Cinta adalah salah satu perkara ajaib dalam hidup. Setiap yang mempunyai roh khususnya insan dahagakan cinta. Manusia hidup dengan cinta. Hidup membela cinta. Bahagia kerana cinta. Derita kerana cinta. Bahkan sanggup mati kerana cinta. Segala perjuangan atau episod hidup yang diselit unsur cinta mempunyai rasa dan warna yang tersendiri. Derita kerana cinta ada kelazatannya yang luar biasa. Sakit kerana cinta ada rasa yang berbeza. Gembira meraikan cinta tidak sama dengan gembira biasa. Korban cinta, indah pada cerita dan rasa. Manifestasi itu muncul dalam kehidupan dan memberikan nilai dan rencah yang pelbagai rupa, warna dan rasa.
Sesiapa yang memusuhi dan memungkiri cinta dia merupakan pemilik jiwa kontang yang kering dari nilai insani yang sejati. Cinta itu fitrah. Ia satu keperluan. Bahkan mungkin suatu kewajipan ataupun rukun dalam menikmati kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.
Cinta mampu merubah segala yang ada dalam jiwa seorang insan. Telinga, mata dan segala anggota kadang-kala terpaksa tunduk kepada falsafah cinta. Tunduk kepada nilaian cinta. Pahit boleh menjadi manis. Manis boleh menjadi pahit. Indah boleh menjadi buruk. Usang boleh menjadi baru. Hodoh boleh menjadi cantik. Berat boleh menjadi ringan. Susah boleh menjadi senang. Segalanya terbalik dan berubah penilaian dan rasa hanya kerana cinta.
Ini mengingatkan kita kepada rangkap puisi yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafi'e:Telah gering sang kekasih, maka daku menziarahinyadaku juga turut gering kerana risaukannyadatangnya sang kekasih menziarahikumaka daku pun sembuh kerana melihatnya(lihat: Ibn Muflih, al-Adab al-Shar'iyyah, 2/296).
Manifestasi Cinta
Demikian manifestasi cinta itu boeh menjelma dalam pelbagai rupa. Banyak tindakan yang luarbiasa boleh terhasil dari cinta. Sehingga kadang-kala tidaklah dapat difahami oleh akal yang memikirnya tanpa melihat dari jendela kasih.
Saya merenung riwayat Abu Ya'la yang dinilai sahih oleh al-Hafizd Ibn Hajar al-'Asqalani dalam al-Isabah daripada Anas bin Malik r.a yang menceritakan tentang hari Abu Quhafah, iaitu bapa Saidina Abu Bakar al-Siddiq menganut Islam. Pengislaman beliau agak lewat. Abu Bakar r.a memang begitu mengharapkan bapanya itu menerima Islam.
Menariknya, pada hari Abu Quhafah menghulurkan tangannya kepada Nabi s.a.w untuk menganut Islam, Abu Bakar menangis.
Nabi s.a.w bertanya: "Apakah yang membuatkan engkau menangis wahai Abu Bakar?". Jawabnya: "Seandainya tangan bapa saudaramu (Abu Talib) berada di tempat bapaku sekarang, lalu dia (Abu Talib) menganut Islam sehingga engkau gembira lebih aku suka dari bapaku sendiri menganut Islam".
Demikian halusnya perasaan Abu Bakar, kegembiraan bapanya menganut Islam itu tenggelam apabila mengenang Nabi s.a.w tidak memperolehi kegembiraan yang sama disebabkan bapa saudara kesayangan baginda (Abu Talib) tidak menganut Islam. Abu Bakar membayangkan alangkah baik jika Abu Talib yang berada di tempat bapanya ketika itu. Itulah cinta. Itulah berkorban apa sahaja. Tiada rasa gembira jika kekasih berduka.
Tiada rasa gembira jika kekasih tidak kongsi bersama.Kehidupan Abu Bakar; tindakan dan pergerakannya adalah manifestasi cinta yang sangat dalam dalam terhadap seorang rasul. Dia telah memenuhi makna sabda Nabi s.a.w:
"Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya" (Riwayat al-Bukhari).
Justeru itu, fahamlah kita makna kemanisan bercinta kerana Allah dan RasulNYA. Cinta seperti itu telah mencetuskan pelbagai keajaiban dan kehairanan manusia biasa sepanjang sejarah kemanusiaan. Sanggup berkorban dan terkorban sebagai manifestasi cinta.
Para sahabah sanggup meninggalkan keluarga dan sahabah handai. Sanggup kehilangan harta dan nyawa. Semuanya kerana cinta. Pada mata manusia mereka menderita. Di lubuk jiwa, mereka sedang tenggelam dalam satu kemanisan yang sukar hendak digambarkan dalam tulisan dan perkataan. Kemanisan iman! Inilah yang disebut oleh Nabi s.a.w:
"Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Cinta Menafikan Cinta
Cinta juga menafikan cinta. Jika kita benar-benar sayang kepada seseorang, sudah pasti kita tidak akan menyayangi orang yang membenci kekasih kita tanpa sebab yang benar. Sudah pasti kita dapat menerima orang memusuhi kekasih kita tanpa suatu alasan yang boleh dimaafkan. Bagaimana boleh berhimpun dua kekasih yang bermusuhan dalam satu perasaan, melainkan kadar cinta kita itu tidak memenuhi ruang.
Di sinilah yang al-Quran tegaskan bahawa tidak mungkin seseorang yang mencintai Allah dan RasulNYA, tetapi dalam masa yang sama menyayangi mereka yang memerangi Allah dan RasulNYA.
Firman Allah: "Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka itu (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam jantung hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadaNYA. Merekalah hizbulLah (golongan Allah). Ketahuilah! Sesungguhnya golongan Allah itulah orang-orang yang berjaya". (Surah al-Mujadilah: 22).
Islam tidak menyuruh kita memerangi bukan muslim tanpa sebab yang diiktiraf oleh agama.
Kita mungkin boleh duduk berbincang dengan bukan muslim, atau muslim yang tidak kuat berpegang dengan agama.
Bersimpati dengan mereka, berkawan dan bertukar manfaat kehidupan dunia. Menyampaikan pandangan dan pendapat dan saling menghormati. Ini selagi mana mereka semua tidak menzahirkan peperangan, penghinaan dan pencercaan terbuka terhadap Allah dan RasulNYA. Jika itu berlaku, tidak mungkin ada berhimpun dalam suatu jantung cinta Allah dan sayangkan penentang Allah.
Maulid
Saya tidak mahu membahaskan tentang maulid sebab saya telah sebut dalam artikel yang lain tentang perbahasan dan perbezaan para sarjana mengenai tarikh kelahiran Nabi s.a.w dan pandangan terhadap sambutan itu sendiri. Setiap tempat mungkin ada penilaian yang berbeza berdasarkan perbezaan cara dan maksud. Cumanya, hubungan muslim dengan Nabi mereka bukan seperti hubungan antara kita dengan tokoh-tokoh dunia yang lain yang di sambut sekadar mengenai jasa atau sekadar satu pesta.
Saya tidak mahu membahaskan tentang maulid sebab saya telah sebut dalam artikel yang lain tentang perbahasan dan perbezaan para sarjana mengenai tarikh kelahiran Nabi s.a.w dan pandangan terhadap sambutan itu sendiri. Setiap tempat mungkin ada penilaian yang berbeza berdasarkan perbezaan cara dan maksud. Cumanya, hubungan muslim dengan Nabi mereka bukan seperti hubungan antara kita dengan tokoh-tokoh dunia yang lain yang di sambut sekadar mengenai jasa atau sekadar satu pesta.
Hubungan kita dengan baginda adalah hubungan cinta yang menzahirkan manifestasinya. Para sahabat Nabi s.a.w tidak ada sebarang perayaan mengenai Nabi s.a.w tetapi manifestasi cinta itu menjelma saban hari dan waktu dalam kehidupan mereka. Mereka berjaya membawa obor iman dalam kehidupan sekalipun tanpa perayaan. Sedangkan kita dengan segala perayaan gagal menunai manifestasi cinta itu.
Bahkan dalam perayaan kita, orang-orang besar, menteri dan raja hadir dengan penuh gaya dan pakaian kesombongan yang sama sekali berbeza dengan kehadiran Nabi s.a.w semasa hayatnya ke dalam majlis para sahabat tercinta! Cinta melahirkan manifestasinya.