Dosa merupakan penghubung antara manusia dengan taubat. Setiap insan pasti akan terdetik didalam sanubarinya, rasa ingin bertaubat dan ini merupakan langkah pertama dalam menuju hakikat hidup yang sebenar. Fitrah dunia ini diciptakan adalah menjadi pentas buat kita mengumpul sebanyak bekalan yang mampu dibawa kedunia yang kekal abadi, dan beruntunglah mereka yang melalui jalan-jalan menuju taubat.
Adakah Masih Ada Peluang?
Suasana hening dan nyaman di sekitar Gerai Mcfly membuatkan aku terkesima dengan deruan ombak yang membasahi pantai. Sangat sukar merasai suasana seperti ini tatkala Musim Monson di Pantai Timur terkenal dengan angin kencang dan deruan ombak yang menggila. Teh tarik yang masih panas aku hirup perlahan-lahan menjadi pelengkap kepada kedamaian petang itu.
Sedang asyik melayan perasaan, aku disapa oleh satu suara yang sangat aku kenali. "Sorang je ke?", dengan refleksi spontanku menjawab "waalaykumussalam, a'ah sorang je", Amir menjadi segan seketika, mungkin merasa malu kerana lupa memberikan salam terlebih dahulu. Amir duduk disebelahku, lalu kami berbual tentang hal-hal yang mewarnai kampus ketika ini. Benar, Universiti di persisiran pantai ini mempunyai banyak masalah, hakisan pantai dan masalah pentadbiran menjadi tajuk perbincangan kami.
Sedang rancak berbual, pertanyaan Amir tentang suatu hal menyentak jiwaku saat itu, "Bro, ko rase kalau aku taubat tuhan terima tak". Soalan diluar dugaan. "Kenapa tuhan tak terima pulak?" balasku dalam nada selamba tetapi penuh perhatian. "Banyak kot dosa aku, bertimbun bai".
Adakah menjadi suatu masalah bagi Allah untuk mengampunkan dosa hamba-Nya? Kadangkala kita terlalu berfikir tentang dosa dari taubat itu sendiri. Allah memasukkan seorang pelacur yang memberi anjing minum kedalam syurga, dan adakah menjadi suatu yang sukar kepada Allah untuk memasukkan kita kedalam syurga-Nya? Tiada yang mustahil buat Allah. Maka taubat adalah kunci penghapus segala dosa.
Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". - Surah At-Tahrim (Ayat 8)
Allah tidak pernah meletakkan "Terma dan Syarat" dalam menerima taubat hambaNya. Ketahuilah, Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Allah sangat menyukai apabila hambaNya merintih memohon taubat dariNya, dan ketahuilah kita sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk bertaubat meskipun sebesar mana dosa yang pernah kita lakukan. Maka manfaatkanlah ruang dan peluang taubat itu dengan sebaiknya sebelum kita dipanggil menuju ke destinasi sebenar.