Thursday, March 29, 2012

Singa Yang Gagah dan Bangku Kaki Empat

                                                            baby

Assalamualaikum wrt wbt,
Para Usahawan Muslim Ana yang dirahmati Allah,
Mungkin sudah banyak kali kita terjumpa dan terserempak dengan anjuran agar kita mendefinisikan impian kita dengan sejelas mungkin, sehingga kita boleh membayangkan apa yang kita impikan itu dalam minda kita. Melalui proses ini, kita sebenarnya membolehkan minda kita menggarap seluruh potensi yang ada pada kita seterusnya memusatkan usaha ke arah merealisasikan impian kita itu.
Antara kunci penting proses ini ialah kemampuannya untuk melahirkan fokus, atau tumpuan. Kehilangan fokus atau tumpuan kebiasaannya akan menjadi sesuatu itu lemah dan tidak mencapai potensi yang sebenarnya. Contoh mudah ialah cahaya matahari yang apabila difokuskan menggunakan kanta pembesar akan mampu membakar, air yang dipusatkan kepada turbin hidroelektrik boleh menghasilkan kuasa elektrik yang bermanfaat. Mungkin kita boleh kaitkan juga bahawa kuasa solat sebenarnya hanya boleh dicapai melalui hadirnya hati yang fokus atau khusyuk'.

Satu perumpamaan yang pernah dinukilkan dalam sebuah buku ialah bagaimana penjinak singa atau harimau dalam sarkis dapat menjalankan aksinya bersama singa dan harimau yang ganas. Menurut seorang pakar, antara peralatan penting yang biasa di bawa oleh seorang penjinak itu ialah, sudah tentu, pistol - tetapi mungkin lebih penting ialah sebiji bangku atau kerusi berkaki tiga atau empat. Maklumlah, kalau setiap kali penjinak tersebut terpaksa menggunakan pistol, pasti tidak banyak pertunjukan yang dapat dilakukan!
Namun yang menarik di sini ialah, apa pula fungsi kerusi atau bangku itu. Kata penulis itu, sebenarnya kerusi itulah peralatan penting yang dapat membantu penjinak tersebut. Ini kerana apabila diajukan kaki bangku yang empat itu kearah singa atau harimau tadi, binatang tersebut tidak tahu kepada kaki mana hendak difokuskan tindakannya, maka ia seolah-olah lumpuh pergerakannya dan 'hilang taring'. Maka si penjinak tadi akan dapat menjalankan tugasnya tanpa perlu menggunakan kaedah yang drastik untuk mengawal binatang tersebut, walhasil dapatlah kita menikmati keseronokan menonton aksinya 'menjinakkan' harimau atau singa itu!
Satu pengajaran penting di sini ialah, sebagaimana sang singa yang gagah dapat ditundukkan oleh sebiji bangku berkaki empat, maka begitulah kita manusia yang berpotensi mentadbir alam akan lumpuh apabila berhadapan dengan terlalu banyak komitmen. Sudah semestinya usaha mendefinisikan impian kita sama ada menggunakan kaedah SMART atau sebagainya, akan memberi kita fokus. Dan fokus inilah yang membolehkan minda kita memusatkan segala potensi kita dan menjalankan tulang empat kerat kita ke arah apa yang kita impikan, insya Allah.
Comments
0 Comments

0 comments: