa begitu lesu dan semakin lemah. Sakit yang dialaminya hari demi hari tidak pernah berhenti. Sudah bermacam-macam rawatan dijalani, sudah beribu duit dibelanjakan, dan sudah berpuluh-puluh ubat, dan mungkin ratusan yang ditelan, tapi sakit yang dialaminya itu tidak pernah mengenal erti surut, apatah lagi erti sembuh.
Setiap hari sakit itu semakin lama dirasakan semakin meresap ke seluruh tubuhnya. Sampaikan lelaki tua itu seakan-akan berputus asa untuk berusaha mengubatinya lagi.
Setiap hari yang dilalui lelaki tua itu, dirasakan tiada bahagia yang menjengah melainkan hanya derita dan resah yang bertimpa-timpa. Bila hari terakhir dia merasa bahagia, dia sendiri sudah lupa.
Sering kali juga lelaki tua itu menangis tersedu-sedan mengenang nasibnya. Agaknya bagaimanakah akhir hidupnya yang sudah semakin renta itu? Terkadang terluah juga daripada lisannya pertanyaan, "Apakah dosaku hingga Allah s.w.t menimpakan kepada daku ujian seberat ini? Mengapa mesti aku? Mengapa bukan orang lain?" Namun mengenangkan Allah s.w.t yang Maha Bijaksana mempunyai rencana-Nya yang tersendiri, lelaki tua itu mengucapkan istighfar.
"Sesusah-susah aku, pasti ada orang yang lebih susah daripada aku." Monolognya sendirian, cuba mendidik jiwanya agar bersyukur dan sabar.
"Pak cik, Allah s.w.t tidak menimpakan kepada seseorang itu musibah dan kesusahan, melainkan dia mampu untuk menghadapinya." Kata salah seorang jirannya, cuba menenangkan resah yang meniti di hati lelaki tua itu. Kata-kata yang membuatkan atmanya pecah dan berhamburan. Rasa bersalah atas ucapannya yang menyalahkan Allah s.w.t. Jelas daripada matanya yang berkaca-kaca itu menitiskan air jernih perlahan-lahan daripada tubir mata.
Ada juga di antara jiran lelaki tua itu memberikan cadangan agar dia berjumpa dengan dukun atau pun bomoh untuk mengubati penyakitnya, kerana perubatan moden ternyata tidak begitu berkesan untuk mengubati penyakit yang menimpanya.
Namun lelaki tua menolak. Ini kerana biasanya para dukun itu mengubati penyakit dengan memerlukan bantuan jin dan cara yang terlarang di sisi agama, seperti menyembelih haiwan kerana selain Allah s.w.t, memakai tangkal dan sebagainya.
Lelaki tua itu yakin dan tanpa goyah, percaya bahawa setiap penyakit ada penawarnya. Penawar itu pula, Allah s.w.t ciptakan daripada benda yang halal dan diredhai-Nyya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w,
"Janganlah kamu berubat dengan benda yang haram." (Hadis riwayat Abu Dawud, dihasankan oleh Ibnu Muflih)
Ada juga jirannya yang beralasan, bahawa keadaannya sudah darurat. Lagipun telah terbukti dukun yang disarankan oleh jirannya itu ternyata memang pakar dan telah mengubati banyak penyakit-penyakit yang kronik.
Tapi lelaki tua itu tetap dengan pendiriannya. Dia berkata, "Urusan penyembuhan daripada penyakit ini adalah urusan Allah s.w.t. Kita ini sebagai manusia hanya berusaha, sedangkan Allah s.w.t yang menentukan hasilnya."
"Kesembuhan itu adalah termasuk dalam urusan rezeki. Allah s.w.t telah menetapkan bagi manusia rezekinya, dan disediakan bagi manusia untuk mendapat rezeki itu dua jalan. Jalan yang halal dan jalan yang haram. Barang siapa yang berubat dengan benda yang halal, maka dia akan mendapat pahala, dan barang siapa yang berubat dengan benda haram, meskipun sembuh dia pasti akan mendapat dosa."
Alhamdulillah, jiran-jirannya lelaki tua itu faham dengan pendiriannya. Bahkan luahan kata-kata itu telah memberikan kesedaran kepada jiran-jirannya yang biasa berjumpa dengan dukun.
"Kalau ayah sudah tiada, kau jagalah ibu dengan baik ya,nak..." pesan lelaki tua itu dengan suara yang tidak bermaya, kepada anak lelakinya yang tunggal itu. Tiada kata yang mampu terluah daripada lisan anaknya melainkan hanya anggukan lantaran hatinya lara dan parah kerana ditarah oleh kesedihan melihat keadaan penderitaan ayahnya yang sudah renta itu.
"Jangan cakap macam itu ayah, bersabarlah. Insya' Allah,ayah akan sembuh daripada penyakit ini,"anak lelaki tua itu cuba memberikan semangat kepada ayahnya itu. Lelaki tua itu hanya tersenyum dengan pahit mendengar kata-kata anaknya itu.
Jiran-jiran yang berada di situ turut merasa simpati terhadap lelaki tua itu dan keluarganya. Namun apakan daya, mereka sendiri tidak mampu untuk berbuat apa-apa lagi setelah berusaha membantunya, melainkan hanya berdoa dan berharap Allah akan menyembuhkan lelaki tua itu daripada penyakit yang menimpanya.
Hakikat dunia. Umur bukanlah pengukur ajal seseorang untuk hidup lama atau tidak, kerana ajal itu tidak pernah mengenal usia. Begitu juga dengan sihat atau sakit. Orang yang sihat tidak semestinya hidup lama, dan orang yang sakit pula hampir dengan kematian. Begitulah juga, dengan keadaan keluarga lelaki tua itu, saat lelaki tua itu dan jirannya menyangka bahawa ajal akan menjemputnya dan meninggalkan isteri dan anaknya di dunia yang fana ini, ketentuan Allah s.w.t pun berlaku.

Anak tunggal lelaki tua itu yang ternyata sihat ditakdirkan meninggal dunia dahulu, apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya, ketika pulang daripada tempat kerja pada waktu petang. Kehidupan lelaki tua itu menjadi semakin sulit dan susah. Dalam menanggung sakit, dia terpaksa menghadapi pemergian anak tunggalnya untuk selamanya. Namun dia tetap sabar dan tabah. Dia teringat bahawa anaknya hanya pinjaman dan amanah sementara daripada Allah s.w.t. Apabila sampai masanya semua akan kembali kepada Allah s.w.t jua.
"Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun..."
Firman Allah SWT:-
"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali," . Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya." Al-Baqarah (Ayat 156)

Comments
0 Comments

0 comments: