Friday, March 2, 2012

A, B, C atau D? Pilihan Di Tangan Anda

                                                        baby

Anda mahu tahu bagaimana masyarakat islam zaman sekarang? Secara amnya, kita boleh bahagikan kepada empat golongan. Golongan A, B, C dan D. 
1. A = AWAM
Masyarakat yang tergolong dalam kategori awam adalah masyarakat yang islam hanya pada nama, yakni islam 'I' (besar) dan bukan islam 'i' (kecil). Faham istilah 'i' (kecil) dan 'I' (besar)? Baiklah, mari kita lihat contoh seperti di bawah.
Seorang budak berkata 'saya Jahat'. Kita lihat pada J (besar) yang mana maksudnya nama budak tersebut 'Jahat' tetapi tidak bermakna sikap atau perbuatan budak tersebut jahat. Seperti mana yang kita belajar dalam pelajaran Bahasa Melayu, kata nama perlu dimulakan dengan huruf besar bukan? Baiklah, sekarang seorang budak yang lain pula berkata 'saya jahat'. Sekali lagi kita lihat pada j (kecil) yang mana maksudnya budak tersebut memang jahat sama ada dari segi perbuatan atau sikap. Tetapi nama budak tersebut tidak semestinya Jahat. Mungkin Abu, Ali, Seman dan sebagainya.
Sekarang, kita aplikasi konsep ini pada islam/Islam. ISLAM i (kecil), maksudnya seseorang itu memang mengamalkan cara hidup sebagai seorang islam. Dia solat, puasa dan melakukan ibadah-ibadah lain. Manakala ISLAM I (besar), seseorang itu meletakkan islam hanya pada nama. Islam hanya dalam IC, tetapi hakikatnya dia tidak pernah bersolat, berpuasa dan melakukan ibadah-ibadah yang wajib dilaksanakannya.
Dan sudah terang lagi bersuluh, golongan A ini semakin menguasai dunia. Boleh kata mereka ini golongna majoriti. Tamat penuh.

2. B = BIASA
Golongan yang kedua dinamakan golongan biasa. Masyarakat yang tergolong dalam kategori biasa ini mungkin mengaplikasikan ISLAM i (kecil). Mereka bersolat, berpuasa, dan beribadah dengan baik.  Mereka buat ibadah-ibadah wajib. Tetapi, golongan ini mempunyai sedikit perasaan 'cukup' dalam diri mereka. Bagi mereka, cukup sekadar membuat ibadah-ibadah wajib.
Analoginya, mereka mempunyai Sim Card. Sama ada Celcom atau Maxis atau Digi. Tetapi mereka tidak mempunyai kredit. Bagi mereka, cukup ada yang basic sahaja. Ada Sim Card sudahlah. Tak perlu top up kredit.
Dan golongan B ini tidak mahu topup pahala dgn menghadiri majlis-majlis ilmu atau melakukan ibadah-ibadah sunat. Bagi mereka, buat yang wajib sudah memadai.
Golongan B ini kurang  sedikit bilangannya berbanding golongan A. Tetapi masih banyak kuantitinya di muka bumi Allah ini.
3. C = COMMITED
Masyarakat yang tergolong dalam kategori commited ini tarafnya 'up' sedikit dari golongan awam dan biasa. Mereka buat ibadah-ibadah wajib dan pada masa yang sama mereka juga buat ibadah-ibadah sunat. Mereka suka menghadiri majlis-majlis ilmu juga selalu membaca al- Quran. Mereka sangat istiqamah, commited dengan ibadah-ibadah mereka. Tetapi golongan ini boleh dikatakan sedikit kedekut.
Sambungan analogi, mereka bukan sahaja mempunyai Sim Card, tetapi mereka mempunyai kredit juga. Mereka sentiasa suka topup kredit mereka. Tetapi malangnya mereka malas untukcall atau mesej orang lain. Atau bahasa manjanya, mereka ini kedekut. Mereka amat takut kredit mereka habis kalau call atau mesej org lain. Penyelesaiannya, kredit mereka ditopupsekadar untuk memuaskan hati mereka, tapi tak pernah digunakan.
Golongan commited ini juga boleh diumpakan seperti katak di bawah gelas. Sekali lagi, taraf mereka 'up' sikit dari katak-katak yang tinggal di bawah tempurung yang memang langsung tidak nampak apa yang berlaku di dunia luar. Katak di bawah gelas ini istimewanya ia nampak apa yang berlaku di dunia luar. Ia nampak kawan-kawannya buat maksiat. Ia juga nampak islam sedang terumbang-ambing dan semakin nazak. Ya, ia nampak semua itu tetapi ia tidak mahu mengambil tahu. Duduk saja di bawah gelas, tunggu dan lihat. Baginya, cukup dirinya sahaja yang beribadah bersungguh-sungguh. Buat apa mahu ajak org lain? Bukankah kubur lain-lain? Begitulah sikap golongan ini yang seperti katak di bawah gelas.
Dan golongan C ini kurang sikit bilangannya berbanding golongan biasa. Tapi masih wujud di muka bumi ini.

4. D = DAIE
Golongan terakhir adalah masyarakat yang tergolongan di bawah kategori Daie. Masyarakat yang tergolong di bawah kategori daie ini adalah masyarakat yang selalunya dikecam. Mengapa? Sebab golongan ini suka menyampaikan. Mereka 'sibuk' hal orang lain. Mereka tidak mahu masuk syurga seorang diri. Mereka mahu mengajak kawan-kawan serta saudara-saudara mereka semua kembali pada islam yang sebenar. Mereka tidak suka menjadi katak yang duduk di bawah gelas. Mereka tidak kisah kredit mereka habis. Mereka sibuk beribadah dan juga sibuk mengajak orang lain untuk turut sama beribadah kepada Tuhan. Mereka sedar tujuan mereka diciptakan bukan sahaja untuk beribadah tetapi untuk menjadi khalifah juga.
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat;
"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". [2:30]
Malangnya golongan D ini teramatlah sedikit bilangannya jika dibandingkan dengan golongan A, B dan C. Golongan D ini golongan asing. Tetapi mereka tidak kisah. Kerana apa? Kerana mereka ingat kata-kata Rasulullah SAW, 'dan beruntunglah orang-orang yang asing'.
Kesimpulan, sebagai seorang islam, terpulang pada diri masing-masing mahu jadi golongan yang mana. A. B. C atau D?
Pilihan di tangan anda.
Dan aku hanya menyampaikan.
"sampaikanlah walau hanya dengan sepotong ayat"
Comments
0 Comments

0 comments: