Fitrah yang indah
Adakah bercouple salah? Saya akan kata, ya. Adakah ianya haram? Saya akan diam dahulu. Adakah bercinta itu salah? Saya kata TIDAK.
Kenapa kita nak salahkan cinta, sedangkan cinta adalah satu perasaan fitrah, yang saya yakin 100% daripada kita mestilah pernah merasai keindahan cinta, betul tak? Cinta kepada ibubapa, cinta kepada abang, kakak, adik dan anak-anak saudara, cinta kepada sahabat, cinta kepada guru, cinta kepada barang-barang milik kita, cinta kepada kucing kesayangan.
Jadi, cinta itu adalah sebuah perasaan fitrah yang cukup indah, jika diletakkan pada tempat yang betul, jika diberikan kepada orang yang tepat, dengan CARA YANG BENAR mengikut landasan Islam.
Pemilik cintaku setelah Allah dan Rasul
"Tahu dengan tepat tak semestinya faham dengan jelas" (Ustazah Fatimah Syarha)
Kalau kita ditanya siapakah pemilik cinta kita yang utama? Saya sangat yakin bahawa setiap daripada kita pasti mampu untuk menjawab Allah. Dan siapakah pemilik cinta ini selepas Allah? Dan pastilah jawapan yang kedua adalah Rasulullah s.a.w.
Jadi, setiap daripada kita sebenarnya mempunyai pengetahuan yang sangat tepat tentang pemilik cinta yang utama. Tapi yang menjadi persoalannya, adakah kita benar-benar faham dengan jelas tentang hakikat ini?
Buktikan cinta padaNya
Di mulut, kita kata cinta yang utama adalah Allah. Tapi realitinya yang sentiasa dalam fikiran kita, adakah benar ianya milik Allah?
Dalam sehari, berapa kali kita ingat Allah? Biar saya bagi jawapan- minimun 5 kali, 5 kali waktu solat. Itu masa yang kita peruntukkan untuk ingat pada Allah (Itupun kalau kita solat setiap waktu).
Dan dalam 5 kali tu, berapa minit kita ingat Allah? Saya bagi minimun waktu solat 1 kali 5 minit, 5 kali solat, 25 minit. Dibandingkan dengan masa sehari: 1440 min. Tolak waktu tidur, saya ambik 5 jam: Tinggal 1140 minit. Tolak dengan waktu solat, tinggallah 1115minit ~+/- 18 jam. Agak-agak 18 jam ni kita peruntukkan untuk apa ye? Study? Kerja? Sembang-sembang? Makan-makan? Atau teringatkan seseorang? (Itupun kalau solat kita betul-betul khusyuk. Kalau nak tolak lagi dengan minit-minit yang tak khusyuk, agak-agak berapa minit je yang tinggal untuk kita ingat Allah?)
Tadi kita kata cinta kita yang pertama adalah Allah. Takkan lah orang bercinta kejap je ingat pada kekasih dia? Mustahil.... Orang bercinta kan biasanya hanyut dengan angan-angan, tak sabar setiap kali nak berdating, asyik nak bercakap dengan dia, berjumpa dengan dia, sebut nama dia pun dah cukup buatkan pipi blushing. Wah! Bercinta sakan! Paling best bila dapat hadiah daripada si dia. Hati berbunga-bunga dengan senyum yang tak boleh hilang.
Kitakan kata pemilik cinta kita yang utama adalah Allah? Dah tepat dah. Tapi, kita betul-betul faham dengan jelas ke? Kefahaman biasanya akan disalurkan kepada perbuatan.
"Betul, cinta utama saya memang pada Allah. Tapi, kita kan tak boleh nampak Allah. Jadi, macam mana dikatakan nak dating dengan Allah?"
Solat. Tak terasa ke masa solat adalah waktu kita dating dengan Allah. Hanya kita dan Dia. Walaupun solat berjemaah sekalipun, masa kita solat, ada kita borak dengan orang sebelah? Pastilah tak, kan? Hanya kita dan Dia. Masa kita solat, orang sebelah boleh dengar ke apa yang kita cakapkan? (selain apa yang imam baca) Mestilah tak, kan. Jadi, siapa yang tahu? Hanya kita dan Dia. Masa kita solat, adakah kita nak ambil kisah apa yang sedang berlaku kat sekeliling kita? Orang lalu lalang, orang tengah berborak, bunyi macam-macam. Adakah kita nak berhenti solat nak ambil tahu tentang hal-hal ni? Mestilah tak sama sekali!
Sebab apa? Sebab kita sebenarnya sedang dating dengan Allah. Hanya kita dan Dia. Kalau dating dengan lelaki yang tak halal bagi kita, kita tak dapat pun nak dating se"sweet" kita dating dengan Allah. Kita duduk makan-makan, kawan-kawan nak join sama, tumpang sekaki. Paling tak best siap suruh belanja sekali. Kalau kita dating dengan lelaki yang tak halal bagi kita, nak cakap something yang sweet pun malu (yang tak bertempat) sebab nanti orang lain dengar. Kalau kita dating dengan lelaki yang tak halal, mesti sentiasa rasa serba tak kena. Kalau duduk kat mall, nanti kawan sekuliah nampak, rasa segan. Nanti kalau orang satu kampung tengok, takut bagitau kat mak ayah. Ini adalah sebuah perasaan yang tak secure.
Tapi, bila kita benar-benar faham sejelas-jelasnya tentang cinta kepada Allah, pasti hati cukup rindu nak berjumpa dengan Allah. Berangan-angan,"Ya Allah, satu hari nanti, tempatkanlah aku di syurga, moga aku dapat bertemu denganMu. Pemilik cintaku yang sebenar."
Bila kita cinta kepada Allah, kita tak sabar-sabar nak menunggu waktu dating. Dan waktu dating yang Allah wajibkan kita rasa tak cukup. Jadi kita nak tambah lagi dengan solat sunat. Kalau dah rindu yang teramat, kita nak jumpa Allah pada waktu istimewa, waktu di mana orang yang tak cukup cinta kepada Allah takkan ada di sekeliling kita. Satu waktu yang hanya pencinta-pencinta Allah yang tahu dengan tepat, dan faham dengan jelas sahaja yang ada. Waktu di sepertiga malam, waktu yang cukup tenang. Hanya kita dan Dia.
Dan cintanya kita pada Allah, sebut je nama Allah rasa perasaan berdebar-debar.
"Sesungguhnya orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal." (Al-Anfal:2)
Dan terkadang pada saat-saat tertentu, bila mana kita sangat-sangat perlukan seseorang, kita sebut je nama Allah, sudah cukup untuk buatkan hati kita tenang. Inilah pemilik cinta kita yang sebenar.
"..Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang" (Ar-Ra'd:28)
Dan yang paling syok, dengan Allah, kita boleh mintak APA-APA SAHAJA tanpa perlu kita memberi sesuatu untuk dapatkan sesuatu. Tapi yang lagi best, Allah adalah pemilik cinta yang paling memahami. Dia tak bagi semua yang kita minta. Bukan Allah kedekut. Tapi Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Yang mungkin terkadang kita memberontak sebab tak dapat apa yang kita nak. Dan mungkin terkadang kita rasa nak merajuk. Dan Allah akan pujuk. Dan Dia akan bagi apa yang kita minta pada WAKTU YANG TEPAT, ataupun terkadang Allah berikan sesuatu yang lain daripada apa yang kita minta tapi ITULAH SEBENARNYA YANG TERBAIK buat kita. Pasti hati kita berbunga-bunga mekar dengan kuntuman sakura di dalam hati yang ada taman tu. Pada masa itulah mungkin baru kita akan sedar, siapakah pemilik cinta kita yang sebenar. Pastilah Dia, hanya Dia, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Pengasih, Yang Maha Penyayang.
Lau Kaana Bainana
Selepas Allah, perasaan fitrah ni patut diberikan kepada siapa? Pasti mudah nak menjawab, Rasulullah s.a.w.
Tepat, tapi adakah dengan kefahaman yang jelas?
Kita kata cinta kita yang pertama adalah Allah. Solat 5 waktu, setel. Jadi, kita dah tunjukkan cinta kita kepada Allah. Tepat setiap waktu solat, tak pernah tinggal.
Jadi, macam mana pulak dengan cinta kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w?
Kita jawab selawat. (Pasti ke setiap hari kita peruntukkan waktu untuk selawat kepada Nabi? Luar daripada waktu solat? Jom sama-sama check diri sendiri).
Cukup ke perasaan cinta kita macam tu je? Rasulullah pemilik cinta kita yang kedua. Sedangkan cintanya Rasulullah pada kita, di saat hampir tiba kewafatan baginda, baginda teringat pada kita, "Ya ummati, ya ummati.." Tapi kalau kita? Mesti kita sebut, "Sakitnya, sakitnya!!"
Jadi, macam mana nak tunjukkan cintanya kita pada Rasulullah. Adakah selawat tu dah cukup?
Kalau cinta, perlu ada bukti! Sedangkan kalau bercinta dengan lelaki yang tak halal, kita sanggup buktikan cinta kita pada dia. Sanggup habiskan duit untuk keluar jumpa dia. Sanggup belikan hadiah birthday dia yang kadang-kadang dia tak belikan apa-apa pun untuk kita sebab nature lelaki yang kadang-kadang tak ambil kisah. Cintanya kita pada seorang lelaki yang tak halal sehingga rela untuk tangan yang suci ini dipegang, diri yang bersih ini disentuh, sedangkan hakikat sebenar bila dia pegang sahaja tangan kita, bila dia berani menyentuh kita bermakna dia menghina maruah dan harga diri seorang muslimah! Dia tak pelihara kehormatan kita sebagai seorang wanita muslim yang sepatutnya secantik mawar berduri, melainkan dia menjadikan kita seperti gula-gula yang tiada pembalut. Yang jika tiba masanya akan jatuh ke lantai dan menjadi kotor. Dan selepas tu, adakah akan datang lelaki yang sanggup nak mengambil gula-gula yang dah dipenuhi kotoran tanah? Ini adalah bukti cinta kita pada dia. Dan dia? Lari mencari gula-gula yang baru.
Di kisahkan pada suatu hari ketika Rasulullah saw bersama-sama sahabatnya seraya baginda bertanya kepada mereka :
"Siapakah yang paling hebat imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.Para sahabat terdiam seketika.
Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi"."Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka".
"Mungkin kami," celah seorang sahabat
."Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kamu," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu. "Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.
Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian. Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu?" Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku,"suara Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga saudara-saudaramu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.
Rasulullah menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu dengan berbaur kesayuan pada ucapannya itu.
Rindunya Rasulullah pada kita... Dan kita?
Lau kaana bainana.. Jika baginda berada di antara kita. Sedang menaip sms kepada lelaki yang tak halal bagi kita, kalau baginda berada di antara kita, sanggup tak kita tunjukkan sms yang sedang kita taip tu pada baginda s.a.w? Sedang kita bergayut di telefon dengan lelaki yang tak halal bagi kita, sanggup tak kita teruskan perbualan seandainya baginda berada bersama kita? Sedang kita buka facebook, tengok gambar-gambar lelaki yang tak halal bagi kita, bersedia ke kita untuk tak tutup apa yang sedang kita buat tu jika baginda berada disisi kita?
Lau kaana bainana, baginda adalah murabbi terbaik, pendidik terbaik. Cintanya kita pada baginda s.a.w, biarlah sehingga setiap apa yang kita lakukan, kita mampu tetap teruskan walaupun ketika sekiranya baginda berada di antara kita.
Biarlah mampu kita juga berkata kembali kepada Rasulullah,
"Ya Rasulullah pemilik cintaku selepas Allah, aku sungguh rindu hendak bertemu denganmu." Moga kitalah di antara umatnya yang mendapat syafaat baginda di akhirat kelak. Amin!
Cinta ini adalah lubuk pahala
Dan tibalah saatnya untuk kita berikan cinta ini kepada pemilik yang seterusnya. Hanya kepada si dia, yang halal.
Bila baju melayu bertemu baju kurung. Hati bergetar. Terasa perasaan yang berlainan. Adakah itu cinta, mungkin ya. Jadi, adakah ia salah?
Betul atau salah bergantung kepada apa yang kita lakukan selepas itu. Jika kita memilih mendekati kepada jalan yang salah, kita menghampiri kepada cinta yang salah. Dan bermulalah proses penghasilan lubuk-lubuk dosa kita. Lubuk dosa yang penuh dengan angan-angan, lubuk dosa yang penuh dengan tangisan merajuk, lubuk dosa yang penuh pembaziran wang ringgit dan waktu, lubuk dosa yang penuh dengan syakwasangka kepada si dia yang mungkin curang, lubuk dosa dengan pergaduhan, lubuk dosa dengan ungkapan sayang yang bersifat luaran, lubuk dosa dengan berbangga dengan gambar-gambar berdua-duaan, yang mendekatkan diri kepada zina mata, zina hati. Dan terlebih bimbang jika pengakhirannya akan membawa penyesalan kepada diri- sendiri.
Tapi jika kita memilih menyalurkannya kepada jalan yang betul, ini akan menjadi sebuah cinta yang halal, cinta yang mampu menjadi lubuk pahala bagi kita. Lubuk pahala yang mampu memberikan ganjaran berlipat-lipat ganda.
Jika sudah bersedia, pilihlah untuk berkahwin. Tetapi bukan dengan cara bercinta sebelum berkahwin dengan lelaki yang tidak halal bagi kita. Ada cara-cara tertentu, antaranya melalui orang tengah yang kita thiqah padanya, atau ibubapa. Kita terjaga, maruah kita terjaga, dan keberkatanNya ada. Kita ingin membina sebuah rumahtangga yang barakah, bercinta hingga ke syurga. Macam mana nak bercinta hingga ke syurga apabila sebuah rumah tangga dimulai dengan perkara-perkara yang tidak diredhai Allah?
Cinta fitrah ini yang berakhir dengan sebuah perjanjian kuat yang indah, menjadi sebuah pelengkap agama. Dan seterusnya, lubuk pahala ini akan terus terisi dengan menjadikan diri sebagai seorang isteri solehah yang terbaik buat si dia yang halal, pemilik cinta kita selepas Allah dan RasulNya.
Bagi yang sedang bercinta dengan seorang lelaki yang belum halal bagimu, jika belum bersedia untuk berkahwin dalam masa yang terdekat, kuatkanlah diri, pilihlah untuk mengakhiri percintaan yang salah. Takut? Percayalah, Allah akan beri kekuatan. Jika benar si dia yang masih belum halal adalah untukmu, Allah akan hadirkan dia kembali buat dirimu. Janji yang Allah tak pernah mungkiri bahawa setiap makhluknya diciptakan berpasang-pasangan. Dan pasti ada pasangan yang tertulis namanya di Lauh Mahfuz untukmu. Dan bila kita meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah akan gantikan dengan sesuatu yang pasti lebih baik untuk kita. Kita mesti benar-benar percaya kerana Allah adalah pemilik cinta kita yang utama, yang takkan sesekali menipu hambaNya. Keyakinan dan keimanan ini adalah bukti cinta kita kepada pemilik cinta kita yang pertama iaitu Allah.
Cinta ini adalah lubuk pahala. Jika belum bersedia, atau belum mampu, atau belum tiba masanya, tetapi perasaan fitrah itu sudah ada, inilah yang akan menjadi lubuk pahala bagi kita. Bermujahadahlah. Tambahlah istighfar kepadaNya, berpuasalah untuk menjaga sebuah fitrah yang indah ini, dan teruslah berdoa. "Prayer is the best armor against all trials".
Dan dalam masa menanti seorang yang soleh hadir, kita bukan hanya perlu mencari, tetapi perlulah menjadi. Berusaha menjadi seorang wanita yang solehah, dan cuba memperbaiki kekurangan diri semampu yang mungkin.
Bila baju melayu bertemu baju kurung, biarlah hanya untuk yang halal.