Tuesday, March 6, 2012

Fahami Makna Pendidikan, Kembalikan Nilai Pendidikan

                                                        baby

Pendidikan di Malaysia tidak pernah lari daripada krisis. Pelbagai masalah menimpa seperti keberkesanan sistem pembelajaran dipersoalkan, sistem peperiksaan dikatakan menjadi punca tekanan,  masalah keboleh-pasaran graduan universiti, rasuah pensyarah, isu PPSMI, isu PTPTN, isu kebebasan akademik, AUKU yang dikatakan mengongkong mahasiswa, isu plagiarisme dan banyak lagi. Ironinya, tidak sedikit tindakan daripada pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut, namun tetap tidak dapat diselesaikan, malahan saban hari semakin banyak masalah menimpa.
Yang pasti, tindakan penyelesaian masalah harus difikirkan secara mendalam. Yang seharusnya diselesaikan itu akar permasalahan, bukan gejala daripada masalah. Mungkin yang patut diselesaikan itu cuma 20% daripada punca masalah keseluruhan. Dengan 20% akar permasalahan yang selesai ini bakal menyelesaikan 80% kesan masalah yang lain seperti yang digariskan dalam Prinsip Pareto.
Justeru, bagi penulis, perkara utama yang harus diselesaikan dalam konteks pendidikan negara ialah 'kembali memahami makna pendidikan yang sebenar' dan 'kembalikan semula nilai pendidikan'.
Krisis Pendidikan Negara
 Fareed Zakaria dalam makalahnya bertajuk 'The Education of a President: Harvard's new leader is right to try to raise standards–but he needs to do it for everyone', menyinggung akan permasalahan ini dengan meyatakan salah satu daripada tragedi pendidikan moden di Amerika ialah penukaran presiden universiti (college president) daripada intellectual kepada para birokrat. Persoalannya, apakah birokrat yang diangkat menjadi presiden universiti ini memahami falsafah pendidikan dan roh university?
Mengulas kenyataan Fareed Zakaria ini, Siddiq Fadzil tanpa berlapik lagi melampiaskan fenomena "one of the minor tragedies" yang berlaku dalam sistem pendidikan tinggi Amerika ini ke atas Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia lewat pertanyaan, "tidakkah kita juga menyaksikan gejala semakin memudarnya wibawa kesarjanaan pimpinan IPT? Warga IPT rata-rata tidak lagi berasa bernaung di bawah naungan teduh seorang sarjana besar, sebaliknya lebih berasa berada di bawah arahan CEO sebuah syarikat. Apakah ini bukan sejenis minor tragedy juga?"

Montimer J. Adler, dalam pengalamannya sebagai seorang ahli akademik terkemuka turut melahirkan keluhan beliau terhadap 'pendidikan' dan 'persekolahan' lewat tulisan beliau berjudul Schooling Is Not Education dan menyatakan sepanjang 40 tahun pengalamannya sebagai pendidik dan ahli akademik, beliau membuat kesimpulan bahawa tiada seorang pun yang telah dan boleh dididik di sekolah atau kolej.
Naib Chanselor UTM, Profesor Dato' Ir. Dr. Zaini Ujang (2009) dalam mengungkapkan perkembangan disiplin ilmu di universiti mengakui akan tuntutan dan pengaruh kuat pasaran semasa. Ini mengakibatkan disiplin ilmu asas seperti falsafah, teologi, sejarah, matematik, kimia, ilmu wahyu, sains kemanusiaan dan kajian bahasa tidak begitu mendapat sambutan dalam kalangan calon mahasiswa berbanding jurusan-jurusan seperti sains gunaan, multimedia dan teknologi. Sebab utama – tuntutan pasaran kerja.
Beliau menambah: "sesuai dengan kefahaman serta kefahaman itulah maka falsafah, nilai, gagasan serta peranan universiti juga berubah mengikut keperluan pasaran kerja, khususnya daripada perspektif ilmu moden. Kenyataannya, ketika ini ilmu falsafah yang satu ketika dahulu menjadi 'ilmu wajib' sudah hilang peranan dan kepentingannya dari perspektif calon mahasiswa. Disiplin ilmu yang lebih diberi keutamaan ketika ini ialah ilmu sains dan sastera gunaan serta teknologi.".
Walaupun tampak perkembangan dan pertumbuhan IPT di Malaysia semakin pesat, namun kepesatan pertumbuhan IPT ini sebenarnya tidak layak menjadi indikator keberdayaan universiti melahirkan graduan yang tercerah dan cerdas, yang diharapkan menjadi the enlightened group, sebaliknya kelumpuhan berlaku meranapkan idea universiti sebagai simbol wibawa keintelektualan dan pencerahan pemikiran.
Sehubungan itu, apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'pendidikan'?
Makna Pendidikan dan Persolannya
Secara umum, pendidikan bermaksud 'suatu proses menerapkan/menyuntik sesuatu terhadap manusia' (a process of instilling something into human being). Berdasarkan definisi ini, 'suatu proses menerapkan/menyuntik' (a process of instilling) merujuk kepada kaedah atau metodologi dan sistem penyaluran pendidikan (mekanisme). Manakala, 'sesuatu' (something) pula merujuk kepada kandungan dan bahan yang ingin dimasukkan dan manusia (human being) merupakan penerima proses dan kandungan. Maka, pendidikan mengandungi tiga unsur fundamental sepertimana yang dihuraikan tadi iaitu: (1) proses, (2) kandungan, (3) penerima. (rujuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam: A Framework for An Islamic Philosophy of Education, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1999).
Persoalannya, bagaimana pendidikan sebagai proses penyaluran ilmu kepada manusia berlaku? Apa kandungan ataupun ilmu yang diajarkan? Apa tujuan pendidikan? Apa hasil yang bakal dikecapi oleh penerima kandungan melalui proses pendidikan itu? Melihat suasana institusi pendidikan dewasa ini, juga graduannya menimbulkan lebih banyak persoalan. Apakah pendidikan hanya sebagai alat untuk mendapatkan profesyen yang baik? Apakah matlamat institusi pendidikan yang sebenarnya, mendidik atau mengaut keuntungan? Realiti pendidikan hari ini mungkin telah tersasar dengan keperluan insan dan tujuan asal pendidikan. Pendidikan hari ini merupakan pendidikan yang telah di'komoditi'kan, di'komersialisasi'kan dan di'politisasi'kan.
Siddiq Fadzil (2009) dalam kritikannya terhadap pendidikan tinggi masa kini menyatakan:
"Masalah yang kita hadapi sebenarnya bukan hanya kelesuan IPT, tetapi dunia pendidikan keseluruhannya sedang ditimpa krisis. Sistem pendidikan di pelbagai rantau dunia ketika ini sedang dipersoalkan dari pelbagai sudut. Ada yang mempersoalkannya dari segi biayanya yang terlalu tinggi melewati batas jangkauan majoriti rakyat. Akibat komersialisasi yang bermotif mengaut keuntungan, rakyat harus membayar mahal sedang kualitinya belum pasti. Dengan ketiadaan biasiswa dan bantuan yang mencukupi biaya pendidikan terbeban sepenuhnya di bahu ibu-bapa. Untuk itu mereka yang kurang mampu akan terpaksa bergolok bergadai. Keadaan inilah yang meresahkan masyarakat. Di Indonesia misalnya, telah terbit buku-buku dengan judul bernada protes seperti, "Pendidikan Yang Memiskinkan" dan "Orang Miskin Dilarang Sekolah."

Bagaimana pula dengan nasib pendidikan di negara ini? Andainya demokratisasi dan privatisasi pendidikan mahu direalisasikan oleh kerajaan, seharus kerajaan memastikan semua lapisan rakyat dapat menikmati pendidikan berkualiti dengan kos yang terjangkau. Kegagalan melaksanakan dasar ini akan mewujudkan keadaan survival of the richest, di mana pendidikan berkualiti menjadi monopoli segelintir kaum elit.
Makna dan nilai pendidikan seharusnya menjadi suatu yang jelas bagi pemerintah, para ahli akademik dan pentadbir institusi pendidikan. Kegagalan memahami nilai pendidikan akan menjerumuskan masyarakat terpelajar ke dalam kancah kekeliruan yang akhirnya membuahkan tindakan-tindakan tanpa moral; para birokrat yang korup, penyelewengan dan salah gunakuasa, jenayah kolar putih dan sebagainya. Makna pendidikan perlu difahami dan nilai pendidikan wajar dikembalikan!
Rujukan:
1.  Siddiq Fadzil, Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan, (Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej Dar al-Hikmah, 2009)
2.  Syed Muhammad Naquib al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin, (KL: ISTAC, 2001)
3.  Fareed Zakaria, The Education of a President: Harvard's new leader is right to try to raise standards–but he needs to do it for everyone. (Lawrence Summers) (Brief Article),http://www.encyclopedia.com/doc/1G1-81469874.html
4.  Montimer J. Adler, "Schooling Is Not Education", http://www.cooperativeindividualism.org/adler-mortimer_schooling-is-not-education.html
5.  Zaini Ujang, Universiti, Kreativiti, Inovasi, (Johor: Penerbit UTM, 2009)
6.  Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Concept of Education in Islam: A Framework for An Islamic Philosophy of Education, (Kuala Lumpur: ISTAC, 1999)
Comments
0 Comments

0 comments: