Monday, March 19, 2012

Senang Jadi Alim, Sukar Jadi Tawaduk

                                                        ikan

Dikisahkan kepada saya daripada seorang ustaz yang bekerja di sebuah syarikat penerbitan pada suatu malam di restoren makanan Arab di Setiawangsa. Bersama kami juga seorang ustaz muda merangkap tokoh sasterawan yang sedang melanjutkan PhD beliau di sebuah institut pengajian tinggi.
Saya melantunkan buah fikir, "Sekarang ini ramai orang yang alim, mahu masuk universiti pun senang. Ada duit sahaja, semua boleh masuk."
Kedua mereka mengangguk.
Ustaz yang bekerja di syarikat penerbitan kemudian berkata, "Benar, ramai yang dapat berceramah namun sangat sedikit yang mereka sendiri dapat amalkan daripada isi ceramahnya itu."
"Itulah cabaran buat diri kita juga," saya mencelah.
Ustaz yang sedang menyambung PhD banyak diam, sekadar memerhati.
Hanya kemudian dia memberikan komentarnya, "Sebab itulah saya menulis, kerana saya bukan jenis yang pandai bercakap. Dengan menulis idea yang mahu disampaikan akan menjadi lebih halus dan indah."
kami mengangguk.
Saya kemudian teringat kepada seseorang, "Kanda berdua, dalam ramai-ramai ilmuwan, tokoh akademik, ulama, pendakwah dan penceramah yang saya kagumi kerana selain daripada alim dalam semua disiplin ilmu Islam, sifatnya sangat warak dan tawaduk sehingga hari ini antaranya adalah, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri."

Kedua mereka pula mengangguk, sambil tangan laju menyuap mandi berinti daging kambing.
"Benar, beliau juga banyak menulis. Dengar khabar beliau berhenti menjadi pensyarah dengan alasan mahu membaca dan menulis semata-mata. Bayangkan, dia sanggup tinggalkan jawatan pensyarah dengan gaji beribu-ribu kerana sebab tersebut," celah Ustaz PhD.
"Subhana-Allah...."
Saya kemudian berkongsi kepada mereka, "Dulu, masa saya masih bertugas di Masjid Usamah bin Zaid. Imam muda masjid pernah berkongsi cerita saat beliau hadir ke rumah Dr Zul. Kata beliau, masuk sahaja ke ruang tamu rumah Dr Zul, dinding sekeliling dilindungi rak yang berisi kitab-kitab tanpa ada sedikit ruang kosong pun. Kemudian kami diajak makan di bahagian meja makan, pun keadaan yang sama terlihat. Oleh kerana sudah malam, kami dipelawa tidur di rumah beliau dan kami dibawa ke bilik tamu rumah tersebut, sekali lagi kami terkejut kerana ternyata ia dipenuhi dengan buku-buku yang sekali pandang semacam batu-bata tersusun kemas. Selain daripada itu, beliau juga menggaji anak-anak murid beliau bagi menjadi penulis beliau secara tetap di rumah."
"Subhana-Allah...." Serentak.
Ustaz di syarikat penerbitan pula berkongsi cerita beliau kemudiannya, "Pernah kami jemput beliau memberikan ceramah di DBP, sedang beliau berceramah kelihatan semacam beliau dahaga dan sememangnya ada segelas air disediakan di atas podium tersebut. Dia dilihat mencapai air dalam gelas tersebut yang menyuanya ke mulut, hampir sahaja sampai ke mulut dia berhenti secara tiba-tiba. Kami kepelikan dan dia perasan perubahan air wajah kami.
Dia kemudian berkata, "Bukan tidak boleh kalau saya mahu minum sambil berdiri, tidak menjadi dosa besar melainkan tidak beradab sahaja. Namun kalau saya minum juga sambil berdiri, saya akan menjadi sangat malu menjadi penceramah kepada tuan puan pada hari ini, izinkan saya minum air ini dahulu ya, terima kasih." Beliau kemudian membawa gelas air dan duduk atas kerusi yang disediakan kemudian kembali ke podium bagi menyambung ceramah beliau.

Subhana-Allah...."
Kami terus berwacana sambil menyantap makanan Arab. Nasi mandi, syawarma dan jus pisang yang menjadi pilihan. Dalam keadaan sedar kami tahu diri sendiri harus mengoreksi dan sentiasa beristighfar kepada Allah atas ujian yang Allah kurniakan.
Comments
0 Comments

0 comments: