Friday, March 2, 2012

Nikmat Di Jalan Dakwah

                                                       baca

Itulah ia ukhuwah fillah.
Walaupun mungkin kamu hanya dapat meneguk sedikit dari manisan itu.
Aku bukan seperti yang kebanyakan dari kamu sangkakan.
Seperti kata seorang adikku:
"Alaa... akak tu, orang minat akak sebab tulisan akak je.. tapi akak tu sendiri.. bukannya layan orang sangat ,'
Aku tersenyum melihat dirinya. Banyak juga hikmah yang aku pelajari dari dirinya.
Walaupun begitu ramai memandang pelik akan hubungan kami yang suka-gaduh-macam-anjing-dan-kucing, tetapi ramai juga amazed bagaimana aku amat menyintai dirinya.
Mungkin acap kali dia cuba menyedarkan aku akan hakikat diriku di waktu manusia lain cuma mengenali luaranku.
Pada keistimewaan itulah aku temui kasih penuh makna :itulah dia persahabatan kerana Allah.
Dari situ juga aku maknai hubungan istimewaku dengan ramainya akhawat, walaupun pertemuan kami singkat dan sebentar, tapi, penuh kemanisan.
Sehingga ke hari ini aku amat memaknai mereka yang bersama dengan kami dalam sebuah perjalanan 48 jam mengelilingi bahagian utara mesir. Kami sesat bersama, berjalan bersama, menyanyi bersama, kelaparan bersama, malahan tidur bersama dalam sebuah kereta, hanya kerana kami semua takde duit untuk bermalam di sebuah hotel pun!
Tentu kenangan manis itu akan teramat indah, walaupun aku tidak tahu apa jadi pada 5 orang adikku yang ku tinggalkan di bumi barakah Mesir itu.
Kami memakirkan van Avanza kami di hadapan sebuah Masjid di Port Said. Waktu itu, sudah 5-6 hotel cuba kami masuki, namun tidak ada satu harga yang berbaloi buat kami. Berada di negara mundur itu , kami tak boleh nak book dahulu mana-mana hotel sebelum bertolak. Memang gamble, tapi tidak ada pilihan. Kami kira, ada hostel budget di situ, ternyata tidak ada.
Kami lantas bertawakal dengan Allah sebulat hati kami, dan tidur sahaja di dalam van yang amat padat dan tidak selesa. Aku sendiri teramat penat memandu van sepanjang perjalanan selama berbelas jam itu.
Pada waktu itu jugalah aku lupa menutup kemas enjin kereta. Kami bangun pada pagi hari di waktu subuh, hanya menyedari bahawa, enjin kereta kami tak boleh nak start!
Aku melihat adik-adikku itu bersahaja memberhentikan beberapa teksi, meminta pemandu teksi membantu kami. Orang Arab Mesir begitu baik sekali. Terasa keikhlasan mereka membantu kami gadis Melayu yang tidak tahu cakap Arab sangat ini. Seharian pagi itu kami cuba menstartkan enjin kereta, sehinggalah kami terpaksa membeli bateri kereta yang baru.
Pengalaman kereta kami rosak di negara orang..
Pemandangan yang amat indah di Port Said. Sewaktu menunggu kedai jual bateri buka, kami berjalan-jalan di sekitar Port Said
( tentu ada yang bertanya, kenapa tak tidur di masjid sahaja? Sebab polisi di negara arab itu, tidak boleh jadikan masjid sebagai tempat tidur! Tanpa duit yang cukup, dan salah kami tidak merencana dengan baik, kami berijtihad untuk bermalam sahaja di dalam kereta. Jangan jadi seperti kamu tau sebab memang tak selamat!)

Entah kenapa juga aku terkenang mereka di waktu mereka  mengambil videoku menyanyikan lagu buat mereka. Dalam van itu juga, dalam perjalanan kami seterusnya mengelilingi negara arab itu, banyak kami bualkan tentang diri kami, tentang keluarga kami, dan tentunya tentang dakwah dan tarbiyah.
Entah, walaupun perjalanan itu kelihatan sekejap dan ringkas, tapi hati aku seolah terikat kuat dengan mereka. Dan aku terkenang wajah mereka sehingga sekarang, apatah lagi mengingatkan wajah mereka yang gugur air mata berderai di saat perpisahan kami.
Begitu juga seorang dari mereka, menyanyikan lagu perpisahan buat aku ketika saat aku pulang.
Hatiku amat tersentuh.
Walaupun kini sudah begitu jauh fizikal kami untuk bertemu dan berkongsi cerita.
Begitu juga aku rasakan ketika bertemu dengan seorang insan istimewa yang satu masa dahulu tidak dikenali sesiapa pun. Hati yang mungil menegurku hanya meminta pendapat akan keadaan tarbiyahnya yang tidak mendapat tarbiyah. Begitu juga di saat dia tiada teman dan akhawat yang mampu berkongsi cinta dan rasa.
Di waktu itu, tanganku sudah cukup padat dalam memimpin, mungkin juga hatiku tidak cukup luas dan sempat untuk menjadi temannya selalu. Akhirnya aku minta ramainya adik-adikku untuk menjadi teman baru di alam mukabuku.
Hinggalah Allah temukan aku dengan dia. Walaupun begitu segan dan tidak terkata dia pada awalnya ketika bertemuku. Dan aku pun kurang percaya bertemu dengan seorang ukhti yang amat istimewa buat kita semua.
Di situ, kami temui sebuah kemanisan. Dan mungkin apa yang mahu kutunjukkan padanya adalah, walaupun kita bertugas di muka bumi Allah ini sebagai daie, namun kita juga adalah manusia. Manusia yang memerlukan momen berharga untuk sentiasa dikenang dan dijadikan motivasi dalam kehidupan.
Barangkali, momen itulah yang menjadi gerakan hidup kita sentiasa bernafas baru dan segar.
Aku mengenalinya mungkin tak sampai beberapa hari. Dan di waktu terakhirnya di sini, aku sangkakan aku dapat memberikan dirinya banyak bekalan, tetapi dengan takdir Allah, Allah memberikan kami bekalan momen kehidupan, untuk kami semat dalam memori kami. Entah aku tidak tahu apa yang dia rasai sepanjang kebersamaan itu, tetapi aku amat menghargai dirinya yang menemani aku menempuhi situasi itu. Dari situ aku mula mengenali. Dan menghargai.
Akhirnya aku mula merefleksi. Hakikatnya, yang banyak memberikan aku bekalan selain dari ilmu dan juga kefahaman, adalah momen dan saat berharga aku bersama dengan murabbiku, juga insan yang banyak mengajarku erti sebuah kehidupan. Mengajarku mengenal makna sebuah cinta hanya kerana Allah. Sayang yang sukar dimengertikan oleh bahasa biasa, kerana ianya adalah manifestasi sebuah keimanan. Penghargaan pada sebuah pertemuan yang sebentar.
Kamu yang hidup di tengah lautan akhawat, takkan memahami jiwa manusia yang tak bertemu akhawat berminggu/berbulan lamanya. Setiap saat pertemuan terasa amat berharga dan menjadi punca kekuatan.
Dan di jalan dakwah ini, aku merasai nikmat ukhuwah ini. Kebanyakkannya aku dapati dari insan yang Allah takdirkan bertembung dengan ruang masaku tanpa aku sangkakan.
Betapa ramai yang aku temui, tetapi sebenarnya tidak ada masa sesaat pun aku berpeluang untuk spend dengan dia. Dan begitulah juga, orang yang paling aku tak sangka untuk luangkan masa, dapat aku berjaulah dan berkenalan begitu mendalam.
Pada sebuah nikmat itu, aku temui bekalan.
Barangkali kamu juga di sana. Yang jauh dari dakapanku entah untuk kesekian lamanya. Kenanglah masa keindahan itu. Berbasikal, bercakna di dalam kereta, masak bersama, susah bersama, tidur bersama, berbual-tak-ingat-masa, dan segala masa kita yang di luar waktu formaliti.. sewaktu kita memandu kereta beramai-ramai merentas sebuah negara, bergurau dan berbual, bukankah di situ kita temui makna kehidupan yang sebenar, melangkau kefahaman kita dari sebuah pengisian?
Sebagaimana dahulu, aku belajar erti kehidupan dari murabbi sepanjang perjalanan kami di dalam kereta, sehingga kini aku masih terkenang, aku berharap, kenangan itu juga memberikan kamu bekalan. Walaupun sebentar.
Kerana, itulah yang sering menjadi sumber kekuatan.
Nikmat ukhuwah di jalan dakwah ini, adalah nikmat luar biasa.
Comments
0 Comments

0 comments: