Monday, March 19, 2012

Secebis Kisah Orang Berilmu

                                                         sucsess

Sungguh saya terkesima dengan kesederhanaannya. Pengajarannya sungguh bersahaja tetapi berwibawa. Dalam kuliah selepas Subuh itu, dia merujuk kepada kitab kuning – Muniyatul Musolli, karangkan Syeikh Daud Al Fatani. Dia bukan ustaz yang popular, pun bukan ilmuwan selebriti yang sering muncul di kaca TV. Dia hanya imam biasa, bergamis dan berserban seadanya. Namun dia punya suara yang merdu dan bacaan qiraat yang sangat mantap. Rela mengajar, walaupun dengan bilangan murid yang paling minima!
Saya masih ingat analoginya, "lampu isyarat sudah hijau, tetapi kereta di hadapan kita masih tidak bergerak-gerak. Kita hendak marah dengan kelembapannya. Tetapi sebaik sahaja kita melihat pada kereta itu tertera tanda L, kita jadi sejuk dan memaafkan. Oh, dia masih belajar memandu..."
Dia menyambung, "maka begitulah kita harapkan semasa belajar ini. Kita harapkan Allah ampunkan kita jika kita berterusan belajar. Ibadah kita banyak lagi kecacatan dan kekurangannya, tetapi apabila kita berterusan belajar, semoga Allah memaafkan kita. Contohnya, solat yang kita dirikan selama ini, siapa yang berani menjamin semuanya sudah sempurna? Semuanya sudah tepat seperti solat nabi? Tidak ada siapa yang berani. Lalu apa jalan keluarnya? Ya, dengan berterusan belajar. Insya-Allah, Tuhan akan ampunkan kita sekiranya kita masih belajar solat."
Benarlah, seorang dikira sampai ke tahap ilmu yang sempurna apabila dia terus belajar. Rasa tidak berilmu ialah sifat utama orang berilmu. Semakin kita belajar, terasa semakin banyak perkara yang tidak kita ketahui. Inilah sifat sejati orang berilmu. Lihatlah imam-imam besar bertahap mujtahid yang berterusan belajar tepat seperti yang sering diungkapkan, tuntutlah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad.

Walau sebanyak mana pun ilmu yang telah digali oleh manusia, hakikatnya masih sekelumit dibandingkan dengan ilmu Allah yang melangit. Justeru, sebanyak mana pun dan setinggi mana pun ilmu yang dimiliki seseorang, dia sewajarnya terus merendahkan diri kepada Allah. Di antara tanda orang yang merendah diri dengan Allah itu, dia juga akan merendah diri sesama manusia. Justeru, jika terdapat ahli ilmu yang sombong, dia hakikatnya bukan ilmuwan tetapi hanya seorang hina dari kelas bawahan!
Bergaullah dengan ahli ilmu yang sebenar, kita akan terasa tenang dengan kerendahan hatinya. Tutur kata dan tingkah lakunya sangat menyenangkan. Semakin tinggi penghormatan yang diberikan oleh manusia kepadanya, semakin tinggi pula penghormatannya kepada manusia lain. Ketangkasannya dalam berfikir disepadukan dengan kelembutan hatinya dalam berzikir.
Kini semakin ramai orang yang mempunyai kelulusan agama yang tinggi dan kepetahan berkata-kata yang sangat memukau. Namun, kita masih kekurangan orang yang mempunyai ketinggian budi dan kehalusan pekerti. Oleh kerana itu para ilmuwan kini kebanyakannya hanya mampu mengumpulkan peminat, bukan pengikut. Kata-katanya hanya menjadi hiburan penyedap pendengaran, kurang diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan yang membawa penyelesaian.
Betapa Tok guru dahulu, hidupnya sederhana tetapi terlalu kaya dengan karisma dan wibawa. Orang sanggup mati kerananya. Kata-katanya diikuti dari hati, bukan sekadar ambil hati. Apa rahsianya? People dont care how much you know, untill they know how much you care – manusia tidak peduli sejauh mana pengetahuan anda, sehingga mereka tahu sejauh mana anda ambil peduli!
Ya, ulama-ulama dahulu bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi yang paling utama mereka mewarisi 'hati' para nabi. Sifat-sifat mahmudahnya begitu ketara. Jika mereka berbicara, pasti disebut kelebihan-kelebihan guru-guru mereka sebelumnya. Jatuh pena di tangan, tidak akan diletakannya di atas kitab atau Al Quran. Jangan ada sesuatu yang diletakkan lebih tinggi daripada Al Quran dan Al Hadis... Bukan sahaja di dalam hati, bahkan daripada segi kedudukan fizikalnya.
Sering kali mereka menjawab 'wallahuaklam' pada soalan-soalan yang diajukan. Mereka tidak berlagak seperti manusia serba tahu.
Mereka boleh bertukar posisi, bertindak sebagai murid yang banyak mendengar apabila dirasakan orang yang dihadapinya lebih mengetahui. Bukan mudah menjadi 'pendengar' ketika selalu berperanan sebagai 'penutur' tetapi kerana sifat tawaduk mereka, para ulama silam sanggup kelihatan bodoh daripada terus berlagak pandai dan memandai-mandai.
Sesungguhnya, ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Biarpun mungkin tidak punya peminat, tetapi pengikut yang setia tetap ada. Jiwa sufi yang tersemat di dalam diri menyebabkan mereka kaya di dalam kesederhanaannya. Mereka itulah murabbi sejati, sekalipun bukan seorang selebriti.
Guru yang mengajar kitab kuning, yang saya ceritakan pada awal tulisan ini hanya menaiki motosikal... tetapi sungguh, saya jarang memandang wajahnya melainkan di situ ada senyuman!
Comments
0 Comments

0 comments: