Friday, January 6, 2012

Mengharap Pada-Nya

                                                      alt

Sifat takut (khauf) dan harap (raja’), perlu subur dalam jiwa seorang mukmin. Takut kepada Allah, takut akan azab-Nya. Tidak takut kepada selain-Nya.
Mengharap kepada Allah, kepada rahmat-Nya dan pertemuan dengan-Nya.
Sifat ini perlu disebatikan dalam diri, agar laluan menuju akhirat tidak terpesong.
Dua sifat ini perlu disatukan, tidak sempurna andai tiada salah satu.
Sifat takut tanpa harap, dikhuatiri membawa kepada putus asa.
 Sifat berharap tanpa takut, dikhuatiri membawa kepada tertipu.
Harapkan pahala apabila melakukan ibadat, tetapi tidak berjaga-jaga dalam menjauhkan diri daripada sifat riya’ dan bisikan syaitan, maka ibadat itu hanya sia-sia. Sesungguhnya riya’ itu adalah syirik khafi, syirik yang tersembunyi. Betapa penting buat seorang mukmin itu untuk sentiasa menjaga niatnya.
Firman Allah Ta’ala:

Maka barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal saleh dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatupun dalam beribadat kepada Tuhannya.
(Al-Kahfi: 110).
Inilah harapan, cita-cita mahupun kehendak yang paling utama buat seorang mukmin. Harapan untuk bertemu dengan Al-Khaliq, dan kekasihnya Muhammad s.a.w. di syurga. Tiada yang paling didambakan melainkan ini. Tiada yang lebih membahagiakan melainkan ini.

Maka demi Pertemuan Agung, bayarannya adalah amal saleh yang dihiasi ikhlas. Inilah bekalan kita, dengan itu redha dan rahmat Allah dapat diraih.
Taubat

Daripada Anas r.a. katanya: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. telah berfirman:
 "Wahai anak Adam! Sesungguhnya selagimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi."..
Dosa seorang hamba yang begitu banyak bukanlah suatu yang besar bagi Allah, selagimana dia bertaubat dan berharap kepada Allah. Usah kita terpedaya dengan bisikan syaitan, yang berusaha agar kita putus asa terhadap rahmat-Nya.

 Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:
"Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya (kecuali syirik). Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Az-Zumar:53).

Usah diperdaya oleh syaitan dan angkatan manusianya yang ingin melihat kita sentiasa berasa lemah. Kuatkan diri untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan, kembali ke jalan benar.
Firman Allah Ta’ala:
''Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat."
(Hud:114).
Teladan

Imam Syafi’e rahimahullah berkata ketika menghadapi sakit yang membawa kepada kematiannya:
"Ketika hatiku menjadi keras dan pernafasanku sempit,
Aku menjadikan harapan untuk mencapai keampunan-Mu sebagai tangga.
Dosaku sangat besar, namun ketikaku bandingkan,
Ternyata keampunan daripada Tuhanku adalah lebih besar."
Betapa ulama’ hebat seperti beliau, memiliki sifat takut terhadap Allah, apatah lagi buat kita, yang seharusnya memiliki lebih sifat takut kepada Allah, disebabkan dosa-dosa yang tidak terhitung.

Dakwah
Kita berdakwah bukan kerana kita rasa kita lebih baik daripada orang lain. Kita perlu rasa takut apabila teringatkan amaran Allah s.w.t. :
"Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian disisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."
(As-Saff: 2-3).
Namun kita juga perlu berharap akan ganjaran yang ditawarkan oleh Allah s.w.t :
Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal saleh, dan berkata:
"Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri.”
(Fussilat:33).
Mari kita renungkan dan ambil semangat daripada kata-kata hikmah Imam Hasan Al-Basri:
"Sesungguhnya jika aku sedang menasihati kamu, bukanlah beerti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dpat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan."
Comments
0 Comments

0 comments: