- Telah 2 tahun ayah pergi meninggalkanku dan ahli keluarga yang lainnya tetapi terasa baru sesaat aku bersenda gurau dengannya, masih terngiang-ngiang mutiara tazkirahnya, malah nasihatnya sentiasa mengiringi perjalanan kehidupanku. Kehidupan sebagai seorang anak, jua selaku hamba Ilahi. Mujahadahku masih berterusan bagi memenuhi permintaan mu ayah yakni berusaha menggapai kejayaan. Bukan hanya kejayaan di dunia bahkan jua di akhirat. Juga harapanmu kepada si anak adalah supaya anak-anakmu menjadi anak yang soleh dan solehah. Aku sedang berusaha ayah, dan terus berusaha.
Masih segar diingatanku pada malam seminggu sebelum pemergian ayah, aku menghubunginya seperti kebiasaanku. Selepas berbual dengan ibu, aku berborak pula dengan ayah. Wiraku. "Assalamualaikum ayah" sapaku. "Waalaikumussalam,apa khabar?" jawab ayah lantas bertanyakan khabarku seperti kebiasaanya. "Alhamdulillah, saya dah mula peperiksaan syafawi Quran pagi tadi. Syukur boleh jawab semuanya tetapi tidak tahulah macam mana keputusannya nanti. Ayah doakanlah ya. Lepas ini tahriri Quran pula, kemudian subjek-subjek yang lain. Terlupa...ayah apa khabar?." Panjang celotehku hingga hampir terlupa bertanya khabar. "Ayah sihat Alhamdulillah. Ayah sudah buat solat hajat untuk Angah agar belajar bersungguh-sungguh."
"Hafal Quran bukanlah satu perkara yang senang, perlukan mujahadah yang berterusan. Kamu sudah pilih jalan ini, jadi teruskan. Jangan mudah mengaku kalah. Ayah yakin kamu dapat melakukannya." Panjang lebar jawapan ayah serentak memberi motivasi padaku. Ayat ini memang selalu diucapkan oleh ayah supaya aku kuat dengan pilihanku ini. "Terima kasih ayah, kenapa ayah seperti riang sahaja malam ini?" soalku kerana terasa kelainan pada ayah. "Eh, biasa-biasa saja! Ayah sedang tonton teater lagenda P.Ramlee ini." Jawab ayah sambil ketawa lucu dengan soalanku. Aku juga tergelak. Kemudian dia bertanya "Bila angah habis periksa? Cutinya bila?. "
Aku tersentak dengan soalan itu lantas menjawab dengan yakin "peperiksaan sampai hujung minggu ini tapi angah pulang lewat sikit sebab angah telah menempah tiket bas carter pelajar Kelantan-Darul Quran. Angah pulang 3 Mac nanti, hari Isnin." Belum sempat aku menyempurnakan jawapanku, ayah telah menyampuk inginkan kepastian, "hari Isnin yang akan datang ke?" tanya ayah. "Ya ayah, hari Isnin akan datang " jawabku. Ternyata ayah masih ragu dengan jawapanku. "Cuba cakap betul-betul hari Isnin bila? "tanyanya lagi. "Hari Isnin minggu depan ayah. Jadi angah akan balik pada hari Isnin yang akan datang,seminggu dari sekarang." Aku menjawab untuk kali yang ketiga. "Oh, jadi angah balik pada hari Isnin nantilah?".Ayah mengulang kembali jawapanku. "Ya,ayah. Insya-Allah hari Isnin nanti angah akan sampai di kampung. Hari Isnin, 3 Mac. "
Aku berharap ayah akan berpuas hati dengan jawapanku. Tiba-tiba ayah bersuara mengiyakan jawapanku yang sebentar tadi. "Oh, hari Isnin depan, tidak mengapalah kalau macam itu. Belajar rajin-rajin." Benar ayah telah berpuas hati dengan jawapanku. "Terima kasih ayah. Minta maaf di atas segala kesilapan angah pada ayah. Doakan kejayaan angah." Seperti kebiasaan sebelum mengundur diri, aku akan meminta maaf daripada ayah dan ibu. Ingin sekali kuluahkan bahawa aku begitu sayangkan ayah dan ibu" tetapi malu dan segan menghalang aku berbuat begitu. "Insya-Allah. Maafkan ayah juga. Assalamualaikum." " Waalaikumussalam" jawabku. Talian diputuskan.
Itulah kali terakhir aku bercakap dengan ayah. Ah, malangnya nasibku! Anak derhakakah aku? Selama seminggu aku tidak menghubungi ibu bapaku. Kredit panggilan yang tidak mencukupi menghalangku daripada menghubungi mereka yang kukasihi. Aku hanya kirimkan salamku kepada mereka melalui adik dan kakakku. Seringkali aku meminta adikku sampaikan salam sayang, cinta dan kasih pada mereka tetapi entahkan sampai entahkan tidak salam itu hanya Allah yang tahu. Kini lafaz kasih, cinta dan sayang itu tersimpan kemas tanpaku luahkan pada ayahku. Dia telah pun pergi jauh meninggalkanku. Kesal. Bodohnya aku, membiarkan perkara sebegini berlaku pada diriku. Hanya Allah yang tahu betapa pedih dan terseksanya aku.
Astaghfirullah. Namun aku redha atas ujian yang sangat hebat ini. Selepas beberapa hari perbualan aku dengan ayah baru kuperasan bahawa 3 Mac bukanlah hari Isnin tetapi hari Selasa. Oleh kerana kredit panggilan tidak mencukupi, aku hanya menghantar mesej kepada kakakku supaya dia memberitahu ayah tentang kesilapan jawapanku beberapa malam lepas. Aku akan pulang pada 3 Mac bersamaan hari Selasa. Aku optimis yang kakakku telah menyampaikan pesananku itu kepada ayah dan ibu. Setelah seminggu berlalu, peperiksaan berjaya kutempuhi.
Hari Isnin, 2 Mac 2009.
Tengah hari itu aku dan seorang ahli usrahku, Anjang Wani pergi ke pekan Kuala Kubu Bharu untuk membeli barang-barang yang masih diperlukan sempena majlis Gathering Usrah malam nanti. Majlis ini adalah untaian daripada salasilah kumpulan usrah senior kami yang terdahulu. Wajib bagi usrah kami mengadakannya pada setiap tahun bagi mengeratkan lagi ikatan persaudaraan sesama kami. Melalui pendekatan ini banyak pelajar daripada kalangan junior kami suka menghadiri usrah. Alhamdulillah.
Tengah hari itu aku dan seorang ahli usrahku, Anjang Wani pergi ke pekan Kuala Kubu Bharu untuk membeli barang-barang yang masih diperlukan sempena majlis Gathering Usrah malam nanti. Majlis ini adalah untaian daripada salasilah kumpulan usrah senior kami yang terdahulu. Wajib bagi usrah kami mengadakannya pada setiap tahun bagi mengeratkan lagi ikatan persaudaraan sesama kami. Melalui pendekatan ini banyak pelajar daripada kalangan junior kami suka menghadiri usrah. Alhamdulillah.
Hari itu, hati aku tidak tenteram. Tidak lama aku dan Anjang Wani di pekan. Selepas membeli barang-barang yang diperlukan kami terus pulang ke asrama. Sampai sahaja di asrama, kami ahli usrah Ikhwatul Mardhiyyah berkumpul di bilik Ayong Hafsa di tingkat dua untuk menyiapkan kerja-kerja yang masih berbaki. Kami mempunyai gelaran yang tersediri dalam usrah. Ayong, Along, Angah, Alang, Ateh, Anjang, Achik, Andak, Ude, Anje, Ayang, Ucu dan Adik. Panggilan nama menggunakan gelaran ini lebih mengeratkan ikatan persaudaraan kami.
Entah kenapa hari itu hati aku resah dan gelisah, tidak seperti hari-hari yang sebelumnya. Walaupun suasana persiapan majlis begitu meriah dihiasi dengan lawak jenaka ahli-ahli usrahku, hatiku tetap berkocak. Kadang-kadang aku rasa begitu tertekan dengan suasana itu, tetapi aku membisu. Cuma kadangkala aku bersuara namun untuk perkara yang perlu sahaja. Selalunya, merekalah tempatku menghilangkan dukaku. Sangat berbeza dengan keadaan yang berlaku pada hari itu. Pelik.
Lebih kurang pukul 3.30 petang, telefon bimbitku berdering. Paparan nama Kak Yah di skrin membuatkan hatiku terdetik cemas. Kecemasankah? Tidak mungkin tetapi seperti penting sahaja, masakan Kak Yah akan menelefonku melalui talian Celcom ini. Selalunya dia menghubungiku melalui talian Maxis kerana dia juga menggunakan talian tersebut.
Aku menerima panggilannya dengan hati yang berdebar. "Helo, Assalamualaikum Kak Yah." Aku memberi salam sambil melangkah ke luar pintu supaya percakapan kami lebih jelas dan jauh dari kebingitan persiapan majlis. "Waalaikumussalam." Suaranya serak seperti baru selesai menangis. Aku terkejut. Lantas aku bertanya. "Kenapa Kak Yah? Tak sihat?" Kak Yah diam membisu, kemudian dia bersuara. "Angah, sabarlah."
"Kakak baharu menerima panggilan yang menyatakan ayah baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir sebentar tadi di Semerak, Tok Bali." Benarkah apa yang aku dengar ini? Aku tergamam. Terasa kebas seluruh anggota badanku, sesak dan berat nafasku. Ya Allah. "Tetapi berita ini masih belum jelas, sekarang ayah dalam perjalanan ke klinik yang berdekatan untuk disahkan sama ada masih bernyawa ataupun tidak. Doakan supaya ayah masih ada dan akan bersama kita lagi selepas ini." Teresak-esak Kak Yah menghabiskan kata-katanya.
Aku terkulai di pintu, tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan. Kak Yah bersuara lagi. "Bolehlah kalau Angah nak bersiap-siap untuk pulang, kalau pun ayah masih hidup tentunya dia sedang nazak. Apa-apa hal selepas ini Kak Yah akan maklum balik. " Terang dan jelas huraian dari kakakku walaupun suaranya serak dalam sendu. "Baik Kak Yah" jawabku ringkas. Talian diputuskan.
Aku masih lemah di luar pintu,ahli-ahli usrahku tidak menyedari apa yang sedang berlaku ke atas diriku. Badanku lembik dan tidak terdaya untuk bangun mendapatkan mereka. Aku cuba untuk mengagahkan diri, namun tetap gagal. Akhirnya terkeluar di mulutku. "Andak, Andak" aku memanggil Andak Ain, ahli usrahku. Andak Ain terkejut dengan panggilanku terus keluar mendapatkanku di luar pintu. "Alang, kenapa ni? Apa yang telah berlaku?" tanya Andak Ain padaku. "Ayah Alang" hanya itu yang mampu aku ucapkan, kemudian aku menangis semahunya. Dia seperti faham maksud yang ingin aku sampaikan padanya. Dia memanggil ahli usrahku yang yang lain dan memapah aku masuk ke dalam bilik.
Mereka memahami keadaanku dan tidak mendesakku untuk menceritakan apakah sebenarnya yang telah berlaku. Suasana sepi, sayu dan hiba. Akhirnya aku bersuara. "Doakan ayah Alang, kakak Alang cakap doktor belum mengesahkan lagi sama ada ayah masih ada ataupun tidak". Terangku tersekat-sekat. Hatiku sayu, masih mencari kekuatan untuk redha dengan ujian ini. "Astaghfirullahal 'azim" panjang aku beristighfar seterusnya berta'awwuz supaya tidak ada ruang untuk syaitan menyesatkanku di saat-saat genting sebegini.
Ude Diba bersuara seakan memujukku. "Alang, sabarlah, belum sah lagi ayah Alang sudah meninggal dunia. Kita doakan semoga berlaku keajaiban padanya. Alang adalah aset terbesar padanya" ujarnya sambil mengurut belakangku. Ahli usrahku yang lain pula memelukku. Aku menangis semahunya. "Alang mesti kuat.Alang adalah seorang yang tabah. Kami dah lama kenal Alang. Mudah lemah dan menyerah kalah bukanlah sikap Alang" sambung seorang yang lain. Aku hanya mengangguk sebagai respon kepada mereka.
Aku menyatakan hasratku untuk pulang ke Kelantan secepat mungkin. Mereka mengiyakan. Mulanya aku ingin pulang dengan bas tetapi mereka menyuruhku menaiki kapal terbang untuk segera sampai ke Kelantan. Memikirkan ayah, aku terus bersetuju dengan cadangan mereka walaupun aku sedikit risau dan takut lantaran tidak pernah menjejakkan kaki ke dalam kapal terbang sebelum ini.
Tidak lama selepas itu, Kak Yah menghubungiku lagi. Kali ini berita yang disampaikannya benar-benar sahih dan aku telah bersedia mendengarnya walaupun jauh di sudut hatiku, aku benar-benar takut. "Angah, sabarlah. Benar ayah kita sudah tiada. Pulanglah, jenazah ayah masih di klinik dan akan dibawa pulang ke rumah Pak Su." Aku terdiam sebentar. "Inna Lillahi wa Inna Ilaihi Raji'un"tenang sahaja suaraku menahan sebak.
Jika diturutkan hati, ingin saja aku meraung dan meratap atas pemergian ayah tetapi syukur kerana Allah masih menetapkan kerawasan fikiranku di saat-saat yang amat sukar ini. Tiba-tiba Kak Yah bersuara. "Bila angah nak pulang? Kak Yah harap angah dapat pulang secepat mungkin. Jenazah ayah tak boleh dibiarkan lama untuk dikebumi." "Insya-Allah angah akan pulang menaiki flight malam ni. Doakan semoga segala urusan dipermudahkan." Jawabku ringkas. Air mata tetap laju keluar walaupun sedaya upaya aku cuba menahannya daripada berterusan keluar.
Aku masih mencuba untuk kuat namun aku lemah. Ya, aku lemah ya Allah. Insan yang meninggal itu ialah ayahku, dia ialah wiraku, dia adalah kehidupanku. Aku tersedar daripada lamunan apabila terdengar suara kakakku, "Insya-Allah semoga semuanya akan lancar dan selamat. Apa-apa perkembangan nanti jangan lupa hubungi Kak Yah" serak suaranya. "Insya-Allah, Assalamualaikum." "Waalaikumussalam". Talian diputuskan. Perlahan-lahan aku berjalan pulang ke bilikku sambil diiringi oleh ahli-ahli usrahku. Ya Allah, terima kasih di atas hadiah persaudaraan yang tidak ternilai ini. Aku bersyukur dengan kehadiran mereka di dalam hidupku. Suka dan duka dihadapi bersama.
Berita ini cepat tersebar. Ramai yang menghubungiku, tak kurang juga yang menziarahiku. Hanya senyuman yang mampu kulemparkan kepada mereka sebagai tanda terima kasihku atas keprihatinan mereka terhadapku. Aku tidak mampu bersuara, apatah lagi untuk bercerita. Mujurlah mereka memahami kondisiku pada saat itu. Gathering Usrah pada malam itu dibatalkan serta merta bagi menghormatiku dan keluarga di atas kematian ayahku. Padahal persiapan telah siap sepenuhnya. Perasaan bersalah mula bersarang di hati. Seolah-olah keranaku, majlis itu terpaksa dibatalkan. Bajet yang keluar untuk majlis ini juga tidak kurang banyaknya.
"Alang, jangan fikir yang bukan-bukan tentang majlis kita itu. Semua ini adalah takdir-Nya, kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Kita bermegah bahawa kitalah pengatur dan penyelaras tapi kadang-kadang kita lupa bahawa Allah lebih hebat percaturan-Nya." Lembut suara Ateh menenangkanku apabila aku menyuruh mereka meneruskan majlis pada malam itu. "Apa guna bersaudara jika kami di sini bergembira,sedangkan Alang di sana sedang berduka." Sambung ahli usrahku yang lain. Semakin aku terharu dengan ikatan ukhuwwah ini. Terima kasih ya Allah.
Tidak banyak bercakap pada waktu itu lebih mendorong diriku untuk menangis dan terus menangis. Menjawab pertanyaan sahabat-sahabat juga membuatkan aku menangis. Solusinya, aku memperbanyakkan istighfar dan zikir pada Allah. Jahatnya syaitan laknatullah dalam beristighfar pun kadangkala aku boleh terlalai seketika kemudian meratap teringatkan ayahku. Namun bila istighfarku diiringi dengan taa'wwuz hatiku semakin tenang dari sebelumnya. Alhamdulillah.
Selepas itu, semua ahli usrahku menghantarku ke LCCT kecuali dua naqibahku kerana van yang kami naiki telah melebihi had muatannya. Hebatnya kuasa Allah tiada siapa yang boleh mengatasi-Nya. Dia mahukan aku seteguh serikandi terdahulu dalam meniti pentas ujian kehidupan. Selepas aku redha dengan pemergian ayah, aku di uji dengan kehilangan kad pengenalan semasa proses pembelian tiket di kaunter Air Asia. Kegagalan mengemukakan kad pengenalan akan menyebabkan aku tidak dapat pulang ke kampung pada malam itu. "Macamana boleh hilang?" tanyaku pada salah seorang dari ahli usrahku.
Masih segar dalam ingatanku bahawa aku telah menyerahkan kad pengenalan tersebut kepada salah seorang ahli usrahku untuk tujuan ini. Jenuh menyelongkar di setiap beg yang dibawa dan di dalam poket jubah. Namun hasilnya tetap kosong. Seorang pegawai di situ menasihati kami agar terus bergegas ke balai polis lapangan terbang untuk membuat laporan kehilangan. Malang sekali kerana pegawai polis yang bertugas pada waktu itu enggan memberi kerjasama kerana kes sebegini kebiasaannya adalah helah daripada pendatang asing untuk membolehkan mereka mendapat pas seterusnya berjaya menaiki kapal terbang.
Setelah berbincang seketika, akhirnya laporan kami diterima. Alhamdulillah. Aku dikehendaki mengisi satu borang khas kehilangan kad pengenalan. Semasa menulis nama di borang berkenaan, tanganku tiba-tiba terhenti sewaktu aku ingin menulis nama ayah. Serentak dengan itu hatiku sebak. Aku gagal meneruskan penulisanku lagi sehingga Ude Diba menyambung penulisanku selepas itu. Setelah urusan di balai polis selesai, kami terus ke kaunter tiket. Ude Diba yang menguruskan hal-hal berkaitan pembelian tiket kerana dia lebih arif tentang urusan sebegitu.
Alhamdulillah semua urusan telah selesai, hanya menunggu saat aku masuk ke bilik pelepasan sahaja lagi. Aku mengambil peluang untuk bersalam dan berpelukan dengan ahli usrahku. Tidak dapat aku balas segala jasa dan pengorbanan mereka padaku. Ikhwatul Mardhiyyah, kalian sentiasa di hatiku. Kemudian, kami berpisah di situ. Pengalaman pertama menaiki kapal terbang tidak meninggalkan apa-apa kesan dan kenangan padaku kerana pada waktu itu, berjumpa dengan ayah adalah tujuan utamaku. Gambaran wajah ayah bermain di ruang mindaku. Terkejut sekali apabila aku mendapati penumpang di belakangku ialah abangku, Abang Fendi. Aku tidak bercakap dengannya bahkan diam seribu bahasa.
Ketibaanku di lapangan terbang Kota Bharu disambut oleh sahabat-sahabat dari SMKA Azhariah iaitu Dila, Zati, Faizul dan Sabri. Mereka menawarkan diri untuk menjemputku di lapangan terbang lantaran ahli keluargaku yang lain sedang sibuk menguruskan jenazah ayah. Namun Abang Fendi melarangku untuk balik dengan mereka sebaliknya dia menyuruhku balik bersamanya supaya dapat sampai ke rumah sekaligus. Aku hanya menurut. Sahabat-sahabatku memahami keadaanku, mereka mengiyakan ajakan abangku asalkan aku selamat sampai ke rumah untuk menatap ayah buat kali terakhir. Kakakku menghubungiku supaya aku menunggu jenazah ayah di masjid kerana jenazah telah dibawa turun dari rumah untuk disembahyangi di masjid sebelum dikebumikan.
Entah berapa lama perjalanan aku selamat sampai di Masjid Mukim Kampung Bukit Tanah, tempat tumpah darahku. Beberapa minit aku menunggu ketibaan jenazah,hatiku berdebar. Benarkah apa yang berlaku ini? Apa mungkin aku sedang bermimpi? Benarkah aku sudah tidak punya ayah lagi selepas ini? Tidak. Ayah masih ada, masih setia bersama kami, ingin berkongsi kisah dengan kami, melontar mutiara nasihat kepada kami.
Hakikat tidak mungkin dapat dimanipulasikan. Saat-saat jenazah hampir sampai, aku semakin tidak dapat menerima kenyataan. Tiba-tiba aku dipeluk oleh Kak Yah. Aku tersedar. Ya, ayah telah tiada. Ruang masjid dipenuhi oleh sanak saudara, situasi yang sayu dan hiba. Tiba sahaja jenazah di masjid, Kak Yah terus membawa aku ke sisi jenazah ayah di tengah-tengah masjid. Aku menghampiri jasad ayah, terus kupeluk sekujur tubuh yang kaku dan dingin itu. Kukucup pipinya,aku mencium dahinya. Sejuk.
Terketar-ketar aku membisikkan ucapan maaf di telinganya. Aku tiada di sisinya di saat-saat akhir kehidupannya. Aku juga membisikkan ungkapan sayangku padanya. "Angah sayangkan ayah." Kalau boleh, ingin sekali aku ucapkan segala macam perkataan cinta dan kasihku pada ayah pada waktu itu tapi jasad yang kaku itu mustahil sekali dapat mendengar luahanku namun aku percaya di mana pun ayah,dia dapat mendengar bisikanku, dia juga tahu bahawa aku terlalu sayang dan kasih padanya.
Lama aku di situ, aku pun berundur ke belakang memberi laluan kepada orang ramai yang ingin menyembahyangi jenazah ayah. Selepas itu, aku mengiringi jenazah ayah ke perkuburan. Hanya aku, Kak Nah dan dua orang kerabatku sahaja perempuan, selebihnya ialah lelaki di sana. Walaupun begitu, aku tetap tidak mahu pulang ke rumah Pak Su. Aku tetap ingin melihat proses pengebumian ayah. Hanya ini sahaja masa yang masih berbaki untuk aku melihat ayah sebelum kami jauh terpisah dibatasi alam.
Semasa tanah ditimbus sedikit demi sedikit, terasa aku semakin jauh dengan ayah. "Ayah Ayah."Adakah ayah dapat mendengar jeritan batinku ini? Apakah bisa ayah menyahut panggilanku ini? Tidak mungkin. Satu kejadian berlaku semasa proses pengebumian ayah, sebuah van milik kerabatku mati dengan sendirinya semasa melintasi tanah perkuburan itu. Pelbagai cara dibuat untuk menghidupkannya kembali namun tetap gagal. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membantu proses pengebumian bersama kaum kerabat yang lain.
Selesai sahaja bacaan talkin dan doa, kerabatku itu kembali menghidupkan enjin vannya, aneh sekali vannya boleh bergerak semula. "Mungkin kebetulan." Bisikku sendirian. Setelah sempurnanya proses pengebumian, berakhirlah episod hidupku dengan seorang perwira yang aku kagumi. Dialah lelaki pertama yang aku cintai selepas ibuku. Tamatnya episod kehidupanku dengannya bukanlah bermakna akan terputus segalanya.
"Doaku akan sentiasa mengiringimu di sana, ayah.Janji Allah telah sampai kepadamu, moga digolongkanmu bersama para solihin, muttaqin dan muqarrabin di Syurga sana. Doaku jua, moga kelak kita sekeluarga akan dikumpulkan bersama di Syurga sana. Amiin ya Rabbi."
Ikhwah dan akhawatku sekalian, tulisan ini adalah perkongsian perasaan dan mungkin juga boleh dijadikan pengajaran bagi mereka yang segan dan malu pada perkara yang hak. Kenapa perlu malu untuk mengucap cinta kepada ayah dan ibu? Kerana cinta antara merekalah kita dilahirkan dan kerana cinta mereka pada kita, kita dididik dan dibesarkan.
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Akulah tempat kembalimu (Surah Luqman, ayat 14)
Hargailah ayah dan ibu kita selagi mereka masih bersama dengan kita. Ucaplah cinta, kasih dan sayang kita pada mereka. Jangan biarkan ucapan itu tersimpan sehingga kelak kita tidak lagi berpeluang untuk melafazkannya. Buanglah sifat malu dan ego kita terhadap mereka. Kelakuan sahaja tidak memadai untuk menggambarkan kasih dan cinta kita pada mereka. Berjasalah pada mereka selagi mana peluang itu masih ada. Berkata hukama' "Siapa derhaka dan tidak menunaikan hak terhadap kedua ibu bapanya, maka dia tidak akan terasa kesenangan dari anaknya."
Luluh hatiku yang sayu. Menatap wajahmu tenang dalam lena. Kasih. Ku zahirkan laku sedangkan diriku jauh dari lafaznya. Dan raut tuamu memberkas jiwaku. Meredakan rindu, mendamaikan kalbu. Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu. Biarpun kuredah seluruh dunia mencari gantimu.
Betapa sukarnya. Menyusun bicara meluahkan rasa menuturkan sayang. Kasih yang terlimpah hanya sekadar tingkah. Cuma ungkapan kebisuan yang melindungkan. Kalimah rahsia. Masih ku biarkan waktu. Melarikan lafazku kasihku padamu. Apakah yang kan hilang andai dilisankan. Bait penghargaan penuh kejujuran. Tak mungkin terlihat cinta yang merona. Jika hanya renungan mata yang bersuara.
Bukan atur kata. Tiada lagi ertinya pengucapan. Andai akhir nafas dihujung helaan. Sebelum mata rapat terpejam. Usah biar kehilangan. Menggantikan lafaz yang tersimpan- UNIC.